Skip to main content
UMP rangkul Anugerah Buku Negara

UMP rangkul Anugerah Buku Negara

Kuantan, 10 Mei – Buku berjudul “Pendidikan Tahfiz dan Kemahiran Insaniah” terbitan Penerbit Universiti Malaysia Pahang (UMP) hasil karya Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan iaitu Dr Rashidi Abbas merangkul Anugerah Buku Negara 2019 (ABN 2019) bagi Buku Umum Terbaik (Kategori Pendidikan) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Dr Rashidi, penghasilan buku ini bagi melihat sejauh mana perkembangan pendidikan tahfiz serta kemahiran insaniah (soft skills) dalam kalangan huffaz, khususnya dalam dimensi kemahiran generik dalam konteks untuk berdepan dengan cabaran semasa.

“Sebanyak tujuh elemen kemahiran generik dikongsikan dalam memastikan kesimbangan seorang hafiz dapat dihasilkan dengan cemerlang iaitu kemahiran komunikasi, pemikiran kritis  dan penyelesaian masalah, kerja berpasukan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, keusahawanan, etika dan moral profesional serta kemahiran kepimpinan,” katanya. Buku ini juga sebagai menyokong hasrat kerajaan yang  menyasarkan bagi melahirkan 125,000 Huffaz seluruh negara menjelang tahun 2050 serta melahirkan genarasi ulul albab yang beriman dan bertakwa.

Tambahnya, huffaz yang telah dilahirkan perlu dibentuk menjadi pemimpin dan tenaga kerja profesional dan bukan terhad kepada jawatan imam sahaja. Buku ini juga merupakan buku penyelidikan dalam meningkatkan kemahiran al- Quran dalam kalangan pelajar.

Dr Rashidi turut berpeluang berkongsi pengalaman menerusi kupasan buku ini dalam Program Sharing@BookCafe anjuran Perpustakaan UMP untuk dimanfaatkan oleh warga kampus dan masyarakat setempat. Bagi orang ramai yang berhasrat mendapatkan buku dengan 156 muka surat ini boleh menghubungi Penerbit UMP di talian 017-3562566 (Noraini) atau 012-9661375 (Rohaizad).

Disediakan oleh Nor Salwana Mohamad Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat