Skip to main content
Karnival Mahabbah dekati hati mahasiswa UMP

Karnival Mahabbah dekati hati mahasiswa UMP

Gambang, 26 September – Karnival Mahabbah Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang masuk edisi ke-8 dilihat dapat memperkasakan budaya ilmu pengetahuan seiring dengan perkembangan pembangunan insan dalam kalangan warga kampus. Sebanyak 17 program disajikan sepanjang dua minggu karnival anjuran Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), UMP Holdings (UMPH), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Pejabat Agama Islam (PAID) Daerah Pekan.

Turut berlangsung kali ini adalah program “Open Day Masjid” di Kampus Gambang bagi memberi peluang kepada semua lapisan mahasiswa yang bertujuan mengimarahkan masjid. Pelbagai aktiviti akan dijalankan antaranya pameran produk penyelidikan UMP, pameran agensi luar, pameran jualan, Info masjid, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma serta  program jom makan buah-buahan tempatan.

Pengarah PIMPIN, Dr. Mahyuddin Ismail berkata, karnival pada kali ini mengambil pendekatan dengan mengupas mengenai isu-isu semasa yang sentiasa dekat di hati mahasiswa. “Program yang berunsur kerohanian dan pembudayaan ilmu seperti ini diharapkan dapat terus subur di UMP sejajar dengan matlamat melahirkan warga universiti yang bertaqwa,” katanya.

Menurutnya, antara program yang menjadi tumpuan adalah Forum Bicara Remaja bersama Ustazah Fatimah Syarha dan Penceramah Selebriti, Dr Farhan Hadi, Bual Bicara Hijrah bersama artis, Zul Handy Black dan Pensyarah Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan, Ustaz Ahmad Irfan Ikmal Hisham.

Kursus Didik Anak Teknik Nabi bersama Nurhidayah Jaafar dari ABS Edu Consult PLT, UNIC Live in Concert, Pertandingan Memasak, Bual Bicara Hijrah bersama  Pengasas Raudhatus Sakinah, Rosmawati Zainal, Bual Bicara Remaja bersama Aisyah Hujanah dan Aliff Teega (Instafamous). Program Memasak Bubur Asyura, Jom Lepak @ Masjid bersama Ustaz Syed Faqeh dan kumpulan Baraqah Beggers, Daurah Kitab bersama Ustaz Mohamad Hazry Al-Bindani dan Kursus Pra Perkahwinan di kampus Gambang dan Pekan.

Manakala Kursus Pasangan Romantik menampilkan  penceramah selebriti, Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat, Bowling Mahabbah dan Bengkel Rawatan Sakit Mental bersama Pengasas Pusat Rawatan Manarah, Tuan Guru Dr Hj Jahid  Hj Sidek,  Pensyarah PBMSK, Prof Madya Dr Muhammad Nubli dan Ketua Jabatan Psikiatri, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr Ramli Musa.

Disediakan Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat