Skip to main content
HEADER CREATE

Akademik dan Antarabangsa

Kegembiraan berganda

KEGEMBIRAAN BERGANDA

Kesibukan kerja sebagai Pegawai Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang yang berkhidmat di Pejabat KDYMM Sultan Pahang di Pekan tidak menghalang Ahmad Norbadelin Abdul Murad, 50 menamatkan pengajian peringkat Master Eksekutif Pengurusan Projek bersama isterinya, Zuriati Hassan, 50, yang menamatkan pengajian Master Eksekutif Pengurusan Perniagaan di UMP Advanced Education.

“Telah lama saya simpan impian agar suatu masa nanti berjaya berdiri di atas pentas sebagai graduan. 

“Alhamdulillah doa kami dimakbulkan berkongsi pentas dengan isteri,” katanya yang tidak menyangka pada kali ini hadir bergraduasi memandangkan sebelum ini hanya hadir bertugas mengiringi Tuanku.

Beliau bertuah apabila hasratnya untuk menyambung pengajian mendapat sokongan keluarga dan kenalan. 

Walaupun kekangan mereka bukanlah disebabkan anak-anak yang masih kecil namun cabaran terhadap waktu bekerja dan sesi pengkuliahan memandangkan waktu bekerja yang tidak mengira masa.

Masih lagi beliau teringat suatu ketika dahulu, beliau menghadiri kelas dengan lengkap berpakaian baju Melayu, disebabkan terpaksa segera bergegas ke kelas yang diadakan di UMP Gambang sebaik sahaja selesai tugasan. 

Manakala menurut isterinya, Zuriati Hassan yang juga berkhidmat di Pejabat KDYMM Sultan Pahang berkata, usia bukan penghalang untuk terus menuntut ilmu.  

“Kadang kala persekitaran di bilik kuliah itu yang membuatkan semangatnya semakin berkobar-kobar untuk semangat dalam pengajian.

“Walaupun rakan sekelas berusia sekitar usia anak-anaknya, namun mereka tidak lokek ilmu untuk berkongsi ilmu antara satu sama lain. 

“Apa yang penting dalam pelajaran, kita perlu menumpukan perhatian di dalam kelas dan menyiapkan tugasan yang diberikan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya. 

Bagi mereka, menerima pengijazahan yang disempurnakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dalam Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-14 baru-baru ini merupakan kenangan terindah buat pasangan suami isteri ini.  


Pelantikan Baharu

Prof. Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin dilantik TNC (Akademik dan Antarabangsa) UMP

Prof. Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin dilantik TNC (Akademik & Antarabangsa) UMP

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melantik Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin, 52 sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 1 November 2019 sehingga 31 Oktober 2022.

Beliau yang berasal dari Temerloh Pahang ini memiliki kelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) pada tahun 2004 dalam jurusan Kejuruteraan Awam daripada National Center for Asphalt Technology (NCAT), Auburn University, Alabama, Amerika Syarikat (USA) yang merupakan pusat penyelidikan ternama dalam Kejuruteraan Lebuh Raya.  

Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli memperoleh Ijazah Sarjana Kejuruteraan Awam dari University of Kansas, USA (1996), Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Clemson University, South Carolina, USA (1990) dan Diploma in Science, Indiana University, USA (1987).

Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang akademik dan penyelidikan telah berkhidmat selama 29 tahun di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). 

Beliau sebelum ini merupakan Naib Pengerusi Sekolah Kejuruteraan Awam UTM yang bertanggungjawab dalam pembangunan akademik dan pelajar serta merupakan Felo Penyelidik Bersekutu di Pusat Geokejuruteraan Tropika (GEOTROPIK) UTM.

Lain-lain berpengalaman sebagai Ketua Makmal selama lapan tahun, Ketua Kumpulan Penyelidikan Pavemen dan Pengangkutan selama lima tahun dan Pengerusi Panel Penerbitan Buku UTM selama empat tahun. 

Malahan beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Jabatan Geoteknik dan Pengangkutan selama lima tahun dan Timbalan Dekan Akademik selama dua tahun. 

Di samping itu juga, beliau berjaya menerbitkan 400 terbitan termasuk 260 artikel jurnal dengan H-Indeks 26.  

Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff berkata, pihak universiti amat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik atas pelantikan ini.

"Semoga dengan pelantikan ini, UMP terus cemerlang untuk menjadi sebuah universiti teknologi terunggul dalam menerajui bidang Kejuruteraan dan Teknologi terutamanya dalam memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi di negara ini.

“UMP sentiasa memastikan pembentukan kurikulum akademik yang dihasilkan lebih inovatif serta menjadikan infrastruktur akademik lebih efisien berorientasikan keperluan industri dan menyumbang terhadap usaha memasyarakatkan teknologi di negara ini,” katanya.  


Akademik dan Antarabangsa

Mitchell rangkul 2 anugerah Hadiah Kecemerlangan Yayasan Sabah dan Hadiah Kecemerlangan Dwi-Ijazah Verein Deutscher Ingenieure Award

Mitchell rangkul 2 anugerah Hadiah Kecemerlangan Yayasan Sabah dan Hadiah Kecemerlangan Dwi-Ijazah Verein Deutscher Ingenieure Award

Foto oleh: ALUWI MOHD SIKAH, JABATAN PEMBANGUNAN DAN PENGURUSAN HARTA

Mitchell Enrique Kuansin, 24 tahun, walaupun dibesarkan dalam keluarga yang serba sederhana, ia tidak pernah pun mematahkan semangat beliau untuk berjaya dalam pelajaran sehingga menerima dua anugerah iaitu Hadiah Kecemerlangan Yayasan Sabah dan Hadiah Kecemerlangan Dwi-Ijazah Verein Deutscher Ingenieure Award.

Mitchell menerima anugerah berkenaan daripada Canselor UMP, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif (Program Kerjasama Dengan Karlsruhe University of Applied Sciences, Jerman) yang berasal dari Kota Belud, Sabah itu menerima Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) 3.59.

Mitchell antara 3,782 graduan yang menerima skrol masing-masing bersempena Majlis Konvokesyen Ke-14 UMP yang berlangsung selama dua hari bermula 16 hingga 17 November 2019 yang lalu di Dewan Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang. 

Anak sulung dari enam orang adik-beradik ini juga berjaya mendapat pencapaian keputusan dengan memperoleh Anugerah Dekan dalam lima semester. 

“Rakan seperjuangan dan pensyarah banyak membantu saya tetapi penyumbang terbesar kejayaan pada hari ini ialah keluarga saya, khususnya ibu bapa saya yang telah berkorban banyak waktu, tenaga dan wang ringgit.

 “Semoga dengan kejayaan ini, saya dapat membalas jasa mereka terhadap saya,” ujar anak kepada pasangan Kuansin Matindal, 56 dan Mariah Rumantis, 54 tahun. 

Semasa pengajian di UMP, beliau turut menyertai aktiviti kayak, program kesukarelawanan dan juga ahli UMP-HsKA Community Club (UHCC). 

Katanya, satu nilai unik yang dimiliki oleh UMP ialah hubungan yang erat dengan rakan industri. 

“Ini bukan sahaja boleh meningkatkan kebolehpasaran graduan UMP, malah dapat memastikan para graduan mempunyai pelbagai variasi prospek pekerjaan untuk dipilih. 

“Saya berharap dapat mengaplikasi semua ilmu yang ditimba sepanjang berada di UMP dalam bidang pekerjaan dan dalam kehidupan saya,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai kejayaan terbesar dan pengalaman yang beliau tidak dapat lupakan ketika menuntut di UMP, beliau menjelaskan bahawa beliau telah menghabiskan satu semester di University of Applied Science Karlsruhe (HsKA), Jerman.

“Ini merupakan satu pengalaman yang tidak ramai para pelajar dapat miliki. Saya amat bertuah sekali. 

“Satu pengalaman yang sangat menarik dan berimpak positif terhadap kehidupan peribadi saya kerana dapat mengenali budaya sosial dan profesional masyarakat Jerman, bekerjasama dan berinteraksi bersama pelajar dan pensyarah di universiti tersebut serta meluangkan masa untuk mengembara,” katanya. 

Anak muda yang berpegang kepada prinsip selalu melakukan yang terbaik dalam setiap perkara ini turut berpendapat bahawa UMP mempunyai banyak kemudahan dan fasiliti yang baik serta berteknologi tinggi yang boleh membantu para pelajar dalam sesi pembelajaran.  


Akademik dan Antarabangsa

2 sahabat terima Hadiah Kecemerlangan Program  Dwi Ijazah Jerman

2 sahabat terima Hadiah Kecemerlangan Program  Dwi Ijazah Jerman

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT
Foto oleh: ALUWI MOHD SIKAH, JABATAN PEMBANGUNAN DAN PENGURUSAN HARTA

Dua sahabat yang juga merupakan rakan sebilik berkongsi kegembiraan apabila meraih Hadiah Kecemerlangan Program Dwi Ijazah (Verein Deutscher Ingenieure Award) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-14.

Penerima anugerah tersebut adalah Nabilah Rosli, 25 dan Ong Kai Li, 24 penuntut Dwi Ijazah Mekatronik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM).

Nabilah yang berasal dari Terengganu manakala Ong Kai Li yang berasal dari Pulau Pinang meluahkan rasa syukur dan teruja apabila dapat menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan. 

Perbezaan budaya bukanlah suatu halangan buat sahabat ini untuk sentiasa berkongsi pandangan serta idea dalam melaksanakan setiap tugasan yang diberikan oleh pensyarah mereka. 

Ujar Nabilah, beliau sentiasa berpegang teguh kepada prinsip 'Hablum Minallah Hablum Minannas' yang membawa maksud menjaga hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia.

Anak kepada pasangan Rosli Ludin dan Rohani Mamat ini berpandangan bahawa UMP merupakan sebuah universiti yang terbaik dalam membina jati diri insan, baik dari segi akademik, pembentukan jati dan sahsiah diri serta perkembangan teknologi. 

Bagi beliau, untuk terus maju dan berjaya, seorang mahasiswa itu hendaklah senantiasa mencari peluang untuk memajukan diri dan tidak mudah berputus asa kerana sebuah kejayaan tidak akan hadir tanpa usaha yang tidak pernah kenal erti putus asa.

Sementara itu, bagi bagi Ong Kai Li pula, penerima anugerah dekan bagi enam semester sepanjang pengajian berpegang kepada prinsip pemikiran yang positif merupakan kunci kepada kejayaan. 

“Andai kita mampu mengimpikan sebuah kejayaan pastinya kita mampu mengapainya. Bak kata pepatah, 'genggam bara api, biar sampai jadi abu'. 

“UMP merupakan sebuah institut pengajian tinggi awam yang berupaya untuk membina nama negara dalam bidang Kejuruteraan di mata dunia,” katanya. 

Pastinya pengalaman dan kepahitan yang ditempuh semasa pengajian akan menjadi momen terindah dalam hidupnya terutama ketika menjalani program mobiliti di Jerman selama enam bulan.

Pengalaman belajar di Jerman membolehkan beliau belajar mengenai kebudayaan dan teknologi negara tersebut malahan beliau dapat mempelajari kaedah masyarakat Jerman dalam mendidik generasi muda. 

Beliau kini telah berkhidmat di Vitrox Corporation Berhad sebagai Jurutera Pembangunan dan Penyelidikan.

Sementara itu, turut menerima anugerah ini ialah Mitchell Enrique Kuansin, 24 yang turut menerima Hadiah Kecemerlangan Yayasan Sabah.


Akademik dan Antarabangsa

Christysterra Johnny penerima Anugerah Kecemerlangan BID timba pengalaman di Turki

Christysterra Johnny penerima Anugerah Kecemerlangan BID timba pengalaman di Turki

Foto oleh: ALUWI MOHD SIKAH, JABATAN PEMBANGUNAN DAN PENGURUSAN HARTA

“Pengalaman menjadi guru bahasa Inggeris sementara di Altınküre Okullar, Sakarya Turki adalah pengalaman hidup yang paling bermakna sepanjang saya menuntut di UMP,” kata Christysterra Johnny, 23 graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Teknologi Bahan yang menerima Anugerah Kecemerlangan Dimension BID pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-14. 

Semasa di Turki, beliau menjadi guru kepada hampir 200 pelajar berumur dari enam hingga 14 tahun untuk mempelajari dan berinteraksi dalam bahasa Inggeris. 

Beliau juga menimba banyak pengalaman baharu dan turut mempelajari bahasa Turki.

Bangga dilahirkan dengan darah Kadazan, beliau tidak pernah melupakan keluarga yang banyak menyokong dan mendoakan yang terbaik untuk dirinya. 

Bapanya, Johnny John, 50 bekerja sebagai Penolong Am Rendah dan ibunya, Catherina Angkim, 52 pula seorang jururawat.

“Di saat saya jatuh dan kecewa, mereka percaya pada saya dan sentiasa memberikan kata-kata semangat. 

“Kejayaan saya pada hari ini adalah kerana mereka dan saya akan sentiasa berusaha untuk terus membanggakan ibu bapa saya demi membalas jasa mereka,” ujar anak kelahiran Keningau, Sabah ini. 

Christysterra yang cemerlang dalam akademik pernah memperoleh Anugerah Dekan buat tujuh semester. 

Anak kedua daripada lima adik-beradik ini berpegang kepada kata-kata ‘hardwork, works’. 

Tambah beliau lagi, kejayaan tidak akan datang begitu sahaja melainkan daripada hasil kerja keras, ketekunan, kegigihan, tidak mudah berputus asa dan sanggup untuk mengorbankan banyak hal demi mendapatkan ilmu dan nilai-nilai soft skills yang tinggi.

“UMP menerapkan soft skills yang lengkap dari segi kepimpinan sehinggalah keusahawanan dan sesungguhnya dalam semua nilai ini, pelajar telah dididik untuk bersedia sebelum memasuki alam pekerjaan di industri nanti,” katanya.

Beliau yang kini bekerja sebagai jurutera di TG Porcelain Sdn. Bhd. bertanggungjawab terhahap penyediaan bahan dalam pembuatan pembentuk seramik dan merawat sisa air dari industri.

Pada masa akan datang, beliau berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di luar negara kerana baginya, ilmu merupakan pembelajaran sepanjang hayat dan kita perlu mengambil kesempatan dengan setiap peluang yang ada.


Akademik dan Antarabangsa

Chew Wi Kang raih Anugerah Kecemerlangan Perodua

Chew Wi Kang raih Anugerah Kecemerlangan Perodua

“Untuk berjaya kita perlu fokus dan yakin pada diri sendiri untuk mencapai impian yang kita inginkan, bukan sekadar angan-angan kosong, dalam usaha nak capai impian itu pasti ada rintangan dan halangan tapi jadikan ia sebagai pendorong untuk berjaya,” ujar Chew Wi Kang yang menjadi prinsip buatnya sehingga berjaya meraih Anugerah Kecemerlangan Perodua pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-14.

Chew Wi Kang yang merupakan graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekatronik juga membuktikan aktif dalam aktiviti penyelidikan dan program universiti bukan penghalang baginya cemerlang akademik dengan meraih Anugerah Dekan sebanyak enam kali.

Anak bongsu dari tiga beradik ini berkata pengalaman sepanjang di kampus banyak mendewasakannya. 

“Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti, saya akan membahagikan masa antara belajar dengan aktiviti luar dengan baik serta memberi tumpuan sepenuhnya ketika pembelajaran di dalam kelas agar saya tidak tercicir,” katanya. 

Anak kelahiran Johor ini merasa amat gembira kerana berjaya menamatkan pengajian dengan memperoleh Anugerah Kecemerlangan Perodua dengan purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.77.

Beliau kini bekerja sebagai Jurutera Mekatronik di syarikat Al-Sus Industri, Singapura sejak September lalu.

Beliau amat berterima kasih kepada pensyarah yang banyak mengajar, bukan sahaja dalam bidang Mekatronik malah kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan dan soft skill. 


Akademik dan Antarabangsa

Chai Ly Min dinobat penerima Anugerah Kecemerlangan Telekom

Chai Ly Min dinobat penerima Anugerah Kecemerlangan Telekom

Oleh: SHALFARINA BINTI SHAHRIMAN, PENERBIT UMP

Impian untuk menjadi pelajar cemerlang dalam pelajaran akhirnya terlaksana apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Telekom pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-14 pada 16 November 2019 yang lalu.

Chai Ly Min, 24, bersyukur kerana pengorbanannya untuk berjaya dalam pelajaran membuahkan hasil apabila menerima Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.79 sepanjang empat tahun pengajian beliau di UMP. 

“Saya berasa amat gembira dengan kejayaan ini dan sudah pasti ia adalah atas dorongan ibu bapa tercinta, Chai Kok Yew, 67, dan Tan Kam Lin, 57, yang sentiasa menyokong saya untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Saya paling gembira apabila kini telah bekerja sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat swasta di Kulim, Kedah sebelum bergraduasi. 

“Terasa penat lelah saya belajar selama ini terbayar juga akhirnya,” katanya. 


Akademik dan Antarabangsa

Nasrul Arif Zakaria Penerima Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita

Nasrul Arif Zakaria Penerima Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita

Oleh: NUR SA’ADATUL AFZAN JUSOH, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Bijak menguruskan masa merupakan kunci kejayaan kepada anak kelahiran Pahang, Nasrul Arif  Zakaria, 23, graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian yang berjaya mengekalkan Anugerah Dekan pada setiap semester. 

Anak bongsu dari lima beradik ini sama sekali tidak pernah menyangka akan terpilih untuk menerima Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita sempena Majlis Konvokesyen UMP ke-14 pada 16 November 2019 yang lalu.

Ketika rakan seusianya ghairah dengan telefon pintar, media sosial dan permainan atas talian, Nasrul Arif memilih untuk menggunakan masa dengan belajar atau berlatih ilmu baharu seperti membuat reka grafik atau menyunting video dan lain-lain yang mana mungkin berguna untuk masa akan datang sekaligus menjadi nilai tambah untuk dirinya.

Dalam erti kata lain, beliau mempersiapkan diri dengan kemahiran baharu seiring dengan perkembangan teknologi terkini.

Menurut Nasrul Arif, selagi mampu, beliau akan membiasakan diri menyertai program kesukarelawanan kerana daripada program seumpama itu, dapat membuka minda dan menyedarkan kita bahawa ramai orang di luar sana yang memerlukan pertolongan.

“Jika kita mempunyai kelebihan, bantu orang lain yang mungkin mengalami kekurangan supaya keadaan persekitaran akan menjadi seimbang, malah kita akan dapat lebih lagi,” tambah beliau.

Selain itu, Nasrul Arif juga turut meminati bidang pengucapan awam. 

Beliau juga pernah turut serta dalam program I Am Survivor anjuran Alumni UMP selama tiga tahun berturut-turut bermula dari 2017 sebagai penceramah motivasi kaedah pembelajaran di UMP. 

Pada tahun berikutnya, 2018, Nasrul Arif terlibat sebagai fasilitator program dan pada 2019 pula sebagai panel forum.

Nasrul Arif kini merupakan seorang pembantu penyelidik kepada Dr. Munira Abdul Razak, pensyarah Pusat Bahasa Moden sejak dari 2016. 

Ketika ini, beliau turut berkhidmat sebagai freelancer. Nasrul Arif bercita-cita untuk mengembangkan perniagaan sendiri, Nazethics Solution dalam bidang perekaan grafik dan pembinaan yang kini dalam proses pendaftaran.


Akademik dan Antarabangsa

Nurul Nadiah 7 kali Anugerah Dekan terima 2 Anugerah Kecemerlangan

Nurul Nadiah 7 kali Anugerah Dekan terima 2 Anugerah Kecemerlangan

Oleh: NUR SA'ADATUL AFZAN JUSOH, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT
Foto oleh: ALUWI MOHD SIKAH, JABATAN PEMBANGUNAN DAN PENGURUSAN HARTA

Kecemerlangan mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam, Nurul Nadiah Abdul Halim, 24, yang memperoleh Anugerah Dekan untuk tujuh semester berturut-turut dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam benar-benar membanggakan kedua ibu bapa beliau.

Anak sulung kepada pasangan Abdul Halim Abdul Hamid dan Hayati Idayu Mohd Yusoff ini memegang falsafah hidup untuk sentiasa melakukan yang terbaik dalam apa jua bidang yang diceburi dan menjadi individu yang boleh menyumbang kepada perkembangan bangsa, ekonomi dan negara.

Ketika ditanya tentang rahsia kecemerlangannya, Nurul Nadiah berkata, beliau sentiasa membuat persediaan awal, rajin bertanya, mencari rujukan, memberi komitmen, fokus dan tawakal. 

Beliau telah terpilih untuk menerima Anugerah Kecemerlangan UMP Holdings Sdn. Bhd. dan Anugerah Srikandi Matahari sempena Majlis Konvokesyen UMP Ke-14 baru-baru ini. 

Nurul Nadiah turut aktif dalam kokurikulum sepanjang pengajiannya di UMP, malah pernah menyandang jawatan Naib Presiden untuk program Earth Week 2018 dan program Lanjuran Interaksi Bersama Sekretariat EOSH USM 2017. 

Beliau amat meminati kerja kesukarelawanan dan pernah terlibat sebagai sukarelawan dalam Karnival Sukan Bank Rakyat, Program Koi Sayang Alam Sekitar dan Penanaman Semula Pokok Hutan Daerah Bera Fasa 5.

Beliau juga turut aktif menyertai pertandingan berbentuk penyelidikan antaranya Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX), International Festival of Innovation on Green Technology and Ideas (i-FINOG) dan International Innovation and Technology Exhibition (ITEX).

“Pencapaian yang paling membanggakan apabila saya dan ahli kumpulan berjaya meraih pingat emas dalam Pertandingan Reka Cipta UMP (CITREX) 2019. 

“Kami telah menghantar dua penyertaan dan salah satunya berjaya memenangi pingat gangsa. Segala usaha dan kerja keras saya dan ahli kumpulan untuk menyiapkan projek tersebut dirasakan sangat berbaloi” ujarnya lagi.

Ketika ini beliau berkhidmat sebagai jurutera awam dan struktur di sebuah firma konsultan di Kuantan. 

Nadiah turut menyimpan cita-cita untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.


Akademik dan Antarabangsa

Solat dhuha rahsia Nor Syahirah raih 6 kali Anugerah Dekan

Solat dhuha rahsia Nor Syahirah raih 6 kali Anugerah Dekan 2

Foto oleh: ALUWI MOHD SIKAH, JABATAN PEMBANGUNAN DAN PENGURUSAN HARTA

Penerima Anugerah Yayasan Pahang di Majlis Konvokesyen Ke-14 Universiti Malaysia Pahang (UMP), Nor Syahirah Mahmudin, 23, mengakui mengamalkan solat dhuha dan tahajud setiap hari sekaligus menjadi rahsia kejayaannya.

Menurut Syahirah, amalan solat dhuha dan tahajud tersebut dilakukan setiap hari agar memudahkan setiap urusan terutama dalam pembelajaran kerana setiap urusan, kita tak boleh harapkan usaha kita sahaja, sebaliknya perlu yakin dan berharap terhadap pertolongan Allah SWT.

“Syukur Alhamdulillah, saya tidak menyangka terpilih menerima anugerah ini kerana merasakan lebih ramai lagi yang layak berbanding saya. 

“Mungkin kerana dengan berkat sokongan dan doa daripada keluarga, terutama kedua-dua ibu bapa menjadi kunci utama kejayaan yang diterima ini,” ujarnya.

Ibu bapa adalah pendorong kejayaan saya yang membimbing dari kecil hingga kini selain itu kita perlu pelihara hubungan dengan Allah SWT, pensyarah dan rakan-rakan. 

Anak kelahiran Bentong, Pahang ini juga turut meraih enam kali Anugerah Dekan sepanjang pengajiannya. 

Graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pengurusan Infrastruktur) dengan Kepujian itu kini bertugas sebagai Islamic Graduate Traineed di Hong Leong Islamic Bank, Menara Hong Leong.

Anak bongsu dari lima beradik ini berkata dengan penyertaan kita dalam aktiviti di universiti terutama dalam program kesukarelawanan ia secara tidak langsung dapat membantu dan mendekatkan diri kita dengan masyarakat setempat.

Solat dhuha rahsia Nor Syahirah raih 6 kali Anugerah Dekan 2

Selain beliau, empat lagi penerima Anugerah Yayasan Pahang iaitu S Thamilarasi A/P V Sithambaram yang menerima ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia, Sho Yun Feng, Sarjana Muda Pengurusan Projek Dengan Kepujian, Ng Khee Khin, Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) dan Nur Farziana Binti Husein, Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Pembuatan.


Akademik dan Antarabangsa

Wan Hamizan raih Hadiah Kecemerlangan BASF Petronas Chemicals

BIL. 56 NOV 2019

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT
Foto oleh: ALUWI MOHD SIKAH, JABATAN PEMBANGUNAN DAN PENGURUSAN HARTA

Graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia, Wan Hamizan Wan Zainal, 24, menerima Hadiah Kecemerlangan BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd. pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-14 bertempat di Kompleks Sukan Universiti, Gambang.

Anak kepada pasangan Wan Zainal Wan Mat dan Noraini Chong Abdullah ini berkata definisi kejayaan dalam hidup ini ditentukan oleh diri kita sendiri bahkan kejayaan orang lain menjadi inspirasi untuk kita mencapai kejayaan. 

“Kejayaan tidak akan hadir tanpa usaha yang tidak pernah mengenal erti lelah.

“Saya sentiasa berpegang teguh kepada pesanan kedua ibu bapa, jangan pernah malu untuk menuntut ilmu dan bertanya walau dengan sesiapa pun,” katanya yang juga  pernah merangkul Anugerah Emas Universiti dalam Majlis Konvokesyen UMP Ke-11 yang lalu.

Anak ketiga dari lima adik-beradik ini turut berpandangan bahawa mahasiswa boleh dibentuk dengan baik sekiranya mereka menggunakan kemudahan dan fasiliti yang disediakan oleh universiti yang mempunyai tenaga pengajar pensyarah yang cukup profesional dan mahir dalam subjek yang diajari.

Wan Hamizan kini berkhidmat di Lotte Chemical Titan (M) Sdn. Bhd. sebagai Trainee Engineer (Production).


Akademik dan Antarabangsa

Laylatun Qadrina Olahragawati UMP dan Sukarelawan YSS raih anugerah  

BIL. 56 NOV 2019

Oleh: SITI NURAZWIN ZULKAPRI, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT 

Bijak mengatur masa, bekerja keras dan sentiasa fokus dalam setiap yang dilakukan adalah kunci kejayaan buat Olahragawati Universiti Malaysia Pahang (UMP) tahun 2018, Laylatun Qadrina Amrizal yang menerima Anugerah Kecemerlangan Malakoff Corporation Bhd.

Anugerah ini merupakan yang pertama kali diperkenalkan sempena Majlis Konvokesyen UMP Ke-14  pada 16 November 2019 yang lalu. 

Aktif dalam sukan dan aktiviti kesukarelawanan, Laylatun merupakan Atlet Petanque UMP. Beliau pernah menerima Anugerah Sanjungan Pelajar (Kategori Sukan dan Rekreasi) hasil pencapaian cemerlang dalam kejohanan antara universiti dan peringkat kebangsaan. 

Laylatun Qadrina pernah memenangi pingat gangsa di Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi pada tahun 2016 dan 2018, naib johan Kejohanan Petanque Terbuka Remaja 2015 dan beberapa kejayaan yang lain. Malah, beliau juga pernah mewakili Wilayah Persekutuan ke kejohanan Sukan Malaysia.

Beliau bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian dan terpilih menerima anugerah ini berdasarkan kepada keputusan cemerlang dan aktif dalam kokurikulum ketika menuntut dalam jurusan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa).

“Saya merupakan alumni Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) iaitu sebuah Yayasan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 

“Aktiviti sukarelawan merupakan platform terbaik untuk membentuk keterampilan diri yang baik, meningkatkan mutu kepimpinan dan menguji kemampuan diri apabila terlibat dengan misi sukarelawan untuk membantu komuniti di dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau pernah menyumbang bakti dalam Misi Sukarelawan Siswa Antarabangsa di Sabah pada tahun 2017, ‘SCI-Germany Workcamp 2019’ di Cologne, Germany dan mewakili YSS sebagai delegasi dalam persidangan 15th IAVE Asia Pacific Regional Volunteer Conference 2017. 

Ketika berada di tahun akhir pengajian, Laylatun Qadrina telah dinobatkan sebagai penerima anugerah ‘Outstanding Final Year Project (Power and Energy)’ tajaan IEEE-PES Malaysia Chapter 2019 dalam penganjuran  ‘Exhibition of Senior Projects on Electrical & Electronics Engineering (EXSELEN) 2019’.

Laylatun Qadrina berjaya menamatkan pengajian dengan purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.84 sepanjang tiga tahun setengah pengajian di sini dan menerima biasiswa daripada Yayasan Gamuda Berhad. 

Beliau kini bertugas sebagai Jurutera untuk projek Mass Rapid Transit (MRT) bawah tanah aliran dua di bawah Syarikat Gamuda Engineering.


Akademik dan Antarabangsa

Mohammed Shafiq graduan Dwi-Ijazah UMP- HsKA aktif sukan

IMAGE Show row weights FILE INFORMATION	OPERATIONS    Alternative text 2 sahabat terima Hadiah Kecemerlangan Program  Dwi Ijazah Jerman Short description of the image used by screen readers and displayed when the image is not loaded. This is important for accessibility. 2 sahabat terima Hadiah Kecemerlangan Program Dwi Ijazah Jerman.jpg (165.44 KB)  	    Alternative text Christysterra Johnny penerima Anugerah Kecemerlangan BID timba pengalaman di Turki Short description of the image used by screen readers a

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT 
 
Program Pengajian Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif hasil kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan Karlsruhe University of Applied Science (HsKA), Jerman sering dianggap program yang agak sukar bagi sesetengah pendapat. 

Namun, bagi Mohamed Shafiq Abd Salim,24, beliau berjaya membuktikan ianya bukan halangan buatnya yang berjaya dengan cemerlang juga aktif dalam kegiatan sukan. 

Beliau hadir menerima dwi-ijazah bersempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-14 yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti, UMP Gambang pada 16 November 2019 yang lalu.  
 
Graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Automotif (FTKMA) ini juga merupakan pemenang pingat perak untuk skuad memanah dalam Kejohanan Memanah Piala YDP BKM DBKL Ke-52 tahun ini. 

Beliau juga pernah meraih pingat 4th Place Compound Men dalam Johor International Archery Open, pingat gangsa di Compound Team Event,  Kejohanan Sukan IPT Pantai Timur (SIPTAR), pingat gangsa di UMP Indoor Open, kelima keseluruhan terbaik  di Compound Men Macau Indoor Open, pingat gangsa 50m qualifying dalam Kejohanan Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan pingat gangsa pasukan campuran Terbuka Universiti Utara Malaysia (UUM).
 
“Ramai orang beranggapan bila terlalu aktif dalam kokurikulum, susah untuk memberi fokus kepada akademik. Namun bagi saya, perancangan masa dan pembahagian waktu itu sangat penting. 

“Cuba untuk mendisiplinkan diri dengan jadual dan menyiapkan tugasan dalam tempoh yang ditetapkan merupakan antara faktor penting untuk mencapai kejayaan,” ujarnya.
 
Bagi Mohammad Shafiq, tiada perkara yang mustahil jika dilaksanakan dengan betul dan penuh minat serta tiada apa yang susah untuk belajar jika betul-betul minat. 

Anak kelahiran Mersing, Johor ini juga pernah menerima Anugerah Dekan sebanyak dua kali sepanjang menuntut di UMP.
 
Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, ujarnya beliau masih dalam pertimbangan dan berkira-kira sama ada untuk meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya memandangkan beliau kini baharu menamatkan latihan di Korea.

Kini tumpuan akan diberikan terhadap pertandingan yang akan berlangsung pada hujung November ini iaitu 15th Sarawak Indoor Archery Championship dan UMP-Excella International Indoor Archery Championship 3.0 serta beberapa sirkit pertandingan di peringkat kebangsaan. 


Akademik dan Antarabangsa

9 sekeluarga bergraduasi serentak

BIL. 56 NOV 2019

“Orang yang berjaya dalam hidup ini adalah mereka yang nampak hala tuju. Kekuatan bukan hanya datang daripada sudut fizikal sahaja namun ianya datang daripada semangat yang tidak pernah mengalah.” 

Inilah falsafah pegangan hidup bagi Datuk Mokhtar Samad, 73 yang merupakan Penasihat Kehormat Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM). 

Kesibukan kerjaya dalam bidang pembinaan sejak 46 tahun lalu bukan halangan buatnya dalam menimba ilmu pengetahuan di UMP. 

Beliau berjaya menamatkan pengajian Master Eksekutif Pengurusan Projek di bawah UMP Advanced Education (UMPA) dan dinobatkan penerima Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat sempena Majlis Konvokesyen UMP Ke-14 pada 16 dan 17 November 2019 yang lalu. 

Malahan, menjadi sejarah buat keluarganya apabila turut bergraduasi dan berkongsi pentas konvokesyen serentak dengan isterinya, Datin Neng Hayati Hayatullah Md. Ali bersama lima anak dan dua menantunya.

“Anak-anak muda generasi hari ini perlu meneruskan semangat rajin belajar sehingga ke akhir hayat,” ujarnya.  

Isterinya, Datin Neng Hayati Hayatullah Md. Ali, yang merupakan Pengerusi Biro Wanita dan Kebajikan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia turut melahirkan perasaan bersyukur apabila dapat menamatkan pengajian bersama keluarga dan berbangga apabila suaminya berjaya meraih anugerah. 

Begitu juga bagi anaknya, Mokhzairi Mokhtar berkata, dapat belajar bersama menjadikan mereka lebih akrab dan bersaing dalam memastikan mereka dapat menamatkan pengajian bersama. 

Selain Mokhzani, turut berkongsi pentas konvokesyen adalah Nurrul Maria Mokhtar, Mokhzairi Mokhtar, Muhammad Nabil Mokhtar, Nurrul Natasha Mokhtar, Natasha Dhabitah Mat Piah dan Muhammad Hafizal Mohamad. Mereka turut berjaya menamatkan pengajian program Master Eksekutif Pengurusan Projek.


Akademik dan Antarabangsa

Jurutera Eksekutif terima Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat

Executive Engineer receives Lifelong Learning Professional Award (Edited)

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

“Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian,” begitulah pepatah yang dapat digambarkan buat penerima Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat, Lim Poh Ann, 53.

Walaupun beliau terikat dengan tugas hakiki sebagai Jurutera Eksekutif namun ia bukanlah penghalang buatnya untuk menamatkan pengajian dalam Executive Bachelor in Business Management (Majoring in Industrial Operations) di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Menurut Lim, anak kelahiran Muar, Johor ini, dalam hidup ini rahsia kejayaan terletak kepada ketekunan dan semangat juang yang tinggi. 

“Pelajaran kepada sebuah kegagalan adalah keletihan dan mudah beralah namun bagi mereka yang mempunyai keberanian untuk berjuang dan tidak takut akan pengorbanan, kejayaan pasti akan hampiri.

“Terdapat banyak penjelasan berbeza tentang kejayaan dan hanya terdapat satu penjelasan mengenai kegagalan iaitu kegagalan seseorang untuk mencapai matlamat dalam hidupnya dan tidak peduli akan tujuannya. 

“Saya percaya apabila kita sudah melakukan sesuatu pada awalnya pastikan kita tidak lagi menoleh ke belakang dan teruskan hingga ke titik penamat,” katanya. 

Tambah beliau lagi, pengalaman menimba ilmu di UMP akan menjadi kenangan paling manis dalam hidupnya.

“UMP dianggap sebagai Artificial Intelligence (AI) yang membawa maksud keupayaan UMP dalam menyediakan fasiliti dan kemudahan yang bersesuaian dengan kehendak industri,” katanya. 

Beliau berhasrat untuk melanjutkan pengajian di peringkat Master Executive pada suatu hari nanti seterusnya dapat bergelar seorang pensyarah agar dapat melatih lebih ramai
graduan dalam bidang ini khususnya bagi mendepani Industry Revolution (IR) 4.0.


Akademik dan Antarabangsa

Muhammad Nur Alif Re’dzuan berkorban buat ayah tersayang

IMAGE Show row weights FILE INFORMATION	OPERATIONS    Alternative text 2 sahabat terima Hadiah Kecemerlangan Program  Dwi Ijazah Jerman Short description of the image used by screen readers and displayed when the image is not loaded. This is important for accessibility. 2 sahabat terima Hadiah Kecemerlangan Program Dwi Ijazah Jerman.jpg (165.44 KB)  	    Alternative text Christysterra Johnny penerima Anugerah Kecemerlangan BID timba pengalaman di Turki Short description of the image used by screen readers a

Kisah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) Fakulti Komputeran Universiti Malaysia Pahang (UMP), Muhammad Nur Alif Re’dzuan, 24 yang sanggup berhenti kerja sebagai Pengaturcara dan Pereka Grafik di sebuah syarikat di Cyberjaya bagi menjaga ayahnya Re'dzuan Yusof, 59, yang terlantar sakit selepas melakukan pembedahan di bahagian otaknya akibat dari penyakit Left Aneurysm sejak April  lalu pernah tular di media sosial  sebelum ini.

Ujarnya, sebagai anak sulung daripada dua adik-beradik sememangnya menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga ayah sehingga sembuh. 

“Apatah lagi sejak arwah ibunya meninggalkan mereka, ayahlah yang banyak berkorban untuk membesarkan mereka.

“Saya masih ingat lagi, arwah ibu meninggalkan kami tatkala saya berada di tahun satu pengajian di UMP, masih terbayang kata-kata arwah ibu semasa menghantar saya di hari pendaftaran.

“Ibu ingin melihat saya berjaya dan dapat mengubah nasib keluarga suatu hari nanti. Ayahlah yang banyak memberi semangat dan berpesan agar pelajaran mesti diteruskan walaupun ibu sudah tiada,” katanya.

Dengan kata-kata itu, beliau bangkit belajar sehingga tamat pengajian dan berjaya ditawarkan bekerja di Cyberjaya. 

Namun tidak lama kemudian, beliau dikejutkan dengan berita ayahnya demam dan penyakit darah tinggi semakin teruk sehingga menyebabkan urat di kepala membengkak.

IMAGE Show row weights FILE INFORMATION	OPERATIONS    Alternative text 2 sahabat terima Hadiah Kecemerlangan Program  Dwi Ijazah Jerman Short description of the image used by screen readers and displayed when the image is not loaded. This is important for accessibility. 2 sahabat terima Hadiah Kecemerlangan Program Dwi Ijazah Jerman.jpg (165.44 KB)  	    Alternative text Christysterra Johnny penerima Anugerah Kecemerlangan BID timba pengalaman di Turki Short description of the image used by screen readers a

Selepas pembedahan di kepala ayahnya, keadaan ayahnya semakin membimbangkan dan perlu jagaan sepenuh masa sehingga terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja demi menjaga ayahnya. 

“Bagi saya untuk menguruskan ayah sememangnya memerlukan kesabaran dan kadang-kadang memerlukan dua orang untuk membantu terutamanya untuk mengangkat ayah semasa temu janji di hospital kerana semua pergerakan ayah menggunakan kerusi roda,” ujarnya.

Hasratnya untuk meraikan kejayaan di pentas konvokesyen dengan ditemani ayah dan keluarga serta teman-teman seperjuangan terpaksa dilupakan memandangkan keadaan ayahnya tidak mengizinkan untuk ditinggalkan. 

Namun, beliau tidak menyangka saudara-maranya bersungguh-sungguh inginkan Muhammad Nur Alif naik ke pentas untuk menerima ijazah di Majlis Konvokesyen UMP ke-14 baru-baru ini. 

Malahan mereka sanggup memberikan sumbangan kewangan dan tenaga menjaga ayah sepanjang beliau tiada.

Tatkala graduan lain hadir ke majlis konvokesyen bersama keluarga masing-masing, Muhammad Nur Alif menaiki bas bersendirian dari Ipoh, Perak menuju ke UMP bagi menghadiri Majlis Konvokesyen tersebut. 

Beliau juga amat bersyukur kerana rakannya, Helmi Hanoin sudi menumpangkannya untuk tinggal di rumahnya sementara menanti majlis konvokesyen berlangsung.

Memanfaatkan kepakarannya dalam reka bentuk grafik, beliau kini melakukan kerja-kerja membuat reka bentuk grafik dan multimedia di rumahnya yang terletak di Taman Malar Ulu Kinta, Perak. 

Dalam masa yang sama, beliau menghargai bantuan pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Zakat Perak dan semua yang banyak membantu mereka sekeluarga. 

“Kini tahap ayah semakin pulih dan sedang melalui rawatan fisioterapi serta berharap agar ayahnya kembali sembuh seperti sedia kala. 

“Cabaran ini amat berat untuk  ditempuhi tetapi yakin dan percaya pasti ada hikmah di sebaliknya,” katanya.


Akademik dan Antarabangsa

Jika ibu masih ada, dialah insan paling gembira – Nur Shairah 

If mom is still around, she’s the happiest person – Nur Shairah (Edited)

Oleh: SITI NUR AZWIN ZULKAPRI, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Hadir meraikan kejayaan tanpa insan tersayang pastinya mengundang perasaan sedih. Itulah rasa hati Nur Shairah Yahya, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Farmaseutikal) Dengan Kepujian yang hadir menerima ijazah bersempena Majlis Konvokesyen UMP Ke-14 pada 16 November 2019 yang lalu di Dewan Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang. 

Nur Shairah, 23 tahun berkata, arwah ibunya meninggal dunia Oktober tahun lalu disebabkan penyakit dalam perut yang dideritai selama beberapa tahun. 

“Sejak itu, ayahlah tempat kami bergantung. Hari ini ayah saya, Yahya Deraman hadir menyaksikan hari yang penuh bermakna ini bersama-sama dengan adik-beradik lain. 

“Terasa sebak apabila mengenangkan arwah ibu yang sudah tiada.

“Saya tahu jika hari ini ibu ada, pasti dia insan paling gembira melihat kejayaan ini,” katanya 

Lebih manis lagi, Nur Shairah adalah Penerima Anugerah Kecemerlangan Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) Dato’ Majid Mohamad apabila mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.77.

Jelas beliau lagi, ibu sangat berharap dapat melihat saya menerima anugerah, tapi beliau tak sempat melihat saya menyarung jubah konvokesyen. 

‘Namun, saya rasa seolah-olah ibu berada dekat dengan saya.

"Saya anggap kejayaan ini adalah berkat pengorbanan saya untuk ibu ketika hayatnya. 

“Jangan sangka kita berjaya kerana usaha dan kepandaian kita sebaliknya kita lupa ada insan yang mengalirkan air mata mendoakan kejayaan kita,” ujarnya.

Nur Shairah yang kini tinggal bersama bapa dan adik-beradiknya, berhasrat menyambung pelajarannya di peringkat yang lebih tinggi selepas ini dalam bidang Farmaseutikal dan berhasrat untuk mengeluarkan produk sendiri satu hari nanti.


Akademik dan Antarabangsa

Laut Cina Selatan bukan penghalang buat Dr. Mohd. Hafizil

Laut Cina Selatan bukan penghalang buat Dr. Mohd. Hafizil

Oleh: SITI NURFAHMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Berpisah beribu batu dari Semenanjung bukanlah penghalang buat Ts. Dr. Mohd Hafizil Mat Yasin untuk menamatkan pengajian Doktor Falsafah secara separuh masa dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal (Fuel Combustion) di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif, Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Dr. Mohd Hafizil yang bertugas sebagai pensyarah di Terengganu pada mulanya agak keberatan apabila ditukarkan ke Kota Kinabalu namun, akhirnya beliau akur dengan arahan pertukaran tersebut. 

Tidak ternoktah di situ, beliau akhirnya mendaftarkan diri sebagai pelajar pascasiswazah pada akhir 2014.

Berpegang kepada falsafah ‘It doesn’t matter where you come from, what does matter is YOU’, menjadikan beliau sentiasa fokus untuk menghabiskan pengajian selama empat tahun di UMP apatah lagi mendapatkan sokongan yang padu dari keluarga tercinta.

“Tipulah andai tiada kepahitan yang ditempuh apatah lagi apabila mendapat perkhabaran bahawa saya gagal untuk mendapatkan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP), Kementerian Pendidikan Malaysia setelah melepasi peringkat temu duga,” ujarnya.

Namun, anak sulung daripada enam adik-beradik ini akhirnya bangkit untuk meneruskan pengajian walaupun terpaksa menggunakan duit sendiri. 

Berkat kesabaran dan kegigihan, akhirnya beliau mendapat tawaran Sangkutan Industri Pensyarah (SIP) sebagai Pembantu Penyelidik di sebuah syarikat swasta di Kota Kinabalu sekaligus berpeluang untuk menyediakan sendiri rig pengujian enjin (engine test rig) bagi tujuan pengujian bahan api.

Ujar beliau, UMP merupakan sebuah universiti di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang mempunyai misi dan visi yang tersendiri untuk memenuhi keperluan bidang Sains, Pengurusan dan Teknikal dengan keupayaan staf dan prasarana serta kolaborasi dengan syarikat dan institusi bertaraf dunia untuk keperluan semasa dan komuniti setempat.

Dr. Mohd. Hafizil turut menamatkan pengajian Sarjana Separuh Masa dalam Kejuruteraan Mekanikal di UMP. 

Beliau turut meluahkan rasa syukur dan berterima kasih terutamanya kepada penyelia beliau yang sentiasa memastikan beliau fokus terhadap pengajian. 

Dr. Mohd Hafizil akhirnya akan kembali semula ke Semenanjung setelah hampir enam tahun menetap di Sabah.