Skip to main content
UMP E-Newsletter

Akademik dan Antarabangsa

UMP tersenarai universiti terbaik dunia

BIL. 35  JUN 2019

Oleh: DR. IRENE TING WEI KIONG dan HAZLINA FAIZAL, JABATAN HAL EHWAL KORPORAT & KUALITI (JHKK)

Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang merupakan salah satu universiti awam dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) mencatat sejarah apabila tersenarai antara universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings (WUR) 2020 yang diterbitkan oleh QS Quacquarelli Symonds (QS) baru-baru ini.
 
Sebagai universiti yang menerajui bidang kejuruteraan dan teknologi, UMP terus mencatat pencapaian terbaik sebagai universiti teknologi lima bintang apabila berada dalam kelompok 751-800 terbaik dunia. UMP sebelum ini mencapai kedudukan 188 terbaik di Asia dalam QS University Ranking Asia: 2019.
 
Penilaian ini dibuat berdasarkan kepada enam kriteria penilaian iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi per fakulti, nisbah pelajar kepada fakulti, perkadaran pengantarabangsaan fakulti dan perkadaran pelajar antarabangsa. Bagi penarafan  indikasi pengantarabangsaan fakulti menunjukkan UMP berada di kedudukan 360 terbaik dunia manakala prestasi baik dalam indikasi reputasi pula menunjukkan UMP berada di kedudukan 501 terbaik dunia.
 
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, pencapaian ini menyerlahkan kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran di UMP yang sentiasa memberi fokus kepada pelbagai aspek teknikal dan teknologi.
 
“Pencapaian ini merupakan petunjuk yang baik bahawa pendekatan pengajaran dan penyelidikan di universiti ini diiktiraf dalam melahirkan graduan yang kompeten menepati kehendak industri serta mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya.
 
Selain itu, instrumen penanda aras ini membolehkan UMP mengkaji dan memperbaiki pencapaian universiti dari pelbagai perspektif. UMP akan terus bergerak maju sebagai pemain global bagi mencapai misi dan visi yang telah ditetapkan serta berada pada landasan terbaik sebagai universiti MTUN dalam memperkasa latihan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini. 
 
Universiti ini akan terus meningkatkan prestasi dan amalan terbaik bagi memperkasa bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan bertaraf dunia dalam ekosistem kejuruteraan dan teknologi dengan lebih kreatif juga inovatif yang dapat memanfaatkan masyarakat di negara ini.


Info Sekitar Kampus

Pemerkasaan pendidikan TVET agenda utama UMP

BIL. 35  JUN 2019

Sebagai sebuah Universiti Awam (UA) dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan terus memartabat dan memperkasa agenda transformasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2050. 

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad berkata, TVET juga mampu melahirkan tenaga kerja tempatan yang diperlukan industri dan negara bagi berdepan Revolusi Industri 4.0.

BIL. 35  JUN 2019

“Dengan menggunakan kepakaran yang dimiliki universiti, tahap kecekapan dan produktiviti industri dapat ditingkatkan dalam menyelesaikan masalah industri serta berdepan dengan cabaran teknikal.

“Justeru, UMP perlu berkolaborasi mantap dengan agensi berkaitan yang mampu menyumbang lebih banyak peluang pekerjaan juga berpotensi tinggi dalam melahirkan graduan yang kompeten,” katanya pada program Coffee Talk With UMP Chairman di Auditorium Perpustakaan UMP Pekan pada 14 Jun 2019 yang lalu. 

Hadir sama Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, ahli Lembaga Pengarah UMP, Haji Ahmad Zakie Haji Ahmad Shariff, Dato' Mohd Zafir Ibrahim Nor, Shaiful Suliman dan Mohd Fuad Kamal Ariffin.

Menurut Dato’ Sri Ibrahim lagi, dalam menjadikan sesebuah organisasi itu cemerlang perlu mempunyai warga yang mempunyai sikap seronok bekerja. 

“Setiap tugasan atau tanggungjawab yang diberikan kepada warganya mestilah dipilih berdasarkan kebolehan dan bakat mereka,” ujar beliau.

BIL. 35  JUN 2019

Beliau menasihatkan warga kerja UMP agar melaksanakan tugasan yang diberikan dengan penuh amanah, berintegriti dan bertanggungjawab.

Ujarnya, warga kerja atau staf merupakan aset yang berharga buat universiti. Dengan mewujudkan program kesarjanaan dapat memberi peluang warga kerja untuk menyambung pengajian, pembangunan bakat, peluang kenaikan pangkat juga peluang mengikuti latihan kepimpinan dalam dan luar negara. 

Turut dititik-beratkan adalah pencapaian, tatacara kerja dan governan selain beberapa perkara dalam pengurusan universiti antaranya iaitu pengurusan pelanggan, staf, pengurusan risiko, perolehan dan aset.   

Bagi Pengurus Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (ICoN) merangkap Presiden  Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PPTI),  Mohd Raizalhilmy Mohd Rais amat teruja  dengan perkongsian aspirasi Pengerusi Lembaga Pengarah UMP yang banyak berkongsi mengenai hala tuju UMP untuk menjadi lebih cemerlang pada masa akan datang. 

BIL. 35  JUN 2019

Beliau turut berterima kasih atas keprihatinan pihak universiti bagi meningkatkan kredibiliti staf menerusi penganjuran latihan kepada semua staf.

Manakala Presiden Kesatuan Kakitangan Sokongan UMP (KESUMP), Abd. Latip Haji Deris turut memuji penganjuran program yang buat julung kalinya diadakan ini sebagai sebagai platform melibatkan pihak LPU dalam memainkan peranannya dan berkongsi pandangan ke arah menjadikan UMP terus cemerlang dan menjadi rujukan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Kakitangan Akademik (PAKAD), Ahmad Johari Mohamad berkata, program libat sama pihak LPU dengan pengurusan dan warga kerja ini dapat memberi peluang untuk mendapatkan pencerahan dan berkongsi sudut pandang termasuklah berkenaan Nilai Teras UMP (Core Value) iaitu hubungan yang kuat dengan yang maha Pencipta, teguh mempertahankan prinsip yang disepakati, kreatif membuat keputusan yang bijaksana, cekal menghadapi cabaran dan pro aktif dalam tindakan sebagai amalan budaya kerja cemerlang.

Seramai 300 warga kerja dalam kalangan pengurusan universiti, ahli PPTI dan KESUMP hadir dalam program yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar, Profesor Madya Dr. Mohd Ridzuan Darun.


Info Sekitar Kampus

UMP kekal cemerlang 96 peratus kebolehpasaran graduan penuhi peluang pekerjaan

BIL. 35  JUN 2019

Kadar kebolehpasaran graduan (GE) Universiti Malaysia Pahang (UMP) kekal cemerlang dengan melonjak 96 peratus berbanding 95 peratus pada tahun lalu mengatasi Universiti Awam (UA) yang lain. 

Pencapaian ini melepasi sasaran sebanyak 80 peratus pencapaian yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 

UMP kini berada pada kedudukan terbaik hasil kerjasama pihak industri dan berjaya melahirkan graduan yang kompeten, holistik, berciri keusahawanan juga seimbang yang menepati keperluan industri.
 
Pengumuman ini dibuat Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff sempena Majlis Sambutan Aidilfitri dan Jasamu Dikenang pada 14 Jun 2019 yang lalu yang berlangsung di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Pekan. 

BIL. 35  JUN 2019

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar, Profesor Madya Dr. Mohd Ridzuan Darun, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli serta barisan pengurusan dan ahli Lembaga Pengarah UMP.
 
Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, beliau melahirkan rasa bersyukur dengan pencapaian ini dan mengharapkan kecemerlangan ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang. 

Dalam pada itu, pihaknya menghargai warga UMP yang dapat hadir dalam kesederhanaan acara hari ini.

“Warga UMP daripada pelbagai peringkat dapat berhimpun dalam suasana ukhuwah yang mesra, sekaligus membuktikan komitmen kita untuk meneruskan agenda kegemilangan UMP dengan wehdah al-fikri (kesatuan pemikiran) dan wehdah al-amal (kesatuan tindakan).

“Hari ini merupakan hari ke-30 saya memikul tanggungjawab sebagai Naib Canselor dan dalam tempoh tersebut saya dapat merasakan bahawa kewajipan ini amatlah berat dan mencabar bagi meneruskan momentum UMP menuju kegemilangan. 

“Justeru, majlis pada hari ini turut mengabadikan apresiasi kepada mantan Naib Canselor, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim,” ujarnya.

BIL. 35  JUN 2019

Pihak universiti ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Naib Canselor UMP ketiga yang mana Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim merupakan Bapa Transformasi universiti ini dalam memartabatkan UMP menjadi antara universiti terbaik Asia dan persada antarabangsa. 

BIL. 35  JUN 2019

Sambutan Aidilfitri peringkat UMP ini turut dimeriahkan dengan kehadiran hampir 2,000 tetamu dan ini juga merupakan sebagai satu platform untuk mengeratkan silaturahim di antara seluruh warga UMP. 

Majlis yang bermula pada jam 10.30 pagi ini menyajikan menu raya bertemakan Kasih Sayang seperti Nasi Briyani UMP Kusayang, Kuih-muih dan Puding Sehati Sejiwa, Air Balang Ombak Rindu,  Sate Kasih UMP, Lemang dan Rendang Daging  Sejoli, Nasi Impit Kasih Tercipta, Lodeh dan Kuah Kacang Jalinan Kasih, Apam Balik UMP Dihatiku, Kambing Golek Sesuci Lebaran serta Cendol Manis Memikat.