Skip to main content

 

 

UMP E-Newsletter

Pelantikan Baharu 

Prof. Ts. Dr. Kamal dilantik TNC (Penyelidikan & Inovasi)

BIL. 25 APR 2019

Dekan Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, 50, dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 15 Mac 2019 oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.
 
Beliau yang berasal dari Pahang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Worcester Polytechnic Institute USA dan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Perisian dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebelum menyambung pengajian Ijazah Kedoktoran (PhD) Kejuruteraan Perisian di University Of Newcastle Upon Tyne, United Kingdom pada tahun 2003.

Mempunyai pengalaman yang luas sebagai pensyarah, Profesor Ts. Dr. Kamal pernah berkhidmat di  Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum berkhidmat di UMP pada tahun 2012.

Dalam pada itu, Profesor Ts. Dr. Kamal juga pernah menyandang jawatan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) di universiti ini pada tahun 2013 sehingga tahun 2015 dan kemudiannya dilantik sebagai  Dekan FSKKP pada tahun 2016 sehingga kini.

Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut dan berharap Profesor Ts. Dr. Kamal akan menggalas tanggungjawab mengetuai penyelidikan dan inovasi serta terus menyumbang kepada kesinambungan pencapaian ke arah kecemerlangan UMP. 

Dalam pada itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat Profesor Dato` Dr. Mashitah yang banyak menyumbang dalam memartabatkan UMP menjadi antara universiti terbaik Asia.
 
"Semoga UMP akan terus cemerlang untuk menjadi sebuah universiti teknologi terunggul dalam menerajui bidang Kejuruteraan dan Teknologi bukan sahaja di Malaysia malahan di persada antarabangsa," katanya. 

UMP akan terus meneroka idea baharu untuk memperkasa bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan bertaraf dunia dalam ekosistem kejuruteraan dan teknologi dengan lebih inovatif yang dapat memanfaatkan masyarakat di negara ini.


Info Sekitar Kampus

UMP perkasa budaya keusahawanan

BIL. 25 APR 2019

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Bagi merealisasikan agenda Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2016-2020 dalam melahirkan modal insan melalui aktiviti keusahawanan, Pusat Keusahawanan (MyPACE) dengan kerjasama Fakulti Pengurusan Industri (FIM) menganjurkan Bengkel Pembangunan Program Inkubator dan Ekosistem Keusahawanan UMP pada 1 April 2019 yang lalu di Kemaman, Terengganu. 

Bengkel yang disertai staf UMP ini bertujuan memberi pendedahan dan perancangan yang tersusun serta pelaksanaan yang komited dalam mewujudkan ekosistem keusahawanan yang kondusif dan lestari.

Menurut Ketua Pegawai Operasi yang juga Dekan Fakulti Pengurusan Industri, Profesor Madya Dr. Mohd Ridzuan Darun tenaga pengajar akan dibimbing dan didedahkan dengan aplikasi perniagaan yang diguna pakai di negara luar serta dapat mempraktikkan teknik inkubator dalam silibus pembelajaran.

“Penganjuran bengkel ini dilihat dapat membuka ruang dan peluang buat tenaga pengajar dan pelajar dalam meningkatkan kefahaman dan kemahiran perniagaan serta memanfaatkan ilmu dengan lebih efisien dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Dalam pada itu, aspek keusahawanan ini juga dilihat sebahagian daripada agenda utama universiti bertepatan tema Amanat Tahunan Naib Canselor 2019, Meraikan Kejayaan Mendampingi Industri dan Menyuburi Keusahawanan,” katanya.

BIL. 25 APR 2019

Bengkel dikendalikan oleh penceramah jemputan yang tidak asing dalam bidang Model Innovation, SME Development, Business Incubator and Social Media and e-Commerce for SME’S, iaitu Pengarah Inkubator School of Business and Management, Insititut Teknologi Bandung Indonesia, Dr. Dina Dellyana.

Dalam berkongsi pengalaman, Dr. Dina menyarankan agar pembudayaan keusahawanan perlu dilaksanakan melalui penganjuran seminar, pameran, pertandingan dan persidangan dalam menanam minat pelajar menceburi bidang ini. 

“Begitu juga dengan sistem sokongan terutamanya di peringkat fasa awal (startup stage), ilmu pengetahuan dan inisiatif dalam menjalinkan hubungan baik dengan pelabur.  

“Malahan para peserta juga akan mempelajari bagaimana bermulanya mendapat idea sehingga berjaya  menjadi projek atau produk selain membentuk pasukan pengurusan yang mantap. Dengan adanya sistem aplikasi memudahkan pihaknya memantau perkembangan usahawan,” ujar Dr. Dina.  

Hadir sama dalam bengkel Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif UMP Holdings, Tuan Syed Mohamad Hamzah Al-Junid  Syed Abdul Rahman, Pengarah MyPace, Abdul Syukor Abd. Razak dan Pengarah Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi, Dr. Mohamed Ariff Ameeden.

Bersempena itu juga, seramai 1,000 pelajar yang mengambil kursus UGE2002 Technopreneurship turut menerima manfaat dalam program keusahawanan yang berlangsung di kedua-dua kampus UMP.


Jejak Alumni

Nurul Akma jurutera muda berjiwa teguh seiring dengan usaha

Oleh: NURIZZATUL ALIN AHMAD BASTANI, JABATAN HAL EHWAL PELAJAR & ALUMNI

BIL. 25 APR 2019

“Keinginan teguh untuk berjaya merupakan kunci utama yang patut ada dalam jiwa setiap pelajar, tidak kira apa juga bidang yang diceburi,” kara Nurul Akma Mohamad Rani, 25, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Teknologi Bahan, Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Itulah kata-kata semangat yang sentiasa dipegang oleh Nurul Akma yang berasal dari Kelantan. 

Beliau yang kini bertugas sebagai Jurutera Kualiti & Reliabiliti di syarikat Intel Technology (M) Sdn. Bhd. memikul tanggungjawab berat kerana perlu memastikan kualiti produk mengikut piawaian industri dan berkebolehan berfungsi dengan baik semasa digunakan oleh pelanggan. 

Jelas beliau, setiap produk yang dikeluarkan perlu dinilai fungsi dan kebolehan tanpa apa-apa kegagalan. 

“Jaminan kualiti adalah kunci utama apabila mengeluarkan sesuatu produk,” ujar Nurul Akma lagi. 

Yang menariknya, Nurul Akma bercita-cita mahu menjadi seorang doktor perubatan veterinar sehingga digelar dengan panggilan ‘doktor katak’ dalam kalangan rakan-rakan kerana minatnya yang mendalam terhadap bidang itu. 

Namun hasratnya tidak dapat diteruskan kerana beliau mempunyai Ailurophobia, iaitu fobia terhadap kucing.

Menurut Nurul Akma lagi, kerjayanya sekarang membuka peluang yang luas untuk mengembangkan potensi diri dan kerjaya. 

Dalam tempoh enam bulan bekerja, beliau telah dianugerahkan sebagai pekerja bright spot. 

Beliau menggunakan peluang sebaiknya untuk membuktikan bahawa beliau merupakan seorang jurutera yang sangat dedikasi dan terbukti apabila diiktiraf sebagai pekerja yang bertanggungjawab kerana kegigihan beliau dalam memastikan suasana kerja yang kondusif.

“Kerjaya saya sekarang ini mampu menyokong perkembangan multimedia, komunikasi  dan jaringan maklumat di hujung jari sejajar dengan usaha kerajaan dalam memperkasa  Internet of Things (IOT) bagi menyokong pasaran  dalam dan luar negara,” tambahnya. 

Setelah tamat pengajian, Nurul Akma pernah berkhidmat sebagai pembantu penyelidik (kontrak) selama setahun di bawah UMP dengan kerjasama Syarikat Nano Malaysia Sdn. Bhd. 

Namunm, beliau hanya bekerja selama beberapa bulan kerana projek dapat disiapkan dalam tempoh yang pendek dan beliau mencuba nasib memohon pekerjaan di syarikatnya sekarang. 

Kejayaan Nurul Akma bermula dari zaman universiti lagi apabila beliau berjaya memenangi pingat emas dan Anugerah Khas Naib Canselor dalam pertandingan Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (Citrex) pada tahun 2017. 

Kejayaan itu telah menjadi rentetan kepada kejayaan yang lain-lain sama ada pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. 

Nurul Akma sentiasa berpegang kepada prinsip perlu melihat setiap situasi dalam sudut positif dan sentiasa ada peluang untuk membaiki diri. 

Selain sokongan padu yang diberikan oleh orang sekeliling dalam setiap perkara yang dilakukannya, beliau sangat berterima kasih kepada UMP kerana memberi peluang seluas-luasnya dalam menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti-aktiviti di universiti. 

Penglibatan beliau dalam aktiviti-aktiviti di universiti banyak membantu menyumbang kepada pembentukan sahsiah dan kemahiran diri serta menyumbang kepada masyarakat dan negara secara langsung. Bukan itu sahaja, ia membantu menyiapkan diri melangkah ke alam pekerjaan. 


Artikel/Rencana Pilihan

Strategi Pembudayaan dan Pemerkasaan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di Malaysia

BIL. 25 APR 2019

Oleh: AMIRUL AHMAD, PENGURUS KANAN JABATAN AKADEMIK DAN RUNDING CARA PELAJAR, UMP ADVANCED
e-mel: aamirul@ump.edu.my

Kerajaan menekankan agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) yang merupakan agenda utama negara dalam memastikan masyarakat mendapat peluang pendidikan merentasi peringkat umur, latar belakang pendidikan dan lokasi pembelajaran dan perkara ini disokong oleh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) dan Pelan Induk Pembudayaan PSH 2011-2020. Ini adalah tonggak dalam merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara kompetitif dan ada kelebihan bersaing malah di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Korea Selatan telah menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai satu elemen pendidikan untuk melahirkan modal insan yang relevan dengan kehendak industri.

Bagi mencapai status negara maju, pembelajaran sepanjang hayat menjadi satu kemestian dalam usaha kerajaan menterjemah pelbagai inisiatif dan memastikan transformasi negara mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi mencapai kenyataan. Pembelajaran sepanjang hayat mestilah dijadikan sebagai sebahagian daripada budaya dan gaya hidup bagi membolehkan masyarakat menyesuaikan diri dengan arus globalisasi dan kemajuan teknologi masa kini. UMP Advanced telahpun mengambil usaha untuk pembudayaan dan pemerkasaan PSH melalui penawaran program yang dijalankan secara hujung minggu, waktu pengajian yang fleksibel dan kecanggihan teknologi masa kini yang membolehkan penawaran program pembelajaran sepanjang hayat dilaksanakan secara dalam talian (online).

Penggunaan teknologi bagi penyampaian PSH

Oleh yang sedemikian adalah menjadi satu keperluan kepada negara untuk merencana strategi pembudayaan PSH yang berkesan agar akses kepada program dapat diperluaskan melalui pelbagai medium. Sebagai permulaan, antara strategi yang penting untuk dilaksanakan adalah pelaksanaan pembelajaran dalam talian bagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pembelajaran ini dapat meluaskan akses PSH melalui penggunaan sistem berasaskan web dan perkakasan mobil yang mana boleh diakses oleh pelajar pada bila-bila masa dan secara atas talian. 

UMP Advanced telah mula mengorak langkah menggunakan kaedah pelaksanaan program dengan menggunakan teknologi bagi menyokong modul yang dijalankan secara dalam bilik kuliah atau konvensional ke dalam bentuk pembelajaran teradun dengan menyepadukan aktiviti dalam talian untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar. Pelaksanaan pembelajaran dalam talian ini memasukkan elemen sidang video, sidang audio, nota multimedia, Web 2.0 (interaksi dan pengukuhan maya, Facebook & Social Media) dan lain-lain bagi menyediakan pembelajaran yang fleksibel kepada warga industri yang mengikuti program PSH selari dengan perkembangan ledakan Revolusi Perindustrian keempat (IR 4.0).

Kerjasama antara agensi yang melaksanakan PSH

Strategi berikutnya adalah melaksanakan kerjasama antara agensi bagi memaksimumkan penggunaan sumber yang berharga dan memastikan program pembelajaran sepanjang hayat dapat dilaksanakan dengan cekap. Pada masa ini, terdapat beberapa agensi kerajaan di bawah beberapa kementerian yang melaksanakan PSH. Setiap agensi ini mewakili sasaran kumpulan yang berbeza dan menyediakan program PSH yang berbeza selaras dengan misi dan objektif agensi masing-masing. Sebagai contoh, Kementerian Belia & Sukan (KBS) menyediakan kursus jangka masa pendek dan panjang bagi belia dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) melaksanakan program-program keusahawanan PSH yang memfokuskan kepada komuniti bumiputera setempat. Dicadangkan supaya perkongsian dan guna sama kepakaran pengajar, infrastuktur dan kemudahan antara agensi PSH bagi mendekatkan komuniti setempat mengembangkan ilmu dan kemahiran mereka. Setiap agensi perlu bersinergi melaksanakan program PSH untuk memastikan impak program tercapai.

Kolaborasi antara agensi PSH dan industri

Hubungan strategik di antara agensi pembelajaran sepanjang hayat dan industri berkaitan dapat memberi faedah bersama menerusi perkongsian program, kepakaran, kemudahan infrastruktur, pemindahan kemahiran dan teknologi. Faedah yang didapati oleh industri adalah peluang peningkatan kemahiran pekerja di samping menjadikan kolaborasi ini sebagai salah satu sumbangan atau tanggungjawab social kepada komuniti. Agensi PSH akan dapat menyalurkan program pembelajaran sepanjang hayat yang mempunyai permintaan industri dan berimpak tinggi untuk dilaksanakan kepada golongan sasaran di samping mendapat faedah pemindahan kepakaran dan kemahiran kepada pengajar yang terlibat.

Sokongan Kewangan untuk Program PSH

Dalam usaha membantu masyarakat menyertai program PSH, pihak kerajaan perlu menyediakan dana untuk terlibat di dalam aktiviti dan program PSH. Pendanaan ini juga haruslah disokong dengan mekanisma pembiayaan bagi golongan pekerja yang terlibat dengan program. Agensi Yayasan Negeri, syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, badan antarabangsa dan parti politik dicadangkan untuk mewujudkan dana dan pinjaman kepada golongan sasaran yang berkaitan. Selain itu, untuk membantu menggalakkan majikan membenarkan penglibatan pekerja di dalam program PSH, dicadangkan insentif pengecualian cukai dan kemudahan perbelanjaan modal bagi pembinaan infrastruktur dan kemudahan diperuntukkan kepada majikan yang menyokong agenda program pembelajaran sepanjang hayat.

Kesinambungan dan pengiktirafan PSH

Kerajaan perlu memberi penekanan kepada kesinambungan dan pengiktirafan pembelajaran sepanjang hayat dengan memperkukuhkan kerangka sedia ada (pengajaran dan pembelajaran, tadbir urus, syarat kemasukan dan penilaian program) dengan mewujudkan Pusat Nasional Jaminan Kualiti dan Pengiktirafan program PSH.  Pusat ini akan menyelaras aktiviti jaminan kualiti dan pengiktirafan program yang melibatkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan memastikan masyarakat dan industri yakin dengan penawaran program PSH. Seterusnya inisiatif ini perlu disokong dengan meningkatkan kemasukan pelajar melalui Kemasukan Terbuka dan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL). APEL merupakan proses sistematik yang melibatkan identifikasi, dokumentasi dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu yang akan membantu warga kerja yang mempunyai pengalaman pekerjaan namun kurang kelayakan akademik untuk menyambung program PSH.

PSH tingkat daya saing industry

Peluang program PSH yang ditawarkan melalui UMP Advanced dapat memperluas akses bagi peningkatan pengetahuan dan kemahiran serta membuka peluang bagi meneruskan pembelajaran yang lebih tinggi. Ini hanya dapat dilaksanakan dengan mengambil kira strategi pembudayaan dan pemerkasaan program PSH dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan industri. UMP Advanced sentiasa peka terhadap definisi dan konsep PSH yang selari dengan aspirasi semasa negara untuk membangunkan masyarakat berilmu yang memacu negara bagi mencapai matlamatnya menjadi negara maju.
 
Rencana ini telah disiarkan dalam Berita Harian, 30 Mac 2019.