Skip to main content
UMP E-Newsletter

Info Sekitar Kampus

Menteri Luar berkunjung bertemu warga UMP

Menteri Luar berkunjung bertemu warga UMP

Menteri Luar Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah hadir bertemu dengan lebih 1,000 warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam Program Ramah Mesra yang berlangsung di Dewan Astaka UMP Kampus Gambang pada 22 Oktober 2018 yang lalu. 

Hadir dalam program Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim bersama pengurusan universiti. 

Sambutan turut dimeriahkan dengan berlangsungnya Fiesta Makanan Antarabangsa anjuran mahasiswa antarabangsa dan Pejabat Antarabangsa UMP.

Terdapat pelbagai juadah antarabangsa antaranya Algerian Baklava, Griwesh, Gribiya, Black & White Cake, Choco-vany, Vegeterian Pulao dan Mutton Masala (Bangladesh), Dumpling (China), Vegetarian Biriyani, Kholapuri Chicken & Chicken Soup (India), Chicken Karachi, Chicken Pulawo, Naan, Salad (Pakistan), Kebab dan Mandy Khabsah (Yaman).

Menurut Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir, kunjungan buat pertama kalinya sejak dilantik sebagai Menteri Luar Malaysia ini memberi peluang warga kampus bertemu secara dekat dengan Datuk Saifuddin.

“UMP mempunyai lebih hampir 1,000 mahasiswa antarabangsa dengan lebih 30 negara termasuklah Yaman, Bangladesh, Iraq, Libya, Pakistan, Indonesia, Sudan, Tunisia dan lain-lain yang berada di kedua-dua kampus UMP di Gambang dan Pekan. 

“Penganjuran fiesta ini adalah untuk mempamerkan juadah yang mempunyai cita rasa yang berbeza dan persembahan kebudayaan dari negara masing-masing. 

Menteri Luar berkunjung bertemu warga UMP

“Selain itu, fiesta ini dapat mempromosikan agenda pengantarabangsaan yang mana komuniti UMP berpeluang memperoleh pengalaman silang budaya di samping memperkayakan pengalaman pembelajaran  dan menggalakkan integrasi antara kaum dan bangsa,” katanya. 

Penyertaan komuniti luar UMP ini juga bakal memberi peluang mereka memperoleh pengalaman perkongsian budaya berbeza dengan berinteraksi lebih dekat bersama komuniti antarabangsa UMP.

Secara tidak langsung ianya menjurus ke arah keharmonian bangsa dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian. 

Suasana persekitaran antarabangsa yang disemai melalui penganjuran program seperti ini juga memberi pengalaman yang menarik kepada pelajar tempatan dan antarabangsa.

Dalam program ini juga, Dato’ Saifuddin turut menyampaikan Portfolio Kementerian Luar Negeri mencakupi hubungan dua hala politik dunia Malaysia melalui faktor geografi, geopolitik, geoekonomi dan geodiplomatik negara. 


Akademik dan Antarabangsa

PLPU UMP terima Ijazah Kehormat Pengurusan Pendidikan USM

PLPU UMP terima Ijazah Kehormat Pengurusan Pendidikan USM

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dato’ Sri Ibrahim Ahmad yang juga mantan Ketua Pengarah Majlis Amanah  Rakyat (MARA) menerima Ijazah Kehormat Pengurusan Pendidikan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) Kali Ke-56.

Anugerah disampaikan Canselor USM, DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yang berlangsung pada sidang pertama 23 Oktober 2018 baru-baru ini.

PLPU UMP terima Ijazah Kehormat Pengurusan Pendidikan USM

Nama Dato’ Sri Ibrahim sememangnya tidak asing lagi dengan MARA dan kepimpinan beliau ini juga telah berjaya melonjakkan nama MARA sebagai lead-agency dalam meneroka, mengembangkan dan membangunkan modal insan yang komprehensif dalam pelbagai bidang strategik yang sedia ada dan baharu. 

Berpengalaman luas berkhidmat selama 38 tahun termasuklah menerajui MARA selama tujuh tahun (2010-2017) menjadikan institusi ini sebuah agensi pembangunan modal insan terkemuka dan terbilang.
 
Beliau juga banyak menyumbang jasa terhadap dunia pendidikan termasuklah pendidikan menengah berkualiti yang dijalankan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dengan pelaksanaan program International General Certificate of Secondary School (IGCSE). 

PLPU UMP terima Ijazah Kehormat Pengurusan Pendidikan USM

Di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Dato’ Sri Ibrahim turut menyumbang jasa dengan menyokong kewujudan kampus perubatan USM-KLE di Belgaum, India dengan menghantar para pelajar MARA melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

Dato’ Sri Ibrahim banyak membantu menjayakan Program Pembangunan Keusahawanan pelajar USM. 

Ini termasuklah projek pembinaan bangunan pusat keusahawanan berhampiran Dewan Tuanku Syed Putra hasil kerjasama pihak USM dalam melahirkan mahasiswa yang memiliki atribut keusahawanan dalam merealisasikan agenda HEBAT (Holistic, Entrepreneural, Balanced, Articulate, Thinking).
 
Turut membanggakan beliau pernah dikurniakan Profesor Adjung daripada Universiti  Malaysia Terengganu (UMT) pada Ogos 2018, Ijazah Kehormat Kedoktoran daripada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada tahun 2017, Professor Adjung daripada Universiti Malaya (UM) pada tahun 2016 dan Ijazah Kehormat Kedoktoran daripada UNITAR International University pada tahun 2014. 

PLPU UMP terima Ijazah Kehormat Pengurusan Pendidikan USM

Selain itu, beliau juga dilantik menjadi Pro-Canselor UniKL mulai tahun 2011 sehingga 2017 dan merupakan ahli Lembaga Pengarah Johor Corporation dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
 
“Semoga anugerah dan pengiktirafan ini dapat meningkatkan lagi semangat perjuangan Dato’ Sri untuk terus memajukan sektor pendidikan di Malaysia dan kecemerlangan UMP,” kata Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim yang hadir bersama pihak pengurusan universiti dalam majlis konvokesyen.
 
Dengan pengalaman luas beliau ini, UMP akan terus cemerlang seiring dengan merealisasikan hasrat universiti sebagai sebuah IPT bertaraf global berlandaskan daya saing kepakaran teknologi dan kejuruteraan selain menjadikan universiti ini sebagai universiti teknologi terunggul menjelang 2020 nanti.


Jalinan Kerjsama

UMP tawar kursus bahasa Mandarin untuk industri

UMP tawar kursus bahasa Mandarin untuk industri

Universiti Malaysia Pahang (UMP) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Alliance Steel (M) Sdn. Bhd. (ASSB) dan ATOZ Solution Sdn. Bhd. dalam usaha meningkatkan kemahiran kakitangan mereka dalam berbahasa Mandarin. 

Kolaborasi ini juga bakal memanfaatkan mahasiswa universiti terhadap penempatan latihan industri dan peluang kerjaya.
 
UMP diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim manakala Alliance Steel (M) Sdn. Bhd. (ASSB) diwakili oleh Timbalan Projek, Hu Jiu Lin dan ATOZ Solution Sdn. Bhd. oleh Pengurus Operasinya, Mohamad Fauzi Mohd Jaya dalam majlis yang berlangsung Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak UMP Pekan.
 
Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, UMP sebagai sebuah universiti teknologi yang terunggul, pihaknya sentiasa meningkatkan jalinan kerjasama antara universiti dengan industri. 

Ujarnya, UMP mencapai kecemerlangan apabila meraih cemerlang lima bintang dalam semua penarafan pencapaian termasuklah Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA),  Sistem Penarafan Universiti dan Kolej Universiti (SETARA), Penarafan Pengumpulan Data Kementerian Pendidikan Tinggi (MyMohes) dan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti Jabatan Audit Negara.    

Malahan diiktiraf sebagai universiti teknikal yang berkembang paling pantas serta berada di kedudukan 188 terbaik dalam penarafan QS Universiti Rangking Asia yang diumum baru-baru ini.

Menurut Profesor Dato’ Sri Dr. Daing, beliau berkeyakinan Pusat Bahasa Mandarin dan Kebudayaan (MLCC) mempunyai kemampuan menawarkan kursus Bahasa Mandarin untuk Industri yang bakal diadakan di Malaysia-China Kuantan Industri Park (MCKIP). 

Beliau juga berharap kerjasama strategik antara Universiti dengan Alliance Steel (M) Sdn. Bhd. yang berada di MCKIP ini akan memanfaatkan dalam penyelidikan, latihan industri, peluang kerjaya dan lain-lain.

Manakala Hu Jiu Lin berkata, kerjasama antara industri dengan universiti ini sangat bermakna apatah lagi UMP diiktiraf terbaik terutamanya dalam bidang kejuruteraan Mekanikal dan ianya bersesuaian dengan operasi syarikatnya berkaitan besi dan keluli. 

Katanya, kursus untuk pekerja ini bertujuan meningkatkan komunikasi antara pekerja dan menggalakkan mereka untuk menguasai bahasa Mandarin bagi meningkatkan kebolehan dalam operasi industri serta  dapat berkongsi kepakaran dalam bidang ini. 

Manakala menurut Pengarah MLCC, Yong Ying Mei, kursus bahasa Mandarin bukan lagi terhad dalam perbualan seharian sahaja, tetapi ianya juga  melibatkan glosari dalam bidang industri besi dan keluli. 

“Justeru, tenaga pengajar UMP akan mengarang sebuah buku bahasa Mandarin untuk kegunaan industri tersebut bagi membantu kakitangan mereka menguasai bahasa Mandarin secara berkesan dan melibatkan usahasama ATOZ bagi menjayakan kursus untuk industri ini,” katanya. 


Jalinan Kerjasama

UMP dan ACES perkukuh kerjasama dalam teknologi pintar IR 4.0

UMP dan ACES perkukuh kerjasama dalam teknologi pintar IR 4.0

Universiti Malaysia Pahang (UMP) jalin kerjasama dengan Pusat Kecemerlangan Asia bagi Teknologi Pintar (ACES) Wilayah Ekonomi Pantai Timur bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang berkaitan Revolusi Industri (IR 4.0), teknologi pintar dan inisiatif digital membabitkan aktiviti pembangunan sumber manusia di Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan juga Asia Tenggara.

Majlis menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd. Yusoff bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issace John pada 24 Oktober 2018 yang lalu di Kuala Lumpur.

Hadir menyaksikan majlis Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr. Ong Kian Ming.

Menurut Profesor Dato’ Dr. Mashitah, kerjasama ini dapat memanfaatkan UMP dalam berkongsi kepakaran bagi menepati keperluan industri pada masa depan. 

“Berdasarkan kerjasama ini beberapa projek akan dilaksanakan terutamanya berkaitan produk  pengkomersialan, program eksekutif 4.0 dan program latihan teknikal dan vokasional,” ujarnya. 

ACES merupakan pusat usaha sama antara ECERDC dan TUM International GmbH Jerman dalam menghubungkan agensi kerajaan dan pihak industri serta universiti dalam meningkatkan kemahiran, latihan teknologi pintar dan perundingan terutamanya  berkaitan IR 4.0 dalam pendigitalan dan automasi.   


Akademik & Antarabangsa

Bengkel penerbitan IPS tingkat kemahiran hasilkan jurnal berimpak tinggi

Bengkel penerbitan IPS tingkat kemahiran hasilkan jurnal berimpak tinggi

Oleh: AHMAD ZARIF AHMAD FAUZI

Dalam meningkatkan kompentasi dan penerbitan dalam kalangan pelajar pascasiswazah, Institut Pengajian Siswazah (IPS), Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengadakan Publication Training Workshop for Postgraduate yang berlangsung di Bangunan Canseleri, UMP Kampus Gambang pada 26 Oktober 2018 yang lalu.

Bengkel yang diadakan selama dua hari ini melibatkan penyertaan seramai 58 peserta. Bengkel ini bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta tentang bagaimana dan kaedah untuk menerbit kertas penyelidikan mereka di dalam mana-mana Scopus atau jurnal yang berimpak tinggi.

Para peserta juga diberi peluang untuk sesi individu bersama penceramah jemputan dalam membantu peserta memperbaiki kertas penyelidikan mereka agar berpotensi untuk diterbitkan pada Scopus dan ataupun jurnal berimpak tinggi.

Dekan Institut Pengajian Siswazah, Profesor Dato' Dr. Hasnah Haron berkata, bengkel ini menggunakan Kaedah One to One dan peserta dibimbing secara terus oleh penceramah jemputan.

“Ini termasuklah penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi memantapkan gaya penulisan bagi kertas penyelidikan mereka tersebut.

“Selain itu, peserta juga didedahkan cara bagaimana untuk menerbitkan kertas penyelidikan di Scopus atau jurnal berimpak tinggi, secara tidak langsung akan menggalakkan peserta untuk menerbitkan lebih banyak kertas penyelidikan berkualiti pada masa akan datang dan meningkatkan kompetensi dan kualiti pelajar-pelajar pascasiswazah UMP,” katanya.

Bengkel ini dikendalikan oleh para penceramah jemputan yang tidak asing lagi dalam penerbitan Scopus dan jurnal berimpak tinggi di Malaysia bagi kluster Teknologi dan Sains Sosial iaitu Profesor Dr. Hazlina Ahmad dan Profesor T.  Ramayah dari Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Manakala bagi kluster Kejuruteraan dan Sains, penceramah adalah Profesor  Mustafizur daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), UMP dan Profesor Madya Dr. Cheng Chin Kui  daripada Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA), UMP.

Dalam pada itu, Profesor Dato' Dr. Hasnah mengharapkan para siswazah dapat memanfaatkan program ini dan mampu untuk menghasilkan lebih banyak kertas penyelidikan yang berimpak tinggi.
 


Sukan dan Rekreasi

Alex rangkul Anugerah Olahragawan UMP

Alex rangkul Anugerah Olahragawan UMP

Alex Tiong Sie Hung, mahasiswa  Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA), Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang cemerlang dalam sukan renang dengan meraih pingat emas bagi Kejohanan Sukan Institut Pendidikan Tinggi (SUKIPT) dan MASUM 2018 merangkul Anugerah Olahragawan dalam Majlis Penghargaan Sukan UMP yang berlangsung di Sri Manja Boutique, Indera Mahkota, Kuantan pada 25 Oktober 2018 yang lalu. 

Alex yang membawa pulang insentif kecemerlangan sebanyak RM 12,800 itu mengucapkan terima kasih kepada UMP atas insentif dan pengiktirafan ini. 

“Kejayaan ini memberikan inspirasi kepada saya untuk terus mencipta kecemerlangan,” katanya.  

Beliau kini sedang membuat persiapan mewakili negara dalam acara renang di  Asean University Game (AUG) di Myanmar  pada bulan Disember nanti.

Alex rangkul Anugerah Olahragawan UMP

Olahragawati pula dimenangi oleh Nurul Hani Shafiza Hassan dari Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI). 

Beliau merupakan atlet memanah dan telah banyak memenangi pingat di MASUM dan juga SUKIPT. 

Beliau juga pernah memenangi Anugerah Olahragawati Harapan pada tahun 2016. 

Kedua-dua pemenang membawa pulang trofi, sijil penghargaan dan wang tunai.

Manakala bagi Pemenang Anugerah Olahragawan Harapan dimenangi oleh Muhammad Hafizudin Mohd Nasri menerusi sukan Boling Padang manakala Anugerah Olahragawati Harapan pula telah dimenangi oleh Nur Nadhirah Ab Rasul yang merupakan atlet Petanque UMP.

Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin. 

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi UMP, Abd Hamid Majid, Dekan Pembangunan Pelajar, Ts Dr. Mohamad Mat Nor dan Pengarah Pusat Sukan dan Kebuhayaan UMP, Abd Rahman Haji Safie.

Alex rangkul Anugerah Olahragawan UMP

Dalam majlis ini, Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin melahirkan ucapan tahniah kepada  35 atlet mahasiswa UMP yang telah mengharumkan nama universiti  dan negara dalam bidang sukan.

Ujarnya, universiti sebenarnya memerlukan mahasiswa yang berwibawa untuk menghadapi cabaran ke peringkat tertinggi samada dalam bidang akademik, penyelidikan dan sukan.

“Pihak pengurusan universiti telah membuat pelbagai program bagi menghasilkan mahasiswa yang berwibawa dan berketerampilan.

“Saya yakin para atlet UMP mampu bangkit untuk berjaya di persada sukan  di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. 

“Menerusi  bersukan juga atlet berpotensi untuk meningkatkan imej dan merangsang minda yang cergas justeru dapat meningkatkan kemahiran dalam membuat keputusan dengan baik,” katanya. 

Beliau turut mengharapkan agar penganugerahan ini dapat menjadikan  sumber inspirasi dan memberikan kenangan manis kepada atlet UMP.


Aktiviti Pelajar

30 pelajar antarabangsa timba pengalaman hayati keindahan alam

30 pelajar antarabangsa timba pengalaman hayati keindahan alam

Oleh: NORASHIKIN SULAIMAN, PEJABAT ANTARABANGSA

Seramai 30 orang pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Bangladesh, China, Egypt, India, Iraq, Nigeria, Pakistan, Sudan, Somalia dan Yaman menyertai program kesukarelawanan sambil menimba pengalaman baharu melalui pengenalan kepada tempat menarik di negeri Pahang. 

Program anjuran Pejabat Antarabangsa UMP yang Love Nature ini telah diadakan pada 27 Oktober 2018 yang lalu di Cherating, Kuantan. 

Pelajar telah dibawa menyusuri Sungai Cherating sambil menyaksikan keindahan pemandangan paya bakau di samping mengenali hidupan pokok paya bakau di sepanjang sungai. 

Perjalanan menyusuri Sungai Cherating tersebut dikendalikan oleh pihak Hafiz’s Cherating Activities selama 45 minit sebelum pelajar dibawa ke Kuala Sungai Cherating untuk aktiviti komuniti iaitu penanaman semula anak pokok paya bakau.

Pengarah Pejabat Antarabangsa, Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd. Alwi berkata, program ini memberi peluang pelajar menghayati keindahan alam di samping menerapkan program pemuliharaan alam sekitar dengan menanam sebanyak 50 anak pokok paya bakau bagi membantu memulihara ekosistem.

30 pelajar antarabangsa timba pengalaman hayati keindahan alam

“Selain itu mereka juga diberi penerangan tentang fungsi pokok ini yang disebabkan akarnya yang timbul boleh memerangkap tanah dan lumpur yang berfungsi sebagai penambak laut bagi mengelakkan hakisan yang se¬me¬mangnya mampu menjadi ben-teng semulajadi dan mengurangkan angin laut.

“Para pelajar turut dibawa mengenali spesis penyu yang terdapat di Malaysia melalui aktiviti lawatan ke Pusat Sanctuari Penyu di Pantai Chendor dan diberikan pendedahan berkenaan kesedaran pemuliharaan penyu daripada diancam kepupusan,” katanya.

Taklimat dan pengenalan aktiviti konservasi penyu di Rimbun Dahan dikelolakan Pak Su Cherating yang merupakan badan NGO yang aktif di negeri Pahang dalam aktiviti konservasi Penyu. 

Bagi meningkatkan populasi penyu dan menjaga habitat hidupan marin berkenaan para pelajar berpeluang melepaskan sebanyak 30 ekor anak penyu ke pantai tanda sokongan komuniti.

Dalam pada itu, seorang peserta, Abdelrahman Elsaid dari Egypt berkata, walaupun cuaca panas pada hari ini, beliau sangat gembira kerana ini merupakan kali pertama menyertai program sebegini dan berbangga kerana turut menyumbang dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar melalui aktiviti penanaman pokok paya bakau di sini. 

“Selain itu pengalaman menyaksikan keindahan kelip-kelip di sepanjang Sungai Cherating ini pastinya akan menjadi kenangan buat saya apabila menamatkan pengajian nanti,” katanya. 


Aktiviti Pelajar

45 mahasiswa FKASA pupuk semangat cintakan alam sekitar

45 mahasiswa FKASA pupuk semangat cintakan alam sekitar

Oleh: EMMA MELATI BURHANUDDIN, FKASA

Menyedari kepentingan penjagaan alam sekitar tanggungjawab bersama telah mendorong seramai 45 mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA) termasuk dari luar negara berganding bahu menjayakan program khidmat komuniti bagi membersihkan pantai serta menanam 500 pokok bakau di Pantai Chendor Kuantan pada 27 Oktober 2018 yang lalu. 
 
Menurut Dekan FKASA, Dr. Mohamad Idris Ali, menjaga alam sekitar menjadi tanggungjawab kita semua. 

“Namun kurang kesedaran mengenai kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar membuatkan ramai individu bersikap mementingkan diri sendiri dengan membuang sampah di merata-rata tempat termasuk laut dan sungai. 

“Ini mengakibatkan sungai dicemari pelbagai benda asing termasuk bahan kimia.
 
“Program ini dapat memberi pendedahan mahasiswa FKASA khususnya kepada mahasiswa antarabangsa tentang kepentingan aspek pemuliharaan pantai,” katanya.

Tambah beliau lagi, aktiviti itu juga dapat membuka mata para sukarelawan untuk lebih memahami pentingnya menjaga alam sekitar serta meningkatkan kesedaran terhadap bahaya pencemaran pantai.
 
“Selain daripada menanam pokok, aspek kebersihan juga perlu dititikberatkan kerana pembuangan plastik, straw minuman, botol dan sampah sarap lain boleh mendatangkan bahaya kepada kehidupan laut terutama penyu yang menyangka plastik ini adalah obor-obor yang merupakan makanan mereka,” ujarnya. 

Beliau juga amat berpuas hati dengan kesungguhan sukarelawan menyumbang tenaga membersihkan pantai. 

Hadir sama Timbalan Dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar), Noram Irwan Ramli dan Pengarah Program, Dr. Doh Shu Ing.
 
Bagi Dr. Doh, program bermula sesi penerangan berkenaan dengan pokok bakau dan ianya ditanam agar kehadiran pokok-pokok bakau sebagai barisan penghadang bagi menahan ombak atau arus deras seperti tsunami. 

Mereka kemudiannya  dibawa ke kawasan pantai sejauh 10 km dan mengumpulkan lebih  30 bungkusan sampah di kawasan ini. 

Sukarelawan turut berpeluang melepaskan 20 ekor anak penyu ke laut. 

Penyu merupakan hidupan marin yang semakin diancam kepupusan dan bilangan yang mendarat di pantai-pantai di negara ini juga kian berkurangan.