Skip to main content

Adinda Sultan Pahang terima Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat UMP

Walaupun sibuk dengan kerjaya dalam bidang peniagaan dan menjawat sebagai Pegawai Pemerintah Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah, bukan halangan buat Leftenan Kolonel Tengku Dato’ Sri Kamarulzaman Al-Haj Ibni AlMarhum Sultan Sir Abu Bakar meneruskan hasrat menyambung pengajian Master Eksekutif Pengurusan Projek di Universiti Malaysia Pahang (UMP).
 
Beliau yang merupakan adinda Sultan Pahang juga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat yang dikurniakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang merupakan Canselor UMP dalam Majlis Konvokesyen UMP Ke-13 yang berlangsung di UMP Kampus Gambang pada 10 dan 11 November 2018 yang lalu. 

Tengku Dato’ Sri Kamarulzaman juga berhasrat untuk meneruskan pengajian kedoktoran pada masa akan datang dan menasihatkan anak muda agar belajarlah untuk menimba ilmu untuk meningkatkan kemahiran dan memajukan diri sendiri serta kerjaya.
 
Turut menerima anugerah yang sama ialah ialah Kumaran A/L Alagamuthu Nadar yang merupakan graduan Master Eksekutif Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran yang kini kerkhidmat sebagai Pengurus di Daya CMT Sdn. Bhd. 

Bagi Kumaran, beliau amat mengutamakan disiplin dan pengurusan masa yang efektif untuk mencapai kecemerlangan. 

“Saya percaya jika kita mempunyai disiplin yang baik, ianya akan membentuk jati diri yang cemerlang dan kita akan mencapai kejayaan yang diidamkan.
 
“Pengalaman menimba ilmu di UMP akan menjadi kenangan yang paling manis dalam hidup kerana di sini kami belajar secara berkumpulan dan mengadakan perbincangan serta tenaga pengajar juga terdiri dalam kalangan profesional yang hebat. 

“Harapan saya pada suatu hari nanti untuk bergelar seorang Profesor dan melatih lebih ramai graduan dalam bidang ini,” katanya. 

Beliau tidak menyangka dipilih sebagai penerima Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat-Program Profesional/Eksekutif yang dianugerahkan buat graduan UMP Advanced.

Baginya, mereka yang bekerja perlu mengambil peluang untuk menambah baik diri dan meningkatkan kemahiran yang diperlukan. 

“Malahan golongan dewasa yang bekerja, suri rumah dan warga emas yang mahu memberi sumbangan kepada negara, perlu menambah baik diri dan mempelbagaikan kemahiran,” ujar beliau. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim