Skip to main content

Buku 'The Secret' rahsia kejayaan Joanne

KUANTAN, 10 Nov (Bernama) -- Buku bertajuk 'The Secret' karya Rhonda Byrne menjadi 'rahsia' Joanne Boon Shan Shan memperoleh Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) ke-13 di sini, hari ini. 

Boon, 24, yang memperoleh Sarjana Muda Pengurusan Projek dengan Purara Nilai Gred Kumulatif 3.9 berkata buku motivasi itu mengajarnya bahawa apa sahaja yang dimahukan boleh tercapai, asalkan kemahuan itu disatukan dengan usaha bersungguh-sungguh. 

"Ia (kejayaan) tidak mungkin datang begitu sahaja tanpa sebarang pengorbanan dan pada saya, kejayaan memperoleh tujuh Anugerah Dekan sepanjang pengajian adalah kerana ia keinginan mendalam saya. 

"Saya tanamkan tekad yang paling kuat bahawa tiada apa yang mustahil supaya terus berusaha," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada majlis itu di Kampus Gambang di sini hari ini, yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. 

Author
azwin