Skip to main content
Alumni UMP Bina Empayar Perniagaan Caliphs Technology PLT

Alumni UMP Bina Empayar Perniagaan Caliphs Technology PLT

Kuantan, 12 Februari - Tidak pernah terfikir memiliki syarikat sendiri. Malahan, apabila ditanya sejak kecil lagi Abang Fairul Syarmil Abang Mohd mengimpikan untuk menjadi juruterbang, namun siapa sangka pengajiannya dalam bidang sains komputer di Universiti Malaysia Pahang (UMP) memberikan peluang buatnya membina empayar perniagaan sendiri, iaitu Caliphs Technology PLT.

Anak kelahiran Sibu, Sarawak ini pernah tercalon sebagai finalis Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) 2014, anjuran TERAJU di bawah Jabatan Perdana Menteri. Beliau yang merupakan alumni Universiti Malaysia Pahang (UMP) pernah mengikuti pengajian program Diploma Sains Komputer pada tahun 2009 sebelum menyambung pengajian  Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer pada tahun 2011.

Mengimbas kembali perjalanan kariernya, Abang Fairul Syarmil pernah bertugas sebagai Jurutera Perisian selama dua tahun di sebuah syarikat Oil & Gas Consultant, EJ Joint Venture Sdn Bhd (EJJV) di ibu kota Kuala Lumpur. EJJV merupakan syarikat yang sama sewaktu beliau menjalani latihan industri sebelum diserap untuk berkhidmat di situ. 

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Eksekutif Kanan Teknologi Maklumat di Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) selama enam tahun sebelum membuat keputusan untuk membuka syarikatnya sendiri.

“Perkembangan teknologi masa kini yang semakin pesat ditambah dengan ‘dunia di hujung jari’ sangat membantu para usahawan dalam mempromosikan dan menjual produk dengan lebih mudah dan pantas,’ ujarnya. 

Sejajar dengan perkembangan itu, Caliph Technology PLT dilihat sebagai ejen pendigitalan kepada sesebuah organisasi yang menawarkan pembangunan perisian, aplikasi mudah alih dan media interaktif.

Tambah beliau, pihaknya  juga turut membangunkan perisian yang boleh disesuaikan dengan proses kerja bagi sesebuah organisasi seiring dengan dunia digital yang bergerak pantas dan para usahawan melihat ini sebagai batu lonjatan dalam mensasarkan penjualan produk mereka. 

Bagi Abang Fairul, kehidupan kampus banyak memberikannya pengalaman terutamanya penglibatan dalam aktiviti kelab atau program persatuan. Beliau menasihatkan graduan agar terus menimba pengalaman dan berani mencuba. 

Dalam pada itu, Caliphs Techology PLT yang bergiat aktif sejak tahun lalu kini mengendalikan 10 buah laman web syarikat, antara syarikat korporat di bawah kendaliannya termasuklah  Amanah Raya Berhad yang merupakan pelanggan terbesar bagi syarikat beliau sehingga kini.

 

Disediakan oleh Nurizzatul Alin Ahmad Bastani dari Bahagian Perhubungan Alumni, (JHEPA) dan Siti Nurfarmy Ibrahim daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Admin UMP News