Skip to main content
UMP E-Newsletter

Penyelidikan dan Inovasi

UMP miliki penyelidik bertaraf dunia

BIL. 27 APR 2019

Universiti Malaysia Pahang (UMP) terbukti mempunyai para akademia dan penyelidik bertaraf dunia yang boleh dibanggakan apabila meraih pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa. 

Sebagai mengiktiraf pencapaian ini, seramai 160 penerima anugerah yang merangkumi 130 bagi kategori penerbitan Jurnal, 13 bagi kategori Produk, sepuluh bagi kategori Paten, dua bagi kategori Geran Antarabangsa dan satu bagi setiap kategori Buku, Kualiti dan Kreativiti menerima Anugerah Cendekia Bitara (ACB) dalam majlis yang berlangsung di Hotel Zenith Kuantan pada 12 April 2019 yang lalu. 

BIL. 27 APR 2019

Cendekia Bitara turut menampilkan pengiktirafan Anugerah Akademik Universiti (AAU) yang dikhususkan kepada para akademia UMP yang terbukti berwibawa dan berketokohan dalam lapangan pengajaran dan pembelajaran.

Berbangga dengan pencapaian ini, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato' Sri Ibrahim Ahmad mengingatkan penyelidik UMP agar perlu bersedia dengan cabaran ke arah kelestarian ekosistem penyelidikan dan inovasi di UMP.

BIL. 27 APR 2019

“Dengan menukar kerangka paradigma dan pemikiran kita terhadap aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan di universiti ini dapat mencipta nilai keuntungan (value for money) dalam konteks kelestarian kewangan UMP. 

“Selain itu, dengan dasar penyelidikan dan inovasi UMP yang menitikberatkan soal pulangan daripada pelaburan (return on investment – ROI) melalui dapatan atau hasil kajian yang bukan sahaja menjana keuntungan, tetapi juga mempunyai nilai kebolehgunaan (utility) yang boleh dimanfaatkan masyarakat secara berterusan,” katanya.

Beliau turut melihat Paradigma lab to market selama ini telah mengekang keupayaan banyak universiti untuk mencari pasaran komersial bagi produk-produk penyelidikan yang dihasilkan. 

“Namun, sekiranya paradigma ini diubah kepada market to lab, tidak hanya universiti beroleh manfaat komersial daripada pegangan pasaran (market share) yang telah sedia dimiliki oleh rakan kongsi swasta atau industri tersebut. 

“Malah kolaborasi ini membolehkan universiti berperanan mengembangkan potensi rakan kerjasama terutamanya syarikat-syarikat berstatus kecil dan sederhana (small and medium enterprises – SMEs).

BIL. 27 APR 2019

“Selain itu, menyedari keperluan untuk mewujudkan kolaborasi lab to market yang bersifat menang-menang (win-win) tersebut, maka perlu mengorientasikan semula keupayaan inovasi UMP terhadap projek kajian yang bersifat gunaan (applied research) berbanding penyelidikan fundamental,” ujar beliau. 

Beliau berkata demikian dalam Majlis Malam Anugerah Cendekia Bitara yang meraikan akademia universiti ini yang telah mengungguli pencapaian dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan kreativiti ke arah meningkatkan taraf pendidikan tinggi di negara ini. 

Hadir sama Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhaili Zamli,  Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pendaftar merangkap Ketua Pegawai Operasi, Profesor Madya Dr. Ridzuan Darun.

Sementara itu, menurut Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir, pencalonan tertinggi ACB dicatatkan bagi kategori Jurnal dengan jumlah 484 pencalonan iaitu mewakili 93 peratus daripada keseluruhan pencalonan bagi Anugerah Cendekia Bitara 2018. 

“Lebih membanggakan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan (FKMP) berada di tahap terbaik apabila seramai 49 pensyarahnya menerima anugerah bagi kategori penerbitan Jurnal.

“Ungkapan S.T.A.R.S ‘Glimpses of Glory’ mengangkat tema kali ini yang menggambarkan kejayaan UMP kini ibarat sebutir bintang yang bersinar gemilang, namun setiap abjad pada perkataan S.T.A.R.S itu sendiri sebenarnya mewakili roh atau semangat lima Nilai Teras universiti ini iaitu hubungan yang kuat dengan yang Maha Pencipta, teguh mempertahankan prinsip yang disepakati, kreatif membuat keputusan yang bijaksana, cekal menghadapi cabaran, dan proaktif dalam tindakan.

“UMP juga muncul sebagai sebuah Universiti 5 Bintang dengan kedudukan 188 dalam kalangan universiti-universiti Asia sebagaimana penarafan QS tahun 2019, komitmen terhadap inovasi hijau turut diiktiraf apabila UMP kini tersenarai sebagai antara The Top 10 Ranking Universities yang aktif menjalankan dalam penarafan UI Green Metric dengan meletakkan UMP di kedudukan kelima dalam senarai Top 10 tersebut. 

“Begitu juga UMP muncul hasilkan paten tertinggi dalam bidang teknologi hijau dalam kalangan universiti bukan penyelidikan (non-RUs),” katanya. 

Bagi perlindungan harta intelek yang dihasilkan daripada aktiviti penyelidikan saintifik dan teknologi serta kreativiti, sejumlah 579 harta intelek telah difailkan UMP sehingga tahun 2018. 

Sebanyak 75 harta intelek baharu UMP telah menerima perlindungan undang-undang yang meliputi, paten, utility innovation, hak cipta dan cap dagangan.

Majlis turut menyaksikan Dr. Azwin Arif Abdul Rahim dari Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK) dinobatkan penerima Anugerah Akademik Universiti bagi Anugerah Pengajaran (Kategori Sains Sosial) manakala Dr. Lee Chia Kuang pensyarah Fakulti Pengurusan Industri (FIM) menerima Anugerah Ahli Akademik Harapan. 

Antara pemenang ACB adalah Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Fairusham Ghazali dan Profesor Madya Dr. Wan Azmi Wan Hamzah yang meraih anugerah kategori penerbitan jurnal terbaik dan produk penyelidikan. 

Turut menerima anugerah Profesor Madya Dr. Muzamir Hasan dan Profesor Madya Dr. Saiful Nizam Tajuddin bagi kategori geran antarabangsa. 


MyGift

MyCafe-Komuniti UMP bantu beri makanan percuma buat mahasiswa

BIL. 27 APR 2019

Oleh: NOR SALWANA MOHD IDRIS, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Sembilan pengusaha makanan sekitar kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP)  menyertai Inisiatif MyGift  menerusi Program MyCafe-Komuniti UMP bagi menaja makanan secara percuma kepada 62 mahasiswa UMP dalam usaha membantu mahasiswa yang kesempitan wang dan yang memerlukan bantuan pada 11 April 2019.

Rakan Komuniti ini terdiri daripada Restoran Tunas Budi Sdn. Bhd, Restoran Mak Andak Warung Cili Padi Serandu, Restoran Mak Ct, Warung Mazarah  Abdul Manaf , Madi Uya Enterprise, Kedai Mokna dan Warung Rahmat DK.

Majlis penyerahan sijil penghargaan dan kupon makan disampaikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim bertempat di Dewan Bankuet UMP Kampus Pekan. 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Pro-Pendaftar, Abd Rahman Haji Safie.

BIL. 27 APR 2019

Dalam ucapannya, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pengusaha makanan yang menyokong usaha ini. 

“Program ini merupakan satu inisiatif MyGift universiti dalam menyemarakkan budaya menyumbang dalam kalangan masyarakat. 

“MyCafe merupakan program yang mana pengusaha makanan yang berhampiran UMP  bersetuju  membantu mahasiswa UMP terutama mereka yang tinggal di luar kampus dan terbeban dengan masalah kewangan sepanjang mengikuti pengajian di universiti.
 
“Universiti tidak menghadkan jumlah sumbangan, malah memberi pihak pengusaha yang memutuskan jumlah sumbangan yang diberikan.  

“Dalam konsep ini mahasiswa terpilih akan diberi makan percuma di kedai makan  yang telah ditetapkan,” katanya. 

Beliau berharap program ini dapat memberi manfaat kepada mahasiswa dan pihak pengusaha makanan. 

Malahan beliau percaya ianya akan memberikan pengalaman berharga kepada mahasiswa apabila bergraduasi kelak dan mendoakan pengusaha makanan akan terus dimurahkan rezeki. 

Inisiatif  ini juga akan dipanjangkan ke UMP Kampus Gambang dan pihaknya yakin lebih ramai pengusaha di sekitar Gambang akan menyertai program ini.

BIL. 27 APR 2019

Menurut salah seorang pengusaha makanan, Noresah Kamal, 56, atau lebih mesra dikenali sebagai Mak Ndak berbangga  dapat menyumbang dan menyertai program ini. 

Katanya, sejak memulakan perniagaan 11 tahun lalu, warga UMP merupakan antara pengunjung di kedainya, kini sudah tiba masanya  beliau pula membantu mahasiswa yang memerlukan ini. Beliau turut berpeluang  menyertai beberapa siri program Kongsi Rezeki anjuran UMP. 

Ujarnya, sepanjang menjalankan perniagaan di Kampung Marhum, kadang kala mengenali mahasiswa yang mempunyai masalah kewangan. 

“Saya sudah menganggap mahasiswa ini seperti anak-anak saya dan diharapkan sumbangan kecil ini dapat meringankan beban mereka ini,” katanya. 

Manakala salah seorang penerima yang merupakan  pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan, Aslyana Rahman, 22, amat terharu apabila terpilih sebagai penerima inisiatif MyCafe dan ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak universiti dan  pengusaha makanan yang begitu cakna dengan masalah pelajar.  

“Jasa mereka ini tak mungkin akan saya lupakan sampai bila-bila,” katanya. 


Info Sekitar Kampus

UMP Campus Pantry jadi tumpuan mahasiswa dapatkan makanan percuma

BIL. 27 APR 2019

Oleh: NOR SALWANA MOHD IDRIS, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT 

Selaras dengan hasrat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi melaksanakan Program Foodbank Malaysia ke kampus Universiti Awam (UA), Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah mengorak langkah dengan melaksanakan UMP Campus Pantry  bagi menyalurkan bantuan kepada mahasiswa yang memerlukan makanan, minuman dan keperluan lain pada 16 April 2019 yang lalu. 

Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Haryani Abdullah berkata, pada masa ini, mahasiswa boleh mendapatkan keperluan di UMP Campus Pantry yang terdapat di pejabat JHEPA UMP Kampus Gambang dan akan diperluaskan di UMP Pekan tidak lama lagi.

“Pengurusan UMP Campus Pantry dikendalikan sukarelawan daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Kelab Penyayang UMP. 

“Sukarelawan ini bertugas untuk merekodkan keluar masuk makanan dan menyusun makanan di ruang yang telah disediakan.

“Selain itu, bagi pengurusan pengagihan makanan yang lebih sistematik UMP telah mewujudkan sistem bagi mendaftarkan barangan atau makanan yang diterima serta  rekod mahasiswa yang telah mengambil makanan tersebut,” katanya. 

Pada masa yang sama juga, portal khas UMP Campus Pantry turut dibangunkan bagi memudahkan mahasiswa mengetahui maklumat lanjut serta memudahkan orang perseorangan atau penyumbang untuk menyumbang dalam bentuk wang ringgit mahupun barangan makanan atau keperluan lain.

BIL. 27 APR 2019

Bagi Mohamad Hanif Fitri Nordin, selaku Exco Kebajikan dan Perkhidmatan Pelajar Luar Kampus (Gambang) amat terharu dengan usaha pihak universiti dan sentiasa bersedia bagi membantu dalam pengurusan barang makanan dan keperluan harian ini. 

Beliau mengharapkan bantuan yang disediakan ini digunakan sepenuhnya oleh mahasiswa sasaran kerana ia membantu meringankan bebanan mereka.

Manakala rakannya, Mohammad Aiman Mohd Amran yang juga merupakan Presiden Kelab Penyayang UMP sebagai sukarelawan berkata, mahasiswa turut berperanan membantu pihak universiti untuk mendapatkan sumbangan. 

Ujarnya lagi, UMP Campus Pantry ini beroperasi bermula pada jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan pada petangnya beroperasi mulai 2.00 petang hingga 4.30 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Pihaknya berharap program ini dapat membantu meringankan kos perbelanjaan mahasiswa di samping memupuk sikap menyumbang dalam kalangan warga UMP dan masyarakat di luar.


Aktiviti Pelajar

Program Cintai Alam Sekitar kolaborasi sukarelawan ERAS bersama komuniti

BIL. 27 APR 2019

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT 

Seramai 80 orang yang terdiri daripada staf Pusat Kelestarian Sumber Bumi (ERAS) bersama mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP), pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Setongkol dan ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) telah mengadakan Program Khidmat Inovasi Komuniti di Pusat Pementasan Penyu tersendiri iaitu Rimbun Dahan Turtle Hatchery pada 10 April 2019 yang lalu di Chendor, Kuantan. 

Menurut Pengarah ERAS, Profesor Madya Dr. Muzamir Hassan, program ini dapat memberi ruang khidmat pemeliharaan dan pemuliharan alam sekitar melalui sumbangan tenaga dan aktiviti kesukarelawan dengan penanaman anak pokok bakau di kawasan paya bakau berhampiran Pantai Chendor. 

“Sukarelawan juga berpeluang  melakukan aktiviti penanaman anak pokok bakau dengan dibantu oleh ahli MNS.

“Program ini turut memberi pendedahan dan perkongsian ilmu berkaitan kesedaran mencintai alam sekitar di samping menyumbangkan tenaga bagi menjalankan program pembersihan Pantai Chendor dari sisa plastik dan bahan pencemar lain yang boleh menganggu terhadap penetasan telur penyu.

“Penganjuran program ini dilihat dapat menyumbang kepada penjenamaan semula ERAS dan UMP khususnya kepada komuniti setempat yang mana ERAS dilihat sebagai entiti mesra alam sekitar serta menyokong aktiviti penghijauan bumi.

“Program ini juga merupakan kesinambungan hasil penganjuran syarahan umum bertajuk 'Role of The Academia In Environmental Conservation & Advocacy' yang disampaikan oleh Dr. Maketab Mohamed pada 22 Januari yang lalu sebagai membuka ruang hubungan baik di antara MNS dan UMP ke arah domain pemeliharaan dan pemuliharan alam sekitar,” ujarnya.

Tidak ketinggalan, sukarelawan turut berpeluang melepaskan 40 ekor anak penyu yang telah menetas di bawah program pemuliharaan penyu ke laut.


Aktiviti Pelajar

Briged Siswa 4P Gotong-royong bersihkan Pantai Leleh 

BIL. 27 APR 2019

Oleh: SITI NUR AZWIN ZULKAPRI, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Pengalaman berehat di tepi pantai yang dicemari bekas pembungkus makanan, pinggan dan mangkuk polistirena, cawan dan botol plastik dan lain-lain pastinya menggamit suasana yang tidak menyenangkan.
 
Melihat keindahan pantai yang dirosakkan oleh sikap masyarakat yang kurang peka terhadap kesan sampah kepada alam memberi kesedaran buat mahasiswa Briged Siswa 4P, Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk mengadakan program ‘Beach Clean Up’ yang bertempat di Pantai Air Leleh, Pekan, Pahang pada 15 April 2019 yang lalu. 
 
Program yang mendapat kerjasama daripada Pusat Kokurikulum Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) ini disertai oleh seramai 37 mahasiswa diringi oleh jurulatih Seksyen 4P, Mohd Khairol Hasharuddin Che Nasir.  
 
Menurut Pengarah Projek Seksyen 4P, Cheah Yong Hao, beliau sangat gembira dan berpuas hati kerana dapat menyumbangkan sedikit sebanyak tenaga terhadap alam sekitar dan dapat mempelajari nilai-nilai dalam menanam sikap kesukarelawan ini.

BIL. 27 APR 2019

“Program gotong-royong ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran kepada masyarakat bahawa menjaga alam sekitar ialah kewajipan bersama. 

“Ia juga dapat memupuk semangat kesukarelawan dan kerjasama dalam kalangan mahasiswa serta menanam sikap jati diri terhadap kepentingan nilai-nilai ini.
 
“Kami kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang masih tiada kesedaran terhadap sikap menjaga kebersihan, justeru, kami mengambil pendekatan dengan turun padang membersihkan kawasan pantai.

“Apatah lagi lokasi ini letaknya berdekatan dengan kampus UMP Pekan dan sering menjadi tumpuan orang ramai untuk menjalankan aktiviti kekeluargaan atau menikmati pemandangan pantai,” katanya. 
 
Tambahnya lagi, iika ada aktiviti membersihkan sampah pasti beliau akan menyertainya bersama rakan-rakan kerana mereka ingin memastikan kampung dan pantai ini bersih daripada sampah.
 


Sukan dan Rekreasi

52 pasukan bola baling berentap dalam kejohanan anjuran UMP

BIL. 27 APR 2019

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Memasuki edisi keempat penganjuran 4th UMP Handball East Coast Championship dilihat dapat mengukuhkan lagi kegemilangan dan kecemerlangan penganjuran kejohanan sejak ia diadakan pada 2016.  

Edisi 2019 itu telah dianjurkan oleh Kelab Bola Baling UMP dan Pusat Sukan UMP dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) pada 14 April 2019 yang lalu. 

Seramai 52 pasukan dari seluruh Malaysia yang terdiri daripada 32 pasukan lelaki dan 20 pasukan wanita berentap bagi merebut kejuaraan. 

Kejohanan kali ini turut mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Bola Baling Malaysia iaitu para pengadil yang bertaraf IHF dan MAHF yang dijemput bagi mengadili kejohanan.

Kejohanan telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin. 

Turut hadir sama Aznorizamin Ismail yang menjalankan tugas-tugas Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Azizuddin Osman mewakili pengadil Persekutuan Bola Baling Malaysia, Penasihat Kelab Bola Baling UMP, Nur Adam Maximillian dan Pengarah Kejohanan, Mumtazah Annura Hassan. 

Beliau turut meluangkan masa bagi menyaksikan perlawanan pembukaan daripada pasukan tuan rumah UMP (Elgineers) menentang Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

BIL. 27 APR 2019

Bagi Mumtazah, penganjuran pada kali ini turut mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Bola Baling Kebangsaan (MAHF) kerana menyediakan satu bentuk pertandingan yang bukan sahaja mengikut standard malahan menepati pelbagai aspek termasuklah penyediaan gelanggang, pengadil dan banyak lagi.

“Kejohanan kali ini dilihat satu landasan ke arah kejohanan yang berimpak tingi terutamanya di Pantai Timur di samping memberi pendedahan dan pengalaman kepada pemain sebagai persediaan bagi menyertai Kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) mahupun Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT),” ujarnya.

Sementara itu, bagi pengurus pasukan Jerantut Handball yang juga merupakan jurulatih bola baling negara, Shamshul Nizam Mohd Ali, penganjuran kali ini dilihat berprestij serta layak mendapat lima bintang terutamanya dari segi lokasi, krew teknikal serta pengadil.

BIL. 27 APR 2019

Kejohanan kali ini juga menyaksikan pasukan Kelab Profesional JJ Boys dinobatkan johan bagi katerogi lelaki menewaskan Kelab Harun Boys dan tempat ketiga Jerantut Handball. 

Manakala kategori wanita dimenangi oleh Perak Handball yang merupakan Johan SUKMA 2018 menewaskan pasukan Selangor (RGHC) diikuti Turtle Fighters (Terengganu). 

Sementara itu, kategori penjaring terbanyak lelaki dimenangi oleh Muhammad Fazrin Jamaluddin, 46 jaringan dari pasukan JJ Boys dan penjaring terbanyak wanita dimenangi oleh Nur Amira Wahida Wahid, 28 jaringan daripada UMP (Elgineers). 

Hadiah disampaikan oleh Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan pemenang membawa pulang hadiah wang tunai dan pingat.