Skip to main content
UMP E-Newsletter

Akademik dan Antarabangsa

Kolokium Akademik MTUN bincang agenda TVET bernilai tinggi

BIL. 44 OGOS 2019

Oleh: NUR SA'ADATUL AFZAN JUSOH, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Dalam memperkasakan ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini seiring dengan agenda Higher TVET yang sedang digerakkan dalam negara, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Kolokium Akademik Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) membabitkan seramai 60 penyertaan daripada UMP, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berlangsung di Dewan Tun Fatimah, UMP Kampus Gambang pada 14 Ogos 2019 yang lalu. 

Pengiktirafan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap kepentingan dan relevansi MTUN ini membolehkan pihak MTUN merangka pelbagai agenda Higher TVET dan ini termasuklah kejayaan pelancaran program Sarjana Muda Teknologi (B. Tech.) MTUN pada 25 Jun 2019 lalu yang dapat memberi akses dan laluan kepada graduan sebagai penggerak ekonomi negara.

BIL. 44 OGOS 2019

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, MTUN bertanggungjawab untuk memastikan mandat daripada Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia tersebut diterjemahkan sebaik mungkin melalui strategi dan inisiatif yang memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan, pemegang taruh dan kumpulan sasaran yang terlibat.

“Ke arah pemantapan Higher TVET ini, saya melihat lebih banyak libat sama (engagement) perlu dipergiat bagi tujuan pengiktirafan program, pengambilan pelajar dan pemahaman awam. 

“Ia adalah penting bagi membantu kerajaan untuk meletakkan TVET dalam perspektif dan konteksnya yang betul sebagai pemacu kemajuan negara,” katanya yang hadir merasmikan program dan turut menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Foresight of Engineering Technologist’.

Tambah beliau lagi, sinergi keempat–empat universiti MTUN dalam konteks Higher TVET ini amatlah penting di saat kerajaan sedang memuktamadkan Rancangan Malaysia Ke-12. 

“Malahan peranan MTUN dalam konteks Higher TVET tersebut cukup relevan untuk membawa Malaysia ke arah pertumbuhan ekonomi dan negara dengan lebih pesat melalui migrasi daripada ekonomi berintensifkan buruh kepada ekonomi masa depan yang mengadaptasi teknologi, automasi dan ekonomi intelek (K-Economy) sejajar dengan usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan lestari menjelang 203,” ujar beliau.

BIL. 44 OGOS 2019

Dalam program ini, Profesor Madya Ir. Adnan Zulkiple turut menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Pathway of Engineering Technologist and Engineering Technician’ yang banyak menerangkan perbezaan hala tuju teknologis dan juruteknik kejuruteraan dan penerimaan kedua-duanya di dalam Lembaga Jurutera Malaysia.

Ujarnya, melalui Program Sarjana Muda MTUN ini juga universiti bakal melahirkan graduan yang berkebolehan dalam aspek teori dan praktikal, bukan hanya tertumpu kepada ilmu semata-mata tetapi juga kompeten dalam kemahiran.

Kolokium yang berlangsung selama sehari ini turut mengandungi aktiviti perbincangan dalam kumpulan yang tertumpu kepada hala tuju graduan TVET, program mobiliti dan kerjasama antara MTUN, jaringan industri dan MTUN, promosi kemasukan pelajar bagi program teknologi kejuruteraan dan kemahiran bagi pensyarah dan jurutera pengajar dalam teknologi kejuruteraan dan TVET.

Turut hadir Dekan Kanan Kolej Teknologi Kejuruteraan UMP, Profesor Abdullah Ibrahim, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan UTHM, Profesor Madya Ts. Haji Amran Mohd Zaid. dan Pengarah Program, Dr. Azrina Abd Aziz daripada Kolej Teknologi Kejuruteraan UMP. 


Akademik dan Antarabangsa

Tadbir Urus dan Integriti dalam Era Revolusi Perindustrian Digital

BIL. 44 OGOS 2019

Dalam usaha meningkatkan pengetahuan tadbir urus dan integriti yang lebih berkesan dalam era Revolusi Perindustrian 4.0, FIM Governance & Integrity Centre (FGIC) yang berpusat di Fakulti Pengurusan Industri (FIM) Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Yayasan Pahang (YP) menganjurkan persidangan FGIC 2019 bertemakan  'Tadbir Urus dan Integriti dalam Era Revolusi Perindustrian Digital' yang mendapat kerjasama daripada Institut Integriti Malaysia (IIM) bertempat di Dewan Besar, Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, Kuantan pada 19 hingga 20 Ogos 2019 yang lalu. 
 
Persidangan Tadbir Urus dan Integriti kedua ini bertujuan untuk membincangkan peranan penting tadbir urus dan integriti dalam era digital serta membincangkan isu tadbir urus dan integriti di era digital. 

Persidangan ini turut berjaya mengumpulkan pihak industri, agensi kerajaan dan ahli akademik dengan 82 pembentangan kertas kerja melibatkan penyertaan dalam dan luar negara termasuklah United Kingdom, Indonesia, Jerman, Oman, Pakistan, Korea, Filipina, Vietnam, Singapura, Hungary, Emiriah Arab Bersatu, dan Malaysia.
 
Hadir merasmikan persidangan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman yang mewakili Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato' Sri Ibrahim Ahmad dan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Mahmud Mohd Nawawi dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif  IIM, Nor’ Afiza Saim.

Dalam ucapannya, Dato’ Sri Norolazali berkata, penganjuran persidangan ini memberi peluang peserta berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam bidang integriti dan governan berdepan dengan Revolusi Digital.

“Pemilihan tema ini bertepatan pada masanya dan kini sudah tiba masanya untuk organisasi berfikir semula dan mendapatkan kaedah penyelesaiannya terhadap produktiviti, memastikan kualiti dan menjamin kepuasan pada perkhidmatan menggunakan teknologi digital,” katanya.

Selain itu, pihaknya berbangga dengan Portal My Goverment yang menyokong sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan menggunakan satu platform rangkaian bagi membolehkan capaian kepada aplikasi-aplikasi Kerajaan Elektronik, aplikasi dalaman agensi atau intranet dan capaian ke internet. 

Sementara itu, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar mengharapkan kerjasama baik dengan Yayasan Pahang ini dapat memanfaatkan bidang pendidikan dan pembangunan modal insan  di negeri ini malahan kolaborasi dengan pihak GIACC ini juga memberi peluang universiti meneroka lebih banyak peluang terhadap program bagi meningkatkan kesedaran integriti dan governan menerusi pelbagai inisiatif yang dijalankan.

Pada masa yang sama, beliau turut menyerahkan laporan penyelidikan mengenai 'FGIC Corruption Barometer: A Case of East Coast Region’ hasil penyelidikan bersama pihak Yayasan Pahang dan UMP kepada Dato’ Sri Norolazali mewakili Menteri Besar Pahang. 

Kajian ini bertujuan menilai persepsi rasuah di negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu bagi membantu kerajaan negeri menumpukan perhatian terhadap bidang-bidang untuk meningkatkan kesedaran dan persepsi rasuah  di negeri-negeri ini.  

Penganjuran program ini memberi peluang peserta mengikuti forum bertajuk ‘Challenges and Impacts of Governance and Integrity in facing Digital Industrial Revolution’ yang menampilkan  Timbalan Ketua Pengarah, Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif Bosch Rexroth Malaysia, Michel Gunawan dan Ketua Strategi dan Penyelidikan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Raja Segaran serta Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar UMP, Profesor Dr. Mohd Ridzuan Darun sebagai moderator membincangkan isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh sektor swasta dan awam dalam memenuhi keperluan Revolusi Perindustrian Digital dan kesediaan mereka dalam menghadapi cabaran semasa.   

Manakala forum  bertajuk ‘Inculcating Good Governance and Integrity in Education Towards Digital Industrial Revolution’ membincangkan bagaimana Pendidikan Tinggi memainkan peranan penting dalam membentuk sumber manusia yang diperlukan untuk memenuhi permintaan revolusi dan ahli panel  berkongsi pengalaman berdepan dengan cabaran masa depan. 

Dalam program ini, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni),  Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin sebagai moderator bersama ahli panel terdiri daripada Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK),  Profesor Ts. Dr. Noor Azizi Ismail, Profesor Fakulti Pengurusan Industri UMP, Profesor Dato' Sri Ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif, Human Government Institute Inc. Malaysia, Profesor Dr. Arfah Salleh dan Profesor Dr. Susela Devi K. Suppiah yang merupakan Profesor di Sunway University Business School, Malaysia.

Forum bertajuk ‘Innovative Initiative towards Managing Governance and Integrity: The Way Forward’  pula menampilkan Dato' Sri Ibrahim Ahmad sebagai moderator bersama ahli panel yang terdiri daripada Nor’ afiza Saim, Pengarah Sektor Audit Governan, Jabatan Audit Negara dan Profesor Madya Dr. Husin Jazri, Pengarah Keselamatan Informasi, Asia Pasific University of Technology and Innovation (APU). 


Info Sekitar Kampus

Warga UMP bergotong-royong laksana ibadah korban

BIL. 44 OGOS 2019

Oleh: SITI NURAZWIN ZULKIFLI, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Bersempena Hari Raya Aidiladha yang disambut baru-baru ini, warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyempurnakan ibadah korban secara bergotong-royong dalam Program Ibadah Korban dan Aqiqah anjuran Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) pada 14 Ogos 2019 yang lalu. 
 
Pada tahun ini, sebanyak enam ekor lembu korban disembelih dalam program yang bermula jam 9.00 pagi dan berakhir jam 12.00 tengah hari serentak di kedua-dua kampus UMP Kampus Pekan dan Gambang. 

BIL. 44 OGOS 2019

Seramai 42 orang penyumbang mengambil bahagian dalam ibadah korban ini membabitkan staf UMP dan pihak luar.
 
Program diketuai oleh Ustaz Shahrul Nizam Md Ahir di Masjid UMP Pekan dan Ustaz Md. Abdu Sahak di UMP Kamus Gambang  dengan dibantu seramai 80 orang sukarelawan yang bersama-sama bergotong-royong menjayakan program ini bermula dengan sembelihan, melapah, agihan daging sembelihan dan memasak juadah nasi berlaukkan daging masak kerisik dan acar jelatah.
 
Menurut Ustaz Md. Abdu, ibadah korban sangat dituntut dalam Islam bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT bermula pada hari Aidiladha, iaitu 10 10 Zulhijah  dan tiga hari tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijah serta menghayati konsep pengorbanan dan berkongsi rezeki. 
 
“UMP turut menawarkan kemudahan buat staf melaksanakan ibadah korban menerusi kaedah pemotongan gaji serendah RM20 setiap sebulan, justeru dengan skim ini diharapkan ianya dapat membantu warga UMP menunaikan ibadah korban pada tahun akan datang,” katanya.

BIL. 44 OGOS 2019

Program ini juga dapat merapatkan hubungan baik di antara staf daripada pelbagai jabatan memandangkan kebiasaanya masing-masing sibuk dengan tuntutan tugasan. 

Turut hadir Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusof yang hadir bertemu sukarelawan dan menyampaikan sumbangan daging korban kepada warga UMP dan masyarakat setempat.


Artikel/Rencana Pilihan

Memartabat Pentadbir Memperkasa Urus Tadbir

Memartabat Pentadbir Memperkasa Urus Tadbir

Oleh: MOHD. RAIZALHILMY MOHD RAIS
e-Mel: hilmy@ump.edu.my

Memartabat Pentadbir Memperkasa Urus Tadbir

Tanggal 20 Ogos setiap tahun adalah merupakan sambutan Hari Pentadbir sebagai mengiktiraf peranan Pentadbir Universiti Awam (UA) di Malaysia. Hari Pentadbir kali pertama diumumkan pada tahun 2016 semasa penganjuran Konvensyen Pentadbir Universiti Awam pada 20 Ogos 2016 bertempat di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi Malaysia (AKEPT). Di bawah payung Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI), badan gabungan Persatuan Pentadbir di seluruh UA telah dibina bagi menjadikan golongan pentadbir dan ikhtisas sebagai entiti penting dan berkesan dalam membina kecemerlangan universiti awam tersebut. 

Sambutan kali ini yang bertemakan ‘Memartabat Pentadbir, Memperkasa Urus Tadbir’ dilihat signifikan dalam era kepimpinan Malaysia Baharu dan perubahan dinamik pendidikan tinggi di Malaysia di mana kejayaan universiti pada hari ini adalah hasil kerja padu dan berdedikasi kelompok pentadbir yang merupakan tulang belakang sesebuah universiti selain daripada kelompok akademik dan kumpulan pelaksana.  Mereka adalah nadi yang kuat dalam menyokong perjalanan universiti tanpa menafikan sumbangan semua pihak lain.

Dalam konteks UMP, kelompok pentadbir atau lebih dikenali sebagai Pengurus Profesional ini hendaklah sentiasa bersiap siaga dengan corak perubahan baharu yang berlaku serta perlu sentiasa menghadapi cabaran dari segenap ruang baharu yang perlu diterokai. Sebagai Pengurus Profesional mereka hendaklah mengambil sikap lebih terbuka, luwes dan berani berbeza dalam apa jua bentuk tindakan dan pandangan yang diungkapkan. Ibarat ‘tidak ada kusut yang tidak selesai, tidak ada keruh yang tidak jernih’, peribahasa ini tepat untuk kita semua renungi. Semua masalah dan konflik yang kita tempuhi walau sebesar mana pun akan dapat diselesaikan dan diungkai, dengan keikhlasan hati kita bekerja. Bekerjalah sebagai ibadah, itu slogan setiap saat mendukung nilai teras ketika kita berada di tempat kerja.

Memartabat Pentadbir Memperkasa Urus Tadbir

Pengurus Profesional perlu meletakkan keutamaan dan tumpuan dalam memastikan kecemerlangan universiti dipacu melalui sokongan kepimpinan yang berwibawa bersama-sama dengan kepimpinan Pengurusan Tertinggi Universiti. Penumpuan kepada kelangsungan dan kewibawaan bakat dalam kalangan pentadbir universiti dapat dipelihara serta inisiatif pelan penggantian dan kelompok bakat harus diperkasakan. Para pentadbir sentiasa bersikap profesional dan terbuka serta sentiasa berusaha untuk meletakkan nilai tambah dalam diri bagi mendukung aspirasi universiti demi mempertingkatkan lagi kecemerlangan universiti di persada dunia. 
 
Dunia pentadbir hari ini penuh dengan cabaran. Berhadapan dengan revolusi perindustrian 4.0 memberi impak yang amat besar dalam dunia pekerjaan kita. Maklumat diperoleh dan disebar luaskan dalam sekelip mata. Kecanggihan teknologi hari ini tidak sempurna penggunaannya tanpa sikap yang matang. ‘Your Attitude Determines Your Altitude’, sikap kita semua melambangkan ketinggian peribadi diri kita sendiri. 

Transformasi universiti pada hari ini perlu dijiwai dan dihayati oleh seluruh Pengurus Profesional. Kita bukan sahaja perlu menjadi fast learner, malah kita perlu bersedia menjadi fast adapter. Transformasi yang berlaku ini perlu dibawa bersama slogan ‘lead by example’. Kita mungkin berbeza dalam beberapa isu, tetapi kita sama dalam banyak perkara. Kebersamaan itu hendaklah diterjemahkan dalam meletakkan kejayaan dan kecemerlangan sesebuah universiti.
 

Memartabat Pentadbir Memperkasa Urus Tadbir

Oleh yang demikian, bersempena dengan sambutan Hari Pentadbir tahun ini marilah kita selaku pentadbir universiti untuk terus bekerja dan berkhidmat dengan penuh bertanggungjawab dalam suasana harmoni dan sejahtera. 

Sesungguhnya kejayaan sesebuah organisasi diukur berdasarkan kepada kecekapan, keberkesanan, produktiviti, kualiti produk serta penyampaian yang akhirnya memerlukan warga pentadbir yang menilai secara realistik, berupaya melakukan anjakan paradigma serta berfikiran jauh. Keupayaan untuk berubah serta responsif dengan suasana persekitaran semasa dan menjangka (predict) perubahan pada masa depan dalam kalangan pentadbir dilihat sebagai kemahiran yang penting yang perlu dibudayakan secara sistematik mengikut acuan organisasi tersebut.

Selamat Hari Pentadbir Kepada Seluruh Pentadbir Universiti Awam se-Malaysia.   
 
Penulis ialah Presiden Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan juga merupakan Timbalan Presiden (Hubungan Korporat), Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI).