Skip to main content
UMP E-Newsletter

Akademik dan Antarabangsa

Graduan UMP pilihan utama dalam pasaran kerja

BIL. 41 OGOS 2019

Program Kejuruteraan dan Teknologi yang ditawarkan oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP) sentiasa ditambah nilai melalui proses penanda aras secara berterusan menggunakan model bertaraf dunia hasil program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) Jerman ini dilihat sebagai contoh terbaik dalam menghasilkan graduan yang kompeten, holistik, berciri keusahawanan juga seimbang yang dapat menepati keperluan industri.  

Berada dalam kelompok 101-150 universiti muda terbaik dunia dalam pengiktirafan Quacquarelli Symonds (QS), UMP terus mendapat kepercayaan universiti luar negara serta jalinan kerjasama erat universiti dan industri ini memberikan impak positif terhadap keberhasilan graduan yang dilahirkan. 

BIL. 41 OGOS 2019

Ia dibuktikan apabila kadar kebolehpasaran graduan (GE) universiti ini mencapai peratusan tertinggi iaitu 96 peratus dan pencapaian ini melepasi sasaran iaitu 80 peratus pencapaian yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, UMP sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa.

“Dalam usaha menjadi pemain global yang kompetitif, pengantarabangsaan UMP dalam membina jaringan kerjasama akademik yang kukuh dengan Republik Persekutuan Jerman mampu melahirkan graduan berdaya saing. 

“Dengan mempunyai latar belakang pendidikan Jerman ini juga graduan berpeluang ditawarkan pekerjaan daripada syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan perniagaan dengan Jerman.

“Selain itu, berdepan dengan revolusi industri baharu IR4.0, transformasi digitalisasi dan automasi memerlukan graduan yang dihasilkan lebih berkeupayaan dalam kemahiran insaniah (soft skills) serta berpengetahuan luas dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak pasaran kerja,” katanya. 

BIL. 41 OGOS 2019

Dalam memainkan peranan bagi mempersiapkan modal insan yang dapat memenuhi keperluan negara, inisiatif penawaran Program Sarjana Muda Teknologi (Bachelor of Technology–B.Tech.) oleh UMP bersama Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dilihat telah melengkapkan ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Malaysia.

Penganjuran Program CEO@Faculty oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga memperhebatkan penyertaan daripada sektor industri sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan tinggi negara melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran tokoh-tokoh industri tersebut. 

Terbaharu, Pengerusi Nova Wellness Sdn. Bhd., Dr. Abd Manaf Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Dream Edge Sdn. Bhd., Khairil Adri Adnan dan  Pengarah Scomi Transit Project Sdn. Bhd., Rohaida Ali dilantik oleh pihak KPM dalam menjayakan program siri kuliah jemputan, perbincangan panel dan juga pengajaran bersama (co-teaching) yang dapat dimanfaatkan warga universiti ini.


Akademik dan Antarabangsa

Memartabatkan bahasa Melayu tanggungjawab semua

BIL. 41 OGOS 2019

Para guru, pensyarah, pendidik dan ibu bapa perlu berperanan dalam usaha untuk memartabatkan pemahaman dan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda di negara hari ini. 

Selain menguasai dan mencintai bahasa kebangsaan, sebagai warga negara Malaysia kita perlu menguasai dan menghormati kepentingan bahasa Inggeris serta menjadikan bahasa Kebangsaan sebagai asas perpaduan negara. 
 
Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah dijamin oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. 

BIL. 41 OGOS 2019

Kemajmukan kaum, agama dan budaya yang mencorakkan sifat kependudukan Malaysia menjadi cabaran unik ke arah kemapanan perpaduan dan kemapanan identiti nasional melalui perantaraan bahasa Melayu sebagai alat penyatuan. 
 
Menurut pakar bahasa Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, profil kebahasaan seorang warga Malaysia mestilah menguasai bahasa kebangsaan sendiri, menguasai bahasa Inggeris dan sekiranya boleh menguasai bahasa ketiga dan keempat.
 
Jelasnya, bahasa kebangsaan lambang kedaulatan negara dan jati diri bangsa manakala bahasa Inggeris adalah bahasa perhubungan luar dan bahasa untuk menimba ilmu pengetahuan.
 
“Identiti nasional perlu diperkasakan sejak kecil dan ia mempunyai kaitan dengan rasa bangga dan rasa cinta terhadap bahasa kebangsaan dan negara ini. 

“Kita berdepan dengan cabaran pemerkasaan identiti nasional dalam era baharu Malaysia dalam abad ke-21 ini termasuklah era globalisasi, era sains dan teknologi, meningkatkan perpaduan serta kepentingan bahasa Inggeris,” katanya.
 

BIL. 41 OGOS 2019

Beliau turut berkongsi mengenai sejarah awal bahasa Melayu pada batu-batu bersurat pada abad ke-7 yang dijumpai di Sumatera dan di Kuala Berang, Terengganu pada abad ke-14. 

Manakala pada abad ke-13, agama Islam mula bertapak di Kepulauan Melayu dan wujudnya pusat-pusat kebudayaan dan kecemerlangan Melayu Islam di ibu kerajaan di wilayah Samudera Pasai (1280-1400), Melaka (1400-1511), Aceh (1511-1650) serta Johor-Riau (1650-1800).
 
Dalam pada itu, Pengasas Yayasan Budi, Tan Sri Dr. Rais Yatim, berkata, selain peranan yang dimainkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pihak universiti juga perlu mengambil bahagian untuk turut serta berperanan dalam memartabatkan dan melaksanakan penggunaan bahasa Melayu dalam berkomunikasi dan menggunakan terma bahasa yang sepatutnya. 

“Selain itu juga, orang Melayu perlu bertutur secara lazim dalam bahasa Melayu dan bersama-sama mengamalkan budaya, seni, adat istiadat Melayu termasuklah cara berpakaian.   
 
“Lebih membimbangkan pada masa ini, tiada lagi buku-buku ilmuwan dan teknikal yang dahulunya diterjemahkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke dalam bahasa Melayu bagi tujuan pembelajaran dan ilmu pengetahuan,” ujar beliau. 

Tambah beliau lagi, bahasa Melayu juga dilihat masih tertinggal dalam dunia perniagaan serta komersial dunia perniagaan malahan terdapat juga nama-nama jalan atau taman yang tidak lagi menggunakan bahasa Melayu.
 
Dalam pada itu, penggunaan bahasa Melayu juga perlu dipertingkatkan penggunaan supaya menjadi amalan masyarakat berinteraksi dan berhubung menggunakan bahasa Melayu yang tidak bercampur aduk. 

Ujarnya, identiti itu ada kaitan dengan bahasa dan identiti bangsa tidak boleh dijual beli.  
 

BIL. 41 OGOS 2019

Kedua-dua tokoh ini dijemput menjayakan Siri Bicara Cendekiawan Mulia UMP anjuran Persatuan Kakitangan Akademik (PAKAD) dengan kerjasama Pejabat Naib Canselor (PNC) UMP dalam membincangkan tajuk ‘Bahasa Melayu dan Pemerkasaan Identiti Nasional dalam Era Malaysia Baharu’ bersama moderator Profesor Madya Dr. Hassan Ahmad dari Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK) UPM pada 12 Julai 2019 yang lalu di Perpustakaan UMP Kampus Pekan. 
 
Program ini merupakan sebuah medan wacana bulanan yang menampilkan tokoh-tokoh berwibawa dari dalam dan luar Malaysia. 

Tokoh-tokoh ini berperanan untuk mengupas isu-isu semasa yang merentasi pelbagai dimensi dari aneka sudut pandang bagi manfaat warga UMP dan masyarakat secara keseluruhannya. 

UMP adalah komited untuk menjadikan kampus universiti ini sebagai gelanggang intelektual terbuka yang diimarahkan dengan pelbagai aktiviti wacana dan debat yang matang, waras dan bijaksana.
 
Program turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Presiden PAKAD, Mohd. Hairul Ab. Rahim. 

Selain warga UMP, program ini juga dihadiri pihak luar termasuklah staf daripada Yayasan Budi, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang, Pusat Pengajian Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Dewan Persuratan Melayu Pahang dan para guru serta pendidik sekolah menengah dan rendah sekitar Pekan.


Akademik dan Antarabangsa

Global Village UMP tingkat penguasaan bahasa Inggeris terhadap pelajar sekolah

BIL. 41 OGOS 2019

Seramai 200 peserta daripada lima sekolah menengah sekitar Pekan dan Kuantan menyertai program Global Village UMP 2019 dalam meningkatkan penguasaan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. 

Sekolah-sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, SMK Ubai, SMK Mat Kilau, SMK Paya Besar dan SMK Seri Mahkota. 

Program ini adalah anjuran bersama Kelab International Economic and Commercial Science Student Association (AIESEC) UMP, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UMP dan Pejabat Antarabangsa UMP. 

AIESEC merupakan organisasi antarabangsa yang membantu belia dalam mengembangkan potensi kepimpinan mereka di luar negara dengan menjalankan projek sosial. 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Hajah Fuziah Salleh di Dewan UMP Holdings, UMP Kampus Gambang pada 26 Julai 2019 yang lalu. 

Dalam ucapan perasmiannya, Yang Berhormat Hajah Fuziah berkata, penganjuran program sebegini dapat meningkatkan kemahiran penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah. 

“Dengan kehadiran tujuh orang sukarelawan antarabangsa daripada India, Vietnam, Indonesia, China, dan Pakistan ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada peserta yang menyertai program ini. 

“Saya difahamkan sukarelawan ini telah mengadakan aktiviti berkomunikasi iaitu Speak up bagi membantu para pelajar sekolah menengah menguasai bahasa Inggeris dalam komunikasi harian,” katanya. 

Beliau turut mengharapkan persepsi pelajar yang mengatakan bahasa Inggeris itu adalah subjek yang susah dan mengelirukan dapat dihapuskan. 

“Untuk menguasai kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris, pelajar perlu memperbanyakkan membaca buku-buku dalam bahasa Inggeris. 

“Selain itu juga, para guru juga perlu banyak menggalakkan pelajar dalam meningkatkan penguasaan dalam bahasa Inggeris,” ujar beliau. 

Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin.

Profesor Dato’ Dr. Yuserrie berkata, pihaknya menghargai sukarelawan yang datang ke Malaysia untuk menjayakan program Speak Up yang dijalankan selama enam minggu di sekolah sekitar Pekan dan Kuantan.

“Selain itu juga, sukarelawan antarabangsa ini juga turut menonjolkan tradisi, budaya, makanan dan muzik tradisional mereka kepada semua peserta. 

“Program ini juga dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak terutamanya pelajar sekolah dalam meningkatkan kesedaran mengenai isu semasa dunia dan mewujudkan persefahaman antara budaya serta mewujudkan silaturahim antara satu sama lain,” katanya. 

Pelajar antarabangsa UMP turut menyediakan pameran dan pelbagai juadah antarabangsa dari negara seperti Algeria, Pakistan, Yaman, Mesir, India dan Kyrgyzstan.

Turut sama hadir, Pengarah Pejabat Antarabangsa UMP, Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi, Dekan Pembangunan Pelajar (JHEPA) UMP, Dr Ahmad Johari Mohamad, Pensyarah Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK) UMP merangkap Penasihat AIESEC UMP, Haslinda Robita Hashim dan Pengarah Program, Celine Hing.


Artikel/Rencana Pilihan

Pentadbir Universiti: Melestari Kepimpinan, Memandang Masa Hadapan

BIL. 41 OGOS 2019

Oleh: Mohd Zaki Ahmad
e-Mel: mohdzaki@ump.edu.my

BIL. 41 OGOS 2019

Perkataan ‘melestari’ berasal dari kata dasar ‘lestari’ yang memberi makna kepada ‘kekal’ atau ‘tidak berubah’. Merujuk kepada tajuk kepada artikel ini, melestari merujuk kepada mengekalkan atau dalam kata kerja bahasa Inggeris to sustain. 'Melestari kepimpinan' dengan definisi yang terdekat adalah mengekalkan kepimpinan. Perihal kepimpinan dalam artikel ini merujuk kepada kepimpinan sebuah organisasi besar yang dinamakan universiti. Komuniti universiti tidak hanya terdiri daripada golongan akademik sahaja, tetapi ia meliputi seluruh jentera manusia yang bekerja menggerakkan universiti, bermula dari individu yang dilantik sebagai Canselor, Ahli Lembaga Pengarah, Naib Canselor sehingga pekerja awam mempunyai bidang tugas tersendiri bagi mencapai matlamat penubuhan sebuah universiti. 'Memandang masa hadapan' di dalam tajuk di atas merujuk kepada bagaimana aktor-aktor dalam organisasi universiti menghadapi cabaran pada hari ini dan masa hadapan, khususnya kepada golongan pentadbir universiti.

Mengistilahkan Semula Pentadbir

Kita selalu tersalah anggap, golongan pentadbir di universiti hanya merujuk kepada pegawai-pegawai yang berada dalam skim pentadbiran, iaitu mereka yang berada dalam skim perkhidmatan Pegawai Tadbir atau Eksekutif Pengurusan (N). Pada hakikatnya, golongan pentadbir yang dimaksudkan di universiti adalah mereka yang berada dalam kumpulan gred 41 dan ke atas meliputi semua bidang kerja pengurusan profesional seperti Teknologi Maklumat (F), Sosial (S), Sains (C), Bakat dan Seni (B) Kewangan (W), Kejuruteraan (J), Perundangan (L) dan lain-lain lagi. Pentadbir dari skim khusus merupakan golongan pentadbir universiti yang mempunyai pengkhususan dan kepakaran tersendiri  dan mereka juga tergolong dalam golongan pentadbir. Mungkin apabila persatuan pegawai tadbir di Universiti Awam (UA) didominasi oleh mereka dari skim pentadbiran (N), skim-skim lain menganggap persatuan tersebut adalah hak milik dari satu skim sahaja, tambahan pula nama yang digunakan oleh persatuan lebih merujuk kepada pentadbir seperti Persatuan Pentadbir Universiti, mengundang kepada persepsi yang salah. Oleh yang demikian, sebagai langkah membetulkan persepsi, semua UA perlu menjenamakan semula kesatuan pentadbir atas nama yang mewakili semua entiti gred 41 dan ke atas.

Nilai Kendiri Seorang Pentadbir

Hambatan kemajuan dunia hari ini, menuntut tenaga kerja yang mempunyai ilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi. Perkara ini tidak terkecuali dengan mereka yang berkhidmat di universiti. Kita sering mendengar tenaga kerja pada alaf ini perlu mempunyai pelbagai elemen seperti berkualiti, kreatif, inovatif serta berdaya saing. Perkara ini selalu diulang-ulang sama ada di forum-forum, tulisan-tulisan akademik mahupun ceramah-ceramah kepada mahasiswa. Persoalannya, adakah kita faham dengan istilah yang digunakan atau ia hanya kekal sebagai tulisan akademik? Hakikatnya, seorang pekerja pada hari ini perlu melakukan sesuatu pekerjaan yang sentiasa betul, bijak dalam menyelesaikan masalah dan meminimumkan kesalahan serta sentiasa melunaskan kerja mengikut masa yang ditetapkan, itulah nilai sebuah kecekapan dalam bekerja.

Tidak terkecuali dengan seorang pentadbir di universiti, ciri-ciri yang disebut di atas perlu ada pada setiap individu yang berada dalam skim profesional. Menurut Mohd Hanfiah (2016), Pentadbir UA sewajarnya mempunyai iltizam dan cita-cita menjadikan diri mereka sebagai insan cemerlang yang mempunyai ciri 3R iaitu yang dirujuk (referred), dihormati (respect)  relevan (relevant) serta bersedia bekerja keras (work hard) dan bijak (work smart). Mengambil initi pati dari rujukan 3R ini, nilai kendiri setiap individu yang bergelar pentadbir universiti perlu berkualiti, berilmu pengetahuan tinggi dan berfokus. Howard Gadner (2008) dalam bukunya 5 Mind for Future menerangkan lima aras dalam cara berfikir iaitu:

  • Minda Berdisiplin - mempunyai kepakaran dan pengetahuan dalam pelbagai bidang 
  • dan  mampu mengaplikasi kepakaran yang ada dengan keperluan kerja.
  • Minda Sintesis - penyampai maklumat yang baik dengan merujuk kepada pengetahuan dan kepakaran yang ada.
  • Minda Mencipta - minda mencipta di sini merujuk kepada minda yang kreatif dalam menyelesaikan masalah.
  • Minda Menghormati - menghormati perbezaan antara satu sama lain. Perbezaan ini juga meliputi perbezaan idea antara satu sama lain.
  • Minda Beretika - bertanggungjawab dan membuat tindakan yang betul terutama terhadap organisasi.

Walau apa pun teori atau tulisan akademik yang dikeluarkan, realitinya, pentadbir di universiti pada hari ini perlu melengkapkan diri dengan penguasaan ilmu, yang meliputi ilmu pengurusan khususnya yang berkaitan dengan pentadbiran dan kewangan Perkhidmatan Awam. Tanggungjawab pentadbir dalam memproses satu-satu perkara terutama yang berkaitan dengan pentadbiran perlu berada dalam kadar kecekapan yang paling tinggi dan mampu menyalurkan maklumat yang tepat apabila diminta dengan cepat dan cekap. Pentadbir juga perlu menjadi pakar rujuk dalam kepakaran masing-masing dan sentiasa mempunyai idea bagi membantu pihak pengurusan universiti membuat keputusan.

Transformasi Universiti

Proses transisi dan transformasi sesebuah organisasi sentiasa berlaku. Gelagat organisasi juga semakin pelbagai. Keadaan ini disebabkan oleh faktor ekonomi semasa yang menuntut ke arah perubahan. Perkara ini tidak terkecuali dengan institusi pendidikan. Pada hemat penulis, UA bergerak atas sokongan dan bantuan kewangan yang berbentuk geran dari kerajaan, simpanan universiti itu sendiri, sumber dalaman dan sumbangan luar seperti wakaf, endowmen dan sumbangan derma.

Walau bagaimanapun, UA perlu bergerak untuk menjana kewangan sendiri sebagai langkah persediaan bagi membantu kerajaan dalam mengukuhkan ekonomi negara. Hambatan ini perlu dirasai dan dicakna oleh semua pentadbir UA. Walaupun silih berganti kepimpinan datang dan pergi, namun menjana pendapatan sentiasa menjadi idea yang berkesinambungan oleh setiap generasi kepimpinan universiti. Pimpinan datang bersama sasaran yang perlu dilestarikan daripada kejayaan kepimpinan lepas, tetapi mereka perlu berstrategi untuk masa hadapan. Oleh yang demikian, menurut Mohammad Fauzi (2016), pentadbir perlu memberikan penekanan dalam dua aspek. Aspek pertama adalah peranan pentadbir dalam proses transformasi di pusat tanggungjawab masing-masing dan aspek kedua adalah persiapan yang perlu dalam menjadi agen transformasi.

Yuval Noah Harari dalam tulisan beliau 21 Lessons For The 21st Century menyatakan tentang keperluan industri pada hari ini tidak bertepatan dan selari dengan apa yang dipelajari oleh graduan di universiti.  Hal ini terjadi kerana kemajuan bergerak pantas meninggalkan sistem pembelajaran di universiti. Oleh yang demikian, pentadbir di UA perlu membantu universiti merealisasikan pelan strategik yang dirancang menepati transformasi yang diperlukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 

Budaya Kerja Berpasukan dan Menolak Budaya Kerja One Man Show

Sudah tentu kepentingan budaya kerja berpasukan menjadi tunjang utama dalam pergerakan organisasi mencapai matlamat yang ingin dituju. Bermula dari Pengurusan Tertinggi menetapkan sasaran lalu diterjemahkan kepada pelan strategik. Pentadbir UA terlibat dalam menyatakan hasrat universiti kepada practical ground work.

Namun hari ini, kita masih dapat mengesan, suasana yang kurang sihat di mana budaya kerja One Man Show masih bermain dalam aktor-aktor pentadbir universiti. Seharusnya setiap kejayaan perlu dikreditkan kepada kumpulan yang menyokong pentadbir, terutama sekali pentadbir yang bergred pertengahan dan kumpulan sokongan. Budaya kerja one man show adalah budaya kerja terkebelakang dan mengampu.

Kematangan seorang ketua yang mentadbir diukur melalui kemantapan ilmu pengetahuan dan kekayaan pengalaman. Ilmu dalam mengurus pasukan adalah tunjang utama dalam menggerakkan jabatan mahupun unit di universiti.

Pengurusan Termaju

Mungkin ada di antara kita pernah terlintas semasa tahun 90-an ketika menonton filem fiksyen barat yang penuh dengan penggunaan teknologi akan digunakan pada era akan datang. Semuanya telah terbukti pada era ini, teknologi yang diimiginasi pada era 90-an kini wujud di hadapan mata.

Aplikasi seperti telesidang (teleconference) dalam mesyuarat, e-mel, pendaftaran pelajar baharu bawah tiga minit, membuat tinjauan atau survey menggunakan google doc, dan e-aduan adalah contoh yang praktikal dalam pengurusan termaju. Cara mencapai maklumat pada tahun 90-an amat berbeza dengan era hari ini, segalanya di hujung jari. Malah aplikasi media seperti WhatsApp dan Telegram amat membantu kita dalam memberi dan mendapatkan maklumat terkini.

Ruang udara semakin terbuka luas, pentadbir juga harus terbuka menerima segala pembaharuan ini. Dunia telah meninggalkan penggunaan teknologi konservatif dan beralih arah kepada penggunaan teknologi digital. Hari ini menjadi kejanggalan jika seorang pentadbir tidak tahu atau jarang menggunakan e-mel dalam aktiviti harian.

Fenomena Revolusi Industri 4.0 menuntut pentadbir lebih menghasilkan kerja yang berkualiti dan pantas menyalurkan maklumat. Sepatutnya tiada lagi alasan kehilangan dokumen atau tiada sumber rujukan, kerana maklumat dapat dicungkil dalam masa beberapa saat sahaja. Walau bagaimanapun, kematangan berfikir amat diperlukan dalam menganalisis satu-satu maklumat yang diperoleh sebelum disebar luaskan.

Pentadbir UA Adalah Pekerja Berkualiti Tinggi

Berada dan bekerja dalam sebuah gedung ilmu, mempertemukan aktor-aktor dalam UA dengan budaya ilmu dan budaya berfikir. UA adalah sebuah komuniti akademik dan komuniti ini bukan sahaja terdiri dalam kalangan ahli akademik, ia juga meliputi semua staf termasuklah staf yang berada di dalam kumpulan sokongan. Mungkin jarang-jarang pegawai tadbir di agensi kerajaan lain menulis tulisan ilmiah, melainkan menyambung pengajian. Berbeza dengan pentadbir yang berada di UA, budaya menulis dan mengkaji adalah budaya biasa dan sentiasa berterusan. Ada dalam kalangan pentadbir UA menjadi sumber rujukan badan bukan kerajaan, persatuan-persatuan sukan atau budaya, malah tidak dinafikan juga ada pentadbir di UA menjadi rujukan kepada syarikat-syarikat swasta.

Nilai kendiri pentadbir haruslah seiring dengan visi dan misi sesebuah universiti. Nilai teras seperti hubungan yang kuat dengan yang Maha Pencipta, teguh dalam mempertahankan prinsip yang disepakati, kreatif dalam membuat keputusan yang bijaksana, cekal dalam menghadapi cabaran dan proaktif dalam tindakan (penulis merujuk kepada Nilai Teras UMP) merupakan perkara yang membezakan pentadbir UA dengan pentadbir-pentadbir yang lain. Pengurusan tertinggi UA sentiasa datang dan pergi dan silih berganti, namun pentadbirlah yang kekal melestari kepimpinan, visi, misi universiti dan sentiasa memandang ke hadapan.

Penulis ialah Pegawai Kebudayaan Kanan merangkap Exco Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PPTI), UMP