Skip to main content
HEADER CREATE

Jalinan Kerjasama

Kolaborasi UMP dan GMI dalam Program Pesisir

BIL. 50 OKT 2019

Oleh: MOHD. FERDAUS MUSA, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Kolaborasi Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan German-Malaysian Institute (GMI) dalam Program Kerjasama Akademik (Pesisir) UMP-GMI sejak lima tahun lalu memberi peluang mahasiswa institusi ini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pembuatan) dengan Kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Elektrikal) dengan Kepujian.
 
Program kerjasama akademik ini telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2014 bagi tempoh lima tahun dengan pengambilan pertama pelajar pada tahun yang sama. 

BIL. 50 OKT 2019

Seramai 43 orang graduan program pesisir merupakan di antara 3,778 orang graduan yang bakal bergraduat pada Majlis konvokesyen ke-14 UMP yang akan berlangsung pada 16 dan 17 November depan.
 
Bagi menghargai kerjasama yang telah terjalin ini, UMP menganjurkan Majlis Apresiasi Program Pesisir UMP-GMI bertempat di Dorsett Hotel, Putrajaya pada 21 September 2019 yang lalu. 

Program bertujuan menghargai dan mengeratkan lagi hubungan di antara pihak pengurusan, alumni dan para pelajar program pesisir UMP-GMI ini. 

Selain itu, kedua-dua pihak juga boleh mendapatkan maklum balas dan menilai sejauh mana keberkesanan program ini yang telah dilaksanakan selama lima tahun serta penambahbaikan melalui pembangunan inisiatif strategik yang boleh diambil oleh kedua-dua pihak terlibat. 

BIL. 50 OKT 2019

Hadir merasmikan program ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad. 

Turut hadir Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Interim Management Team Member (IMT) GMI, Ir. Dr. Jaronie Mohd Jani serta pengurusan tertinggi UMP dan GMI. 
 
Menurut Dato’ Sri Ibrahim, kerjasama strategik industri seperti UMP-GMI ini sangat signifikan dan telah menunjukkan keberhasilannya apabila UMP telah menduduki tempat pertama di Malaysia dan ke-71 di dunia dalam kalangan universiti bagi kriteria Kerjasama dengan Majikan (Partnership with Employer) dalam penarafan QS Graduate Employability 2020 (QS GE).
 
“Graduan bagi Program Pesisir UMP-GMI boleh berbangga apabila UMP turut berada di kedudukan 301-500 universiti terbaik dunia dari segi kebolehpasaran graduan 2020 yang diumumkan pada 15 September lalu. 

“Alumni juga diseru untuk melanjutkan pelajaran peringkat yang lebih tinggi di UMP,” kata Dato’ Sri Ibrahim Ahmad yang turut menyampaikan anugerah kepada tujuh orang pelajar cemerlang  dalam majlis ini.
 
Bagi alumni UMP, Muhammad Rezza Zullkeply yang mengikuti program Teknologi Kejuruteraan (Elektrikal), beliau berasa berbangga menjadi kumpulan pertama bagi program ini dan menyifatkan program kerjasama ini adalah unik. 

BIL. 50 OKT 2019

Sesi pembelajaran dilaksanakan di kampus GMI dengan penglibatan tenaga pengajar dari UMP dan GMI. 

Muhammad Rezza yang kini berkhidmat sebagai Jurutera Automasi di Sony EMCS menerima Anugerah Pelajar Cemerlang pada majlis tersebut.
 
Manakala Maryam Khalilah Mat yang bakal bergraduasi di UMP pada November ini mengharapkan agar program kerjasama akademik sebegini diperluaskan kepada kursus-kursus yang lain berbanding hanya dua program sahaja ketika ini. 

Maryam yang kini bertugas sebagai Jurutera Proses di NXP Semiconductor berjaya menamatkan program Teknologi Kejuruteraan (Pembuatan) turut menerima Anugerah Pelajar Cemerlang pada majlis tersebut. 

Lebih 200 orang pelajar dan alumni Program Pesisir UMP-GMI hadir pada majlis tersebut. 


Penyelidikan dan Inovasi

Pertandingan ICe-CInno pupuk minat pelajar dalam inovasi teknologi komputer

BIL. 50 OKT 2019

Bermula dengan kelas robotik pada musim cuti sekolah, pelajar tahun 4 Sekolah Kebangsaan Tok Sira Kuantan iaitu Ahmad Fahim Luthfi Mohamad Safri, 10 tahun dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas (Kategori Sekolah Rendah) apabila hasil ciptaan Happy Dustbin (Movable Dustbin Driven by Robotic Car) memenangi pingat emas dan mencuri tumpuan juri dalam pertandingan International Competition and Exhibition on Computing Innovation  (ICe-CInno).

Pertandingan  anjuran  Fakulti Komputeran, Kolej Komputer & Sains Gunaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu berlangsung pada 25 September 2019 yang lalu di Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang.

BIL. 50 OKT 2019

Anugerah Khas Bagi Kategori Sekolah Menengah pula dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Uda Utama dengan tajuk Lord of Lock dan bagi kategori Institusi Kemahiran dan Prasiswazah pula telah dimenangi oleh Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah dengan tajuk e-Commerce site for electrical services.

Manakala Anugerah Khas Bagi Kategori Universiti (Pascasiswazah) diraih siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan tajuk Ontology Model in Analyzing Ethical Issues based on ibnu Khalduns Thoughts dan bagi Anugerah Kategori Terbuka pula telah dimenangi oleh Saif Studio dengan tajuk ERP School. 

 

BIL. 50 OKT 2019

Anugerah Khas Alumni UMP telah dimenangi oleh Politeknik Muadzam Shah dengan penyelidikan Fish Feecer Monitoring Android Application.

Sebanyak 58 hasil penyelidikan dipamerkan melibatkan penyertaan daripada pelajar sekolah dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT). 

Pertandingan ini telah dirasmikan oleh Naib  Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff yang turut dihadiri Dekan Kanan Kolej Komputer dan Sains Gunaan, Profesor  Madya Ts. Dr. Ruzaini Abdullah Arshah dan  Pengarah Program ICe-CInno, Dr. Noorhuzaimi@Karimah Mohd Nor.

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, pertandingan ini berjaya menarik minat generasi hari ini dan melahirkan penyelidik muda bermula dari peringkat sekolah, kolej, politeknik serta universiti dalam menyalurkan idea kreatif dan inovatif bagi menghasilkan inovasi berasaskan teknologi komputer.

BIL. 50 OKT 2019

“Inovasi berasaskan komputer ini bersifat universal yang menjangkaui bidang Kejuruteraan, Sains dan Sains Sosial. 

“Ia bertepatan dengan keperluan negara berdepan dengan Era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) dalam meningkatkan produktiviti dan kecekapan seiring transformasi digital. 

“Begitu juga dengan keperluan terhadap teknologi robotik, objek rangkaian internet (IoT), kepintaran buatan (AI), data analitik, pemprosesan imej, perisian, sistem komunikasi mudah alih, dan integrasi sistem digital di antara elemen baharu yang bakal berkembang pada masa depan,” katanya.  

Penganjuran program ini merupakan platform terbaik dalam membudayakan inovasi dan memupuk kreativiti dalam kalangan pelajar, pendidik dan penyelidik melalui penerokaan bidang penyelidikan utama yang bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan tetapi juga meningkatkan kualiti penyelidikan serta amalan semasa dalam industri.


Penyelidikan dan Inovasi

Cipta teknologi baharu persiapan mahasiswa berdepan IR4.0

BIL. 50 OKT 2019

Oleh: NUR SA’ADATUL AFZAN JUSOH, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT.

Sejak tercetusnya Revolusi Perindustrian keempat (IR 4.0) pada pertengahan tahun 2016 dengan membabitkan teknologi automasi, bermulalah cabaran baharu  dalam semua sektor perkhidmatan dan perindustrian negara. 

Ia menuntut perubahan semua pihak seiring transformasi digital agar dapat terus kekal berdaya saing dan merancakkan kemajuan dunia moden, memandangkan ia bakal memberi kesan langsung kepada masa depan dunia pekerjaan kini.

Teknologi robotik, objek rangkaian Internet (IOT), kepintaran buatan (AI), data analitik, pemprosesan imej, perisian, sistem komunikasi mudah alih, percetakan tiga dimensi (3D), keselamatan siber, simulasi, dan integrasi sistem digital di antara elemen baharu yang mula mengambil alih fungsi pekerjaan dan sistem sedia ada.

Antara bidang yang turut bergerak seiring perkembangan revolusi ini ialah pendidikan yang mana antara perkara yang diberikan perhatian serius ialah ruang kerjasama antara institusi pendidikan dan teknikal serta industri.

Pada peringkat pendidikan tinggi misalnya, ia berkisar kepada pembangunan bakat dan bidang teknologi baharu, digital dan kejuruteraan bertujuan mempersiapkan graduan untuk pasaran kerja dalam pengeluaran pintar.

Ketua Pegawai Eksekutif, Penang Skills Development Center, Muhamed Ali Hajah Mydin menggariskan tiga elemen penting yang diperlukan dalam transisi perubahan ke arah IR 4.0 iaitu bakat, proses dan teknologi.

“Bakat memfokuskan individu dan keseluruhan organisasi dengan menekankan strategi ke arah mewujudkan pasukan kerja yang relevan. 

“Sementara itu, teknologi memfokuskan AI, rangkaian dan teknologi automasi pada tiga peringkat yang berbeza manakala proses memfokuskan sistem pengurusan yang terlibat dalam menjalankan operasi, rantaian bekalan dan jangka hayat produk,” katanya.

Walau bagaimanapun, ujarnya kita akan turut berdepan dengan beberapa cabaran yang telah dikenal pasti terutamanya cabaran yang datang daripada industri, graduan, kerajaan, dan pada peringkat institusi. 

“Contohnya, industri akan berdepan dengan graduan baharu yang tidak kompeten, cabaran graduan masa kini juga gemar ‘melompat kerja’ dalam masa tiga tahun dan latihan industri di antara tiga hingga enam bulan yang tidak berstruktur.

“Malahan, graduan Generasi Y dan Z pula berdepan dengan kurang pendedahan kepada situasi sebenar industri yang mana mereka mungkin mahir dengan teknologi tetapi kurang dari segi kolaborasi dan kemahiran menyelesaikan masalah,” katanya.

Justeru, beliau turut menasihatkan graduan supaya perlu didedahkan dengan psikologi industri.

Sementara itu, ujar beliau lagi, kerajaan pula berdepan dengan tekanan daripada industri pembuatan terutamanya dari syarikat multinasional (MNC) dalam hal berkaitan sumber manusia.
 
“Penglibatan pelbagai kementerian seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia juga perlu diselaraskan dengan baik.

“Manakala pada peringkat institusi pula, seperti universiti dan politeknik, cabaran akan wujud dari segi survival untuk menangani kepesatan perubahan teknologi tetapi dalam masa yang sama terikat dengan keperluan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran,” katanya. 

Dalam pada itu, Muhamed Ali juga mencadangkan agar sistem pembelajaran pada peringkat tinggi mungkin memerlukan sedikit perubahan di mana pensyarah dan bakal graduan perlu bersama-sama belajar dan mencipta sesuatu yang baharu. 

Beliau hadir menjayakan Professional Talk Series dengan tajuk ‘Persiapan Peralihan: Bakat, Teknologi, Proses’ anjuran Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (ICoN) bertempat di Bilik Seminar ICoN, UMP Kampus Gambang pada 24 September 2019 yang lalu. 

Turut hadir Pengarah Pusat Jaringan Industri & Masyarakat (ICoN), Profesor Madya Dr. Nurul Hazlina Nordin, Pengurus ICoN, Mohd. Raizalhilmy Mohd Rais, warga UMP dan institusi pendidikan lain sekitar Kuantan. 

Bagi mahasiswa Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif, Amirah Ibrahim berpendapat program ini memberikan peluang menimba ilmu baharu tentang teknologi khususnya bagaimana proses migrasi IR 4.0 dapat dilaksanakan dengan jayanya. 

“Ia dapat memberikan idea dan inspirasi untuk memotivasikan mahasiswa dan mendorong mereka untuk mencipta atau memperbaiki teknologi bagi memenuhi keperluan semasa,” katanya. 


Info Sekitar Kampus

Kisah Akhir Zaman sempena Karnival Mahabbah 10.0

BIL. 50 OKT 2019

Oleh: NUR SA’ADATUL AFZAN JUSOH, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT. 

Setiap Nabi dan Rasul yang diutus kepada umat manusia sudah mengetahui tentang kemunculan Dajal pada akhir zaman. 

Apabila munculnya Dajal ke dunia ini, manusia akan sangat mudah terpengaruh kerana dikatakan Dajal ini  mempunyai kuasa yang boleh mengelirukan manusia. 

Antaranya menyuburkan tanah yang gersang, menyembuhkan orang yang sakit, menghidupkan orang yang mati dan lain-lain kebolehan yang istimewa.

Rasulullah SAW ketika hayatnya bersungguh-sungguh berdoa memohon kepada Allah SWT perlindungan dari bahaya fitnah Dajal dan memerintahkan umat manusia supaya sentiasa berhati-hati dengan Dajal.

Begitulah pengenalan seminar yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Ustaz Haji Mohd Meeftah Anuar yang mengupas tajuk ‘Akhir Zaman’ dalam ceramahnya yang berlangsung di Dewan Tun Fatimah, UMP Kampus Gambang pada 27 September 2019 yang lalu. 

Menurut beliau lagi,  hidup manusia ini akan berhadapan dengan lima perkara iaitu syaitan, nafsu, Qarin, jin, dan manusia itu sendiri yang juga selalu membisikkan kepada kita untuk melakukan perkara yang dilarang.

“Hanya iman yang mampu menahan diri kita daripada tergoda dengan hasutan dan godaan. Amalan zikir harian, berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW dan beristighfar dapat dijadikan sebagai benteng mengawal diri pada akhir zaman,” ujarnya.

Meneruskan bicara, Ustaz Mohd Meeftah berkongsi mengenai sembilan lagi tanda-tanda besar akhir zaman selain munculnya Dajal. 

“Tanda kedua ialah keluarnya asap (Dukhan) yang menyelubungi bumi yang mana menyebabkan cahaya matahari terhalang dan perubahan iklim yang melampau. 

“Jerebu yang dialami oleh negara kita dan negara jiran pada ketika ini cumalah sebahagian kecil sahaja dari Dukhan itu.

“Kemudian Allah SWT mengutuskan Nabi Isa a.s yang diturunkan di sebuah menara putih di bahagian Timur Damaskus bersama dua malaikat untuk memusnahkan Dajal.

“Kedatangan Nabi Isa a.s adalah untuk menyelamatkan hamba-hamba Allah SWT yang soleh. Setelah terhapusnya Dajal, keluar pula Yakjuj dan Makjuj yang mana makhluk ini terlalu hebat. Nabi Isa a.s berdoa meminta pertolongan kepada Allah SWT, lalu Allah SWT menurunkan penyakit sehingga makhluk yang hebat itu semuanya mati,” katanya.

Tambah beliau lagi, seterusnya, matahari akan terbit di sebelah barat, tetapi sebelum itu, bumi akan berada dalam keadaan gelap selama dua atau tiga hari. Ketika matahari muncul semula dari sebelah barat, Allah SWT sudah menutup pintu taubat serapat-rapatnya. 

“Tanda kiamat seterusnya, keluarnya sejenis binatang berkaki empat dari bumi, Dabbah. Dabbah akan berjumpa dan bercakap dengan manusia menggunakan bahasa yang kita fahami. Ia turut membawa dua alat iaitu tongkat Nabi Musa a.s. dan cincin Nabi Sulaiman a.s. 

“Jika ia mendatangi seseorang dan menghulurkan tongkat Nabi Musa a.s., maka wajah orang yang menerimanya akan bercahaya dan begitulah sebaliknya jika seseorang itu menerima cincin Nabi Sulaiman a.s.,” katanya. 

Ustaz Mohd Meeftah menerangkan bahawa gempa bumi akan terjadi sebanyak tiga kali yang akhirnya menyebabkan bumi hancur. 

“Gempa tersebut berlaku di sebelah barat, timur dan di negeri-negeri Arab. Kemudian diakhiri tanda besar kiamat yang ke-10, iaitu api yang keluar mengiringi manusia ke tempat mereka dihimpunkan.

“Apa pun yang terjadi umat Islam harus bersiap siaga, beriman dan beramal soleh kerana itulah hikmah tidak dijelaskan secara panjang lebar mengenai hari kiamat yang tiada siapa tahu kecuali Allah SWT,” ujar beliau. 

Seramai 70 orang yang terdiri daripada warga UMP, agensi kerajaan luar dan enam orang pelajar bukan muslim  turut serta dalam seminar itu. 

Ketika ditanya, Eugene Leong Kai Yi, pelajar tahun 3 daripada Fakulti Teknologi Kejuruteran Kimia dan Proses itu berkata, beliau dan rakan-rakannya berminat untuk mengetahui serba sedikit tentang akhirat dan agama Islam secara amnya. 

Menurut Nolia Jusoh pula dari Jaya Gading, program seumpama ini dapat memberi peringatan kepada kita yang selalu lalai dan mengharapkan pihak PIMPIN meneruskan program-program seperti ini pada masa hadapan.