Skip to main content

Karnival PROSIS Tingkat Kesedaran Mahasiswa Sihat

Lebih 600 peserta melibatkan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar negeri Pahang termasuk dari Perlis, Wilayah Persekutuan dan Perak hadir bagi memeriahkan Karnival Siswa Sihat (PROSIS) Peringkat Negeri Pahang 2018 bertempat di Astaka Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang.

Karnival anjuran Sekretariat Generasi Siswa Sihat (GENESIS) UMP yang mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni  dan Pusat Kesihatan Universiti.

Matlamat utama program ini adalah untuk meningkatkan penglibatan warga Institut Pendidikan Tinggi (IPT) dalam usaha meningkatkan kesihatan diri. Selain itu, mengukuhkan kerjasama pintar antara Kementerian Kesihatan dengan IPT dalam menggalakkan siswa dan siswi menjadi pembimbing ke arah cara hidup sihat.

Antara pengisian yang dimuatkan dalam karnival ini adalah forum bertajuk “Mendepani Cabaran Kesihatan melalui Mahasiswa” yang dikendalikan oleh panel jemputan Ketua Penolong Pengarah Kanan, dari Unit Promosi Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Hajjah Azizam Mohd Ali serta Penolong Pengarah Kanan dari Unit Promosi Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Shahrizan Mahamood,.

Di samping itu, karnival ini memberi pendedahan tentang kepentingan menderma organ dalam program Jom Ikrar Derma Organ bersama Dr Hasniza Ahmad Zakaria, Pengerusi Pasukan Perolehan Organ dan Tisu, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). Lain-lain  acara Pertandingan Senamrobik, Pertandingan Poster, Forum Inter Siswa: Away Forward, Fun Ride 25 km Bukit Sulai.

Perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Negeri Pahang, Dato’ Sri Norul Azali Sulaiman dengan meletakkan papan tanda PROSIS sebagai tanda merasmikan program tersebut.

“Program ini adalah program luar biasa kerana bukan senang untuk mengajak generasi muda menjadi sebahagian agenda dalam menjaga kesihatan pada masa kini. Tahniah kepada semua mahasiswa terutama Sekretariat GENESIS UMP yang berjaya menganjurkan program seumpama ini”,” kata YB Dato’ Sri Norol Azali Sulaiman ketika berucap dalam majlis tersebut. Hadir sama dalam majlis Dekan Hal -Ehwal Pelajar dan Alumni,  Dr Muhamad Mat Noor dan Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr Sha’ari Ngadiman,

Turut sama hadir Timbalan Pengarah Kesihatan Awam Negeri Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dr. Muhamed Sapian, Penasihat Sekretariat GENESIS UMP, Nasrul Salim Pakheri, Pengarah Program, Durar Amani Zulkarnal, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP, Caroline Bryant Hernaez dan Hajjah Azizam Mohd Ali yang merupakan Pengarah Unit Promosi Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.

Kemuncak majlis menyaksikan penganugerahan Ikon Rintis Prosis Pahang dianugerahkan kepada Ahmad Fitri Roslan dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Manakala pertandingan poster  diungguli oleh UMP  Pekan manakala bagi pertandingan senamrobik dimenangi oleh Universiti Teknologi MARA (UITM) Perlis.  

 

Disediakan oleh Nasrul Bin Salim Pakheri, Penasihat Sekretariat Generasi Siswa Sihat (GENESIS) UMP dan Nur Laila Afandi  dari Bahagian Komunikasi dan Korporat.

Reports by:
Nur Laila binti Afandi