Skip to main content

UMP buka peluang lepasan diploma atau setaraf sambung pengajian

Seramai 275  pelajar lepasan diploma atau setaraf mula mendaftar ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan dan teknologi pada hari pendaftaran pelajar baharu bertempat di Dewan Astaka UMP Gambang dan Pekan serentak semalam.

Mereka terdiri daripada 127 pelajar perempuan dan 148 lelaki yang akan mengikuti pengajian di tiga fakulti di UMP Pekan dan enam fakulti di kampus Gambang.

Hadir menyambut ketibaan pelajar baharu Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced, Dr. Mohamad Rozi Hassan yang turut dihadiri Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dr. Jamil Ismail dan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr. Muhammad Mat Noor. 

Menurut Dr. Mohamad Rozi berkata, buat pertama kalinya juga UMP Advanced merupakan entiti UMP yang fokus kepada Kemasukan Khas Ambilan Februari ini untuk lepasan diploma atau setaraf bagi  program Ijazah Sarjana Muda.

“Ianya adalah inisiatif baharu hasil saranan daripada pengurusan UMP bagi membuka laluan kepada pelajar bagi lepasan diploma atau setaraf bagi mengikuti program pengajian ijazah sarjana muda di universiti ini. 

Lebih menariknya pelajar yang mengikuti program di bawah UMP Advanced ini akan berpeluang mengikuti program khas yang dapat meningkatkan nilai tambah kepada pelajar bagi kebolehpasaran graduan apabila bergraduat nanti.

Bagi pelajar,  Divaanesvary A/P Velayudam, 22 yang ditawarkan mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Kimia Industri di Fakulti Sains dan Teknologi Industri berkata, bersyukur terpilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di sini. 

Dalam pada itu, UMP bakal menjadi tuan rumah penganjuran Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) Jom Masuk IPT pada 3 hingga 4 Mac 2018 di Kompleks Sukan UMP Gambang. Bagi pelajar lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi, Diploma dan sebagainya berpeluang berkunjung ke KPTN untuk mendapatkan informasi pengajian tinggi yang sedang berlangsung di seluruh negara. 

Karnival itu juga bakal mendidik dan memupuk kesedaran dalam kalangan pemohon mengenai pelaksanaan pemohonan kemasukan ke institusi pendidikan tinggi melalui UPUOnline  yang bukan sahaja  program pengajian yang ditawarkan oleh Universiti Awam (UA) malahan Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan institusi lain bagi kemasukan Sesi Akademik 2018/2019.

 

Disediakan oleh Nor Salwana Mohammad Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Nur Laila binti Afandi