Skip to main content
UMP E-Newsletter

Jalinan Kerjasama

UMP jalin kerjasama dengan Rajarshi Shahu College of Engineering

BIL. 40 JUL 2019

Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan JSPM’s Rajarshi Shahu College of Engineering, Pune India (JSPM’s RSCOE) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 27 Jun 2019 yang lalu dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet UMP Kampus Gambang.

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusof menandatangani MoU dengan Pengarah Perancangan dan Pembangunan JSPM’s RSCOE, Profesor Dr. Ravi Joshi yang bakal membuka ruang ke arah peningkatan hubungan antara kedua-dua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

BIL. 40 JUL 2019

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, kerjasama ini memfokuskan program mobiliti dan pertukaran pelajar, pelantikan profesor pelawat, penyelidikan, pengajaran dan kerjasama lain. 

“Seramai 15 orang pelajar akan mengikuti program mobiliti ini di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan (FKMP),” katanya. 
 

BIL. 40 JUL 2019

Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Profesor Dr. Rizalman Mamat dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Dekan Pembangunan Pelajar dan Hubungan Industri JSPM’s RSCOE, Profesor Santosh Borde dan Dekan Hubungan Antarabangsa JSPM’s RSCOE, Profesor Dr. Sachin Shendokar.

Selain itu, beliau percaya pembangunan modal insan menjadi keutamaan dan sepanjang lima tahun kerjasama ini juga akan memfokuskan penerbitan bersama, penganjuran seminar, program pembangunan dan kepimpinan profesional dan projek usaha sama yang bakal memanfaatkan kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, pada masa ini, Profesor Dr. Ravi Joshi turut menyampaikan watikah pelantikan pensyarah UMP telah dilantik sebagai sebagai profesor pelawat bagi berkongsi kepakaran dalam bidang Kejuruteraan dengan pihak JSPM’s RSCOE. 

Mereka adalah Timbalan Dekan Akademik, FKMP, Profesor Madya Ir. Haji Nik Mohd Zuki Nik Mohamed, Profesor Madya Dr. Kumaran Kadirgama dan Dr. Mahendran Samykano.


Akademik dan Antarabangsa

FKASA anjur Persidangan Kebangsaan Kejuruteraan Angin & Gempa Bumi Kali Ke-3

BIL. 40 JUL 2019

Oleh: EMMA MELATI BURHANUDDIN, FAKULTI KEJURUTERAAN AWAM & SUMBER ALAM (FKASA)

Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA), Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menganjurkan Persidangan Kejuruteraan Angin & Gempa Bumi (NCWE) Kali Ke-3 yang bertemakan ‘Built To Last' pada 12 dan 13 Julai 2019 yang lalu di Hotel Impiana KLCC, Kuala Lumpur. 

Pada persidangan kali ini turut diadakan Seminar Antarabangsa Kelestarian Kejuruteraan Pembinaan (ISCCE) yang dianjurkan bersama rakan strategik antarabangsa iaitu  Beijing Jiaotong University.

BIL. 40 JUL 2019

Pengerusi Persidangan, Dr. Mohamad Idris Ali berkata, penganjuran NCWE yang terdahulu adalah usaha sama dengan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM) dan pada tahun ini, FKASA berbangga untuk memperkenalkan rakan kerjasama baharu iaitu Universiti Syiah Kuala (UNSYIAH) dari Indonesia. 

“Kolaborasi antara ketiga-tiga universiti ini pastinya menjadi tarikan kepada penyelidik seluruh negara untuk berkumpul dan berkongsi hasil penyelidikan mereka. 

“Lebih daripada 75 kertas telah dihantar ke persidangan ini. Bilangan kertas pembentangan ini telah memberi momentum yang tepat dalam menentukan kejayaan persidangan ini,” ujar beliau. 

Manakala menurut Dekan FKASA pula, ia adalah permulaan yang baik untuk kami sejak kami menukar program ini dari kolokium ke persidangan.

BIL. 40 JUL 2019

"Pada tahun ini, kami juga mempunyai kertas pembentangan dari Korea Selatan, Nigeria dan Emiriah Arab Bersatu untuk beberapa buah negara lagi dan kami harap lebih banyak lagi penyelidik akan datang untuk persidangan pada masa depan,” katanya. 

Kemuncak persidangan dua hari ini adalah pembentangan daripada empat Panel Ucaptama yang terkenal dalam bidang masing-masing. 

Panel Ucaptama yang pertama ialah Profesor Dr. Yukio Tamura dari Chongqing University, China dan Panel Ucaptama kedua pula ialah Profesor Dr. Shuyang Cao dari Tongji University, China telah berkongsi kepakaran mereka dalam kejuruteraan angina. 

Sementara itu, Panel Ucaptama ketiga Profesor Madya Dr. Guoqing Jing dari Beijing Jiaotong University, China membentangkan mengenai inovasinya yang berkaitan dengan kejuruteraan kereta api. 

Manakala Panel Ucaptama keempat pula ialah Dr. Ade Faisal dari Univeritas Muhammadiyah Sumatera Utara yang membentangkan mengenai bencana gempa.


Akademik dan Antarabangsa

171 pelajar sekolah calon UPSR timba pengalaman kampus, cakna alam siber

BIL. 40 JUL 2019

Seramai 171 orang pelajar tahun 6 daripada tujuh buah sekolah sekitar Pekan dan Kuantan telah menyertai program Empower Edu-Tour & Socio Outreach UPSR anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) bertempat di Perpustakaan UMP Kampus Pekan pada 17 Julai 2019 yang lalu. 

Tujuh sekolah yang menyertai program tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Wira, SK Jaya Gading, SK Indera Mahkota, SK Padang Garuda, SK Indera Shahbandar, SK Lepar dan SK Paloh Hinai. 

BIL. 40 JUL 2019

Selain program motivasi, antara aktiviti yang diadakan adalah seperti  jigsaw puzzle dan digital literacy yang dijalankan oleh pensyarah UMP yang dikenali sebagai The Reading Makcixx.
 
Menurut  pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE), Nor Farizan Zakaria merangkap pengarah program The Reading Makchixx berkata, antara pengisian  iaitu berkongsi dengan pelajar mengenai dunia siber, media sosial, pembelian secara atas talian, jejak digital, pembulian di alam Siber, penipuan dan penyamaran di alam siber dan ketagihan gajet dan internet.
 

BIL. 40 JUL 2019

“Program ini sangat membantu dalam membina perwatakan pelajar di alam siber dan mereka perlu diberi pemahaman tentang manfaat dan langkah keselamatan yang perlu diambil semasa menggunakan internet dan dunia siber ini,” katanya.
 
Manakala menurut salah seorang pelajar SK Wira, Kuantan, Wan Norizati Suriya, 12, banyak ilmu yang diperoleh sepanjang program itu. 

Ujarnya, walaupun mempunyai sebuah telefon pintar namun penggunaannya masih dipantau oleh kedua ibu bapanya. 

“Namun dari sudut positif, banyak juga kebaikan menggunakan media sosial terutama dalam pembelajaran. Selain itu ianya juga dapat menambahkan pengetahuan dan kemahiran digital dan internet,” katanya. 
 

BIL. 40 JUL 2019

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat pula, program sehari ini bertujuan untuk membentuk konsep kendiri positif  dalam diri  pelajar di samping  memberi pendedahan kepada pelajar untuk belajar di luar bilik darjah. 

“Selain itu, program ini diadakan di dalam kawasan UMP yang mana dapat memberi pendedahan kepada pelajar dengan persekitaran dan suasana universiti.
 
“ECERDC komited dalam memberi peluang kepada rakyat di Wilayah ECER secara inklusif untuk mencapai potensi sebenar mereka melalui program-program yang telah dirangka secara holistik.
 
“Oleh kerana itu, program ini adalah amat penting untuk memberi motivasi dan galakan kepada semua peserta empower ECER dan menunjukkan yang mereka mampu meraih kejayaan sekiranya pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari ketika mengikuti program empower ECER dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya,” katanya.


Rencana/Artikel Pilihan

Kemahiran Mencongak dalam kalangan kanak-kanak

BIL. 40 JUL 2019

Oleh: Dr. Norazaliza Mohd Jamil
e-Mel: norazaliza@ump.edu.my

Pernahkah anda berhadapan dengan situasi seperti ini? Anda dan keluarga menjamu selera di sebuah restoran. Ketika ingin membayar, jumlah harga yang dinyatakan berbeza dari segi jumlah yang anda jangka. Anda meminta pekedai untuk menyemak semula dan didapati jumlah yang disebutkan tadi salah, lalu beliau memperbetulkan kesilapannya. Situasi kedua, semasa membeli- belah di pasar raya, anda terpaksa menurunkan beberapa barang dari troli kerana jumlah harga keseluruhan barang-barang dalam troli melebihi bajet yang telah anda tetapkan. Sebenarnya, kedua-dua situasi ini ada kaitan dengan kemahiran mencongak.

Perkataan ‘congak’di  dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua bermaksud hitungan yang dibuat di dalam kepala iaitu tidak dengan menulis pada kertas atau tidak dengan menggunakan alat pengira. Kemahiran mencongak juga dikenali sebagai pengiraan mental aritmetik. Aritmetik ialah sains tentang nombor di mana ia melibatkan proses tambah, tolak, bahagi, dan darab. ‘Mental’ pula berkaitan dengan pemikiran atau akal. Dengan kata lain, kemahiran mencongak merupakan proses mengira yang melibatkan operasi tambah, tolak, bahagi atau darab di dalam minda tanpa bantuan pensel, pen, kertas, kalkulator, abakus dan sebagainya.

BIL. 40 JUL 2019

Menurut kajian yang telah diterbitkan di dalam Malaysian Journal of Medical Sciences pada tahun 2011 bertajuk ‘Brain Activation during Addition and Subtraction Task in In-Noise and In-Quiet’, pengiraan mental aritmetik mengaktifkan kedua-dua bahagian otak kanan dan otak kiri. Bahagian hemisfera kiri pada otak manusia diaktifkan ketika bekerja dengan pemikiran logik. Semasa mencongak, pengiraan operasi tambah, tolak, bahagi dan darab menggunakan otak sebelah kiri. Manakala tumpuan dan memori yang diperlukan untuk menjayakan proses pengiraan ini pula merangsang bahagian otak sebelah kanan. Hasil kajian Gavin R. Price yang diterbitkan di dalam The Journal of Neuroscience pada tahun 2013 mendapati kemahiran mencongak membantu seseorang untuk menguasai ilmu matematik di tahap yang lebih tinggi.

Bijak pandai ada mengatakan, 'belajar semasa kecil umpama mengukir di atas batu, sedangkan belajar sesudah besar bagai melukis di atas air.' Atas sebab inilah, penting untuk kita mengasah kemahiran mencongak dalam kalangan kanak-kanak. Kemahiran mencongak boleh dipelajari dan dilatih sejak kecil ketika usia antara lima hingga 12 tahun. Jika anda terlepas umur sebegini, sebenarnya pada usia berapa pun anda tidak pernah terlewat untuk bermula. Pelbagai teknik mencongak boleh diaplikasikan bergantung kepada kemampuan dan keselesaan kanak-kanak itu sendiri. Kemahiran mencongak perlu dilatih setiap hari secara konsisten dan kemahiran ini bukan semata-mata untuk pelajar genius.

Matematik ialah suatu logikal dan ia sepatutnya diselesaikan dengan kaedah jalan kira yang logik. Salah satu teknik mencongak yang melibatkan operasi tambah dan tolak dinamakan sebagai teknik cerakin. Cerakin bermaksud memisahkan atau menceraikan sesuatu kepada unsur-unsur asalnya. Misalnya, nombor 2786 boleh dicerakinkan menjadi 2786 = 2000 + 700 + 80 + 6.

BIL. 40 JUL 2019

Dalam teknik mencongak cara ini, nombor-nombor yang terlibat dicerakinkan supaya pengiraan menjadi lebih mudah. Teknik cerakin diterangkan secara terperinci dalam contoh berikut.

Contoh 1: 455 + 380

Langkah pertama: Cerakinkan nombor-nombor yang terlibat.
455 = 400 + 50 + 5
380 = 300 + 80

Langkah kedua: Lakukan operasi tambah pada nilai tempat ratus.
400 + 300 = 700

Langkah ketiga: Lakukan operasi tambah pada nilai tempat puluh. Kemudian, tambahkan dengan hasil jawapan pada langkah sebelum.
50 + 80 = 130
700 + 130 = 830

Langkah keempat: Lakukan operasi tambah pada nilai tempat sa. Kemudian, tambahkan dengan hasil jawapan pada langkah sebelum.
5 + 0 = 5
830 + 5 = 835
Jawapan: 835
 

BIL. 40 JUL 2019

Perhatikan bahawa penambahan dilakukan mengikut nilai tempat seperti ribu, ratus, puluh, dan sa dan dimulakan dengan nilai tempat terbesar. Proses mencari hasil tambah pada nilai tempat seterusnya ini berulang dengan mengikut tertib menurun iaitu akan tamat pada nilai tempat sa. Contoh berikut menunjukkan jalan kira yang lebih ringkas.

Contoh 2: 675 + 495

Langkah pertama: 600 + 400 = 1000

Langkah kedua: 70 + 90 = 160, 1000 + 160 = 1160

Langkah ketiga: 5 + 5 = 10, 1160 + 10 = 1170

Jawapan: 1170

Teknik cerakin bagi operasi tolak pula berbeza sifatnya. Dalam kes ini, hanya nombor kedua saja dicerakinkan. Penjelasan terperinci dihuraikan dalam contoh 3. Contoh 4 pula menunjukkan jalan kira yang lebih ringkas.

Contoh 3: 821 – 149

Langkah pertama: Cerakinkan nombor kedua.
149 = 100 + 40 +9

Langkah kedua: Lakukan operasi tolak pada nilai tempat ratus.
821 – 100 = 721

Langkah ketiga: Dari jawapan pada langkah sebelum, lakukan operasi tolak pada nilai tempat puluh.
721 – 40 = 681

Langkah keempat: Dari jawapan pada langkah sebelum, lakukan operasi tolak pada nilai tempat sa.
681 – 9 = 672

Jawapan: 672

Contoh 4: 9456 – 2589

Langkah pertama: 9456 – 2000 = 7456

Langkah kedua: 7456 – 500 = 6956

Langkah ketiga: 6956 – 80 = 6876

Langkah keempat: 6876 – 9 = 6867

BIL. 40 JUL 2019

Cara proses berfikir untuk mencongak digambarkan dalam langkah-langkah di atas. Dengan menggunakan kuasa minda, pengiraan dilakukan di dalam kepala tanpa menulis di atas kertas. Untuk menguasai kemahiran ini, kanak-kanak perlu berlatih melakukan semua langkah pengiraan di atas secara mencongak. Setelah beberapa ketika, selepas latihan demi latihan dilakukan, kepantasan mengira akan meningkat secara natural. Seiring masa berlalu, pengiraan menjadi lebih mudah dan kanak-kanak akan berjaya mencongak tanpa memerlukan banyak usaha.

Kemahiran mencogak dapat menguatkan daya ingatan dan menajamkan fikiran. Mencongak memerlukan pengiraan yang pantas. Otak akan cuba mengingati dan memanggil balik kiraan Matematik dengan cepat untuk mendapatkan jawapan. Kadang-kadang, perkataan ‘Matematik’ memberikan kegelisahan dan ketakutan kepada kanak-kanak kerana kesukaran untuk menguasai subjek tersebut. Keupayaan mencongak dapat menghindarkan perasaan tersebut dan membolehkan kanak-kanak melihat Matematik dari sudut pandang yang positif. Jika ini berlaku, kanak-kanak tersebut akan berasa lebih yakin, timbul minat dan akan dapat menguasai subjek Matematik dengan baik.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa kemahiran mencongak tidak lagi relevan di masa ini. Seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, telefon pintar sentiasa menjadi pendamping kebanyakan orang. Aplikasi kalkulator dalam telefon pintar memudahkan seseorang mengira di mana-mana saja pada bila-bila masa, jadi mengapa perlu bersusah-payah mencongak? Sebenarnya, seperti yang dihuraikan tadi, terdapat banyak kepentingan dan kelebihan kemahiran mencongak yang tidak dapat dinikmati jika kita bergantung sepenuhnya dengan teknologi. Ingatlah bahawa ‘otak adalah teknologi termaju yang kita miliki’.

Penulis ialah Pensyarah di Fakulti Sains & Teknologi Industri, Universiti Malaysia Pahang.