Skip to main content

PLPU UMP Terima Ijazah Kehormat Pengurusan Pendidikan USM

Kuantan, 25 Oktober - Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dato’ Sri Ibrahim Ahmad yang juga mantan Ketua Pengarah Majlis Amanah  Rakyat (MARA) menerima Ijazah Kehormat Pengurusan Pendidikan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) Kali Ke-56. Anugerah disampaikan Canselor USM, DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yang berlangsung pada sidang pertama baru-baru ini.

Nama Dato’ Sri Ibrahim sememangnya tidak asing lagi dengan MARA dan kepimpinan beliau ini juga telah berjaya melonjakkan nama MARA sebagai lead-agency dalam meneroka, mengembangkan dan membangunkan modal insan yang komprehensif dalam pelbagai bidang strategik yang sedia ada dan baharu. Berpengalaman luas berkhidmat selama 38 tahun termasuklah menerajui MARA selama tujuh tahun (2010-2017) menjadikan institusi ini sebuah agensi pembangunan modal insan terkemuka dan terbilang.

Beliau juga banyak menyumbang jasa terhadap dunia pendidikan termasuklah pendidikan menengah berkualiti yang dijalankan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dengan pelaksanaan program International General Certificate of Secondary School (IGCSE). 

Di peringkat institusi pendidikan tinggi, Dato’ Sri Ibrahim turut menyumbang jasa  dengan menyokong kewujudan kampus perubatan USM-KLE di Belgaum, India dengan menghantar para pelajar MARA melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

Dato’ Sri Ibrahim banyak membantu menjayakan Program Pembangunan Keusahawanan pelajar USM. Ini termasuklah projek pembinaan bangunan pusat keusahawanan berhampiran Dewan Tuanku Syed Putra hasil kerjasama pihak USM dalam melahirkan mahasiswa yang memiliki atribut keusahawanan dalam merealisasikan agenda HEBAT (Holistic, Entrepreneural, Balanced, Articulate, Thinking).

Turut membanggakan beliau pernah dikurniakan Professor Adjung daripada Universiti  Malaysia Terengganu pada Ogos 2018, Ijazah Kehormat Kedoktoran daripada Universiti Kuala Lumpur pada 2017, Professor Adjung daripada Universiti Malaya pada tahun 2016 dan Ijazah Kehormat Kedoktoran daripada UNITAR International University pada tahun 2014. Selain itu beliau juga dilantik menjadi Pro Canselor Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mulai tahun 2011 sehingga 2017 dan merupakan ahli Lembaga Pengarah Johor Corporation dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Semoga anugerah dan pengiktirafan ini dapat meningkatkan lagi semangat perjuangan Dato Sri untuk terus memajukan sektor pendidikan di Malaysia dan kecemerlangan UMP,” kata Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim yang hadir bersama pihak pengurusan universiti dalam majlis konvokesyen.

Dengan pengalaman luas beliau ini, UMP akan terus cemerlang seiring dengan merealisasikan hasrat universiti sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi bertaraf global berlandaskan daya saing kepakaran teknologi dan kejuruteraan selain menjadikan universiti ini sebagai universiti teknologi terunggul menjelang 2020 nanti.

 

Reports by:
Norhidayah binti Mohamad