Skip to main content

Mahasiswa UMP Hulur Sumbangan, Timba Pengalaman Sosio Budaya Masyarakat Kemboja

Kemboja, 30 November – Seramai 10 orang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) daripada Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam dan Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli yang menyertai misi Mobiliti Asean Kemboja 2018 baru-baru ini memberikan mereka peluang menimba pengalaman mengenai sosio budaya masyarakat dan mengadakan program khidmat komuniti di sana. Program dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) ini bertujuan mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat global dalam perkongsian teknologi dan pengetahuan selain dapat meningkatkan kemahiran insaniah dalam diri mahasiswa.

Bagi pengarah program, Ahmad Firdaus Ahmad Asri, kunjungan mereka ke Kampung Chnang yang merupakan salah satu perkampungan Islam sangat menginsafkan. Kedudukan kampung yang agak jauh iaitu jaraknya 130 km dari pusat bandar dari pusat bandar menyebabkan kampung ini agak ketinggalan dari sudut pembangunan. Malahan kebanyakan mereka masih mengunakan perigi dan pam air untuk mendapatkan sumber air bersih. Begitu juga dengan keadaan madrasah dan surau juga serba kekurangan dari segi kelengkapan dan keselesaan untuk belajar dan melaksanakan ibadah.

“Program seperti ini dapat memupuk semangat kemasyarakatan secara berkumpulan. Aktiviti yang dijalankan seperti sesi pembelajaran, perkongsian teknologi dan pemberian sumbangan dalam bentuk tenaga, pengetahuan dan kemahiran diharapkan sedikit sebanyak mampu untuk meningkatkan taraf hidup penduduk di sini,” katanya.

Selain itu dengan adanya program seperti ini mampu mewujudkan semangat jati diri dan persefahaman yang tinggi dalam kalangan mahasiswa. Misalannya, kesulitan yang dirasai bersama mampu melahirkan sebuah kumpulan yang sentiasa memahami dan bertoleransi antara ahli kumpulan, memberikan kesedaran bahawa tidak semua orang mampu merasai kesenangan dan bersyukur dengan nikmat kesenangan yang kita perolehi. Aktiviti seperti ini mampu mewujudkan rasa bertimbang rasa dan berkongsi apa yang dimiliki. Bukan itu sahaja, program ini juga membolehkan mahasiswa mempelajari keunikan budaya, bahasa, perkembangan teknologi dan sebagainya yang ada di Kemboja.

“Kami juga mengadakan aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk Kampung Chnang, Trolach serta menyerahkan sumbangan kepada beberapa naskah Al-Quran dan Risalah Buku Surah Yasin, rak buku, telekung, sejadah dan wang tunai hasil sumbangan warga UMP,” katanya. Mereka turut menyampaikan 30 unit lampu solar dan mengadakan taklimat tentang penggunaan dan demonstrasi penggunaan lampu solar ini juga disampaikan kepada penduduk kampung.

Dalam pada itu mereka juga berkunjung ke Madrasah Al-Falah, Phnom Penh bagi sesi pembelajaran bersama 60 pelajar madrasah yang tergolong dalam pelbagai peringkat umur antara 7 hingga 16 tahun. Sudut pengetahuan juga disediakan dan dipenuhi dengan pelbagai poster informasi bagi membolehkan pelajar madrasah ini diperkenalkan dengan kehidupan kampus di universiti khususnya di UMP.  Kesempatan ini juga memberikan mereka peluang berkunjung ke Norton University yang merupakan universiti swasta pertama di Kemboja.

Program dijayakan bersama Afiqa Abd Kadir, Nuraini Mahali, Tengku Hafidatul Husna Tengku Anuar, Fahad Amirul Aziz Baharuddin Aziz, Muhammad Hasnun Hasib Mohd Ariffin, Nur Qurratul Ain Nadzirah Mohd Nasir, Zaidatul Ismaniza Ismail, Nurul Nadiah Abdul Halim dan Muhammad Hafiz Abu Talip yang terpilih mengikuti program ini. 

 

Disediakan oleh Emma Melati Burhanuddin daripada Fakuti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam.