Skip to main content

Explore Kapit Memasyarakatkan Teknologi

Kapit (Sarawak)– Beberapa daerah di bahagian Kapit Sarawak iaitu Rh. Anthony, Nanga Mujan Ili, Nanga Merit, Batang Rejang dan Belaga menjadi tumpuan seramai 22 orang peserta terdiri daripada alumni dan pelajar dalam Program Explore Kapit 2.0 anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) baru-baru ini.

Bertemakan “Belia Pemangkin Ngemansangka Menua Pesisir”, program ini telah mendapat kerjasama pihak Institut Kemahiran Mara (IKM), Bintulu. Antara aktiviti yang dilakukan oleh peserta ialah mempelajari alat muzik tempatan seperti Boning Barung, Kendang serta lagu-lagu tempatan termasuk Jamilah.

Peserta menempuh perjalanan yang agak mencabar selama empat jam untuk sampai ke rumah panjang Rh. Anthony di Kapit. Mereka tinggal bersama ibu bapa angkat masing-masing bagi merasai kehidupan sebagai penghuni di rumah panjang selama tiga hari dua malam.

Menurut pengarah program, Micheal Anak Jangi, program ini merupakan program susulan daripada penganjuran Explore Kapit 1.0 pada tahun beberapa tahun lalu. Objektif utama adalah melahirkan masyarakat luar bandar yang dapat menceburi bidang inovasi dan reka cipta sekaligus mempromosikan keistimewaan dan potensi luar bandar sebagai pusat tarikan pelancongan.

“Beberapa program turut dijalankan seperti projek inovasi dan rekacipta bagi membantu memudahkan penduduk setempat. Antaranya adalah menjalankan kerja fertigasi untuk tanam-tanaman (fertigation and aquaponics system) yang beroperasi dengan menggunakan tenaga solar yang dipasang di sepanjang tebing sungai di rumah panjang,” katanya.

Program Explore Kapit 2.0 ini juga mendapat sambutan baik khususnya daripada bekas Presiden Kelab Anak-Anak Sabah Sarawak (SMASS), Sazwan Sahar yang merupakan Alumni UMP (2014) serta Presiden Dayak Big Bike Club (DBBC), Souven Jawa yang juga alumni UMP (2012).

Disediakan oleh Siti Safiah Mohamed Ramli dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan Suntingan Bahagian Komunikasi Korporat.

Reports by:
Admin UMP News