Skip to main content
Mahasiswa Baharu UMP Dekati Komuniti

Mahasiswa Baharu UMP Dekati Komuniti

Bera, 6 Julai – Walaupun pada ketika itu baharu enam hari bergelar mahasiswa, namun mereka telah mampu menyantuni komuniti sekitar. Inilah pengalaman bermakna yang dilalui sembilan mahasiswa baharu program Diploma Universiti Malaysia Pahang (UMP) melalui penglibatan mereka dalam Projek Kilauan Mutiara di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Triang dekat sini selama tiga hari anjuran Kelab InSmartive UMP baru-baru ini.

Program motivasi akademik kepada pelajar Tahun Lima dan Enam SK Kuala Triang tersebut bukan sahaja memberi peluang untuk para mahasiswa baharu UMP ini mengenali masyarakat luar bandar di sini dengan lebih dekat, tetapi juga mendedahkan mereka kepada asas kemahiran kesukarelawanan pendidikan melalui bimbingan 11 mahasiswa kanan InSmartive dari program Diploma, Sarjana Muda dan Sarjana yang turut menyertai projek ini.

Menceritakan pengalamannya, Palaniapan A/L PL V Suppaiah, 18, mahasiswa   program Diploma Kejuruteraan Mekanikal yang berasal dari Kelantan amat teruja apabila dimaklumkan mengenai pemilihannya sebagai salah seorang krew projek bersama rakan dan ahli kanan InSmartive yang lain.

Manakala bagi Nur Batrisyia Qurratu Ain Mustapa, 18, dari program Diploma Kejuruteraan Kimia (Loji Proses) pula, peluang berinteraksi dengan komuniti sepanjang projek ini menyedarkan beliau mengenai kepentingan penyeimbangan kecemerlangan akademik dan keterampilan bersosial sebagai seorang mahasiswa UMP yang cakna.

Menurut Timbalan Pengurus Projek, Sharifah Nuraamirah Syed Abdul Hamid, 21, yang juga mahasiswa Fakulti Pengurusan Industri, siri Projek Kilauan Mutiara ini merupakan tahun ketujuh pelaksanaannya di SK Kuala Triang sejak 2012 yang mendapat kerjasama erat pentadbir sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Bera dan masyarakat setempat.

“Dengan fokus utama terhadap persediaan mental dan spiritual bagi menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), semua 58 peserta menempuh pengalaman menarik bersama fasilitator InSmartive melalui pelbagai aktiviti interaktif seperti 5 Most Powerful Questions, The Burj, Jendela Jauhari, Bursa Saham, Choopp! dan Warkah Buat Sahabat,” ujarnya.

Program menyaksikan Umar Alfaruqi Suhaimi dan Anisya Farisya Mohd Azlan  muncul sebagai penerima Anugerah Peserta Terbaik Projek. Hadir dalam majlis perasmian penutup program,  Guru Besar SK Kuala Triang, Shuhaimi KH Bakar, Ketua Penyelidik, Pejabat Naib Canselor, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain selaku Penasihat InSmartive dan Presiden InSmartive Muhammad Aizat Azed.

 

Berita disediakan oleh Sharifah Nuraamirah Syed Abdul Hamid, Timbalan Pengurus Projek manakala foto oleh Agibrael Tarmizi Tumin.