Skip to main content

Kongsi kegembiraan staf UMP terima APC

Kuantan, 28 Ogos 2020 - Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Samini Mat Hassan yang merupakan Pemandu Kenderaan di Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganggap anugerah yang diperolehnya sebagai hadiah teristimewa sempena persaraannya pada 21 Jun 2020 yang lalu. 

Sepanjang 19 tahun berkhidmat ini merupakan kali kedua beliau menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. 

Beliau adalah antara 149 staf yang mencapai prestasi cemerlang bagi tahun 2019 dan dirai dalam Majlis Apresiasi sempena Hari Kualiti dan Inovasi 2020.
 
Berbeza pula dengan Suhaili Mohammed, 34 yang berkhidmat sebagai Pegawal Keselamatan di Bahagian Keselamatan. 

Walaupun sebak namun tetap digagahi untuk hadir mewakili arwah suaminya bagi menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. 

Arwah suaminya, Mohd Zairie Zahari yang merupakan Pengawal Keselamatan UMP telah meninggal dunia pada 7 Mac lalu. 

Kini, sepasang cahaya mata mereka, Muhammad Akif Ziyad, 9 dan Nur Ainun Hayfa, 3 menjadi penguat semangat buat Suhaili untuk meneruskan kelangsungan hidup.
 
“Saya sangat berterima kasih kepada pihak universiti yang menganugerahkan penghargaan ini kepada arwah. 

“Ini merupakan kali kedua arwah menerima APC selepas menerima pada tahun 2013. Pastinya ia akan disimpan untuk kenangan buat saya dan anak-anak,” katanya yang ditemui dalam majlis.
 
Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Dr. Hasnah Hussiin pula berkata, tahun ini sangat bermakna dalam sejarah perkhidmatannya sebagai pensyarah di UMP sejak berkhidmat pada tahun 2002.
 
“Buat pertama kalinya saya menerima anugerah APC ini dan istimewanya ia disambut dalam norma baharu ketika negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada UMP yang telah memberikan ruang dan peluang buat saya untuk menabur bakti sebagai pendidik di sini dari dulu, kini dan selamanya. UMP tetap di hati,” ujarnya.
 
Majlis Apresiasi sempena Hari Kualiti dan Inovasi turut meraikan seramai 30 staf UMP dan pihak industri yang hadir menerima anugerah kecemerlangan. 

Ini termasuklah penerima Anugerah Sukan, Anugerah Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), Anugerah ICT (K-Portal), Anugerah Penulisan Rencana, Anugerah Kecemerlangan Keselamatan & Kesihatan Pekerja (AKKKP), Anugerah Kecemerlangan Industri & Masyarakat (AKIM) dan Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC).

Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad yang turut dihadiri Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan ahli Lembaga Pengarah UMP, Mohd. Fuad Kamal Ariffin dalam majlis yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang baru-baru ini.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit