Skip to main content

Warga UMP Kibar Jalur Gemilang Semarakkan Bulan Kemerdekaan

Pekan, 20 Ogos – Semangat patriotik dan cintakan tanah air yang mendalam membangkitkan motivasi buat warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk menghiasi pejabat dengan Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang tinggal beberapa hari lagi. Sepanjang bulan Ogos ini menyaksikan kibaran Jalur Gemilang menghiasi bangunan dan pejabat sebagai tanda ingatan dalam menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan.

Pendaftar UMP yang juga Ketua Pegawai Operasi, Abd. Hamid Majid berkata, pemasangan Jalur Gemilang di sekitar UMP telah bermula sejak 15 Ogos lalu di UMP Gambang dan Pekan, bahkan pelbagai program yang menarik  disusun sepanjang bulan ini.

“UMP akan mengadakan beberapa aktiviti seperti Majlis pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan, Kayuhan Merdeka, Pertandingan Fotografi “Lensa Merdeka 61” dan Video Pendek “ Lensa Bakti” yang akan dilancarkan mulai 30 Ogos ini,” katanya. 

Turut diadakan Pameran Kemerdekaan 2018 yang diadakan di Perpustakaan UMP, Classroom to Global Community bertemakan Ekspresi Bakti, Promosi dan Penghargaan melalui Teknologi (e-bP2@T), Aspirasi Merdeka dan Cendekia Bicara yang bakal menampilkan jurufoto profesional iaitu Stefano Romano dan penerima Anugerah Hadiah Guru Global setaraf 'Hadiah Nobel' iaitu Noorjahan Sultan. Program turut melibatkan kerjasama daripada Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK).

Menerusi program ini juga dapat memupuk dan menyemarakkan semangat patriotisma dalam jiwa warga UMP serta mewujudkan semangat kerja berpasukan dan mengeratkan silaturrahim antara warganya. Majlis pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan akan dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin pada 30 Ogos ini bertempat di Dewan Bankuet Canseleri UMP Pekan.

Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim