Skip to main content

Jejak Ramadan Palu Bangkit Keinsafan Mahasiswa UMP

Sulawesi Tengah (Indonesia), 16 Mei- Pengalaman sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam menghulurkan bantuan membantu mangsa tsunami dan gempa bumi di daerah Palu, Sulawesi Tengah, Sulawesi Indonesia tatkala umat Islam menjalani ibadah berpuasa baru-baru ini memberikan keinsafan terhadap lima mahasiswa UMP. Mereka adalah Ezwan Shah Mohd Nordin, Nurul Waheeda Abdu Rahman, Nor Adzwa Rosli, Muhammad Zulhazmi Zakaria dan Nurdiana Wirman dengan diiringi Eksekutif Kanan dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Abdul Rahman Ahmad yang menyertai  misi kemanusiaan anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) dengan kerjasama Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UMP, Persatuan Pelajar Kejuruteraan Kimia (CHEST),  Ibsan Foundation dan Bernama News Channel bersama Ikon Youth of Strength & Happiness (YOSH) iaitu Ardell Aryana dan Nadzmi Adhwa. 

Menurut pengarah program Ezwan Shah yang juga Exco Kesukarelawanan dan Khidmat Komuniti Majlis Perwakilan Pelajar UMP, seramai 16 sukarelawan terlibat termasuk mahasiswa UMP dan sasaran program ini untuk menyalurkan bantuan dan dana yang telah dikumpul untuk disampaikan kepada mangsa tsunami dan gempa bumi  sekitar lokasi zon merah bencana gempa bumi dan tsunami iaitu di Balaroa, Pantai Talise, Petobo, Desa Jono Oge dan Desa Sibalaya. 

“Sukaralewan Malaysia dibantu oleh Relawan Nusantara Palu dan antara sumbangan termasuklah kelengkapan solat seperti telekung, sejadah dan Al-Quran untuk warga Desa Bangga, Dusun 2, Sigi yang merupakan sebuah desa yang teruk terjejas akibat gempa bumi. Peralatan sekolah seperti buku, pensil, bekas pensil dan sebagainya untuk anak-anak hasil sumbangan warga UMp turut disampaikan buat anak-anak di sini,” katanya.

Selain itu, terdapat juga sumbangan barang asas yang diberikan untuk warga Desa Bangga dan Dapur Umum hunian sementara di sana yang dikenali sebagai “sembako” yang mengandungi minyak masak, gula, garam, beras dan sebagainya turut dihulurkan buat komuniti Lero Ngapa, Desa Lero dan Darul Tauhid.

Manakala hunian sementara atau “Huntara” ini ditempatkan di lereng bukit yang jauh dari laut untuk warga Desa Lero dan Darul Tauhid yang menjadi mangsa tsunami. Di sini semua sukarelawan dari Malaysia dan relawan Indonesia dapat beramah mesra bersama warga desa dan mengadakan program bersama anak-anak.

Bagi sukarelawan UMP, Nurul Waheeda berkata, mereka juga mengadakan program  bersama anak-anak seperti mewarna, belajar Bahasa Inggeris dan aktiviti pembelajaran menggunakan modul akademik yang sesuai memandangkan kanak-kanak di sana telah ketinggalan dalam pelajaran dan aktiviti berbuka puasa bersama masyarakat Palu.

Sementara itu bagi sukarelawan Nor Adzwa Rosli, pihaknya juga telah melakukan aktiviti trauma healing kepada anak-anak Desa Bangga di sekolah bagi menghilangkan trauma anak-anak di sana akibat bencana yang dihadapi. Katanya, jelas terpancar keseronokan anak-anak menyambut ketibaan sukarelawan Malaysia dan mereka tetap berminat untuk belajar walaupun berdepan dengan kesukaran akibat kekurangan kemudahan.

Manakala bagi Muhammad Zulhazmi Zakaria dan Nurdiana Wirman kedua-duanya bersyukur terpilih berpeluang menyertai misi ini dan dapat menerapkan sikap kesukarelawan dalam diri setiap peserta serta melahirkan keinsafan atas kebesaran Allah serta kesabaran penduduk di sini berdepan dengan musibah serta bencana apatah lagi buat pertama kalinya mereka menyambut Ramadan dalam situasi sebegini. Pihaknya juga merakamkan penghargaan terima kasih buat pengurusan UMP terutamanya pihak JHEPA dan fakulti yang banyak menyokong dalam menjayakan Misi Kemanusiaan Palu kali ini. Apa yang pastinya ianya menggamit kenangan buat mahasiswa apabila menamatkan pengajian kelak.