Skip to main content
UMP E-Newsletter

Info Sekitar Kampus

Peserta Fun Walk berjalan sambil kibar Jalur Gemilang

BIL. 43 OGOS 2019

Lebih 100 warga kerja Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjayakan program Fun Walk: 1,000 Langkah Merdeka dengan berjalan beramai-ramai sambil mengibarkan jalur gemilang sejauh 1.2 kilometer bermula daripada Pusat Aktiviti Pelajar (PAP) menuju ke Bangunan Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Pekan pada 15 Ogos 2019 yang lalu.
 
Hadir menyempurnakan acara pelepasan peserta ialah ahli Lembaga Pengarah UMP, Profesor Dato’ Dr. Rosli Mohd Yunus. 

Ketibaan para peserta disambut Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr. Wan Azhar Wan  Yusoff yang menerima jalur gemilang daripada ketua pasukan, Nur Adam Maximillian daripada Pusat Sukan dan Kebudayaan. 

BIL. 43 OGOS 2019

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Profesor Dato’ Dr. Rosli Abu Bakar.
 
UMP mengekalkan sambutan meraikan bulan kebangsaan setiap saban tahun dengan menampilkan program Gaya Hidup Sihat dan kali ini dengan program Fun Walk: 1,000 Langkah Merdeka sebagai menyokong inisiatif Gaya Hidup Sihat yang dilaksanakan di universiti ini.
 
Menurut Profesor Ir Dr. Wan Azhar, semangat para peserta yang membawa Jalur Gemilang menampakkan semangat patriotik yang amat menebal dalam kalangan warga UMP amatlah membanggakan. 

“Ia sebahagian daripada acara yang dirancang dalam memeriahkan sambutan yang istimewa ini sebagai manifestasi patriotisme terhadap tanah air.
 
“Slogan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ bagi menekankan kepentingan perpaduan dan semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

“Ia bertepatan serta memupuk dan menyalakan nilai integriti serta jati diri rakyat Malaysia yang bersih dan tinggi,” katanya dalam Majlis Perasmian Fiesta Sayangi Malaysiaku Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 peringkat UMP.
 
Pelbagai acara yang diatur sempena sambutan Bulan Kebangsaan ini berupaya menampilkan perspektif patriotisme yang unik dalam konteks peranan UMP sebagai sebuah menara gading dan gedung ilmu pengetahuan. 

BIL. 43 OGOS 2019

Manakala perspektif patriotisme yang unik ini seharusnya menjadi satu perkongsian kepada warga UMP khasnya dan masyarakat amnya, terutamanya generasi muda untuk menghayati erti dan nilai kemerdekaan dengan penuh keinsafan dan kesyukuran.
 
Turut berlangsung penyerahan jalur gemilang kepada wakil-wakil jabatan dalam menjayakan kempen kibar jalur gemilang di pejabat masing-masing. 

Lain-lain program yang bakal dilaksanakan adalah Pertandingan Video Pendek, Bicara Cendekiawan Mulia, Aspirasi Merdeka, Jelajah Sayangi Malaysiaku dan Pameran Hari Kebangsaan di Perpustakaan UMP.


Akademik dan Antarabangsa

Karnival STEM cungkil bakat pelajar sekolah dengan budaya reka cipta

BIL. 43 OGOS 2019

Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang berjaya mengumpulkan hampir 2,000 pelajar dari sekolah rendah dan menengah sekitar negeri Pahang dalam mengambil bahagian dalam  Karnival STEM & Teknologi  Hijau Negeri Pahang bertempat di Dewan Astaka UMP Gambang pada 7 Ogos 2019 yang lalu. 

Terdapat 15 program yang dijalankan sepanjang karnival ini berlangsung antaranya Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi STEM, Pertandingan Roket Air, Pertandingan Projek Video Digital STEM, Pertandingan Kapal Terbang Kawalan Jauh, Pertandingan Inovasi Biojisim, Pertandingan Reka Bentuk Rumah hijau dan lain-lain lagi. 

Majlis dirasmikan olh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMP, Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin. 

BIL. 43 OGOS 2019

Dalam ucapan perasmiannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang atas keyakinan yang diberikan kepada UMP sebagai rakan strategik Karnival STEM dan Teknologi hijau Negeri Pahang 2019 di UMP.

Ujarnya pelbagai inisiatif ini dapat memupuk minat dalam membangunkan potensi dan memperkasakan daya saing para pelajar dalam subjek berkaitan Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“UMP sentiasa komited dan konsisten mendukung agenda Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memperkasakan komponen Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” katanya.

Pihaknya sentiasa mencari peluang untuk mengadakan bengkel atau program berkaitan STEM di sekolah-sekolah terpilih atau di UMP bagi menarik minat murid-murid sekolah rendah dan menengah dalam subjek STEM.

BIL. 43 OGOS 2019

Tambahnya lagi, Karnival STEM dan Teknologi Hijau Negeri Pahang 2019 berjaya menarik penyertaan pelbagai peringkat umur dalam kalangan pelajar sekolah seawal usia enam tahun.  

Ia juga membuktikan bahawa program berkaitan pendidikan STEM mampu menembusi pelbagai kumpulan sasaran sekiranya program dijalankan dengan lebih kreatif dan interaktif.

Beliau mengharapkan UMP khususnya Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dapat meneruskan usaha murni ini dan bekerjasama membincangkan langkah-langkah intervensi kursus yang boleh dilaksanakan secara kolektif dalam berdepan cabaran masa depan.

Hadir sama Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Pahang, Tuan Haji Abdul Rahim Muhammad Yunus, Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat UMP, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin.


Aktiviti Pelajar

128 Pegawai Kadet PALAPES UMP terima pentauliahan Leftenan Muda

BIL. 43 OGOS 2019

Oleh: KAPTEN MOHD AZAM MUHAMAD AKHIR, PEMANGKU TIMBALAN KOMANDAN PALAPES UMP.

Seramai 128 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Malaysia Pahang (UMP) daripada perkhidmatan tentera darat, laut dan udara menerima pentauliahan sebagai Pegawai Muda dalam Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pangkat Leftenan Muda.  

Majlis Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam (UA) Ke-38 yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru, Johor pada 3 Ogos 2019 yang lalu telah disempurnakan oleh Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor. 

Baginda telah sudi mencemar duli untuk memeriksa perbarisan dan menerima tabik hormat daripada 1,560 pegawai-pegawai kadet dari 18 UA di Padang Kawad UTM.  

BIL. 43 OGOS 2019

Acara diteruskan dengan penganugerahan watikah tauliah kepada pegawai-pegawai muda tersebut yang diadakan di Dewan Sultan Iskandar UTM.

Terdahulu dalam titah ucapannya, Tunku Ismail mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para pegawai kadet yang telah berjaya menamatkan latihan dan bersedia untuk ditauliahkan sebagai pegawai tentera di ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam ATM amnya dan pasukan simpanan khasnya. 

Baginda juga berpesan agar pegawai-pegawai muda ini menjadi insan yang lebih baik dengan berbekalkan pengalaman dan latihan yang dijalani seterusnya menjadi pemimpin yang sentiasa peka dengan pembangunan negara.  Selain itu, menekankan pentingnya kesetiaan kepada raja dan negara dalam mengekalkan keharmonian masyarakat yang berbilang kaum.

Dalam pentauliahan kali ini, Tunku Ismail berkenan menganugerahkan pedang kehormat kepada pegawai-pegawai kadet terbaik dari setiap universiti. 

Seramai tiga orang orang Pegawai Kadet UMP yang mewakili perkhidmatan darat, laut dan udara telah dianugerahkan pedang kehormat.  

BIL. 43 OGOS 2019

Mereka adalah Pegawai Kadet Sarjan Mohd Najmi Hamad Zamri dari PALAPES Darat yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pegawai Rendah Kanan Amirul Aiman Johari dari PALAPES Laut yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, manakala mewakili PALAPES Udara adalah Pegawai Rendah Kanan Norashikin Samsuddin yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Komputer Sistem dan Rangkaian.  

Bagi Leftenan Muda Mohd Najmi, beliau bersyukur dengan penganugerahan pedang kehormat dan berterima kasih kepada seluruh pegawai-pegawai dan jurulatih yang mengajar dan mencurahkan ilmu ketenteraaan selama tiga tahun beliau mengikuti kursus PALAPES di UMP.  

Beliau juga berazam akan terus bergiat aktif dan menyumbang tenaga di dalam pasukan Askar Wataniah walaupun telah berkerjaya kelak. 

Turut hadir mewakili UMP dalam majlis pentauliahan ini ialah Komander (K) Profesor Dato’ Ts Dr. Yuserrie  Zainuddin yang merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Pemangku Timbalan Komandan PALAPES UMP, Kapten Mohd Azam Muhamad Akhir, dan Dekan Pembangunan Pelajar UMP, Dr. Ahmad Johari  Mohamad.