Skip to main content

Majlis Apresiasi iktiraf 179 warga universiti cemerlang

Kuantan, 28 Ogos 2020 - Seramai 179 staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima anugerah dalam Majlis Apresiasi sempena Hari Kualiti dan Inovasi 2020 yang menyaksikan seramai 149 staf UMP menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi prestasi cemerlang tahun 2019. 

Turut dirai penerima Anugerah Sukan, Anugerah Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), Anugerah ICT (K-Portal), Anugerah Penulisan Rencana, Anugerah Kecemerlangan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (AKKKP), Anugerah Kecemerlangan Industri & Masyarakat (AKIM) dan Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC).

Penganjuran program ini merupakan medan pengiktirafan terhadap kecemerlangan warga kerja UMP dalam pelbagai lapangan sebagai dorongan untuk mereka terus berkhidmat dengan cemerlang.

Selain itu juga ia menunjukkan komitmen pihak pengurusan kepada penerapan budaya pengurusan kualiti secara berterusan untuk memulakan pembudayaan inovasi dalam kalangan staf.

Hadir menyampaikan anugerah ialah Pengerusi UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan ahli Lembaga Pengarah UMP, Mohd Fuad Kamal Ariffin dalam majlis yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang.

Menurut Dato’ Sri Ibrahim, UMP adalah unik dan berbeza daripada universiti-universiti yang lain memandangkan ia sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang memfokus terhadap program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.

“Aspek prestasi dan produktiviti berkait rapat dengan cara kita mengurus dan membangunkan bakat-bakat yang ada di universiti ini.

“Dalam hubungan ini, Jabatan Pendaftar mempunyai peranan yang cukup besar lagi berat bagi memastikan bakat-bakat kita terus diurus, dibangun dan digembleng secara strategik demi kelestarian operasi dan kecemerlangan prestasi UMP ke arah menjadi sebuah universiti teknologi terunggul.

“Dalam Pelan Strategik UMP 2021-2025, terdapat tiga teras strategik yang dimandatkan kepada Pendaftar iaitu kecemerlangan sistem pengurusan universiti, sumber manusia yang sejahtera dan berbakat serta kampus yang pintar dan lestari di bawah Objektif Strategik ke-5 iaitu Kecemerlangan Ekosistem Universiti,” katanya.

Selain itu, ujar beliau, bagi merealisasikan slogan  ‘Teknologi Untuk Masyarakat’ yang mendasari Pelan Strategik yang bertemakan ’Mencapai Kegemilangan Melalui Kecemerlangan’, adalah menjadi tanggungjawab pengurusan untuk membangunkan bakat-bakat terbilang yang merentasi pelbagai skim dan kumpulan perkhidmatan di UMP.

Dato’ Sri Ibrahim turut menekankan strategi pembangunan bakat mestilah diasaskan kepada pengetahuan (knowledge), kemahiran (skills), sikap (attitude), perangai (habit) dan budaya (culture).

”Proses ini bermula dengan mencari pengetahuan (acquiring knowledge). Pengetahuan tersebut mesti diamalkan (knowledge must be practiced),” ujarnya.

Sebagai meraikan hubungan dengan rakan strategik baharu, UMP turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang bakal memanfaatkan pelajar dan staf universiti ini melalui penyediaan latihan, tempat latihan industri dan penggunaan fasiliti bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan termasuk kajian dalam bidang pengangkutan awam.

Satu lagi kerjasama turut terjalin antara UMP dan Pertubuhan Pengusaha Agro Malaysia (PPAM) dalam pembangunan projek fertigasi IoT Based Smart Farming System bagi pelaksanaan latihan teknikal penanaman, bimbingan dan pemantauan terhadap peserta yang dikenal pasti daripada golongan B40 menerusi Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) 2020 dari Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Manakala PPAM pula akan membantu dalam mengenal pasti lokasi projek dan pemasaran hasil produk.

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff bertukar dokumen dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Muhammad Nizam Alias.

Hadir mewakili PPAM ialah Pengerusinya, Haji Abdul Hamid Hussin.

Turut berlangsung serahan replika cek berjumlah RM77,600 yang disampaikan Pemangku Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Mohd Fauzi Md Fadzil bagi pelaksanaan Projek Penyelidikan Kajian Impak Terhadap Program-program Pendidikan Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Penyelidikan ini akan diketuai oleh Dr. Mohd Hanafiah Ahmad bersama pensyarah Fakulti Pengurusan Industri (FIM) dan Pusat Sains Matematik (PSM) untuk tempoh setahun.

Hari Kualiti dan Inovasi menyaksikan Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC) bagi tahun ini dimenangi oleh Jabatan Perpustakaan dan hadiah merit AKNC dimenangi oleh Makmal Berpusat UMP.

Manakala Anugerah Rakan Industri Terbaik tempat pertama ialah BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd. dan tempat kedua dimenangi oleh Volkswagen Group Malaysia.

Sementara itu, bagi Anugerah Penulisan Rencana (Kategori Kejuruteraan, Sains dan Teknologi) tempat pertama diraih Profesor Madya Ir. Dr. Mohamad Rizza Othman dengan rencana bertajuk ‘Lestarikan Pembangunan Nadir Bumi’ manakala pemenang tempat pertama bagi Kategori Kenegaraan, Sains Sosial dan Kemanusiaan pula dimenangi Dr. Muhammad Ashraf Fauri@Fauzi dari Fakulti Pengurusan Industri yang tajuk ‘Colombia Rantau Asia’.

Majlis ini juga meraikan warga UMP yang banyak menyumbang terhadap pencapaian UMP sepanjang tahun 2018 hingga 2019 dalam sistem penarafan seperti MyMoheS, MyRA, QS-World University Rankings, Webometrics, UI Greenmetrics World University Rankings dan Indeks Akauntabiliti Kewangan.

Lebih bermakna, UMP turut menyampaikan Anugerah Khas Kecemerlangan Penarafan Universiti kepada mantan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim atas sumbangan dan bakti yang telah dicurahkan untuk memartabatkan UMP sebagai sebuah universiti yang terunggul di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr.  Kamal Zuhairi Zamli, Timbalan  Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Ketua Pegawai Operasi/Pendaftar UMP, Profesor Madya Dr. Mohd Ridzuan Darun dan Ketua Pegawai Strategi, Pusat Hal Ehwal Korporat & Kualiti, Dr. Mohd Hanafiah Ahmad merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis Apresiasi Sempena Hari Kualiti & Inovasi UMP 2020.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit