Skip to main content

 

UMP E-Newsletter

Info Sekitar Kampus

8 staf UMP tunai haji tahun ini

BIL. 38  JUL 2019

Seramai lapan orang staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) dipilih menjadi tetamu Allah SWT bagi menunaikan haji pada tahun ini. 

Mereka adalah pasangan suami isteri iaitu Ts. Dr. Nafrizuan Mat Yahya dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan (FKMP) dan isterinya Ts. Dr. Azlyna Senawi dari Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI).

Turut sama Nadiatul Adilah Ahmad Abdul Ghani dan  Hasmanie Abdul Halim dari Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA), Dr. Fadhlur Rahman Mohd Romlay daripada FKMP, Syahrulnaim Mohamad Nawi dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTeK), Paridah Mohd Ali dari  Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) dan Dr. Khairul Salleh Abdul Basit dari Pusat Kesihatan Universiti.

Mereka dirai dalam Majlis Doa Selamat  anjuran Jabatan Pendaftar UMP yang berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak UMP Pekan pada 1 Julai 2019 yang lalu.

BIL. 38  JUL 2019

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli yang hadir menyampaikan sumbangan buat bakal haji.  

Menurut Profesor Ts. Dr. Kamal, saban tahun universiti meraikan staf UMP yang bakal mengerjakan haji dalam menzahirkan keprihatinan dan kepekaan pihak pengurusan terhadap pencapaian warga kerja UMP sama ada dalam konteks kecemerlangan perkhidmatan mahupun kejayaan peribadi.

“Pemilihan dan penyenaraian seseorang sebagai bakal jemaah haji bagi sesuatu musim haji juga merupakan satu kejayaan dan pencapaian peribadi yang istimewa dan besar maknanya. 

BIL. 38  JUL 2019

“Ini adalah kerana kita sedia maklum bahawa proses pemilihan dan penyenaraian tersebut oleh pihak Lembaga Tabung Haji mengambil masa yang lama dengan tempoh menunggu yang agak panjang,” katanya. 

Beliau turut menasihatkan bakal haji untuk sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri dan menyempurnakan rukun haji dengan sebaik-baiknya.

Bagi bakal haji, Dr. Azlyna Senawi, 38, beliau amat berterima kasih kepada UMP atas sumbangan dan doa yang diberikan apatah lagi bersyukur. 

Beliau tidak menyangka pada tahun ini terpilih untuk mengerjakan ibadah haji bersama suami kerana pada asalnya dijangkakan pada tahun 2021. 

“Semoga dipermudahkan segala urusan sepanjang di sana nanti dan mendapat haji yang mabrur,” ujar beliau. 

Terdahulu semua bakal haji turut mengikuti Seminar Haji Intensif bersama Dr. Muhamad Hilmi Mat Said dan Ustaz Abdul Kamil Jamaludin yang merupakan Pensyarah Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK) yang banyak menerangkan panduan-panduan penting yang dapat digunakan semasa menunaikan ibadah haji. 


Penyelidikan dan Inovasi

UMP cungkil bakat pelajar hasil reka cipta berteraskan penjimatan dan mesra alam dalam AiNEX

BIL. 38  JUL 2019

Sebanyak 50 hasil  penyelidikan peserta dalam kalangan pelajar sekolah menengah hingga ke peringkat universiti telah dipertandingkan dalam pertandingan Advanced Innovation & Engineering 2019 (AiNEX) anjuran Pusat Kejuruteraan Automotif (AEC), Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Dewan Astaka, UMP Kampus Gambang pada 3 Julai 2019 yang lalu. 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah AEC, Profesor Madya Dr. Abdul Adam Abdullah. 

Dalam ucapannya beliau berkata, pertandingan itu diadakan untuk melahirkan penyelidik muda dari peringkat sekolah, kolej, politeknik dan universiti dalam menyalurkan idea kreatif dan inovatif dalam menghasilkan produk berteraskan penjimatan serta mesra alam.

“Penganjuran ini merupakan kali ketiga ini untuk terus menyokong misi UMP dalam menyediakan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan yang tinggi kua¬litinya dalam bidang kejuruteraan serta teknologi. 

“Dalam masa yang sama, menerusi program ini dapat membudayakan kreativiti dan inovasi. 

“Penganjuran ini juga merupakan platform terbaik untuk para penyelidik menghasilkan inovasi dan ciptaan berdaya saing pada masa akan datang,” katanya.

BIL. 38  JUL 2019

Hadir sama Pensyarah Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK) UMP, Kapten Imaduddin Abidin dan Pensyarah Kuliyyah Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zafri Azran Abdul Majid.

Sebanyak tiga kategori melibatkan ahli akademik, pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan pelajar sekolah  menengah dipertandingkan pada kali ini.

Bagi anugerah terbaik keseluruhan dimenangi oleh pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ahmad Nazrul Hakimi Ibrahim menerusi hasil penyelidikannya Epoxidized Natural Rubber (ENR) Modified Bitumen and Asphalt Mixture iaitu satu produk pengubahsuaian bitumen bagi pembinaan jalan raya yang dapat menyelesaikan masalah kerosakan jalan raya.

Beliau yang turut meraih tempat pertama bagi kategori universiti membawa pulang sijil, medal dan wang tunai RM800. Manakala tempat kedua dan ketiga pula telah dimenangi oleh Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Putra Malaysia  (UPM).

Bagi kategori sekolah pula tempat pertama telah dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART), Kuantan, tempat kedua pula telah dimenangi oleh Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdul Razak, Pekan dan tempat ketiga Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur.

Manakala bagi kategori kolej pula tempat pertama telah dimenangi oleh Kolej Vokasional Temerloh, diikuti tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Kolej Profesional MARA Indera Mahkota dan Kolej Vokasional Kuantan. 

Bagi Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan pula telah dimenangi oleh Kolej Vokasional Temerloh Pahang menerusi penyelidikan bertajuk ‘Autocut-off Fuel Ignition (AFI)’ dan Anugerah Khas Sekolah Berinovasi pula telah dimenangi oleh Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, Batang Kali, Selangor.


Akademik dan Antarabangsa

ERAS kongsi kepakaran dalam bidang Kejuruteraan Geoteknikal

BIL. 38  JUL 2019

Oleh: SAFUAN SHARIFF DAN MOHD HASHIM MOHD SAAD, PUSAT KELESTARIAN SUMBER BUMI UMP 

Menyedari kepentingan peranan jurutera pada masa depan, Pusat Kelestarian Sumber Bumi (ERAS), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Youth Wing of Malaysian Geotechnical Society (YMGS) telah menganjurkan Program Kerjaya 2019 ‘Own Your Future’ baru-baru ini di Dewan Astaka, UMP Kampus Gambang. 

Program ini juga bertujuan memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA) terutamanya kepada mereka yang berada di tahun akhir untuk membuat persiapan melangkah ke alam pekerjaan.

Menurut Pengarah ERAS, Profesor Madya Dr. Muzamir Hasan yang juga Timbalan Pengerusi YMGS berkata, YMGS merupakan badan profesional yang mengumpulkan para jurutera geoteknikal dalam menjalankan pelbagai aktiviti dalam dan luar negara.

“Usaha ini dapat membantu pengembangan teori serta amalan terbaik jurutera geoteknikal tempatan selain memberi peluang kepada pelajar mendapatkan maklumat berkaitan daripada badan profesional yang bergerak aktif.  

“Ia banyak membantu bakal graduan UMP mempersiapkan diri bagi mendepani dunia pekerjaan dan meningkatkan kualiti graduan sekali gus menyokong lonjakan strategik UMP dalam  meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya. 

Beliau turut bersama-sama berkongsi pengalaman dan kajian penyelidikan berkaitan bidang geoteknikal antaranya yang melibatkan isu semasa seperti perlombongan Bauxite di Bukit Goh Kuantan (Geotechnical Properties Of Kuantan Bauxite).

Tambah beliau lagi dalam memastikan ilmu geoteknikal terus berkembang, ERAS telah menjalinkan kerjasama dengan pihak dalam dan luar negara antaranya usaha sama dengan Universiti Yamaguchi Jepun (YU) yang menganugerahkan sumbangan penyelidikan berjumlah RM65307 bagi menjalankan kajian-kajian berkaitan bidang geoteknikal. 

Kini, ERAS telah berada pada fasa kedua kerjasama dalam bidang Kejuruteraan Geoteknik dari segi inovasi teknologi dan aplikasi teknik Super Well Point  dalam projek-projek pembinaan di Jepun dan Malaysia bersama Asahi Techo. Co., LTD Jepun. 

Turut  berkongsi pengalaman dalam program kerjaya ini ialah Pengarah Dr. Toh Associate Sdn. Bhd., Ir. Ong Yin Heo yang juga Pengerusi YMGS mengenai syarikat berkaitan bidang geoteknikal ini.


Sukan dan Rekreasi

Pasukan bola sepak UMP timba pengalaman di Kunming China

BIL. 38  JUL 2019

Oleh: MOHD. FARID ALI, PUSAT SUKAN DAN KEBUDAYAAN UMP 

Pasukan bola sepak Universiti Malaysia Pahang (UMP) berpeluang menimba pengalaman di Kunming China selama sepuluh hari bagi menyertai 2019 South & South East Asia Student College Culture and Sports Week di Kunming University of Science & Technology (KUST) bermula 3 hingga 12 Jun 2019 yang lalu.

Seramai 18 orang pemain dipilih beraksi ke kejohanan ini bagi membuat persediaan dan latihan untuk menghadapi beberapa kejohanan yang bakal disertai sepanjang tahun 2019 dan 2020 nanti dengan diiringi jurulatih pasukan, Mohd Farid  Md Ali.

Kejohanan menyaksikan pasukan UMP FC berjaya menundukkan pasukan Vietnam National University (VNU) dengan jaringan 4-2 dan seri dengan pasukan Myanmar Mandalay University (MU) dengan jaringan 1-1. 

Namun UMP FC terpaksa akur dengan kekalahan apabila tewas kepada Yunnan Normal University China (YNU) 0-4 dan 0-2 kepada Souphannouvong University Laos.

Menurut Pengurus Pasukan, Abu Sufian Mokhtar, selain memperoleh pengalaman dalam bola sepak, mahasiswa UMP turut memperoleh banyak pengalaman lain termasuklah merasai suasana pembelajaran di KUST, budaya masyarakat setempat dan juga merasai sendiri ‘campus life’ di sana.

BIL. 38  JUL 2019

Manakala menurut Mohd Farid pula, peluang menimba pengalaman beraksi bersama pasukan lebih berpengalaman di peringkat antarabangsa ini diharap dapat membantu mematangkan para pemain sekaligus dijadikan bekalan bagi menghadapi beberapa kejohanan di peringkat domestik pada masa akan datang. 

“Kami juga ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak universiti yang telah memberi peluang buat atlit UMP menimba pengalaman di peringkat lebih tinggi.

Program anjuran Pusat Sukan dan Kebudayaan ini mendapat kerjasama pihak Pejabat Naib Canselor, Pejabat Antarabangsa dan juga Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA). 

Kejohanan tahunan anjuran KUST ini adalah daripada program pertukaran pelajar antarabangsa dan mobiliti yang telah memasuki tahun ke-5 penganjuran.

Selain daripada memperoleh pengalaman beraksi dengan pasukan-pasukan yang terbaik dan berpengalaman di pentas Asia dan Asia Tenggara, para atlet UMP juga dapat menimba pengalaman menjalani ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri di Kunming,China.

Mereka turut dijemput oleh Jeneral Konsulat Malaysia di Kunming untuk menyambut Aidilfitri di Rumah Malaysia pada Hari Raya kedua dengan sambutan yang meriah. 

Malahan mereka juga berpeluang melawat tempat menarik di sekitar Kunming seperti Green Lake, Golden Temple dan   menunaikan solat di Masjid Yongning yang telah dibina sejak Dinasti Yuan. Turut sama bersama pasukan di Kunming ialah Pengarah dan Timbalan Pengarah Pejabat Antarabangsa UMP, Dr. Nik Aloesnita Nik Alwi dan Dr. Mohd Azmir Mohd Azhari.


Artikel/Rencana Pilihan

Kolej Kediaman wadah pembangunan holistik dan pencetus didikan konsep kendiri mahasiswa

BIL. 38  JUL 2019

Oleh  : ROSJULIANA HIDAYU ROSLI
e-Mel: rosjuliana@ump.edu.my    

Keterangkuman dan pengupayaan mahasiswa merupakan komponen penting dalam proses pendidikan universiti bagi menghasilkan modal insan berkualiti untuk kepentingan negara. Ianya merangkumi pelbagai sifat dan ciri penganjuran program seperti menyediakan kefahaman kepada mahasiswa, mengantarabangsakan aktiviti pelajar dan melibatkan pelajar dalam program bersifat patriotik dan juga keterlibatan mahasiswa di dalam program kemanusiaan selari dengan misi universiti.    

Membentuk modal insan bukanlah usaha yang mudah dan boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Ianya merupakan satu proses panjang dan berterusan. Dalam pembentukan mahasiswa ini bukan hanya tertumpu kepada satu pihak sahaja, malah ianya melibatkan semua pihak iaitu universiti, pensyarah, pengetua kolej kediaman, felo kolej kediaman, penasihat akademik mahasiswa malah warga universiti secara amnya. Universiti memikul amanah dan tanggungjawab tersendiri untuk memastikan graduan yang dilahirkan adalah graduan yang mempunyai ciri-ciri keinsanan yang luhur, pencapaian akademik yang cemerlang dan mempunyai nilai kemahiran insaniah yang tinggi.

BIL. 38  JUL 2019

Selain fakulti yang lazimnya berperanan secara langsung dalam menyedia dan melaksanakan program akademik yang bermutu tinggi sepanjang pengajian mahasiswa di universiti, kolej kediaman juga merupakan tempat pembelajaran kedua bagi mahasiswa. Kolej kediaman adalah dataran ilmu kedua untuk mengembangkan potensi dalam diri mahasiswa dan merupakan pelengkap kepada fakulti. Seawal mula menjejaki tangga ke universiti, mahasiswa menjadi warga kolej kediaman pada dua semester pertama iaitu satu tahun dan ada juga universiti yang menetapkan sepanjang sesi pengajian. Ini menjadikannya umpama rumah kedua bagi mahasiswa.

Salah satu individu penting dalam memastikan kejayaan agenda pembangunan pelajar di kolej kediaman ialah pengetua. Pengetua kolej dilantik oleh pihak pengurusan tertinggi universiti bagi mentadbir urus sesebuah kolej kediaman mahasiswa dan mengetuai agenda pembangunan sahsiah mereka. Nilai kepimpinan, integriti dan akauntabiliti perlu dilihat kepada seorang pengetua itu. Selain itu, kecintaan dan kesungguhan dalam berbakti sebagai seorang ibu atau ayah kepada mahasiswa merupakan elemen atau nilai karakter yang paling penting. Keberadaan pengetua di dalam kolej kediaman dan keterlibatan pengetua dalam program yang dianjurkan oleh mahasiswa sesungguhnya memberi contoh persona positif mahasiswa terhadap pengetua yang bertanggungjawab.

BIL. 38  JUL 2019

Selain itu, felo kolej kediaman juga merupakan insan-insan yang terlibat sama dalam pembentukan modal insan dalam kalangan mahasiswa yang tinggal di dalam kolej kediaman. Felo juga merupakan penasihat kepada mahasiswa ketika di kolej kediaman dan mencerminkan sosok positif kepada mahasiswa. Mereka juga turut terlibat  dalam menasihati aktiviti-aktiviti kolej yang telah dirancang sepanjang sesi pengajian. Aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan di kolej kediaman sepanjang sesi pengajian adalah melalui perencanaan oleh jawatankuasa yang telah dilantik oleh pengetua seperti perwakilan mahasiswa kolej kediaman atau jawatankuasa kolej kediaman. Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti ataupun program di kolej kediaman dapat menggubah gaya pemikiran, tahap kematangan, nilai konsep kendiri dan memperkasakan kemahiran insaniah mereka.

BIL. 38  JUL 2019

Kolej kediaman perlu merealisasikan visi, misi dan matlamat yang telah ditetapkan bagi mendepani cabaran dalam melahirkan graduan seimbang dari sudut akademik dan akhlak. Elemen kemahiran insaniah merangkumi etika dan kerohanian, kemahiran memimpin, kemahiran bahasa, kemahiran berfikir dan ilmu pengetahuan juga perlu diterapkan kerana ini akan menyumbang kepada keberhasilan dalam melonjakkan kemahiran psikomotor mahasiswa daripada aspek kepimpinan, kefasihan pelbagai bahasa, keusahawanan dan kemahiran generik.

Sebagai sebuah negara yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama, rakyat Malaysia perlu menerapkan konsep toleransi yang tinggi, kesefahaman dan juga kesepakatan antara satu sama lain. Biarpun jurang polarisasi kaum semakin mengurang, namun perkara ini perlu diperkukuhkan sebaiknya di peringkat universiti. Kolej kediaman adalah tempat kediaman bagi mahasiswa dan pelaksanaan aktiviti di kolej kediaman yang melibatkan mahasiswa berbilang kaum amatlah digalakkan.

Dalam mendepani keperluan pasaran kerja perlu difahami sebaiknya, sama ada bakal majikan dan juga graduan. Pengajian di universiti adalah satu proses untuk membina kematangan, daya pemikiran yang tinggi dan pembinaan konsep kendiri. Bagi majikan yang mempunyai permintaan pengambilan pekerja yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik tetapi mempunyai figura pemimpin yang baik, hebat berkomunikasi, berkeyakinan tinggi, berintegriti dan boleh berperanan sebagai ahli pasukan atau kumpulan yang baik. Maka, mahasiswa perlu bersedia dari pelbagai sudut, bagi mendepani permintaan ini. Persiapkan diri dengan kemahiran yang anda peroleh ketika menuntut di universiti.

BIL. 38  JUL 2019

Peranan kolej kediaman perlu dihargai dan diperkasakan agar ianya kekal relevan dan dihormati seiring dengan keperluan semasa selain menjadi pemangkin kepada kecemerlangan mahasiswa. Pastinya, cetusan hasil tarbiah peribadi dan konsep kendiri mahasiswa bermula di kolej kediaman selain dari ibu bapa yang telah membesarkan mereka semenjak kecil. Tatkala kaki melangkah meninggalkan rumah, kolej kediaman memainkan peranan penting sebagai tempat pembelajaran kedua yang inklusif dalam membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara.

Penulis ialah Guru Bahasa di Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan UMP.