Skip to main content

Warga UMP Santuni Keluarga Asnaf dan Kurang Berkemampuan

Pekan, 7 Jun – Dalam menyemarakkan program khidmat sosial universiti dan prihatin dengan masyarakat sekitar kampus, sebilangan sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam kalangan staf Bahagian Pengurusan Akademik (BPA) dan Bahagian Pemasaran & Pengambilan Pelajar (BPPP) Jabatan Pendaftar `masuk kampung' bagi menyerahkan sumbangan barangan keperluan dan duit raya kepada 10 keluarga asnaf dan kurang berkemampuan sekitar Kampung Langgar, Kampung Semangat dan Kampung Marhum Pekan.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program Jejak Asnaf Fakir Miskin yang dilaksanakan di universiti ini yang digerakkan di peringkat jabatan bagi membantu golongan yang memerlukan disebabkan kesempitan dalam menjalani kehidupan seharian.

Menurut Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi UMP, Abd. Hamid Majid, inisiatif ini juga merupakan salah satu usaha memasyarakatkan kampus dengan mendekati dan membantu golongan asnaf dan kurang berkemampuan menyambut Aidilfitri yang akan datang. Beliau hadir bersama Pengurus BPA, Zainuddin Mat Husin, Pengurus BPPP, Arman A. Rahim bersama 15 sukarelawan.

“Sumbangan berupa barangan dapur dan keperluan Aidilfitri itu merupakan hasil sumbangan warga universiti dan orang perseorangan. Hasil kutipan sumbangan bertemakan #SeindahRamadhan ini memberi peluang kepada staf universiti untuk menyumbang dan turun padang menghulurkan sumbangan ke rumah mereka,” katanya.

Sementara itu, penerima sumbangan seorang ibu tunggal Junaidah Othman, 46, yang mempunyai seorang anak 3 orang anak gembira dengan sumbangan yang diberikan kepada mereka sekeluarga. Bantuan ini sudah pastinya dapat meringankan beban keluarga dan meraikan Aidil Fitri bersama yang lain.

Beliau berkata sumbangan tersebut cukup bermakna kepada keluarganya kerana beliau tidak bekerja untuk menyara keluarga. Kunjungan menyantuni asnaf dan keluarga kurang berkemampuan ini juga dapat mengeratkan ukhwah dan silaturrahim antara UMP dan komuniti setempat.

Disediakan Nor Hafizah Fadzillah dari Bahagian Pengurusan Akademik (BPA)