Skip to main content
HEADER CREATE

Info Sekitar Kampus

UMP sumbang 600 pensanitasi tangan buat barisan hadapan

BIL. 74 APR 2020

Sebagai usaha membantu  petugas barisan hadapan (frontliner) menangani penularan wabak Covid-19 ketika ini, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyumbang sebanyak 600 pensanitasi tangan (hand-sanitizer) menerusi dua produknya iaitu triUMPH berkapasiti satu liter manakala Germs Free Hand Sanitizer berkapasiti 30 ml yang mudah dibawa ke mana sahaja. 

Serahan disampaikan Eksekutif Kanan, Pejabat Naib Canselor UMP, Saharudin Ramli kepada Setiausaha Sulit Kanan, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Haji Md Yusli Ibrahim Mohd Yunus pada 6 April 2020 yang lalu. 

Hadir sama Pengurus Besar UMP Technology Sdn. Bhd., Muhamad Nizam Abdul Rashid dan Saiful Anwar Izar dari Bahagian Khidmat Pengurusan di Pejabat Menteri Besar Pahang di Kuantan. 

BIL. 74 APR 2020

Produk triUMPH adalah hasil inovasi syarikat kerjasama  UMP Technology Sdn. Bhd. dan MNR Multitech Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat milik penuh UMP Holdings Sdn. Bhd. (UMPH). 

Manakala Germs Free Hand Sanitizer pula merupakan produk keluaran UMP Renal Care Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat terbitan UMP. 

Menurut Muhamad Nizam, produk triUMPH adalah diformulasi mengikut standard World Health Organization (WHO). 

“Kandungan alkohol 70 peratus dalam produk ini adalah efektif untuk membunuh virus. Sumbangan ini selaras dengan semangat UMP untuk menyumbang kepakaran dan hasil fasiliti buat komuniti sekeliling. 

“Sementara itu, produk cecair pembasmi kuman yang dinamakan Germs Free Hand Sanitizer pula mengandungi ekstrak daun sirih bagi merencatkan pembiakan kuman. Ia turut mengandungi Aloe Vera dan Vitamin E yang sesuai untuk kulit. 

“Pada masa ini, produk ini terdapat dalam bentuk cecair dan gel,” katanya.  

BIL. 74 APR 2020

Bagi Saharudin, sumbangan ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial kepada masyarakat semasa negara berdepan dengan ancaman penularan wabak Covid-19 dengan memberi fokus bantuan terhadap barisan hadapan yang bekerja keras dalam memutuskan rantaian virus ini.

Selain cecair pensanitasi tangan, UMP Renal Care Sdn. Bhd. turut mengeluarkan produk disinfektan tahap tinggi (high level disinfectant) iaitu Diaclean Pera Sterilant yang berasaskan cuka makanan sebagai bahan nyah cemar permukaan seperti di kawasan perumahan awam, ruangan rumah, sekolah, pejabat, dan hospital.

Dalam usaha membantu barisan hadapan yang bertungkus-lumus bertugas memerangi wabak ini, UMPH turut melancarkan Tabung triUMPH Frontliners  bagi mengumpul sumbangan bagi membekalkan air minuman buat mereka. 


Info Sekitar Kampus

UMP terima sumbangan bantu mahasiswa

BIL. 74 APR 2020

Oleh: MOHD FERDAUS MUSA, PEJABAT NAIB CANSELOR

Kira-kira seramai 1,260 orang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang masih berada di kampus sentiasa dipantau dan diberi perhatian oleh pengurusan UMP bagi memastikan kebajikan mereka dijaga. 

Ini berikutan terdapat sebilangan daripada mereka yang tidak dapat pulang ke kampung halaman rentetan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikeluarkan oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19.
 
Sepanjang PKP ini berlangsung, universiti menerima bantuan pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan penyediaan makan untuk mahasiswa. 

BIL. 74 APR 2020

Turut sama menyumbang makanan daripada Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Cawangan Kuantan, pihak Yayasan Sabah buat seramai 165 mahasiswa dari Sabah dan pihak Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses yang menaja makan buat seramai 80 mahasiswa fakulti berkenaan.
 
Menurut Pengurus Bahagian Perkhidmatan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Zainal Haji Bahari, UMP sentiasa memantau dan memastikan mahasiswa mematuhi arahan sepanjang PKP berlangsung. 

“Mereka juga dinasihatkan cakna dengan maklumat pencegahan penularan wabak Covid-19 dan penjagaan kesihatan yang dikeluarkan oleh UMP melalui hebahan di portal ataupun di media sosial.
 
“UMP juga turut menguruskan bantuan makanan secara percuma setiap hari kepada semua pelajar yang berada di kampus melalui pengetua dan felo Kolej Kediaman masing-masing. 

“Melalui kaedah ini, pergerakan mahasiswa dapat dihadkan dan seterusnya dapat mengurangkan risiko jangkitan wabak ini. 

BIL. 74 APR 2020

“Agihan ini akan dibantu diuruskan oleh pengurusan kolej kediaman masing-masing,” katanya.
 
Dalam pada itu, UMP Campus Pantry telah mengumpulkan keperluan asas dan makanan kering hasil sumbangan program Food Bank Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pihak luar antaranya daripada Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (MyFundAction) dan sumbangan perseorangan untuk kegunaan mahasiswa UMP di kampus.
 
Selain itu, kebajikan mahasiswa di luar kampus turut tidak diabaikan dan pihak universiti turut menyediakan kemudahan yang sama seperti mereka yang berada di dalam kampus.
 
Pihaknya menghargai pihak penaja yang banyak menyumbang terutamanya pihak Yayasan Food Malaysia,  KPDNHEP, Gardenia Bakeries Sdn. Bhd., Etika Beverages, Mondalez, Legasi Sufi, Pejabat Ahli Parlimen Paya Besar dan terbaharu dari Pejabat Ahli Parlimen Pekan. 

Antara barangan yang disumbangkan adalah seperti makanan bermasak, makanan kering, minuman dan kit kebersihan.
 
Turut menyumbang adalah dari  Yayasan UMP sebanyak 20 ribu untuk kegunaan sepanjang PKP ini. 

Manakala pihak Persatuan Alumni UMP menyumbang cecair pensanitasi tangan (hand sanitizer) dan Jawatankuasa Bencana Negeri Pahang menyumbang sebanyak 1,000 keping topeng muka untuk kegunaan mahasiswa.
 
UMP sangat menghargai sumbangan dan keprihatinan kerajaan dan syarikat yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat mereka kepada pelajar  sebagai usaha mengurangkan beban pelajar sepanjang PKP ini.
 
Orang ramai yang berhasrat menyumbang boleh disalurkan melalui Bilik Kawalan Operasi dan Bencana UMP yang merupakan pusat sehenti bagi menguruskan segala urusan berkaitan Covid-19 yang melibatkan semua warga UMP. 

Bagi warga UMP yang mempunyai pertanyaan atau permasalahan sepanjang tempoh PKP ini bolehlah menghubungi petugas Bilik Kawalan Operasi dan Bencana UMP di talian 09-424 6999 (Pekan) atau 09-549 3333 (Gambang). 


Penyelidikan dan Inovasi

Disinfektan Diaclean Pera Sterilant produk halal nyah kuman mesra alam

BIL. 74 APR 2020

Produk disinfektan Diaclean Pera Sterilant yang dihasilkan penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) berasaskan cuka makanan (food grade acetic acid) mampu membunuh sehingga 99.9 peratus mikro organisma seperti bakteria, virus, fungi dan protozoa. 

Produk inovasi disinfektan organik ini bersifat mesra alam, mesra pengguna (non irritatant), tidak berbau, lebih murah, tidak mendatangkan sebarang kesan negatif kepada permukaan ataupun pengendali dan diklasifikasikan sebagai disinfektan tahap tinggi (HDL).

Menurut penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Profesor Dato’ Ts. Dr. Zularisam Ab. Wahid, sebagai disinfektan tahap tinggi yang bebas daripada kandungan aldehyde dan alkohol, produk ini boleh digunakan dalam kerja-kerja operasi nyah cemar.

BIL. 74 APR 2020

“Pensanitasi awam ini mampu membunuh semua kumpulan keluarga virus korona dengan berkesan yang secara alaminya bersifat enzootic, non-lipid atau yang hanya memerlukan tahap disinfeksi pertengahan (MLD).
 
“Disinfektan ini bukan sahaja sesuai digunakan sebagai bahan nyah cemar permukaan seperti di kawasan perumahan awam, ruangan rumah, sekolah, pejabat dan hospital malah boleh digunakan dan sangat sesuai sebagai bahan disinfeksi di industri penternakan, pemprosesan makanan, industri pembungkusan, pensterilan alatan perubatan, air minuman, tenusu, dan rawatan air kumbahan,” katanya.
 
Produk ini telah diuji keberkesanannya sebagai anti-microbial melalui Invitro Test di Makmal Bioserasi dan Klinikal Healthmedic Research Sdn. Bhd. dan Invivo Biocompatibility Test di Makmal Bioserasi Center for Research and Instrumentation Management (CRIM) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 
 
Selain itu, produk buatan Malaysia ini turut mengandungi Peracetic Acid sebagai bahan aktif yang mematuhi piawaian World Health Organization (WHO) dan United States Environmental Protection Agency (USEPA) sebagai bahan yang membunuh virus Covid-19.  

BIL. 74 APR 2020

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Zularisam lagi, pada awalnya produk Diaclean ini digunakan sebagai bahan pencuci dan pensteril penapis buah pinggang sintetik serta mesin hemodialisis di pusat-pusat dialisis yang mampu membantu pesakit buah pinggang mendapatkan perkhidmatan di 50 pusat dialisis di seluruh negara. 

“Aplikasi produk Diaclean ini kini telah dikembangkan sebagai bahan penyemburan disinfektan untuk tujuan nyah cemar awam seperti di kawasan kilang, universiti, perumahan dan awam.
 
“Pada masa kini, kebanyakan bahan disinfektan berasaskan klorin digunakan secara berleluasa sebagai bahan aktif seperti sodium hypochlorite, sodium chlorite, chlorine dan sodium dichloroisocyanurate yang boleh menyebabkan kerosakan pada alatan seperti pengaratan, merengsa pengguna dan mencemar persekitaran.
 
“Di samping itu, bahan aktif klorin yang bertindak balas dengan sumber organik di persekitaran juga boleh mewujudkan bahan sampingan yang bersifat carcinogenik seperti Trihalomethane dan Haloacetic Acids (HAAs). 

“Penggunaan bahan kimia seperti benzalkonium chloride, chloroxylenol dan chlorhexidine yang berada di kelas Low Level Disinfectant (LLD) adalah diragui keberkesanannya dalam membunuh kebanyakan mikro organisma terutama virus korona,” ujar beliau. 

Jelas beliau, selain bersifat bukan organik (inorganic), bahan disinfektan ini akan kekal wujud dan mencemar persekitaran sebagai bahan residual yang sukar untuk didegradasikan atau distabilkan secara semula jadi.
 
“Dengan tahap keberkesanan yang diragui dan kos yang tinggi, disinfektan inorganic ini juga dipercayai menghasilkan bahan sampingan yang tidak mesra alam selain bersifat merengsa (irritating) kepada pengguna dan boleh mendatangkan mudarat kepada pengendali dan orang ramai.
 
“Malahan, terdapat juga disinfektan bertahap High Level Disinfectant (HDL) seperti hydrogen peroxide dan kumpulan aldehyde yang mempunyai keberkesanan yang tinggi namun demikian bahan aktif tersebut menghakis (corrosive), berbau, lebih mahal, mengganggu sistem pernafasan dan boleh menyebabkan kesan kanser kepada pengguna,” katanya. 
 
Produk Diaclean ini telah mendapat status HALAL JAKIM, berdaftar di bawah Medical Device Authority (MDA), diiktiraf memenuhi keperluan Conformity to Requirement in Third Schedule of Medical Device Regulation 2012 oleh TUV SUD Malaysia dan memenuhi standard ISO 13485 (International Quality Management System for Medical Device). 

Produk dikeluarkan UMP Renal Care Sdn. Bhd. iaitu syarikat terbitan UMP (spin off company) sejak 2008 kini mula dipasarkan secara komersial sejak tahun 2014 dan telah dikomersialkan secara atas talian (online).
 
Dalam pada itu, beberapa lokasi tumpuan dalam negara yang terdedah kepada jangkitan Covid-19 telah dijalankan kerja-kerja operasi nyah cemar dan sanitasi awam mengikut prosedur yang ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

UMP turut menjalankan operasi nyah cemar di beberapa lokasi di dalam kampus universiti ini bagi memastikan persekitaran kampus bersih daripada ancaman penularan wabak ini. 

Ia dilaksanakan anak syarikat UMP Holdings Sdn. Bhd, iaitu Syarikat UMP Services yang turut menggunakan produk Diaclean Pera Sterilant ini dalam perkhidmatan pembersihan disfenksi mereka di kampus universiti. 


BIL. 74 APR 2020