Skip to main content
UMP E-Newsletter

Info Sekitar Kampus

Sinergi UMP dan AKEPT dalam Program Latihan Kepimpinan

BIL. 42 OGOS 2019

Pihak Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) memperbanyakkan program libat sama (engagement) dengan semua Universiti Awam (UA) terhadap aspek kepimpinan dan apa jua dimensi yang berkaitan dengan tadbir urus dalam melestarikan pengurusan bakat berteraskan kompetensi. 

Baru-baru ini iaitu pada 1 Ogos 2019 telah berlangsungnya Program Leadership Cafe & Individual Leadership Advancement Plan (ILeAP) dengan kerjasama AKEPT bagi membincangkan pemprofilan personel ke arah kelestarian organisasi bagi mengenal pasti bakat pelapis yang bersesuaian dan berkelayakan untuk dibangunkan sebagai pemimpin institusi pada masa hadapan. 

BIL. 42 OGOS 2019

Lebih 30 orang dalam kalangan barisan kepimpinan tertinggi universiti hadir dalam program yang turut dihadiri Pengarah AKEPT, Profesor Dr. Nordin Yahaya, Timbalan Pengarah Centre for Leadership Profiling (CELP) AKEPT, Profesor Madya Dr. Ismie Roha Mohamed Jais, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar, Profesor Madya Dr. Mohd. Ridzuan Darun.  

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, hanya pemimpin boleh membawa perubahan yang positif. 

“Dalam usaha ini, UMP turut menggerakkan inisiatif pemprofilan kompetensi dalam kalangan staf berdasarkan jawatan dan tahap peranan secara berstruktur dan terancang bagi memastikan himpunan bakat yang dilahirkan mempunyai ciri-ciri kepimpinan di universiti dan di peringkat nasional,” ujar beliau.

BIL. 42 OGOS 2019

Manakala Profesor Dr. Nordin berkata, pihaknya menghargai komitmen UMP dan UMP Advanced yang bekerjasama dengan pihak AKEPT bagi penawaran program Diploma Program Eksekutif iaitu Professional Diploma In Competency Based Talent Management (CBTM)  yang merupakan langkah terkehadapan bagi memperkasa kepimpinan bakat-bakat yang ada dalam institusi di negara ini. 

“AKEPT juga berperanan dalam memberikan laporan terhadap calon yang bakal dilantik untuk pemilihan pada peringkat kementerian. 

“Antara laporan ini termasuklah skor kepimpinan, maklumat berkaitan pencapaian akademik, penerbitan, penyelidikan dan tanggungjawab di peringkat antarabangsa serta jaringan kerjasama,” katanya dalam program yang berlangsung di Hotel Ancasa Royale Pekan. 

BIL. 42 OGOS 2019

Ujarnya lagi, laporan ini hanya melayakkan calon dipertimbangkan dan sesi temu bual akan menilai kesesuaian dalam memegang jawatan. 

Beliau juga menasihatkan agar barisan kepimpinan universiti dapat menghadiri modul kepimpinan yang ditetapkan dan mendapatkan maklumat dan aktiviti yang dijalankan memandangkan proses ini dibuat secara sistematik.  

Dalam sesi ini juga turut memfokuskan mekanisme yang telah diaplikasikan pihak AKEPT dalam memprofil kepimpinan pendidikan dan berkongsi hasil profil bagi memperkasa kompetensi kepimpinan individu. 

Malahan melalui hasil profil ini akan membantu individu mengenal pasti kekuatan dan penambahbaikan kopentensi kepimpinan masing-masing dengan mengikuti program-program pembangunan yang disediakan pihak AKEPT. 


Sukan dan Rekreasi

Karnival Sukan MASUM  melabuhkan tirai, tinggalkan kenangan buat atlet UA

BIL. 42 OGOS 2019

Oleh: NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Karnival Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2019 melabuhkan tirai secara rasminya pada 3 Ogos 2019 yang lalu setelah menamatkan 18 acara yang berlangsung selama dua minggu yang menyaksikan Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai tuan rumah penganjuran kali ini.

Majlis menyaksikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) kekal juara dengan pungutan 64 pingat emas, 33 perak dan 35 gangsa dengan memonopoli acara tae kwan do, renang dan memanah. 

Ia diikuti Universiti Putra Malaysia (UPM) 44 emas, 38 perak dan 27 gangsa manakala Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di tempat ketiga dengan pungutan 20 emas, 17 perak dan 28 gangsa manakala UMP berjaya memperoleh sembilan emas, lima perak dan 13 gangsa.

BIL. 42 OGOS 2019

Dengan semangat kesukanan dan kebersamaan yang tinggi dan sokongan yang jitu menjadikan kesemua 20 Universiti Awam (UA) di Malaysia mampu melahirkan ‘The Thinking Athletes’ seperti yang disasarkan dalam dasar Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Hadir merasmikan majlis penutup karnival MASUM adalah Ahli Lembaga Pengarah UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Rosli Yunus, Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Rosli Abu Bakar, Penolong Setiausaha Agong 1 MASUM, Mohd Fairuz Azwad Mohd Zauwawi, Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Haji Mohd Fisol Haji Saud dan Dekan Perkhidmatan Pelajar UMP, Dr. Mansor Sulaiman.

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Rosli Yunus, kejayaan sesuatu kejohanan itu dapat dilihat dengan jumlah penyertaan dan penglibatan semua pihak dalam memastikan kejayaan penganjurannya. 

“Dalam konteks pertandingan, sudah menjadi adat resam dalam pertandingan terdapat ada yang menang dan ada yang tewas. Namun demikian, kesemua atlet seramai 4,323 saling bekerjasama, berganding bahu dan saling menyokong antara satu sama lain dalam setiap acara yang dipertandingkan.

“Kerjasama dan sokongan semua pegawai universiti merupakan tunjang kekuatan kepada UMP dalam menjadi penganjur yang terbaik dalam melaksanakan kejohanan ini di samping sokongan yang tidak berbelah bagi dari pihak KPM. 

BIL. 42 OGOS 2019

“Kami juga mengharapkan agar KPM dapat menyokong UMP dalam menyediakan peruntukkan bagi membina kemudahan sukan yang diiktiraf oleh persatuan antarabangsa terutamanya di kampus Induk UMP dalam usaha membangunkan sukan di universiti serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa,” ujar beliau.

Tambah beliau, selaku tuan rumah, UMP telah cuba sedaya upaya melakukan yang terbaik dari segi layanan serta sambutan kepada semua atlet dan pasukan sepanjang MASUM 2019 berlangsung di samping merakamkan penghargaan tahniah kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menyumbangkan khidmat bagi menjayakan MASUM 2019.

Dalam majlis itu, Profesor Dato’ Ts. Dr. Rosli turut menyerahkan bendera kejohanan MASUM kepada pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang mana UiTM akan menjadi tuan rumah pada Karnival Sukan MASUM 2020.

Karnival  menyaksikan penyertaan seramai 4, 323 atlet dengan mempertandingkan 18 acara sukan seperti catur, renang dan memanah yang dijuarai oleh UiTM, Karate (UPNM), olahraga (UPM), badminton (UKM), catur (UITM), ping pong (USM), ragbi (UPM), petanque (UiTM), sepak takraw (UPM), bola tampar (UPM), dan tae kwan do (UiTM).


Rencana/Artikel Pilihan

STEM@UMP inisiatif transformasi generasi abad ke-21

BIL. 42 OGOS 2019

Oleh: HALIZAN MOHMOOD
e-mel: izan@ump.edu.my

BIL. 42 OGOS 2019

Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada abad ke-21 di Malaysia merupakan satu cabaran dari aspek globalisasi dan perkembangan dalam teknologi komunikasi. Melalui pendidikan STEM, cabaran ini dapat ditangani dengan menyediakan generasi masa depan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran sejajar bagi mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.  Sejajar dengan perkembangan ini, transformasi dalam bidang pendidikan (pengajaran dan pembelajaran) perlulah dilakukan supaya selari dengan arus pemodenan teknologi akan datang.

Pelaksanaan pendidikan STEM ini adalah selaras dengan visi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mahukan negara mempunyai modal insan yang berkualiti dan mencukupi serta memiliki etika dan nilai kewarganegaraan bagi memacu ekonomi negara. Wawasan 2020 menyasarkan untuk menyediakan masyarakat Malaysia yang mampu menghasilkan teknologi masa hadapan bukan sahaja untuk kegunaan sendiri tetapi untuk dipasarkan kepada negara luar bagi menjadikan Malaysia negara yang berdaya saing, dinamik dan inovatif. Kesan dari kemajuan ini dijangkakan mampu menyediakan satu juta peluang pekerjaan dalam bidang STEM dan melonjakkan ekonomi negara pada tahun 2020.

BIL. 42 OGOS 2019

Pendidikan STEM adalah berteraskan kepada konsep mengenal pasti, mengaplikasi, menghubungkaitkan masalah dan memberi jalan penyelesaiannya dengan menggunakan kreativiti dan inovasi pelajar.  Melihat kepada hasrat ini, pembudayaan pendidikan STEM kepada generasi abad ke-21 perlu diperkemaskan dengan lebih sistematik supaya negara tidak ketinggalan dalam menerokai teknologi terkini. Berdasarkan pencapaian semasa enrolmen pelajar tingkatan 4 dan 5 dalam aliran STEM telah mengalami penurunan hampir setiap tahun. Pencapaian pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) (tahun 6) dalam mata pelajaran Matematik juga menunjukkan tahap tidak menguasai yang tinggi berbanding mata pelajaran lain. Begitu juga dengan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mata pelajaran Matematik Tambahan menunjukkan hampir 50 peratus tidak mendapat kredit (*sumber analisis pencapaian SPM dan UPSR tahun 2016 dan 2017). Faktor kepada pencapaian ini adalah disebabkan oleh para pelajar kurang berminat terhadap mata pelajaran dan aliran STEM. Ini adalah disebabkan tiada pendedahan yang khusus berkenaan STEM, peranan ibu bapa dan guru serta kurangnya prasarana dan kemudahan bagi pelaksanaan program STEM.

BIL. 42 OGOS 2019

Pendedahan berkaitan pendidikan STEM perlulah diterapkan kepada pelajar di peringkat prasekolah (4 hingga 6 tahun) lagi. Ini adalah kerana pada usia ini, kanak-kanak mempunyai naluri keinginan tahu, keinginan mencuba dan ingatan yang sangat kuat. Pendedahan boleh dilakukan dengan mendekatkan mereka dengan alam sekitar, haiwan dan tumbuhan. Pembelajaran secara lisan dan penerangan secara ringkas dapat memupuk minat mereka terhadap STEM. Aktiviti STEM yang menyeronokkan seperti membaca, mengira, berpantun/bersajak dan menyanyi bagi mengenali corak penting dalam asas pembelajaran STEM. Sebagai contoh, melalui lagu ‘Bangau Oh Bangau’ kanak-kanak bukan sahaja dapat mendengar lagu tetapi belajar mengenal pasti dan menghubungkaitkan sesuatu masalah dengan punca masalah dan secara tidak langsung mempelajari konsep pelajaran Sains dengan bersahaja. Melalui kesedaran ini, pihak Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah pun memulakan program pembelajaran STEM iaitu Digital Literacy untuk kanak-kanak prasekolah. Digital Literacy memberi pendedahan kanak-kanak prasekolah terhadap penggunaan teknologi  dengan terkawal. Ia telah berjaya melibatkan 345 pelajar sekolah, tujuh buah sekolah dan 30 orang guru.

BIL. 42 OGOS 2019

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan bagi menerapkan minat anak-anak terhadap STEM. Pendedahan, penerangan dan aktiviti berkaitan STEM boleh dilakukan di rumah. Contohnya, mengajar punca dan akibat sesuatu aktiviti secara ringkas, bagaimana menekan suis akan menyebabkan lampu terbuka dan sebaliknya. Kemudian minta mereka jelaskan perkara yang sama untuk suis yang lain di rumah anda. Apabila mereka sudah faham, tunjukkan hubungan yang lain pula seperti memecahkan telur atau membasahkan span. Hubungan yang mudah ini akan mengajar mereka berfikir tentang punca dan akibat sesuatu perkara. 

BIL. 42 OGOS 2019

Pihak sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) juga memainkan peranan dalam membudayakan pendidikan STEM. Pihak sekolah iaitu guru-guru STEM dan kaunselor perlulah mewujudkan suasana pembelajaran dan pengajaran STEM yang menarik, mudah dan menyeronokkan. Kebanyakan para pelajar beranggapan pendidikan STEM terutamanya Matematik dan Sains adalah membosankan dan sangat susah. Hanya mereka yang ulat buku sahaja boleh mencapai kelulusan yang cemerlang dalam mata pelajaran ini. Guru-guru perlu mempelajari teknik dan ilmu baharu ‘Pembelajaran Berasaskan Permainan (PBP)’. PBP merupakan satu pendekatan yang menggunakan permainan bagi tujuan pendidikan dan meningkatkan minat pelajar. Ianya terbahagi kepada dua iaitu permainan digital (menggunakan medium teknologi video dan komputer) dan bukan digital. Pembelajaran secara tradisional yang memerlukan pelajar untuk membaca dan menghafal nota akan membuatkan pelajar berasa jemu, bosan dan memenatkan akan tetapi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) menggunakan PBP akan membantu pelajar untuk memahami dan menguasai dengan mudah, mengaplikasikan pemahaman mereka, meningkatkan motivasi dan minat mereka dalam pendidikan STEM. Contohnya, menggunakan permainan digital dan komputer serta permainan realiti alam maya.

Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) perlu meningkatkan program-program kerjasama dengan pihak sekolah, ibu pada dan komuniti setempat bagi memberi kesedaran betapa pentingnya pendidikan STEM dalam memacu pembangunan dan ekonomi negara dalam pelbagai bidang. UMP telah mengambil langkah bagi memulakan inisiatif STEM@UMP dengan menganjurkan 23 inisiatif program berkaitan STEM antaranya Pahang Foxhunting 2018, Pahang Hackhaton 2018, Saintis Turun Ke Desa, Karnival Pendidikan STEM 2018, Kolokium Pendidikan STEM Peringkat Kebangsaan 2019 dan Sesi Meja Bulat STEM 2019. Melalui program ini, para pelajar sekolah diberi peluang mengikuti bengkel robotik dan membuat aplikasi robot secara hands on. Ini bagi menarik minat pelajar sekolah terhadap pendidikan STEM. Selain itu, melalui bengkel hands on bersama guru-guru STEM juga membantu mereka meningkatkan dan menambah ilmu pengetahuan dalam pengajaran dan pembelajaran bersama para pelajar di sekolah.

Teknologi dunia semakin hari semakin berkembang dan bergerak ke hadapan. Negara China, Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat merupakan gergasi dalam bidang teknologi terkini. Sekiranya Malaysia ingin bersaing dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara ini adalah sangat mustahil akan tetapi memastikan pembangunan, kemahiran dan penguasaan teknologi terkini kepada generasi abad ke 21 adalah sesuatu yang perlu diadakan kerana ia merupakan kemahiran asas Revolusi Industri 4.0. Pembudayaan pendidikan STEM merupakan salah satu inisiatif bagi mencapai matlamat ini. 

Penulis ialah Eksekutif di Jabatan Jaringan Industri dan Masyarakat (ICoN), UMP.