Skip to main content

Siti Rokiah terima manfaat Facelift UMP bantu baikpulih rumah

Kesengsaraan seorang ibu tunggal membesarkan 10 anaknya yang tinggal dalam rumah yang serba kekurangan sejak 50 tahun lalu di Kuala Pahang berakhir apabila kini kerosakan itu sudah dibaiki dan membolehkan keluarga ini mendiami rumah dengan lebih selamat dan selesa.

Peserta Facelift, Siti Rokiah Hussain,68 merupakan salah seorang daripada 61 penerima bantuan Program Facelift Kuala Pahang di bawah UMP sebagai pelaksana ini. Beliau yang kini tinggal bersama dua anak serta cucunya  tidak mampu membaiki kerosakan rumah kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap dan anak-anaknya hanya bekerja kampung.

Beliau yang kini menanggung sakit saraf dan darah tinggi hanya mampu berniaga sarapan pagi kecil-kecilan di hadapan rumahnya. Dengan pendapatan tidak seberapa dan hanya mampu beli barangan keperluan harian serta pakaian sahaja.

“Kami bersyukur dengan bantuan baiki rumah yang hampir runtuh dan mendirikan kedai membolehkan menjalankan perniagaan. Sebuah bilik tidur berhampiran dapur yang dibina sangat membantu saya tanpa perlu banyak bergerak. Dengan bantuan Facelift UMP ini, sekurang-kurangnya keadaan rumah agak selesa berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kuala Pahang.

Menurut Siti Rokiah, macam tidak percaya, rumah dan gerai yang dahulunya menanti roboh kini telah tersergam indah dan sekarang tidak perlu risau apabila hari hujan menembusi atap yang bocor. Ujarnya, dia tidak mampu membaiki kerosakan rumah kerana pendapatannya hanya bergantung kepada sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM 300 dan hasil jualan nasi lemak di warung depan rumahnya anggaran RM 120 sehari.

Terharu dengan sumbangan ini dan sungguh tidak menyangka akan memiliki gerai yang sempurna ini memberikan dorongan buatnya untuk lebih bersemangat untuk berniaga. Seorang lagi penerima adalah Azman Ali yang menerima manfaat menaik taraf bilik dan ruang tamu untuk keselesaan keluarga ini.

Hadir berkunjung ke rumah Facelift, Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Sri Ts Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi, Abd. Hamid Majid. Sehingga kini sebanyak 61 buah rumah yang terlibat untuk dibaikpulih, mengecat, membersih dan mengindahkan kawasan persekitaran termasuk enam buah rumah lagi masih dalam pembangunan.

Program Facelift D’Kuala merupakan usaha UMP melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan pihak korporat dengan strategi lautan biru bagi menambahbaik lanskap sosial penduduk Kuala Pahang dan bagi menambah keceriaan rumah-rumah sekitar Kuala Pahang yang terkenal sebagai perkampungan nelayan. Selain rumah penduduk, laluan masuk utama Kuala Pahang sehingga ke Medan Ikan Bakar yang dibangunkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) negeri Pahang turut diperindahkan. 

Disediakan Nor Salwana Mohamad Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat  

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nur Laila binti Afandi