Skip to main content
`Anugerah ini hadiah untuk ayah dan ibu..' - Norlinda

`Anugerah ini hadiah untuk ayah dan ibu..' - Norlinda

Kuantan, 16 November – Tiada apa yang lebih mengembirakan hati seorang graduan apabila ibu bapa dapat hadir menyaksikan mereka menerima ijazah dalam majlis konvokesyen setelah berhempas pulus menamatkan pengajian. Walaubagaimanapun, situasi itu tidak terjadi kepada Norlinda Adsun,23, graduan Fakulti Pengurusan Industri yang terpilih menerima Anugerah Kecemerlangan Soho Niaga dalam Majlis Konvokesyen Ke-13 Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Anak petani dari Kudat, Sabah ini terpaksa redha dengan ketentuan ilahi apabila bapanya Adsun Santi,69, disahkan mengidap strok dan menyebabkan lumpuh separuh badan sejak setahun yang lalu manakala ibunya, Sinulihing Bahood, 55, perlu menjaga bapanya sepenuh masa.

“Kejayaan saya pada hari ini diharapkan dapat mengembirakan ibu bapa saya. Saya sentiasa berharap agar ayah sihat sepenuhnya dan dapat meraikan kejayaan saya semasa konvokesyen, namun saya redha ujian ini," ujarnya. Anak bongsu daripada empat orang adik-beradik berkata, kesusahan hidup bukanlah penghalang buat beliau untuk berjaya.

“Saya sentiasa cuba seimbangkan penglibatan kokurikulum agar ianya tidak menganggu waktu akademik. Sekiranya ianya menganggu beliau akan memastikan tugasan akademik akan disiapkan terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti luar,” tambah beliau yang juga  penerima Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak tahun kedua pengajian di universiti.

Memegang falsafah ‘strive not to be a success but rather to be value’ Norlinda  berkata persekitaran yang positif, membina serta mengembirakan banyak memberi kesan untuk mencapai kejayaan. “Untuk berjaya seorang mahasiswa itu perlu pandai mencipta peluang yang ada. Jangan pernah berputus asa dan sentiasa berfikir untuk mencari pengalaman selagi boleh,” katanya.

Beliau yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan Projek dengan Purata Nilai Gred Komulatif (PNGK) 3.72 juga merupakan pemenang bagi Pertandingan Kaligrafi UMP Kategori Non-Chinese 2016/2017.

Disediakan Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim