Skip to main content
9 Sekeluarga Bergraduasi Serentak

9 Sekeluarga Bergraduasi Serentak

Kuantan, 28 November- “Orang yang berjaya dalam hidup ini adalah mereka yang nampak hala tuju. Kekuatan bukan hanya datang daripada sudut fizikal sahaja namun ianya datang daripada semangat yang tidak pernah mengalah.” Inilah falsafah pegangan hidup bagi Datuk Mokhtar Samad, 73 yang merupakan Penasihat Kehormat Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM). 

Kesibukan kerjaya dalam bidang pembinaan sejak 46 tahun lalu bukan halangan buatnya dalam menimba ilmu pengetahuan di UMP. Beliau berjaya menamatkan pengajian Master Eksekutif Pengurusan Projek di bawah UMP Advanced Education (UMPA) dan dinobatkan penerima Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat sempena Majlis Konvokesyen UMP baru-baru ini.

Malahan, menjadi sejarah buat keluarganya apabila turut bergraduasi dan berkongsi pentas konvokesyen serentak dengan isterinya, Datin Neng Hayati Hayatullah Md. Ali bersama lima anak dan dua menantunya.

“Anak-anak muda generasi hari ini perlu meneruskan semangat rajin belajar  sehingga ke akhir hayat,” ujarnya.  Isterinya Datin Neng Hayati Hayatullah Md. Ali, yang merupakan Pengerusi Biro Wanita & Kebajikan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia turut melahirkan perasaan bersyukur apabila dapat menamatkan pengajian bersama keluarga dan berbangga apabila suaminya berjaya meraih anugerah. 

Begitu juga bagi anaknya, Mokhzairi Mokhtar berkata, dapat belajar bersama menjadikan mereka lebih akrab dan bersaing dalam memastikan mereka dapat menamatkan pengajian bersama. 

Selain Mokhzani, turut berkongsi pentas konvokesyen adalah Nurrul Maria Mokhtar, Mokhzairi Mokhtar, Muhammad Nabil Mokhtar, Nurrul Natasha Mokhtar, Natasha Dhabitah Mat Piah dan Muhammad Hafizal Mohamad. Mereka turut berjaya menamatkan pengajian program Master Eksekutif Pengurusan Projek.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri