Skip to main content
HEADER CREATE

Jalinan Kerjasama

Kolaborasi UMP dan CIDB dalam ekosistem Model Informasi Bangunan (BIM)

BIL. 49 SEP 2019

Kolaborasi Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Malaysia dalam mewujudkan ekosistem Model Informasi Bangunan (BIM) bagi transformasi nasional  dilihat berjaya menerusi projek berimpak tinggi bagi transformasi industri pembinaan Malaysia bernilai RM 1.45 billion yang mana pelbagai manfaat telah diperoleh oleh industri seperti mewujudkan ekosistem BIM. 

Ia turut melibatkan penggubalan dasar dan polisi, pemindahan teknologi dan pengetahuan, pembangunan modal insan, pembangunan infrastruktur dan Sistem Industri Bangunan (IBS).

BIM merupakan teknologi pemodelan dan set proses yang berkaitan untuk menghasilkan, berkomunikasi, menganalisis dan menggunakan model maklumat digital sepanjang kitaran hayat projek pembinaan. 

Proses berasaskan model BIM memberikan maklumat untuk arkitek, kejuruteraan, dan profesional pembinaan merancang, mereka bentuk, membina dan mengurus bangunan dan infrastruktur dengan cekap.

Ia merupakan teknologi pemodelan dan set proses yang berkaitan untuk menghasilkan, berkomunikasi, menganalisis dan menggunakan model maklumat digital sepanjang kitaran hayat projek pembinaan. 

Proses berasaskan model BIM memberikan maklumat untuk arkitek, kejuruteraan, dan profesional pembinaan merancang, mereka bentuk, membina dan mengurus bangunan dan infrastruktur dengan cekap.

Bagi Pengarah Pusat Kecemerlangan Industri Kluster Pembinaan UMP, Profesor Madya Dr. Mohd Yuhyi Mohd Tadza, sebagai rakan kerjasama pihak CIDB turut membantu universiti dalam memberikan sumbangan kewangan dari segi projek, pembangunan modul, pelaksanaan program, lawatan rasmi ke luar negara, kolaborasi antarabangsa dan juga latihan pensijilan profesional bernilai hampir RM 5 Juta bermula dari tahun 2016 hingga 2018.

“UMP juga melalui inisiatif ini telah mentransformasikan industri dari kaedah konvensional kepada pembinaan secara digital (digital construction) ke arah menyokong kepada revolusi perindustrian IR4.0 seperti yang dirangka dalam Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP),” katanya.

Sebagai menghargai rakan kerjasama ini, UMP memberikan pengiktirafan apabila CIDB dinobatkan menerima Anugerah Kecemerlangan Industri & Masyarakat (Kategori Rakan Industri Terbaik) pada Majlis Hari Kualiti & Inovasi UMP 2019 pada 12 September 2019 yang lalu.  

Anugerah disampaikan oleh Pengarah Scomi Transit Projects Sdn. Bhd. merangkap CEO@Fakulti UMP, Rohaida Ali Badaruddin kepada Pengarah CIDB Negeri  Pahang, Saini Saidi yang mewakili Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid bertempat di Dewan  Astaka, UMP Kampus Gambang. 

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato' Sri Ibrahim Ahmad dan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff.


Info Sekitar Kampus

Perpaduan hadiah tidak ternilai dan perlu dipelihara

BIL. 49 SEP 2019

Perpaduan adalah hadiah tidak ternilai dan perlu dipelihara serta dihargai semua rakyat yang hidup berbilang kaum seperti di negara yang kita cintai ini. 

Perpaduan terhasil apabila rakyat daripada pelbagai etnik dan agama saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan sentiasa berhati-hati serta menyedari sensitiviti dan agama serta budaya masing-masing demi keharmonian di antara kaum.

Menurut Dr. Al-Azharri Siddiq Kamunri daripada Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, tema `Malaysia Bersih’ begitu sesuai untuk dihayati rakyat Malaysia dalam bersama-sama dengan kerajaan dalam berusaha membanteras rasuah dan ke arah negara yang bersih.

BIL. 49 SEP 2019

“Bila kita mempunyai perasaan kebersamaan maka perbezaan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum ini boleh diatasi dengan mudah kerana yang paling penting kita perlu fahami dalam dunia moden ini ialah kita tidak boleh hidup secara bersendirian dan kita saling memerlukan antara satu sama lain. 

“Jika kita tidak mempunyai semangat kekitaan, maka ancaman keselamatan negara pada masa hadapan ialah disebabkan perpecahan kaum,” katanya dalam program Bicara Merdeka sempena Majlis Penutup Fiesta  Sayangi Malaysiaku sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat UMP 2019 anjuran Jabatan Pendaftar di Dewan Astaka, UMP Kampus Gambang pada 18 September 2019 yang lalu. 

Ujarnya lagi, sekiranya perpecahan kaum berlaku pada masa akan datang ianya bukan daripada generasi akan datang tetapi generasi kita pada hari ini yang tidak menyemai bibit-bibit perpaduan dengan baik.

“Kalau kita masih lagi membuat perkara yang memecah belahkan perpaduan, maka akan memupuk budaya negatif kepada generasi yang akan datang. 

BIL. 49 SEP 2019

“Paling penting pemimpin pada hari ini perlu mempromosikan nilai-nilai Malaysia yang baik serta mengenang jasa pemimpin terutamanya dalam mencapai kemerdekaan,” tambahnya lagi.

Beliau turut menasihati agar golongan mahasiswa dan generasi baharu kini terus mengenang perjuangan orang terdahulu agar perasaan kasih sayang dan cintakan negara tidak terhakis dan akan kekal selamanya.  

Hadir sama dalam program Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni UMP), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ahli Lembaga Pengarah UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Rosli Mohd Yunus.

BIL. 49 SEP 2019

Menurut Profesor Dato’ Dr. Yuserrie, saban tahun UMP menganjurkan pelbagai program bagi memeriahkan Sambutan Bulan Kebangsaan bagi menerapkan semangat patriotisme terhadap tanah air. 

“Ia berupaya menampilkan perspektif patriotisme yang unik dalam konteks peranan UMP sebagai sebuah menara gading dan gedung ilmu pengetahuan terutamanya buat generasi muda untuk menghayati erti dan nilai kemerdekaan dengan penuh keinsafan juga kesyukuran,” ujar beliau. 


Akademik dan Antarabangsa

Simposium ProSES teroka bidang Kejuruteraan Kimia Proses

BIL. 49 SEP 2019

Penganjuran Simposium Process Systems Engineering and Safety (ProSES) 2019 bertemakan Process Modelling and Simulation ke arah Revolusi Industri (IR4.0) berjaya mengumpulkan penyertaan lebih 70 peserta yang terdiri daripada para akademia, pakar industri dan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam meneroka bidang berkaitan Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses juga lain-lain berkaitan.

Ia menyaksikan sebanyak 60 kertas kerja mengenai permodelan dan simulasi dibentangkan dalam program yang berlangsung di Hotel Vistana, Kuantan pada 13 September 2019 anjuran Process Systems Engineering and Safety Research Group, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP).

Hadir merasmikan program ialah Dekan Inovasi Industri Jabatan Penyelidikan & Inovasi, Profesor Madya Dr. Abdul Adam Abdullah yang turut dihadiri Timbalan Dekan (Penyelidikan & Pengajian Siswazah) FTKKP, Profesor Madya Ts. Dr. Sumaiya Zainal Abidin@Murad.

Profesor Madya Dr. Abdul Adam dalam ucapannya melahirkan rasa bangga dengan penganjuran simposium yang buat pertama kalinya diadakan. 

“Kertas pembentangan ini akan diterbitkan dalam Jurnal Kejuruteraan Kimia dan Bioteknologi Industri (JCEIB-indexed Journal) dan IOP Material Science and Engineering (Scopus indexed proceeding).

“UMP komited dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pengkomersialan dalam sistem proses kejuruteraan dan keselamatan yang berkaitan dengan bahan kimia, biologi, proses pengolahan mineral, minyak, gas dan farmaseutikal.

“Pihak fakulti juga banyak terlibat dalam projek gelatin halal, penghasilan kapsul yang halal dan produk makanan tambahan yang dikenali sebagai microcrystalline cellulose hasil kerjasama bersama Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang.

“Selain itu, UMP juga berjaya mendapat RM10 juta daripada pihak kerajaan menerusi geran Penyelidikan Fundamental (FGRS) dan RM2 juta daripada jumlah tersebut disumbangkan kepada fakulti,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Pengarah Program, Profesor Madya Dr. Mohamad Rizza Othman, simposium ini dianjurkan untuk berkongsi teknologi serta penyelidikan terkini dalam bidang pemodelan proses dan simulasi serta memperkukuhkan kerjasama antara penyelidik dan industri.

“Selain itu juga ianya merupakan platform ahli-ahli akademik dan industri membentangkan hasil kerja mereka serta berkongsi pengalaman dalam bidang pemodelan proses dan simulasi,” katanya.

Beliau berharap ianya akan menimbulkan minat pada penyelidik terutama dalam kepentingan proses simulasi dalam era IR4.0 dan apabila ia telah berkembang dapat dilaksanakan di industri untuk lebih berdaya saing.

Hadir menyampaikan ucap tama ialah Profesor Ir. Dr. Haslenda Hashim dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). 

Baginya selama ini para penyelidik telah banyak membuat penyelidikan sebagai persediaan berdepan era IR 4.0 iaitu dari sekecil-kecil penyelidikan yang melibatkan molekul sehinggalah yang boleh digunakan dalam industri. 

Turut menyampaikan ucap tama ialah Profesor Dr. Azmi Mohd Shariff dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang menasihatkan para penyelidik dapat menghasilkan penyelidikan dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.


Sukan dan Rekreasi

20 staf UMP berjaya tawan puncak Kinabalu

BIL. 49 SEP 2019

Oleh: MOHD SHAHRUL AZUAR, PENGARAH PROGRAM EKSPEDISI D’PUNCAK KINABALU.

Tanggal 6 September 2019 yang lalu mencatat sejarah buat 20 orang staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) daripada pelbagai fakulti apabila berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu yang merupakan puncak tertinggi di Asia Tenggara pada ketinggian 4,905.2 meter (13,455 kaki) dari aras laut.

Menurut Pengarah Program Ekspedisi d’Puncak Kinabalu, Mohd Shahrul Azuar, pihaknya menjalani latihan fizikal dan mental dan membuat persediaan dengan menjalani latihan mendaki bagi meningkatkan tahap kecergasan masing-masing.

BIL. 49 SEP 2019

“Ekspedisi ini dirancang sejak awal tahun ini sebagai aktiviti gaya hidup sihat dan menyahut cabaran menguji ketahanan mental dan fizikal, memupuk kerjasama berkumpulan dan sebagai medium untuk membina keyakinan diri yang lebih utuh dan jitu,” katanya.

Semua peserta memulakan pendakian di pintu Timpohan Gate setelah selesai taklimat seawal jam 9 pagi dan mengharungi pendakian yang mencabar di laluan bertangga dan menegak sejauh lebih 6 kilometer. 

Kesemua peserta berjaya sampai di Laban Rata (Base Camp) pada ketinggian 3,272 meter dari paras laut.

Pendakian diteruskan lagi seawal jam 2.30 pagi hari berikutnya bagi meneruskan misi menawan puncak Kinabalu yang juga dikenali sebagai Low’s Peak. 

BIL. 49 SEP 2019

Peserta bergerak secara sederhana dalam kumpulan kecil dengan cabaran sejuk dan gelap sambil diiringi malim gunung bertugas. Sungguhpun begitu kebanyakan peserta berpeluang menikmati keindahan alam dan matahari terbit.   

Akhirnya, setelah mengharungi pendakian selama hampir empat jam yang mencabar dan menguji mental dan fizikal tepat jam 6.30 pagi seramai 10 sampai ke puncak Gunung Kinabalu dengan jayanya. 

Tiada kata yang dapat diungkap tatkala kaki berjaya menapak di puncak tertinggi ini walaupun dalam keadaan kepenatan.

Bagi peserta ekspedisi, Dr. Amir Abd Razak berkata, satu pencapaian membanggakan apabila kesemua peserta berjaya tiba di Laban Rata dengan selamat walaupun cabaran peserta adalah ketika berada di summit attack pada awal pagi tersebut.

“Antara cabaran utama yang terpaksa dihadapi oleh kesemua peserta adalah mendaki dalam keadaan angin yang kuat dan cuaca sejuk yang mana suhu boleh mencecah sehingga 3° Celcius,” katanya.

Turut sama menyertai program adalah ketua jabatan, pensyarah dan staf fakulti daripada FTKA, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) dan Kolej Kejuruteraan yang mana mereka sebelum ini adalah merupakan staf Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTeK).

Profesor Dato’ Dr. Zularisam berkata, kesukaran bernafas secara normal akibat kandungan oksigen di udara yang nipis juga merupakan cabaran utama yang perlu dihadapi oleh setiap peserta.

“Walaupun tidak semua peserta berjaya sampai ke puncak, namun bukan itu objektif utamanya.  Beliau berbangga dengan pencapaian semua peserta yang menyertai ekspedisi dan menjayakan program mendaki Gunung Kinabalu ini.

“Selain itu, nasihat saya buat peserta agar percaya dengan kemampuan diri sendiri dan berusaha untuk meningkat kemampuan individu merupakan suatu pengalaman yang bernilai tinggi yang sepatutnya ada dalam diri terutamanya dalam menempuh pelbagai cabaran termasuklah dalam pekerjaan,” kata Profesor Dato’ Dr. Zularisam Ab. Wahid daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA).

Beliau sungguh berbangga dengan semangat dan komitmen semua staf dan pihak luar yang menguruskan segala keperluan sepanjang ekspedisi berlangsung dengan jayanya. 

Walaupun penat ianya bukan penghalang buat peserta meraikan kemenangan setelah berjaya mencapai misi dan menjadi kenangan sepanjang hayat.

Malahan kejayaan ini juga amat bermakna dan merupakan sejarah yang tercatat tatkala penjenamaan semula nama fakulti dan penstrukturan organisasi yang sedang dilaksanakan di universiti pada ketika ini.  


Info Sekitar Kampus

UMP perkenal Program Khas Pemantapan Bakat buat warga kerja 

BIL. 49 SEP 2019

Dalam usaha menyediakan pelan pembangunan bakat yang sistematik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) memperkenalkan Program Khas Pemantapan Bakat Pengurusan dan Profesional (Pentadbiran) buat warga kerja universiti ini bagi mengikuti pengajian program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA)  secara  separuh masa yang ditawarkan mulai sesi akademik 2019/2020.

Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar UMP, Profesor Madya Dr. Mohd. Ridzuan Darun berkata, usaha mensarjanakan staf melalui program khas ini dapat meningkatkan kompetensi dan keupayaan pengetahuan dengan lebih luas dalam bidang pengurusan di peringkat profesional. terutamanya berdepan dengan cabaran teknologi semasa terutamanya di era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Ia dapat meningkatkan kualiti dan standard pengurusan pentadbiran staf yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidik dan pengalaman bagi menerajui kecemerlangan pentadbiran yang mapan. Usaha sama program ini melibatkan Bahagian Sumber Manusia Jabatan Pendaftar, Fakulti Pengurusan Industri (FIM) dan Institut Pengajian Siswazah (IPS),” katanya.

Ujarnya, pihak universiti sentiasa membangunkan kumpulan bakat yang kompeten dan berpengetahuan luas dalam memastikan urus tadbir universiti berada pada tahap kecekapan yang tinggi. Mereka ini juga akan menjalankan kursus projek dalam pengajian yang memfokuskan kepada peningkatan inovasi dalam kerja yang dapat memberi manfaat kepada universiti  dalam penyelesaian isu dan penambahbaikan secara berterusan.

Dalam pada itu, seramai 13 staf hadir pada hari pendaftaran bagi mengikuti program di bawah FIM ini baru-baru ini. Hadir sama Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS), Profesor Dato’ Dr. Hasnah Harun, Dekan FIM, Dr. Fazeeda Mohamad dan Ketua Program MBA, Dr. Suhaidah Hussan.

Bagi Dr. Suhaidah, program MBA UMP ini mendapat akreditasi daripada Alliance on Business Education and Scholarship for Tomorrow (ABEST21) dan kurikulum yang dibangunkan mempunyai elemen analitis perniagaan, kombinasi di antara perniagaan dan kejuruteraan, penekanan etika dan governan serta penyelesaian permasalahan. Ia juga telah mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada tahun 2015.

Pihaknya juga menawarkan program MBA dalam dua mod pengajian iaitu sepenuh masa atau secara sambilan memberikan peluang yang fleksibel bagi pelajar yang bekerja untuk menyambung pelajaran secara sambilan. Di samping penawaran 10 kursus teras, program ini dianggap unik kerana pelajar juga turut akan mengambil dua kursus projek penyelidikan yang memberikan peluang kepada pelajar untuk menyelesaikan kajian kes di syarikat atau menjalankan kajian dalam bidang akademik.   

UMP juga bekerjasama dengan universiti luar yang menawarkan program MBA dalam memberikan pendedahan yang berbeza melalui kajian kes antarabangsa. Ianya termasuklah rakan kerjasama dengan universiti di Indonesia seperti Andalas University, Binus University dan Universitas Telkom manakala Amasya University (Turki), Hochschule Reutlingen University (Jerman) dan GRG School of Management Studies (India).

Untuk maklumat lanjut mengenai program MBA UMP, layari laman sesawang https://ips.ump.edu.my atau menghubungi talian 09-5493253 dan e-mel kepada mba@ump.edu.my/suhaidahhussain@ump.edu.my.