Skip to main content

Mahasiswa UMP Bina Kolam Hiasan dan Set Meja berkonsepkan Hijau

Seramai 30 orang mahasiswa Briged Siswa dari Diploma Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam (FKASA) berjaya mengetengahkan Revolusi Hijau (Green Revolution) bagi menceriakan sekitar kawasan sekolah menerusi pembinaan kolam hiasan dan produk lanskap kerusi dan meja simen fero yang dijalankan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Felda Lepar Hilir 2, Gambang baru-baru ini.

Ketua Pentadbiran Pusat Kokurikulum UMP, Abd Rahman Ahmad berkata, program ini bertujuan mengindahkan kawasan sekolah di samping menarik minat pelajar ke sekolah.

“Pada masa yang sama program ini dapat meningkatkan kemahiran serta mempraktikkan apa yang dipelajari dalam sesi pembelajaran serta meningkatkan kreativiti mahasiswa di samping turun padang mendekatkan diri dengan masyarakat setempat. Ianya juga menyokong terhadap agenda UMP dalam memasyarakatkan teknologi,” katanya.

Program turut membabitkan ahli-ahli kelab Penyayang UMP yang turut sama menjalankan kerja-kerja keceriaan dan mencantikkan perpustakaan mini di sekolah agama tersebut.

Katanya, program yang masuk kali kedua penganjuran ini yang mana sebelum ini  sebanyak 12 unit meja mengaji disediakan sebagai kemudahan pelajar di sini.  

Bagi mahasiswa UMP, Mohd Farhan Fadzlie Nordin yang merupakan pelajar Diploma Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam, beliau amat gembira apabila dapat menyiapkan kolam dan set meja fero tersebut bersama rakan-rakannya.

Ujarnya Green Revolution mengetengahkan idea keceriaan kawasan sekolah melalui pembinaan kolam hiasan dan kerusi meja fero. Kolam hiasan yang dibina menggunapakai pam air yang dijana sepenuhnya oleh tenaga solar bagi menyokong inisiatif penjimatan tenaga dan penjagaan alam semula jadi.

Selain itu, kerusi dan meja simen fero pula dibina berasaskan konsep kitar semula yang mana bahan-bahan yang digunakan selain daripada simen dan pasir adalah bahan-bahan yang dikitar semula manakala proses menyiapkan kerusi meja fero mengambil masa dalam tempoh tiga hari sahaja.

Sementara itu, guru Sekolah Agama Rakyat Felda Lepar Hilir, Ustaz Hafaezul Anuar Sabri, mengucapkan terima kasih kepada UMP di penganjuran program ini. Pihaknya mengharapkan dengan adanya kemudahan ini dapat memberi motivasi kepada pelajar  dalam pembelajaran di samping ceria dengan persekitaran sekolah yang menarik.

Disediakan oleh Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim