Skip to main content
HEADER CREATE

MyGift

101 anak staf UMP teruja terima kelengkapan pakaian sekolah baharu

BIL. 59 DIS 2019

“Terima kasih UMP” itulah  ucapan kegembiraan yang lahir daripada salah seorang daripada 55 staf Universiti Malaysia Pahang (UMP)  yang melibatkan 101 penerima sumbangan Program ‘Back to School 2019’  anjuran  Yayasan UMP dengan kerjasama Jabatan Pendaftar UMP dan  Etiqa Family Takaful Berhad di UMP Kampus Gambang pada 18 Disember 2019 yang lalu.

Bapa kepada empat penerima sumbangan kelengkapan pakaian sekolah ini  merupakan Pemandu UMP, Kaharuddin Abdul Karim berkata, tiada apa yang dapat diucapkan melainkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak universiti dan Etiqa di atas sumbangan yang diterima.

“Terharu dengan keprihatinan pihak universiti dalam meringankan beban dari segi pembelian pakaian sekolah dan peralatan persekolahan apabila memasuki sesi persekolahan nanti, tambahan peningkatan kos sara hidup ketika ini yang tidak hanya menyaksikan harga makanan naik, malah turut membabitkan kelengkapan sekolah," katanya. 

Beliau berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dan lebih ramai yang berpendapatan rendah dapat menerima manfaat dari program ini.

Hadir menyampaikan kelengkapan persekolahan itu ialah  Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin kepada 101 penerima bantuan kelengkapan pakaian sekolah bertempat di Blok W, UMP Gambang. 

BIL. 59 DIS 2019

Hadir sama Pro-Pendaftar, Abd. Rahman Haji Safie dan Presiden Kesatuan Kakitangan Sokongan UMP (KESUMP), Abd. Latip Haji Deris.

Dalam ucapannya, Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin berkata, Program ‘Back to School 2019’ merupakan inisiatif Yayasan UMP dengan kerjasama Jabatan Pendaftar dan Etiqa Family Takaful Berhad yang cakna terhadap tanggungjawab UMP dalam menjaga kebajikan staf terutamanya yang memerlukan bantuan. 

“Selain itu, ia dapat meringankan beban staf terutamanya menjelang sesi persekolahan dengan menyumbang bantuan kelengkapan persekolahan kepada anak-anak yang memerlukan. 

“Usaha ini salah satu inisiatif universiti dalam membantu warga UMP dengan usaha mewujudkan Tabung Kebajikan Staf di bawah Yayasan UMP. 

“Penglibatan pelbagai pihak untuk tampil menyumbang dan menderma melalui dana Yayasan UMP berupaya melestarikan ekosistem sedekah dan amal jariah, khususnya untuk manfaat warga UMP dan masyarakat lain amnya,” katanya. 

Program ‘Back To School’ ini juga telah dilaksanakan dengan membantu seramai 200 anak-anak asnaf di sekitar Pekan dan Gambang.

Pada kesempatan ini, anak-anak staf juga berpeluang melawat sekitar kampus universiti dan berkunjung menyaksikan koleksi bahan penyelidikan dan informasi tentang UMP di Galeri UMP.


Akademik dan Antarabangsa

Bina Negara Bangsa Malaysia

BIL. 59 DIS 2019

Nasionalisme atau semangat Kebangsaan merupakan asas penting dalam pembinaan negara bangsa. 

Dengan mengambil satu faktor yang selalu digunakan untuk mengkategorikan sesebuah negara dan bangsa, iaitu bahasa dilihat bukan sahaja merupakan identiti kepada negara dan jati diri kepada sesuatu bangsa, ia juga mempunyai kuasa untuk menyatupadukan rakyat di dalam negara. 

Bahasa juga merujuk kepada pengidentifikasian rakyat dengan negara mereka iaitu penerimaan terhadap kepentingan negara dan aspirasi nasional.

BIL. 59 DIS 2019

Menurut Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (KITA) & Institut Alam dan tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dato’ Dr. Teo Kok Seong, kuasa bahasa ini terbukti  pada sepanjang sejarah manusia di dunia.  

“Misalnya, pada zaman purba, Maharaja Shih Huang Ti, telah berjaya menggunakan bahasa, dalam bentuk sistem ejaan dan tulisan yang dikongsi bersama, untuk menyatupadukan rakyat China yang bertutur dalam pelbagai bahasa. 

“Begitu juga pada zaman moden, bahasa, khususnya bahasa negara, digunakan sebagai alat perpaduan. Ia terbukti berjaya di Barat seperti bahasa Itali dan Jerman adalah dua contoh di Eropah yang sering disebut-sebut.
 
“Di rantau ini, Indonesia dilihat berjaya menyatupadukan rakyat peribumi yang dikatakan terdiri daripada sekitar 1,500 suku yang menuturkan ribuan bahasa yang berlainan,” ujarnya. 

BIL. 59 DIS 2019

Bukan itu sahaja, rakyat Indonesia juga didapati fasih berbahasa negara mereka, bangga, sayang serta setia kepada bahasa Indonesia,” katanya yang hadir menjayakan Program Bicara Cendekiawan Mulia Siri 5 anjuran Pejabat Naib Canselor dan Pusat Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Pekan pada 19 Disember 2019 yang lalu.
 
Menurutnya, negara kita juga berhasrat menggunakan bahasa Melayu, iaitu bahasa negara kita, untuk tujuan penyatupaduan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum. 

“Ia termaktub dalam Laporan Pendidikan Razak pada tahun 1956, dan diangkat menjadi dasar pada Ordinans Pendidikan 1957 yang kemudiannya menjadi Akta Pendidikan 1961 dan 1996.
 
“Dalam Akta Pendidikan 1996 yang telah menggantikan Akta 1961 itu, pada Bahagian 17, melalui judul 'Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Pengantar Utama', ditegaskan bahawa 'Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan'.

“Setelah sekian lama semenjak 1957 lagi, bahasa Melayu diberikan peranan sebagai bahasa perpaduan dalam konteksnya sebagai bahasa Kebangsaan,” katanya. 
 

BIL. 59 DIS 2019

Berkongsi pendapatnya, sejauh mana negara berdaulat ini mendukung bahasa Melayu sehingga ia terserlah sekali sebagai identiti nasional dan bahasa Melayu berjaya menyatupadukan rakyat di negara ini, jawapannya, "Tidak”.
 
Menurut Profesor Dato’ Dr. Teo, bahasa negara yang mampu digunakan di serata tempat di dunia, untuk melahirkan bangsa yang bersatu padu dan identiti linguistik negara sebagai identiti negara dalam konteks bahasa Melayu dilihat gagal di Malaysia.
 
“Sudah tiba masanya, kita meneliti dengan hemat tentang sebab-musabab kegagalan ini. Pada saya, sebab utamanya ialah tiadanya kefasihan dalam sesetengah kalangan rakyat dalam bertutur dalam bahasa Melayu, iaitu bahasa negara ini. 

“Sepatutnya, ada (fatwa bahasa) bahawa setiap warganegara wajib mengetahui bahasa negaranya dengan baik dan juga mempunyai penguasaan yang tinggi terhadapnya. 

“Bukan sahaja faktor tidak fasih ini menjadi masalah, ada semacam usaha penolakan terhadap bahasa Melayu, iaitu adanya ketidakmahuan dalam kalangan kaum Cina misalnya, untuk tidak mengidentifiasikan diri mereka dengan bahasa Melayu,” ujarnya.
 
Namun ujar beliau, masalah tiada kefahaman dalam bahasa Melayu telah lama cuba diatasi oleh pihak kerajaan. 

“Ia dapat dilihat pada usaha kerajaan untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu iaitu cadangan untuk menambah waktu pendidikan mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah vernakular, pada tahap dua, iaitu Tahun 4,5 dan 6, dari 180 minit kepada 270 minit seminggu.
 
“Selain itu, satu lagi usaha ialah untuk menyelaraskan sukatan pelajaran mata pelajaran bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) dan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina dan Tamil). 

“Kedua-dua usaha ini ditolak dengan kerasnya oleh kaum Cina melalui aktivitis pendidikan aliran Cina. Penolakan ini juga dapat dilihat dengan jelas dalam isu pengajaran tulisan Jawi melalui seni khat pada bahan bahasa simpulan bahasa, tidak berapa lama dahulu (pada awal Ogos 2019) dan kini wujud kembali pada pertengahan Disember 2019),” katanya. 
 
Jelas beliau lagi, walaupun setelah kerajaan dilihat ‘beralah’ kepada tekanan aktivis pendidikan vernacular iaitu dengan mengurangkan bahan pengajaran daripada enam kepada tiga halaman daripada jumlah bahan mata pelajaran bahasa Melayu sebanyak 164 halaman di Tahun 4, dan dengan menjadikannya bahan pilihan untuk diajar dan dipelajari. 

“Namun, pertubuhan aktivitis pendidikan aliran Cina, iaitu Dong Jiao Zong, terus mendesak pihak Kementerian Pendidikan untuk melantik mereka menerusi Lembaga Sekolah menjadi penentu kepada pilihan yang bakal dibuat oleh ibu bapa atau Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dalam soal anak-anak Cina belajar tulisan Jawi secara pilihan itu.
 
“Sikap ini sebenarnya adalah anti nasional sifatnya yang mana mereka menentang kepentingan negara iaitu bahasa Melayu ialah bahasa negara dan aspirasi nasional, bahasa Melayu ialah bahasa perpaduan. 

“Lebih-lebih lagi yang dipersetuju bersama dalam Perjanjian Kemerdekaan atau apa yang dikenali sebagai Kontrak Sosial.
 
“Dengan contoh-contoh ini, ternyata kita tidak bersatu padu, iaitu tidak sekata sehati sejiwa dalam soal bahasa Melayu sebagai bahasa Negara,” katanya. 

Menurut beliau lagi, dengan perkataan lain, tiada sokongan padu oleh sekelompok rakyat, untuk menerima, apatah lagi menjayakan kepentingan negara dan aspirasi nasional ini, iaitu bahasa Melayu selaku bahasa negara dan bahasa selaku alat perpaduan.
 
“Dalam pada itu, negara bangsa rata-ratanya merujuk kepada negara yang berdaulat setelah merdeka dan rakyatnya hidup bersatu padu. 

“Bersatu padunya rakyat, sama ada yang homogenous, iaitu terdiri daripada satu kaum seperti Jepun misalnya, atau sebaliknya, iaitu heterogenous, iaitu terdiri daripada pelbagai kaum seperti di Malaysia yang wujud kerana beberapa faktor yang dijadikan dasar negara, antaranya termasuklah bahasa, sejarah, budaya dan nilai yang sama,” katanya. 
 
Siri Bicara Cendekiawan Mulia UMP itu merupakan medan wacana bulanan yang menampilkan tokoh-tokoh berwibawa dari dalam dan luar Malaysia. 

Tokoh-tokoh ini berperanan untuk mengupas isu-isu semasa yang merentasi pelbagai dimensi dari aneka sudut pandang ilmiah bagi manfaat warga UMP dan masyarakat secara keseluruhannya. 

Antara yang pernah menjayakan program termasuklah Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim untuk membicarakan tajuk 'Bahasa Melayu dan Cabaran Pemerkasaan Identiti Nasional Dalam Era Malaysia Baharu'.
 
Turut hadir Naib Canselor UMP, Profesor Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin.


Aktiviti Pelajar

Pembentukan Sinergi Kepimpinan MPP Baharu

BIL. 59 DIS 2019

Barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) baharu yang dilantik diharap dapat menggunakan peluang ini sebagai platform untuk menjadi seorang pemimpin yang berkaliber dan bergerak lebih maju ke hadapan.

MPP harus berperanan dan bertanggungjawab dalam mempromosikan aspek penyuburan budaya kegembiraan, kebahagiaan, hormat-menghormati dan kemanusiaan  melalui pelbagai program dan aktiviti supaya UMP terus harmoni dan berseri dengan suasana kampus yang kondusif untuk tujuan pengajian dan juga perpaduan.

Naib Canselor UMP, Profesor.Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff menyarankan agar proses pembentukan pasukan dan sinergi organisasi MPP segera dilaksanakan. 

“Kepimpinan MPP ini mempunyai peranan besar dalam era transisi untuk meluaskan worldview mahasiswa UMP supaya lebih cakna dan bertanggungjawab dalam soal pengurusan diri.

BIL. 59 DIS 2019

“Dengan kematangan yang mendasari kepimpinan mereka, maka MPP merupakan satu training ground for statesmanship yang mana barisan kepimpinan ini perlu belajar untuk bertanggungjawab (accountable) terhadap sebarang keputusan yang dibuat dan tindakan yang diambil,” ujarnya yang berucap dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan MPP Sesi 2019/2020 bertempat di Bilik Mesyuarat Senat,UMP Pekan pada 13 Disember 2019 yang lalu. 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts.Dr. Yusserie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli.

Tambah beliau lagi, dengan mewujudkan pasukan pemimpin yang mantap membolehkan tanggungjawab kepimpinan dapat ditunaikan dengan lebih berkesan tanpa perasaan prejudis dan curiga. 

“Apa yang lebih penting, keupayaan MPP berperanan sebagai suara mahasiswa secara profesional tanpa dipengaruhi sebarang sentimen negatif sama ada dari dalam atau luar kampus dan kematangan kepimpinan MPP berinteraksi dengan pihak pengurusan melalui rundingan dan musyawarah yang harmoni dan profesional hendaklah dikekalkan.

“Kepimpinan MPP juga perlu berusaha keras untuk memupuk kesedaran muhibah dan perpaduan yang tinggi dan mendalam dalam kalangan mahasiswa berbilang kaum, agama dan negara demi kesejahteraan pengalaman kampus mereka di sini.

“Pihak universiti mengucapkan tahniah kepada urus setia mahasiswa yang diketuai oleh mahasiswa Fakulti Komputeran UMP, Mohamed Al Fateh Ab Razak dan Adam Jawahar serta pasukan atas keupayaan menguruskan pemilihan MPP kali ini dengan lancar, teratur dan tenteram tanpa sebarang masalah atau kejadian yang serius,” katanya. 

Tambah beliau, kejayaan eksperimen tersebut memberi keyakinan kepada pihak pengurusan untuk terus mengekalkan penglibatan mahasiswa semaksimum mungkin dalam urusan pemilihan MPP yang akan datang.

“UMP turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Zakwan Zulkifli, mantan Yang di-Pertua dan Kabinet MPP Sesi 2018/2019 atas perkhidmatan dan sumbangan yang telah diberikan,” katanya. 

Majlis turut menyaksikan Yang di-Pertua MPP UMP 2019/2020, Mohd Fitri Zulkaffli mengetuai acara mengangkat sumpah jawatan MPP dan menandatangani dokumen disertai seramai 42 perwakilan termasuklah Timbalan Yang di-Pertua Pekan, Muhammad Syahiruddin Mohd Sabri, Timbalan Yang di-Pertua Gambang, Che Muhammad Harith Ab Halim dan Setiausaha Agung, Nurul Ishafira Ismail.


Info Sekitar Kampus

UMP kenang jasa staf, rai felo tamat pengajian

BIL. 59 DIS 2019

Pengalaman 18 tahun berkhidmat sebagai staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang kemudiannya bertukar nama kepada Kolej Universiti Teknologi dan Kejuruteraan Malaysia (KUKTEM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) memberikan banyak kenangan buat Nor Ashikin Abul Aziz  yang kini telah menamatkan perkhidmatan sebagai pensyarah di Pusat Bahasa Moden dan bersara pada umur 60 tahun pada 3 Oktober 2019 yang lalu.

Berkongsi pengalaman, Nor Ashikin bersyukur apabila berpeluang menimba pengalaman dan menyumbang bakti di universiti ini dan menasihatkan para pensyarah agar terus mendidik anak bangsa dengan ikhlas. 

BIL. 59 DIS 2019

Beliau merupakan antara lapan orang staf universiti yang  bersara pada tahun ini dan dirai dalam Majlis Jasa Dikenang 2019 dan Majlis Apresiasi Staf dan Felo Tamat pengajian anjuran Jabatan Pendaftar di UMP Pekan pada 16 Disember 2019 yang lalu.  

Mereka yang turut diraikan adalah Haji Zahari Muda dari Bahagian Keselamatan UMP, Nik Mohd Kamil Nik Yusof dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Haji Ruslan Che Pee dari Perpustakaan, Profesor Madya Dr. Norrihan Sulan, Abd Khadir Shafie dari Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta (JPPH), Suriya Kumar A/L V Sinnadurai dan Nor Ashikin Abdul Aziz dan Profesor Dato’ Dr. Hasnah Haron dari Fakulti Pengurusan Industri.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UMP, Profesor  Dr. Wan Azhar Wan Yusoff bertempat di Dewan Bankuet, Canseleri UMP Pekan dan pengurusan universiti. 

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, majlis ini merupakan sebahagian inisiatif dan komitmen pihak pengurusan untuk konsisten mendekati serta berinteraksi dengan warga kerja dan pesara UMP dengan semangat kekeluargaan.

BIL. 59 DIS 2019

“Manakala pesara atau bakal pesara juga boleh terus memberi sumbangan apa sahaja mengikut kepakaran masing-masing termasuklah menyumbang derma untuk Yayasan UMP serta lain-lain yang dapat dimanfaatkan komuniti di universiti ini,” katanya.

Pada masa yang sama majlis turut meraikan 30 staf dan felo yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah. 

Daripada jumlah tersebut, seramai enam orang staf akademik yang berjaya bergraduasi dalam tempoh pengajian asal atau lebih awal dari tempoh kelulusan  asal dan mereka menerima sijil penghargaan khas dan insentif kecemerlangan melalui program Graduate On Time (GOT).

Profesor .Ir. Dr. Wan Azhar mengucapkan tahniah kepada 30 staf dan felo yang berjaya menamatkan pengajian itu dan mengharapkan agar mereka dapat menjalankan tanggungjawab yang diberikan ke arah kecemerlangan universiti.

“Sehingga kini, bilangan pensyarah yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) di UMP telah mencapai 67.2 peratus dengan pencapaian ini diharapkan staf akademik dapat memberikan sumbangan dalam kepakaran masing-masing agar memberi manfaat kepada universiti dan masyarakat setempat selaras dengan tagline UMP 'Memasyarakatkan Teknologi' yang mendasari Pelan Strategik UMP 2020,” katanya.

Antara penerima insentif kecemerlangan melalui program Graduate On Time (GOT)  adalah Dr. Noor Intan Shafinas Muhamad dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Dr. Muhammad Rusydi Mohamad Yasin dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik, Dr. Mohd Fazli Farida Asras, Nazira Mahmud  dan Nurhaizan Mohd Zainudin dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri serta  Dr. Noradilah Md Nordin dari Pusat Sains Kemanusiaan.

UMP turut mengabadikan kenangan buat tiga orang staf yang telah kembali ke rahmatullah tatkala masih dalam perkhidmatan di universiti. Ketiga-tiganya telah berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada UMP sepanjang hayat mereka dan ketiadaannya amat dirasai sehingga kini.

Mereka adalah Allahyarham Arman A. Rahim dari Jabatan Pendaftar, Allahyarham Said Ismail dari Pusat Sukan & Kebudayaan dan Allahyarham Abd Karim Ibrahim dari Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta (JPPH).


MyGift

UMP, Etiqa bantu 200 anak-anak asnaf terima bantuan kelengkapan sekolah

BIL. 59 DIS 2019

Seramai 200 pelajar sekolah rendah dari 11 buah sekolah sekitar Pekan yang terdiri daripada anak-anak golongan berpendapatan rendah (B40) seronok menerima pakaian dan kelengkapan sekolah baharu dalam program Program ‘Back to School 2019’ anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Etiqa Family Takaful Berhad  dan Yayasan UMP di Pekan pada 19 November 2019 yang lalu. 

Hadir menyampaikan sumbangan ialah Dekan Perkhidmatan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP, Profesor Madya Dr. Mansor Sulaiman dan  Ketua Pegawai Eksekutif  Etika Takaful Berhad Wilayah Timur, Tengku Saifuddin Tengku Zainal Abidin bertempat di Dewan Serbaguna,UMP Kampus Pekan. 

Hadir sama Pro-Pendaftar, Abd. Rahman Safie dan Pengarah Pusat Jaringan Industri & Masyarakat Jabatan Industri & Masyarakat Jabatan Penyelidikan & Inovasi,  Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin.

Program ‘Back to School 2019’ merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) UMP dan Etiqa Family Takaful Berhad bagi memberi bantuan kelengkapan persekolahan kepada pelajar yang memerlukan. 

BIL. 59 DIS 2019

Menurut Profesor Madya Dr. Mansor. penganjuran program merupakan hasil kerjasama erat antara pihak UMP dan Etiqa memperkukuhkan lagi jaringan strategik kedua-dua pihak yang telah sedia terbina.

“UMP sentiasa terbuka dan bersedia untuk meneroka ruang dan potensi kolaborasi strategik yang lebih luas dengan pihak Etiqa. Ini termasuk  perkongsian kepakaran saintifik dan teknikal Universiti ini dengan fokus urusan dan teras Etiqa sama ada dalam bidang Akademik atau Corporate Social Innovation (CSI).

“Dalam hubungan ini pelbagai inisiatif libatsama sosial (social engagement) akan terus diatur gerak bagi memastikan  masyarakat umum, khususnya rakyat di Negeri Pahang menerima manfaat daripada kewujudan universiti ini. 

“Pihak pengurusan universiti sentiasa menyambut baik sebarang hasrat daripada mana-mana jabatan, agensi, syarikat berkaitan kerajaan, badan swasta, pertubuhan awam atau individu untuk berkolaborasi dalam pelbagai bentuk demi faedah umum,” katanya.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif, Etika Takaful Berhad Wilayah Timur, Tengku Saifuddin Tengku Zainal Abidin pula berkata, sumbangan ini merupakan zakat Etiqa yang disumbangkan terus kepada UMP. 

“Pendidikan merupakan asas yang penting untuk mengubah kehidupan seseorang hingga ke pengajian tinggi  malah penting untuk mencorak kehidupan di masa hadapan. 

“Pihak Etiqa sebelum ini telah menyumbang sebanyak RM130,000 bagi bantuan Zakat Pelajar bagi tahun 2019 dan RM120,000 bagi tahun 2018 ke tabung Yayasan UMP. 

“Bermula tahun 2012, anggaran sumbangan Etiqa kepada UMP dianggarkan RM360,000 melalui pelbagai program yang memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan,” katanya. 

Bagi penerima manfaat bantuan yang merupakan pelajar tahun lima dari Sekolah Kebangsaan Ubai, Muhammad Haziq Firdaus Muhammad, 11, beliau turut berkongsi kegembiraan dengan rakan lain apabila menerima pakaian sekolah dan peralatan sekolah yang baharu dan tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan pada 2 Januari depan.  


Akademik dan Antarabangsa    

Rancang pengajian PhD Sasar ‘GOT’

BIL. 59 DIS 2019

Cabaran bertukar penyelia di saat akhir bukan halangan buat pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Mohamad Rusydi Mohamad Yasin menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan.
 
Menurut beliau, pihak universiti telah memberi ruang kepadanya, justeru, saya harus membalas kepercayaan yang pihak universiti berikan. 

“Dengan tekad itu, saya telah berusaha sehabis mungkin untuk menyudahkan pengajian ini.
 
“Pada masa itulah merupakan dugaan terbesar buat saya, sewaktu berdepan situasi yang mungkin menggagalkan niat untuk capai sasaran menamatkan pengajian. 

“Namun, bantuan dan sokongan rakan-rakan terutamanya pegawai di Jabatan Pendaftar memberikan saya semangat baharu,” katanya. 
 
Ujarnya, hasil perbincangan dengan pihak universiti dan penyelia yang baharu, akhirnya pengajian dapat diteruskan. 

“Pada ketika itulah banyak masa perlu dikorbankan termasuklah di hujung minggu dan pulang ke rumah selepas jam 12.00 malam,” katanya. 
 
Lebih membanggakan, Dr. Mohamad Rusydi berjaya mencapai sasaran apabila berjaya menamatkan pengajian dalam pengajian Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam tempoh empat tahun bermula 20 Ogos 2015 hingga 19 Ogos 2019 di Purdue University, United States.
 
Beliau yang kini merupakan pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik  dirai bersama 30 staf akademik yang lain dalam Majlis Apresiasi Staf dan Felo Tamat Pengajian anjuran Jabatan Pendaftar pada 16 Disember 2019 yang lalu. 
 
Berkongsi pengalaman ketika berada di dalam dunia PhD, beliau berkata perancangan dengan penyelia amat penting dan jangan pendam masalah. 

Beliau menasihatkan mereka yang sedang menyambung pengajian agar terus istiqamah dalam setiap tindakan yang dilakukan untuk mencapai apa yang dinginkan. 

“Cabaran berbeza mengikut masing-masing namun ini adalah kemanisan dalam dunia PhD.
 
“Selain itu, belajar di luar negara turut memberikan saya pengalaman terutamanya mengenali gaya hidup dan budaya masyarakat di United States yang dilihat lebih terbuka, berani dan rajin bekerja. 

“Memandangkan kajian yang dijalankan berkaitan dengan industri memberikannya peluang menimba pengetahuan dalam dunia kerja sebenar bagi menyelesaikan masalah industri,” ujarnya. 

Sebagai pensyarah, beliau berbangga dengan pencapaian universiti kini terutamanya dalam penarafan dan diiktiraf dunia. 

Kejayaan ini diharapkan berterusan dan sebagai pensyarah muda harapnya dapat menyumbang sama atas kejayaan ini.

Turut sama menerima insentif kecemerlangan melalui program Graduate On Time (GOT) adalah Dr. Noor Intan Shafinas Muhamad dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Dr. Mohd Fazli Farida Asras, Nazira Mahmud dan Nurhaizan Mohd Zainudin dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri serta  Dr. Noradilah Md Nordin dari Pusat Sains Kemanusiaan.


Info Sekitar Kampus

Ilmu keusahawanan bantu mahasiswa UMP 

BIL. 59 DIS 2019

Oleh: NOOR SYAHIDAH SABRAN, PUSAT KEUSAHAWANAN UMP

Program penambahbaikan inisiatif keusahawanan dan maklum balas yang disampaikan Dr. Suraya Sulaiman daripada Alpha Catalyst Consulting memberi peluang mahasiswa lebih bersedia mendalami bidang perniagaan. 

Program anjuran Pusat Keusahawanan UMP (MyPACE) ini turut membabitkan penyelaras keusahawanan bersama mahasiswa yang terlibat sebagai usaha untuk memperkasakan agenda keusahawanan negara.

Program ini merupakan satu kajian Impak Perlaksanaan Program Keusahawanan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia yang bertujuan untuk mengkaji keberkesanan inisiatif di bawah Pelan Strategik Keusahawanan IPT 2016-2020 dan pada masa yang sama memperincikan hala tuju pelan strategik yang baharu melalui analisa kritikal terhadap penerimaan dan prestasi semasa, isu, cabaran dan jurang serta impak kepada pewujudan ekosistem kondusif komuniti.

Menurut Dr. Suraya, antara salah satu fokus utama dalam sesi ini ialah untuk menangani isu di antara Job Creater dan Job Seeker yang sedang hangat diperkatakan pada masa kini. 

“Beberapa perkara asas yang dicadangkan agar diberikan perhatian adalah seperti pendedahan ilmu keusahawanan di peringkat pengajian rendah dan latihan keusahawanan yang komprehensif serta berstruktur  diperkasakan di peringkat pengajian tinggi bagi membantu anjakan minda mahasiswa dan graduan pada masa kini.

“Dalam pada itu juga pendekatan terbaik, penilaian semula dasar serta inisiatif, analisis kekangan, peluang penambahbaikan serta ekosistem dan pembudayaan keusahawanan juga merupakan antara elemen penting yang ditekankan supaya mampu melahirkan mahasiswa dan graduan usahawan yang berdaya saing pada masa akan datang.

“Walau apapun yang dipilih, kedua-dua mind set ini tetap menyumbang kepada pembangunan negara dan yang membezakan adalah cara kerja, usaha serta hasil yang diperoleh adalah mengikut daya saing dan ketahanan masing-masing,” katanya.

Menurut Pengarah Pusat Keusahawanan (MyPACE), Profesor Madya Ts. Dr. Hadi Manap pula, pihaknya telah menganjurkan pelbagai program bagi memberi peluang mahasiswa mendalami ilmu keusahawanan agar lebih bersedia untuk menawarkan perkhidmatan dan perniagaan yang terbaik kepada golongan sasaran juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. 

“Penganjuran program ini juga adalah sebagai inisiatif dalam menyuburkan dan membudayakan aktiviti keusahawanan di UMP,” katanya. 

Manakala bagi siswazah Sarjana Kejuruteraan Kimia, Mohd Nazarni Che Isa, program ini amat memberi manfaat buat mahasiswa. 

“Malahan untuk menjadi Job Creator adalah bukan satu yang mudah tetapi tidak mustahil. 

“Ia boleh bermula dengan sekecil-kecil perniagaan bagi mendapatkan pengalaman dan merasai tahap ketahanan,  sebelum mengorak langkah untuk meneroka aktiviti perniagaan yang berskala besar,” katanya. 

Lebih 30 orang mahasiswa yang terpilih merangkumi pelbagai bidang dan tahun pengajian berlangsung pada 11 Disember 2019 yang lalu. 

Program sehari itu dimulakan dengan sesi perbincangan bersama pengurusan Pusat Keusahawanan pada sebelah pagi bagi mendapatkan maklum balas dan isu-isu utama keusahawanan seperti berkaitan fungsi, skop dan polisi keusahawanan.

Program pada sebelah petangnya pula melibatkan sesi bersama mahasiswa dan penyelaras keusahawanan fakulti yang lebih berfokuskan kepada pembelajaran dan ilmu keusahawanan yang diperoleh di universiti.