Skip to main content
HEADER CREATE

Akademik dan Antarabangsa

7 subjek UMP disenarai dalam penarafan dunia

BIL. 68 FEB 2020

Sebanyak tujuh subjek Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai senarai universiti elit dunia apabila tersenarai dalam QS World University Rankings by Subjects 2020 yang diumumkan baru-baru ini. 

Tujuh subjek berkenaan adalah bidang Kejuruteraan dan Teknologi (386), Kejuruteraan Kimia (151-200), Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik (401-450) Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan (351-400), Sains Tulen (Kimia) (451-500), Sains Tulen (Sains Bahan) (351-400) dan Sains Sosial dan Pengurusan (Pengajian Perniagaan dan Pengurusan) (451-500).

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin berkata, semua subjek disenaraikan berdasarkan prestasi berdasarkan empat petunjuk iaitu reputasi akademik, reputasi siswazah oleh majikan, jumlah artikel yang diindeks dan indeks H yang juga diekstrak dari Scopus.

“Pada keseluruhannya, UMP menunjukkan peningkatan hasil pencapaian baik  bagi reputasi graduan oleh majikan dan indeks H dari Scopus selain kejayaan pensyarah yang menghasilkan penulisan penyelidikan berkualiti dan dijadikan rujukan antarabangsa," katanya.

Kejayaan ini memberikan inspirasi buat mahasiswa UMP untuk berkongsi kejayaan. 

Menurut Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2019/2020, Mohd Fitri Zulkaffli, daripada Fakulti Komputeran, pencapaian UMP tersenarai dalam Penarafan QS World University Rankings by Subject bagi tahun ini membuktikan universiti ini sedang berada di landasan yang tepat dalam merealisasikan visinya untuk menjadi sebuah Universiti Teknologi Terunggul menjelang 2050.

“Penarafan ini lebih manis setelah kejayaan UMP memahat nama di tangga ke-134 Asia (QS University Ranking Asia 2020) dan di kedudukan 751–800 Dunia (QS World University Rankings 2020). 

“Sebagai sebuah universiti dengan penarafan 5 bintang (QS Stars Rating System), kualiti akademik dan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) semestinya dititikberatkan oleh universiti dalam usaha untuk memastikan graduan UMP kekal relevan dan memenuhi permintaan industri,” katanya.

Tambahnya sebagai mahasiswa di UMP, beliau sangat berbangga dengan pencapaian yang dilakar oleh universiti ini. 

“Mahasiswa UMP khususnya graduan akan menerima manfaat kesan dari penarafan ini khasnya apabila mereka mula melangkah ke alam pekerjaan kerana jenama UMP sebagai universiti teknologi terunggul akan memberikan reputasi yang baik kepada graduan UMP,” katanya. 

Sementara itu, Ahmad Rifqi Mohd. Jerome Rinjes yang merupakan Naib Yang di-Pertua (Komunikasi dan Korporat) MPP 2019/2020 daripada Kolej Kejuruteraan turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian UMP yang mana sebanyak tujuh subjek yang diajar di universiti ini tersenarai dalam Penarafan QS World University Rankings by Subject.

BIL. 68 FEB 2020

“Pencapaian ini telah meyakinkan diri saya sebagai seorang pelajar UMP apabila ingin memperkenalkan UMP kepada warga awam dan orang luar secara global untuk menuntut ilmu dan berkolaborasi dengan UMP.

“Selain itu, perkara ini juga akan meningkatkan semangat mahasiswa untuk menyumbang kepada lain-lain pencapaian yang akan datang. 

“Saya mengharapkan UMP akan terus berusaha dalam mencapai kejayaan terutamanya dalam melahirkan graduan holistik,” katanya. 

Manakala menurut Yasmin Izureen Ibrahim daripada Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), hari demi hari, prestasi cemerlang dan keunggulan UMP semakin terserlah di mata masyarakat. 

“Kejayaan ini semestinya menjadi kebanggaan buat seluruh warga dan tenaga kerja UMP yang sentiasa berganding bahu dalam mengharumkan nama UMP di mata dunia. 

“Pastinya UMP menjadi pilihan yang terbaik untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma, ijazah mahupun di peringkat yang lebih tinggi. 

“UMP juga merupakan sebuah platform yang tepat untuk mahasiswa mengasah dan mengembangkan potensi diri sama ada dari segi kemahiran komunikasi, soft skills dan juga bakat kepimpinan agar dapat menjadi mahasiswa yang berdaya saing dan mempunyai kelas yang tersendiri,” katanya. 

Beliau juga  percaya dengan penarafan ini merupakan kredit tambahan bagi mengetengahkan dan memperkenalkan graduan UMP yang kompeten di pelbagai sektor dan industri sekali gus meyakinkan majikan yakin terhadap graduan UMP.

Turut berkongsi kejayaan adalah mahasiswa Kolej Kejuruteraan, Jabatan Kejuruteraan Kimia iaitu Amyleen Barnabas Alex. 

Menurutnya, kejayaan UMP ini telah memberi kesan yang amat positif kepada dirinya dan seluruh warga UMP. 

Beliau berharap agar UMP akan terus mencipta nama di seluruh Malaysia dan juga di persada dunia dengan kerjasama seluruh warga universiti.

Manakala Ong Voon Chyi dari Kolej Kejuruteraan, Jabatan Kejuruteraan Kimia mengucapkan syabas buat warga kerja dan mahasiswa UMP. 

“Saya berbangga kerana dapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di sebuah universiti teknologi yang bertaraf antarabangsa. 

“UMP bukan sahaja fokus kepada pencapaian bidang akademik pelajar malahan juga jasmani dan rohani setiap orang pelajar. 

“Semoga UMP dapat merealisasikan visi dan misi dengan memaksimumkan potensi mahasiswa supaya dapat memanfaatkan masyarakat setempat. 

“Usaha ini akan menjadikan UMP lebih dikenali di dalam negara dan di peringkat antarabangsa,” katanya. 


Terbitan Terkini

4 buku terbitan UMP dilancar sempena BBW

BIL. 68 FEB 2020

Buku travelog perjalanan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam membangunkan perniagaan sehingga berjaya berjudul ‘Saya Datang, Saya Lihat, Saya Takluk’ hasil nukilan mahasiswa Keusahawanan dan Pusat Keusahawanan telah dilancarkan pada 5 Mac 2020 yang lalu. 

Sebanyak empat buku UMP dilancarkan bersempena Pesta Jualan Big Bad Wolf (BBW) yang berlangsung pada 28 Februari sehingga 9 Mac 2020 di Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang.

Buku yang berjudul ‘Achtung, Achso, Viel Spass!!.’ pula merupakan  hasil nukilan Pensyarah UMP, Profesor Madya Ir. Dr. Mohamad Rizza Othman dan Mardhiyah Mat Hussin yang memaparkan pengalaman suka duka berada di negara Jerman.

Dua buah buku lagi berjudul ‘Memimpin Yang Terpimpin” mengenai model Kompetensi Bakat dan Kepimpinan Universiti Awam (UA) yang ditulis oleh Pensyarah Fakulti Pengurusan Industri, Dr. Mohamad Rozi Hassan dan Ismie Roha Mohamed Jais. Manakala buku berjudul 'Wonder of Oud' adalah hasil nukilan Dr. Puteri Fadzline Muhammad Tamyez, Dr. Fazeeda Mohamad, Profesor Madya Dr. Cheng Jack Kie dan Norul Amalina Sabri.

Majlis dilancarkan oleh Pengarah Pusat Keusahawan, Profesor Madya Ts. Dr. Hadi Manap dan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Arief Hakim Sani Rahmat. 

Hadir sama Pengurus Kanan Pejabat Naib Canselor UMP, Zainuddin Mat Husin, Pegawai Penerbitan Kanan, SUARA UMP (dahulu dikenali sebagai Penerbit UMP), Muhammad Azli Shukri dan Raymond Yeo Chin Hean  daripada Kualiti Books Sdn Bhd.

Pesta Jualan Big Bad Wolf (BBW) menyaksikan sebanyak 250 ribu naskhah buku yang menawarkan dengan potongan harga yang menarik serendah RM 1 menjadi tarikan utama.

Menurut Muhammad Azli, penganjuran BBW 2020 di UMP ini merupakan kali kedua  dianjurkan  selepas sambutan yang menggalakkan dari BBW yang telah diadakan pada tahun lepas. 

“Sambutan sejak hari pertama yang diterima amat menggalakkan apabila pengunjung mula mengunjungi BBW ini seawal jam 9.00 pagi lagi,” katanya. 

Beliau mengharapkan masyarakat sekitar dapat mengambil peluang sebaik mungkin dengan berkunjung bersama keluarga memandangkan terdapat banyak pilihan buku termasuklah yang sesuai untuk kanak-kanak hingga dewasa dengan tawaran potongan harga yang amat berpatutan. 

Selain itu juga terdapat aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bersama pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automatif dalam penghasilan eksperimen sains dan terdapat ikon-ikon animasi Malaysia seperti Ejen Ali juga Boboiboy sebagai tarikan pengunjung pada kali ini.  


Jejak Alumni

Mahasiswa Kejuruteraan ceburi perniagaan percetakan di dalam kampus

BIL. 68 FEB 2020

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM UNIT PERHUBUNGAN AWAM DAN MEDIA, PEJABAT NAIB CANSELOR 

Menyedari minat mahasiswa universiti memiliki pakaian sukan yang beraneka warna dan jenis ini memberi idea buat mahasiswa Teknologi Kejuruteraan Awam, Pan Chuan Sin, 24 mengorak langkah menceburi bidang perniagaan mencetak pakaian sukan dalam kampus.

Beliau memulakan perniagaan dalam bidang percetakan dengan memfokuskan kepada perkhidmatan cetakan pakaian sukan antaranya Jersey, Jersey Full Set with Pan, Muslimah Long Sleeve, Plain T, Sport Polo T dan Sport Tech. 

Pan turut menawarkan perkhidmatan reka bentuk pakaian seperti yang dikehendaki oleh pelanggan dengan harga yang berpatutan. 

Harga yang ditawarkan bermula dari RM10 hingga RM50 namun bergantung kepada kuantiti, reka bentuk (design) dan bahan (material).

Selain itu, Pan turut menjalankan perniagaan sub contract event printing untuk bahan cetakan seperti kain rentang (banner), bunting, flyers, artcard printing bagi kegunaan program di UMP. 

Menurut Pan, harga yang ditawarkan jauh lebih murah serta berpatutan jika dibandingkan dengan kedai percetakan di bandar Kuantan. 

“Selain itu, pihaknya mampu menyiapkan tugasan di saat akhir dengan cepat mengikut keperluan pelanggan.

“Meskipun terikat dengan kesibukan jadual di kampus namun ia bukanlah penghalang buat Pan untuk menceburi bidang perniagaan sekali gus dapat menimba pelbagai pengalaman berharga di samping dapat berdikari dalam menjana pendapatan sampingan untuk menampung perbelanjaan diri tanpa membebankan keluarga.

BIL. 68 FEB 2020

“Mahasiswa kini perlu memiliki kemahiran tambahan sebagai ilmu yang boleh diaplikasikan bersama-sama kemahiran yang diperoleh semasa pengajian di universiti. 

“Tidak hanya bergantung kepada pengetahuan akademik semata-mata, mahasiswa juga perlu bijak dalam mengorek langkah permulaan dalam bidang perniagaan,” katanya. 

Jelas beliau lagi, sejak dahulu beliau meminati bidang perniagaan ini dan ingin belajar berdikari tanpa mengharapkan keluarganya dan kini beliau mampu meraih keuntungan sehingga RM2,000 sebulan.

“Cabaran terbesar pihaknya adalah dalam memasarkan produk kepada pengguna yang mana memerlukan masa yang lama dalam mengkaji dan melaksanakannya serta kewangan yang kukuh. 

Namun, Pusat Keusahawanan UMP banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar terutamanya dalam pengurusan pelan perniagaan di samping membuka ruang bagi mahasiswa untuk memasarkan produk mereka,” ujar anak jati Terengganu. 

Beliau turut berhasrat untuk membuka peluang pekerjaan secara sepenuh masa dan separuh masa kepada mahasiswa UMP. 

Bagi mana-mana pihak yang berminat untuk membuat tempahan pakaian atau buat mahasiswa yang berminat menceburi bidang ini boleh menghubungi Sport Tech Apparel di talian (011-5885 5881) untuk maklumat lanjut.


Jejak Alumni

Alumni UMP bina empayar perniagaan Caliphs Technology PLT

BIL. 68 FEB 2020

Oleh: NURIZZATUL ALIN AHMAD BASTANI, JABATAN HAL EJWAL PELAJAR DAN ALUMNI DAN SITI NURFARMY IBRAHIM, UNIT PERHUBUNGAN AWAM PEJABAT NAIB CANSELOR

Tidak pernah terfikir memiliki syarikat sendiri. Malahan, apabila ditanya sejak kecil lagi Abang Fairul Syarmil Abang Mohd mengimpikan untuk menjadi juruterbang, namun siapa sangka pengajiannya dalam bidang Sains Komputer di Universiti Malaysia Pahang (UMP) memberikan peluang buatnya membina empayar perniagaan sendiri, iaitu Caliphs Technology PLT.
 
Anak kelahiran Sibu, Sarawak ini pernah tercalon sebagai finalis Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) 2014, anjuran TERAJU di bawah Jabatan Perdana Menteri. 

Beliau yang merupakan alumni UMP pernah mengikuti pengajian program Diploma Sains Komputer pada tahun 2009 sebelum menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer pada tahun 2011.
 
Mengimbas kembali perjalanan kariernya, Abang Fairul Syarmil pernah bertugas sebagai Jurutera Perisian selama dua tahun di sebuah syarikat Oil & Gas Consultant, EJ Joint Venture Sdn. Bhd. (EJJV) di ibu kota Kuala Lumpur. 

EJJV merupakan syarikat yang sama sewaktu beliau menjalani latihan industri sebelum diserap untuk berkhidmat di situ. 

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Eksekutif Kanan Teknologi Maklumat di Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) selama enam tahun sebelum membuat keputusan untuk membuka syarikatnya sendiri.
 
Menurut beliau, perkembangan teknologi masa kini yang semakin pesat ditambah dengan ‘dunia di hujung jari’ sangat membantu para usahawan dalam mempromosikan dan menjual produk dengan lebih mudah dan pantas.
 
“Sejajar dengan perkembangan itu, Caliph Technology PLT dilihat sebagai ejen pendigitalan kepada sesebuah organisasi yang menawarkan pembangunan perisian, aplikasi mudah alih dan media interaktif.
 
“Kami juga turut membangunkan perisian yang boleh disesuaikan dengan proses kerja bagi sesebuah organisasi seiring dengan dunia digital yang bergerak pantas dan para usahawan melihat ini sebagai batu loncatan dalam menyasarkan penjualan produk mereka,” katanya. 

Bagi Abang Fairul, kehidupan kampus banyak memberikannya pengalaman terutamanya penglibatan dalam aktiviti kelab atau program persatuan. 

Beliau menasihatkan graduan agar terus menimba pengalaman dan berani mencuba. 

Dalam pada itu, Caliphs Techology PLT yang bergiat aktif sejak tahun lalu kini mengendalikan sepuluh buah laman web syarikat, antara syarikat korporat di bawah kendaliannya termasuklah  Amanah Raya Berhad yang merupakan pelanggan terbesar bagi syarikat beliau sehingga kini.