Skip to main content
UMP E-Newsletter

Akademik dan Antarabangsa

Malam Antarabangsa kongsi budaya pelbagai negara

BIL. 12 DIS 2018

Oleh: MOHAMMAD HAKIMI KAMARUDIN, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Malam Antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP) anjuran Pejabat Antarabangsa dan Kelab Pelajar Antarabangsa berjaya menghimpunkan lebih 900 pelajar antarabangsa daripada 30 buah negara yang sedang mengikuti pengajian di universiti ini dalam suasana meriah di Blok W, UMP Kampus Gambang pada 19 Disember 2018 yang lalu. 

Majlis diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan pengurusan universiti. 

Malam kebudayaan yang diraikan sejak tahun 2009 ini mampu menyatukan komuniti antarabangsa dari pelbagai negara untuk berkongsi kebudayaan yang unik, tarian, nyanyian dan juga kepelbagaian juadah masakan yang dihidangkan buat tetamu.

BIL. 12 DIS 2018

Menurut Profesor Dato' Sri Dr. Daing Nasir, dalam usaha bagi merapatkan jurang antara pelajar tempatan dengan pelajar antarabangsa, Pejabat Antarabangsa UMP telah memperkenalkan program kesukarelawan yang dikenali International Office Buddies. 

BIL. 12 DIS 2018

“Program ini memberi ruang dan pengalaman kepada pelajar untuk terus konsisten bekerjasama dalam pelbagai aktiviti khususnya untuk mempromosikan pengantarabangsaan yang menjadi agenda utama UMP.

“Kepelbagaian budaya yang datang dari setiap negara mencorakkan lagi landskap kebudayaan dan kesenian di UMP. Ianya sekaligus memupuk sikap persefahaman dan toleransi yang tinggi dalam kalangan pelajar,” ujarnya.

BIL. 12 DIS 2018

Manakala Presiden Pelajar Antarabangsa, Mustaf Mohamad dari Somalia berkata, penganjuran program ini mampu menjadi wadah untuk para pelajar antarabangsa dan tempatan menonjolkan bakat dan budaya negara masing-masing selain meningkatkan pengetahuan serta berkongsi etnik budaya sesebuah negara.

“Dalam masa yang sama memberi peluang pelajar mengeratkan hubungan dalam kalangan rakan senegara serta mengubat rindu untuk menikmati juadah dari negara masing–masing seperti Mutton Masala, Punjabi Pulav, Bhojpuri Chicken, Libya Dessert, Chicken Biryani, Naija Jell of Rice dan banyak lagi,” katanya.

Turut hadir memeriahkan majlis Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ir. Dr Wan Azhar Wan Yusoff dan Pengarah Pejabat Antarabangsa, Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi.


Akademik dan Antarabangsa

Kursus bahasa Mandarin untuk industri di UMP tingkat bidang profesional

BIL. 12 DIS 2018

Oleh: YONG YING MEI, PUSAT BAHASA MANDARIN DAN KEBUDAYAAN (MLCC)

Kursus Bahasa Mandarin untuk pekerja industri yang dianjurkan oleh Pusat Bahasa Mandarin dan Kebudayaan (MLCC) Universiti Malaysia Pahang (UMP) mampu meningkatkan kemahiran pekerja dalam kerjaya masing-masing.

Pada 21 Disember 2018 yang lalu tekah berlangsungnya kursus yang ditawarkan buat staf Alliance Steel (M) Sdn. Bhd. (ASSB), sebuah industri keluli besi yang terletak di Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) membabitkan seramai 30 orang staf. 
 
Pengarah Pusat Bahasa Mandarin dan Kebudayaan, Yong Ying Mei berkata, pembelajaran bahasa ketiga ini tidak lagi pada tahap asas, malah penguasaan bahasa ketiga dalam bidang profesional amat diperlukan dalam pasaran pekerjaan sekarang

“Kemahiran bahasa ketiga perlu ditingkatkan lagi walaupun mereka telah menguasai bahasa tersebut memandangkan keperluan dalam melaksanakan tugasan dan  berinteraksi.

BIL. 12 DIS 2018

“UMP sebagai universiti teknikal mempunyai tenaga pengajar yang berpengalaman dalam membantu pekerja industri di sini. 

“Apatah lagi hasil kerjasama UMP dengan Confucius Institute Headquaters (Hanban) dalam penubuhan Institut Confucius atau Kong Zi Institute yang bakal memanfaatkan mahasiswa dan masyarakat setempat terutamanya di negeri Pahang,” katanya. 
 
Bagi Mohd Shahrill Riza Mohd Fadzilah yang merupakan Eksekutif Sumber Manusia dan Bahagian Latihan berkata, tujuan kursus Industrial Mandarin ditawarkan ini untuk meningkatkan kebolehan dalam operasi industri, pekerja-pekerja digalakkan memahami kosa-kata bahasa Mandarin dalam bidang industri keluli besi. 

Katanya, setiap ketua teknikal yang berasal dari negara China memimpin pasukan pekerja Malaysia menguasai kemahiran teknikal dalam proses pembuatan keluli besi. 

“Sebanyak 70 peratus pekerja di ASSB adalah warga Malaysia yang tidak memahami bahasa teknikal dalam bahasa Mandarin. 

“Untuk mengurangkan halangan bahasa, maka industri bekerjasama dengan UMP menawarkan kursus Industrial Mandarin kepada pekerja kami,” katanya.
 
Manakala bagi Eksekutif Pengurusan Busines,  Dzuliskandar Abdul Wahab, 31 yang berasal dari Melaka, beliau mengambil inisiatif menyertai kursus Industrial Mandarin yang dianjurkan antara industri dengan universiti. 

“Walaupun saya pernah mempelajari bahasa Mandarin di sekolah rendah pada zaman kecil, tetapi kursus yang ditawarkan ini membantu saya menguasai kosa kata teknikal yang digunakan oleh staf berbangsa Cina ketika bekerja.” katanya. 

Katanya, bahasa Mandarin sangat membantu terutama bekerja di syarikat majoriti berbangsa Cina dan dapat mengelakkan halangan ketika berkomunikasi.
 
Bagi Norfazila  Sukur, 23, yang bertugas berkaitan Statistik pula berkata, walaupun beliau pernah mendapat pendidikan bahasa Mandarin di sekolah rendah, tetapi bahasa teknikal dalam bahasa Mandarin tidak dapat dipelajari dari mana-mana institusi lain.

Pembelajaran bahasa Mandarin dalam bidang teknikal sangat membantu beliau mengenal pasti nama segala peralatan yang digunakan di kilang dalam bahas Mandarin, terutamanya merujuk buku Industrial Mandarin yang dibangunkan oleh UMP.
 
Begitu  juga dengan Pengawai Tadbir di kilang pembuatan ASSB, Chong Zhen Yeap, 26, beliau sentiasa mengajar kosa-kata bahasa Mandarin kepada rakan sekerja yang berbangsa Melayu supaya membantu mereka memahami komunikasi dengan pekerja dari negara China. Selain itu corak pembelajaran juga lebih seronok.

Dalam pada itu, kursus ini juga memanfaatkan buat dua orang pekerja berasal dari negara China yang mengikuti kursus Industrial Mandarin yang ditawarkan oleh UMP. 

Mereka adalah Dong Xu, 29, pekerja teknikal yang berasal dari China dan Pn Wu Change, 31, seorang pegawai di syarikat berkenaan.  

Menurut Dong Xu, tenaga pengajar dari UMP bukan sahaja mengajar bahasa Mandarin dalam bidang industri keluli besi, tetapi mereka  juga memperkenalkan budaya dan lain-lain.

Kini mereka juga mempelajari bahasa Melayu dengan rakan sekerja yang berwarganegara Malaysia untuk meningkatkan pemahaman dan komunikasi serta didedahkan dengan budaya kerja juga pengendalian mesyuarat secara lebih berkesan.


Akademik dan Antarabangsa

Rushdi Gaafar mahasiswa antarabangsa mahir berbahasa Melayu

BIL. 12 DIS 2018

Oleh: MOHD FERDAUS MUSA, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT. 
 
Mahasiswa  Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA), Rushdi Gaafar Ahmed Baragaa yang mahir berbahasa Melayu terpilih mewakili universiti dalam Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) yang berlangsung pada 20 Disember 2018 yang lalu bertempat di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu. 
 
Lebih membanggakan, percubaan buat kali pertama mahasiswa yang berasal dari Yaman ini telah memperoleh kedudukan ke-9 terbaik keseluruhan berbanding 27 orang peserta yang mengambil bahagian. 

Menurut Rushdi Gaafar, beliau menyampaikan pidato bertajuk ‘Mahasiswa Kelas Pertama Menjana Kemajuan Negara’ yang bertanding dalam kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia.

BIL. 12 DIS 2018

“Saya menyertai pertandingan ini kerana sangat minat bercakap dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu mudah, indah dan struktur ayatnya senang dipelajari. 

“Apabila saya fasih cakap bahasa Melayu, saya faham budaya di sini dan ianya sangat membantu saya semasa belajar di UMP,” katanya. 

Meskipun baharu empat tahun tinggal di Malaysia, Rushdi Gaafar berasa gembira kerana sudah mahir bertutur dan memahami bahasa Melayu. 

Selain itu, mahasiswa  ini juga sangat meminati  makanan Melayu terutamanya Nasi Lemak dan Lontong. 

Malahan, disebabkan minat yang mendalam terhadap bahasa Melayu, Rushdi Gaafar ingin mencuba berpuisi atau berpantun di dalam bahasa Melayu pula. 

Beliau amat berterima kasih kepada para pensyarah, guru bahasa dan semua staf di UMP yang membantunya menguasai bahasa Melayu dengan baik. 

Pengalaman ini pastinya menjadi kenangan terindah sewaktu menamatkan pengajian kelak. 


Aktiviti Pelajar

Nurul Atiqah bakal Jurutera hebat di pentas teater

BIL. 12 DIS 2018

Oleh: SITI NUR AZWIN ZULKAPRI, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT 

Tidak semua orang dilahirkan berbakat atau dikurniakan bakat. Malahan, jika tidak digilap atau dicungkil, memang kita tidak akan tahu kemampuan diri sendiri. 

Begitu juga buat Nurul Atiqah Mohd Aidi, atau dikenali sebagai Ika, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang dahulunya seorang pemalu dan kurang menonjol kini tampil berani dan yakin di khalayak ramai.

Bermula dengan menyertai pertandingan Drama English sewaktu di bangku sekolah dengan sekadar untuk mencuba dan mencari pengalaman baharu, Ika, 23, tidak menyangka berjaya dipilih mewakili sekolah ke peringkat daerah. 

BIL. 12 DIS 2018

Sejak itu, beliau mencari peluang mempelajari teater dan tarian bersama guru yang aktif dalam bidang kebudayaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Jasmine 2, Kajang, Selangor, kemudian sering menonton persembahan teater di Istana Budaya seperti Mahsuri, Mana Setangginya, Badai Semalam, Menggamit Kenangan 60-an, Natrah dan lain- lain.

Beliau berkata, ketika di tingkatan 3, beliau pernah menyertai produksi teater bertajuk ‘Forest’ yang terdiri daripada kanak kanak autism sebagai krew. 

“Teater tersebut adalah sebuah persembahan untuk Malaysia Books of Records.

“Saya tidak menyangka minat ini dapat dikembangkan di UMP. Banyak kemudahan dan program yang memberi peluang mahasiswa untuk melibatkan diri dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian.

“Di UMP, saya merupakan ahli yang bergiat aktif dalam Kumpulan Teater Senandika, Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian (SKK). Bermula dengan teater Taubat (2016) yang merupakan program untuk mencungkil bakat pelajar tahun satu seterusnya terpilih bagi sebuah pementasan kolaborasi bersama Waris Theater Production, SKK dalam teater DORM 12,” ujar beliau.

Anak kelahiran Kuala Lumpur yang begitu meminati bidang pementasan teater ini pernah dianugerahkan Pelakon Wanita Harapan pada tahun 2016 dan mendapat Anugerah Persembahan Terbaik (DORM12) oleh Pusat Sukan & Kebudayaan. 

Beliau pernah menyertai Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Zon Pahang anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dan mendapat tempat keempat.

BIL. 12 DIS 2018

Pada tahun 2017, beliau telah mendapat peluang menyertai Festival Teater Pahang (FTP) dengan membawa naskah 'ASRAMA-RA' karya Khairunazwan arahan sahabatnya, Fendi Shah. 

“Kami dinobatkan sebagai Juara dalam FTP dan telah mendapat kelayakan enam kumpulan teater  terbaik Malaysia yang layak ke peringkat akhir dan Naib  Juara dalam Festival Teater Malaysia (FTM) 2018.

“Penglibatan saya tiada terhenti di sini, saya masih bergiat aktif dalam beberapa pementasan dalaman UMP seperti teater Selamat Tinggal Bunga Ku, Rumah Lama Kampung Baru, Penglipur dan lain-lain, “ ujarnya.
 
Ika berkata, beliau akan cuba membahagikan masa dengan sebaik mungkin. Sewaktu kelas, dia akan fokus dan memastikan memahami sesuatu subjek dan akan mengulang kaji bersama rakan tentang subjek-subjek yang kurang mahir ataupun menyiapkan tugasan yang ada di perpustakaan.

BIL. 12 DIS 2018

Selain itu, beliau juga mempraktikkan belajar selepas waktu latihan teater. Kebiasaannya waktu latihan dari jam sembilan malam hingga ke 12 tengah malam. Ika akan mengambil masa dalam dua jam untuk belajar lepas dari waktu latihan. 

Hasrat Ika, beliau ingin menjadi seorang jurutera dalam bidang mekanikal. Sementara itu, Ika berharap agar masyarakat awam dapat menghargai seni teater kerana teater akan membentuk jiwa kita menjadi manusia yang lebih berkualiti. Aktiviti teater harus dipertahankan dan tidak di pinggir oleh arus pembangunan dan gajet. 

Beliau juga berharap agar pencinta-pencinta teater dapat berjuang dan meneruskan minat mereka dalam bidang ini agar dapat terus diwarisi generasi yang serba boleh dan semoga Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian UMP terus maju dan semakin matang dalam membentuk pelapis Kumpulan Senandika dan Waris di masa akan datang.