Skip to main content

35 graduan perintis program kerjasama UMP dan AKEPT dalam pemantapan bakat

Kuantan, 18 November- Seramai 35 graduan program kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dibawah agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) menerima diploma masing-masing yang disampaikan Naib Canselor UMP, Prof Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff bersempena Majlis Konvokesyen UMP Kali ke-14 yang berlangsung pada hari kedua di Kompleks Sukan UMP Gambang.  

Program perintis ini dilaksanakan melalui pusat pengajian sepanjang hayatnya, UMP Advanced Education (UMPA) berjaya melahirkan graduan dalam bidang Diploma Profesional Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi (CBTM). Pelaksanaan pembangunan modal insan dan pengurusan bakat ini selaras dengan kepentingan pembangunan sumber manusia pendidikan tinggi dan dunia kesarjanaan ke arah pemantapan penyampaian kerja berprestasi tinggi pada masa depan.      

Bagi Pengarah AKEPT, Profesor Dr Nordin Yahaya, agenda pengurusan dan pemerkasaan bakat kepimpinan adalah penting dalam ekosistem organisasi dan institusi pendidikan tinggi. Hasrat AKEPT dalam membina jambatan ilmu CBTM direalisasikan melalui kolaborasi strategik antara AKEPT dan UMP yang mana kompetensi menjadi tonggak dalam membudayakan pengurusan bakat yang berwibawa di universiti awam (UA).

“Alumni pertama AKEPT-UMP dalam Diploma Profesional CBTM ini merupakan satu pelaburan yang begitu bermakna buat KPM umumnya dan UA khususnya. Pendedahan kepada ilmu sumber manusia dengan 10 modul yang ditetapkan  ini telah berjaya melahirkan pegawai yang lebih kompeten dalam pengurusan bakat yang lebih berstruktur dan telus,” katanya.

Dengan terhasilnya kohort pertama dalam CBTM ini, AKEPT berharap ianya akan memperkasakan pengurusan bakat kepimpinan yang lebih telus, holistik dan objektif. Pihaknya bersama dengan universiti awam akan bergerak seiring dan jaringan strategik ini juga merupakan landasan perkongsian ilmu yang berterusan bagi mencapai kelestarian pengurusan bakat kepimpinan berteraskan kompetensi.

Beliau mengharapkan agar usaha AKEPT-UMP ini berterusan bagi merencanakan agenda kelangsungan kepimpinan universiti awam yang berwibawa untuk kecemerlangan pendidikan tinggi negara. Program komprehensif melalui pendekatan pembelajaran teradun (blended learning) ini adalah di bawah penyeliaan Pusat Pemprofilan Kepimpinan (CeLP) manakala AKEPT dan UMP sebagai rakan strategik. Pembelajaran Teradun merupakan satu kaedah yang menggabungkan pendekatan pembelajaran mod bersemuka (face to face) dan pembelajaran mod atas talian (online). 

Bagi Pengarah Pusat Kecemerlangan dan Kesarjanaan Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Ts. Dr. Faaizah Shahbodin berkata, CBTM program penting bukan sahaja kepada pentadbir universiti, malah semua komuniti universiti perlu faham dan ikuti program ini untuk lonjakkan kefahaman tentang kompetensi dan pembangunan bakat.  

Manakala bagi Timbalan Pengarah di Pusat Pengurusan Bakat dan Latihan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Syamsul Azri Abdul Rahman pembelajaran sambil bekerja adalah satu pengalaman baharu yang sangat memberi manfaat secara spesifik kepada tugas dan tanggungjawab semasa di UniSZA. Program ini banyak memberi pendedahan dan maklumat yang terkini dalam pengurusan bakat sumber manusia serta juga meningkatkan jaringan kerja dengan pengurus bakat di universiti awam yang lain.

Begitu juga dengan Ketua Seksyen Pelan Penggantian di Pejabat Pendaftar di Universiti Putra Malaysia (UPM), Azizi Ismail, CBTM merupakan platform terbaik hasil idea asli dan kreatif AKEPT dengan iltizam padu dari UMP berupaya meningkatkan kompetensi pengurus bakat universiti awam selari dengan pendekatan sumber manusia terkini.  

Dalam pada itu, sebuah buku yang berjudul “Memimpin Yang Terpimpin: Model Kompetensi Bakat dan Kepimpinan Universiti Awam” hasil garapan penulis daripada UMP,  Universiti Teknologi Malaysia (UTM), UnisZA dan AKEPT yang diketuai oleh Dr. Mohamad Rozi Hassan dan Prof. Madya Dr Ismie Roha Mohd. Jais dilancarkan pada Majlis Makan Malam Bersama Graduan bersempena meraikan graduan CBTM anjuran UMPA di Hotel Vistana Kuantan baru-baru ini. Beberapa siri buku,jurnal, artikel, modul dan penerbitan-penerbitan lain juga akan diterbitkan sebagai rujukan bersama UA dan mana-mana agensi yang berkenaan. 
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim