Skip to main content

Yayasan UMP hulur bantuan doakan Uqail segera ditemui

KUANTAN, 4 Januari 2021 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) terkejut dengan berita yang menimpa keluarga mahasiswa Fakulti Komputeran (FK), Uqail Iskandar Zulkernain yang telah mengorbankan ayahnya, Zulkernain Itam yang lemas semasa cuma memindahkan barang-barang rumah yang ditenggelami banjir

Kejadian itu berlaku akibat bencana banjir yang melanda beberapa daerah di Negeri Pahang termasuk di Jerantut semalam.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan seluruh warga universiti mengucapkan takziah buat keluarga dan mendoakan agar Uqail segera ditemukan.

“Kita berdoa agar Uqail yang masih hilang segera ditemui sekaligus meredakan tekanan dan kesedihan yang sedang dihadapi keluarga ini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan UMP berkata, pihaknya turut menyegerakan bantuan bencana banjir berupa barang keperluan dan makanan buat ahli keluarganya pada petang tadi.

Hadir menyampaikan sumbangan Dekan Perkhidmatan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Profesor Madya Dr. Mansor Sulaiman kepada ibunya, Mazayana Abdullah. 

Turut sama Pengurus Perkhidmatan JHEPA, Zainal Bahari, Pegawai Belia dan Sukan, Mohd Aznorizamin Ismail dan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi), Nazrul Redza Nazeri yang berasal dari kawasan tersebut.

Tambahnya lain-lain bantuan akan menyusul esok dan pihaknya akan sentiasa memastikan kebajikan pelajar dan sokongan emosi buat keluarga terutamanya berdepan dengan situasi sukar seperti ini.

“Pada masa ini, pihak pengurusan universiti telah menggerakkan usaha membantu mangsa banjir terutamanya dalam kalangan pelajar dan staf melalui Jawatankuasa Bertindak  Bencana UMP.

“Dalam pada itu, kami mengharapkan para pelajar sentiasa berwaspada dan peka dengan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa selain sentiasa mengutamakan keselamatan ketika musim tengkujuh,” katanya. 

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat,  Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit