Skip to main content

Perpustakaan mini di Pusat Sehenti Komuniti KP House pupuk budaya minat membaca

Pekan, 24 April- Penubuhan perpustakaan mini hasil kolaborasi strategik pihak  Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang berjaya mengumpulkan buku termasuk sumbangan orang ramai dan Program Pinjaman Program Pinjaman Buku Berkelompok oleh Perpustakaan Awam Daerah Pekan menjadikan Pusat Sehenti Komuniti KP House (KP House) yang dibangunkan UMP ini terus menjadi tumpuan masyarakat di Kuala Pahang ini.

Program mendapat kerjasama pihak Persatuan Wanita UMP (Matahari) yang menyumbang kemudahan rak-rak buku serta sokongan pihak  Jabatan Hal Ehwal Korporat & Kualiti (JHKK) serta Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang dalam memupuk budaya membaca dan mencintai ilmu pengetahuan.

Majlis menyaksikan Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat dan Kualiti), Prof Dato Dr Mashitah Mohd Yusoff hadir menerima sumbangan daripada Timbalan Ketua Pustakawan, Hajjah Siti Aishah Ghani, Setiausaha Matahari, Mimi Rabita Abdul Wahit dan wakil Perpustakaan Awam Daerah Pekan, Haji Hisyam Hashim dan Muhammad Huzaimi Hashim. Turut sama hadir, Ketua Kampung Kuala Pahang, Hassan Mohamed Sukor.

Menurut Prof Dato Dr Mashitah, pembangunan KP House merupakan kesinambungan Program Facelift D’Kuala yang bermula sejak tahun 2017 melibatkan 118 buah rumah dan ianya merupakan salah satu inisiatif di bawah MyGift UMP dalam memasyarakatkan kampus.

 

Katanya, rumah ini dahulunya merupakan sebuah kuaters guru yang terbiar dan telah melalui proses transformasi menyeluruh bagi menyediakan UMP dengan satu Living Lab sekaligus memberikan nilai tambah kepada komuniti di Kuala Pahang sebagai Pusat Sehenti Komuniti KP House.

 

“Bermula dengan Program Bridge of Love @ KP House yang dijalankan mahasiswa Insmartive UMP pada awalnya disertai seramai 32 orang pelajar sekolah rendah dan menengah berjaya mendekatkan diri pelajar dengan aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan. Program Tuisyen Komuniti juga mendapat sambutan di KP House. Kita hanya mensasarkan seramai 30 orang pelajar namun agak memeranjatkan apabila jumlah bertambah dan sehingga kini seramai 120 orang pelajar telah berdaftar mengikuti program ini,” katanya.

 

Program yang dijalankan pada setiap hari Isnin sehingga Jumaat, bermula jam 8.00 malam hingga 10.00 malam melibatkan aktiviti ulangkaji pelajaran dengan bantuan tutor yang terdiri daripada mahasiswa UMP. Ianya turut menyelitkan program softskills bagi membantu melahirkan modal insan yang lebih berketerampilan.

 

Beliau mengharapkan dengan adanya mini perpustakaan ini akan memberi semangat buat anak-anak dan golongan muda untuk menimba ilmu. Seiring dengan Kempen Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik pada tahun lalu ke arah menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang tahun 2030. Selain itu, pelbagai program bersama komuniti turut dijalankan termasuklah Kelas Mengaji, Kelas Fiqh Wanita, Program Keibubapaan dan Taklimat Kebersihan, Pemeriksaan Kesihatan dan Tuisyen Matematik Tambahan.

 

Disediakan oleh Hazlina Faizal daripada Jabatan Hal Ehwal Korporat dan Kualiti dan suntingan Bahagian Komunikas Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri