Skip to main content

Kencana Pawana UMP Menang Anugerah Khas Juri

uala Lumpur - Aksi persembahan joget dan zapin Kumpulan Seni Tari Kencana Pawana Sekretariat Kebudayaan & Kesenian Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang menampilkan lenggok tari dengan gaya bersahaja dihiasi busana tradisional merah hati dan kuning menarik perhatian penonton dan juri apabila dinobatkan Anugerah Khas Juri dalam ‘Malaysian Floor Pattern Sport Dance Competition 2018’ baru-baru ini.

 

Sebanyak 27 kumpulan menyertai pertandingan yang berlangsung di Lambang Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. Ianya dianjurkan oleh Istana Budaya dengan sokongan dan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

 

Menurut Pegawai Kebudayaan UMP, Noor Afiza Mohd. Asmi, pertandingan ini terdiri daripada beberapa kategori iaitu peringkat sekolah rendah, sekolah menengah, universiti dan kumpulan profesional.

 

“Setiap kumpulan mesti dianggotai 12 orang penari dengan tempoh persembahan 6 ke 8 minit sahaja dan persembahan dinilai berdasarkan keindahan dan kreativiti penciptaan ‘pola lantai’ melibatkan pergerakan tarian joget dan zapin yang mesti dihasilkan dalam bentuk ciptaan baharu termasuk memberi penekanan kepada postur dan isyarat badan (gesture) para penari,” katanya.

 

Selain itu, aspek busana dan tatarias tidak diketepikan sebagai rencah yang mewarnai persembahan sebagai pelengkap kesantunan sebuah karya seni tari yang bersesuaian dengan tata susila rakyat Malaysia.

 

Tambah beliau, pihaknya tidak menyangka dengan kemenangan ini dan mengharapkan dapat menjadi suntikan semangat buat mahasiswa untuk terus mencipta kecemerlangan mengharumkan nama UMP dalam bidang seni ini.

 

Penganjuran pertandingan ini juga dapat mempelbagaikan dan memberi demensi baharu pertandingan seni persembahan bercirikan sukan serta meneruskan kesinambungan kumpulan-kumpulan tarian bagi memartabatkan seni tari di Malaysia. Majlis penutup program diserikan dengan persembahan artis jemputan As’ad Motwh dan Sufian Suhaimi.

 

Disediakan oleh Noor Afiza Mohd. Asmi dari Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat PNC

Reports by:
Nur Laila binti Afandi