Skip to main content
Aktif Kesukarelawanan- Nasrul Arif  Zakaria  terima Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita

Aktif Kesukarelawanan- Nasrul Arif Zakaria terima Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita

Kuantan, 16 November- Bijak mengurus masa mungkin kunci kejayaan kepada anak kelahiran Pahang, Nasrul Arif Zakaria, 23, graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian yang berjaya mengekalkan Anugerah Dekan pada setiap semester. Anak bongsu dari lima beradik ini sama sekali tidak pernah menyangka akan terpilih untuk menerima Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita sempena Majlis Konvokesyen UMP ke-14 baru-baru ini.

Nasrul Arif banyak menggunakan masa dengan belajar atau berlatih ilmu baharu seperti membuat reka grafik atau menyunting video dan lain-lain yang mana mungkin berguna untuk masa akan datang sekaligus menjadi nilai tambah untuk dirinya. Dalam erti kata lain, beliau mempersiapkan diri dengan kemahiran baharu seiring dengan perkembangan teknologi terkini.

Anak kepada pasangan pesara kerajaan ini turut aktif dalam program kesukarelawanan sepanjang pengajian beliau di UMP. Antara program yang disertai beliau termasuklah Program Tuisyen Orang Asli Batu 14, Gambang, Program Ziarah Prihatin Ramadhan dan Aidilfitri, Projek Pindah Rumah Ibu Tunggal, Program Ziarah dan Hulurkan Bantuan Muallaf dan Ibu Tunggal, Program Ziarah One Stop Nursing Centre Sri Damai dan Program Singgah Sahur Rumah Anak Yatim Nur Iman, Kempadang.

Menurut Nasrul Arif, selagi mampu, beliau akan membiasakan diri menyertai program kesukarelawanan kerana daripada program seumpama itu, dapat membuka minda dan menyedarkan kita bahawa ramai orang di luar sana yang memerlukan pertolongan.

“Jika kita mempunyai kelebihan, bantu orang lain yang mungkin mengalami kekurangan, supaya keadaan persekitaran akan menjadi seimbang, malah kita akan dapat lebih lagi,” tambah beliau.

Nasrul Arif juga meminati bidang pengucapan awam. Beliau turut serta dalam program I Am Survivor anjuran Alumni UMP selama tiga tahun berturut-turut bermula dari 2017 sebagai penceramah motivasi kaedah pembelajaran di UMP. Pada tahun berikutnya, Nasrul Arif terlibat sebagai fasilitator program dan dilantik sebagai panel forum pada tahun ini.

Beliau kini merupakan seorang pembantu penyelidik kepada Dr. Munira Abdul Razak, pensyarah Pusat Bahasa Moden sejak dari 2016. Tugas sebagai pembantu penyelidik memberi peluang kepada beliau untuk turut serta dalam pertandingan dan meraih pingat Emas dalam International University Carnival on E-Learning (IUCEL) 2017 & 2018, pingat Emas dalam Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2018.

Pingat Perak dalam 29th International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2018 dan International Conference and Exposition on Inventions (PECIPTA) 2019 dan pingat Emas dalam Karnival Inovasi UTeMEX 2019. Selain itu, beliau turut berkhidmat sebagai Freelancer. Nasrul Arif bercita-cita untuk mengembangkan perniagaan sendiri, Nazethics Solution dalam bidang perekaan grafik dan pembinaan yang kini dalam proses pendaftaran.

Disediakan oleh Nur Sa'adatul Afzan daripada Bahagian Komunikasi Korporat 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri