Skip to main content
Anugerah Emas Khaizuran Khas Buat Ibu

Anugerah Emas Khaizuran Khas Buat Ibu

Kuantan, 16 November- Kesusahan ibu yang merupakan ibu tunggal bekerja dan berpenat lelah mencari wang demi membesarkannya bersama empat adik-beradiknya yang lain membakar semangat buat Khaizuran Aqhar Ubaidillah, 21 untuk belajar dengan lebih gigih. Beliau tidak menyangka usahanya selama ini membuahkan hasil apabila dinobatkan penerima Anugerah Emas Universiti bagi peringkat Diploma pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-14.

Khaizuran Aqhar berkata, kesukaran hidup keluarga menjadi pembakar semangat untuk mengubah nasib mereka dengan berjaya dalam pendidikan. Beliau merupakan anak sulung daripada 5 adik- beradik dan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga ini membuatkan beliau perlu lebih berdikari dan bertanggungjawab terhadap keluarganya.

Anak kelahiran Johor ini  bergiat aktif dalam menyumbangkan kepakaran apabila diberi kepercayaan bekerjasama dengan pihak UMP Advanced Education bagi penganjuran program seminar industri sebanyak empat kali setakat ini. Beliau merupakan seorang pelajar Sains Komputer dan pernah mendapat Anugerah Top 5 dalam Projek Tahun Akhir yang mana beliau membangunkan sistem jual beli barangan runcit atas talian, Grocerline. Tidak berhenti di situ sahaja, Beliau juga membangunkan sistem kalendar untuk syarikat KPJ Johor Specialist Hospital semasa beliau menjalani praktikal di sana. 

Kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai, sekarang beliau telah meneruskan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sistem Komputer & Rangkaian di UMP dan telah meraih dekan bagi semester pertama beliau.  

Khaizuran Aqhar berkata, beliau mahu mencapai kecemerlangan dalam akademik bagi membalas jasa ibunya Norliyati Md Nor, 46.

“Kerana mahu membesarkan kami ibu kuat bekerja, meskipun susah dia tidak pernah merungut jadi saya bertekad untuk balas jasanya," ujarnya.  

Turut menerima Anugerah Emas Universiti ialah Janet Jong Jin Joo, 24 berkata, sebagai penuntut universiti dia perlu bijak membahagikan masa antara belajar dan juga aktiviti yang disertai di kampus.

Ujarnya, walaupun sibuk macam mana sekalipun, beliau akan mengutamakan pelajaran dan memberi sepenuh perhatian ketika pensyarah mengajar di dalam bilik kuliah untuk memastikan memperoleh anugerah dekan bagi setiap semester. Dengan Purata Nilai Gred Kumalatif (CGPA) 3.96 kini bekerja sebagai Jurutera  Proses di SCI LTE PTD.

Disediakan Siti Nur Azwin Binti Zulkapri daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri