Skip to main content
Chew Wi Kang Sertai Mobiliti 5 Bulan di China

Chew Wi Kang Sertai Mobiliti 5 Bulan di China

Kuantan, 16 November- “Untuk berjaya kita perlu fokus dan yakin pada diri sendiri untuk mencapai impian yang kita inginkan, bukan sekadar angan-angan kosong, dalam usaha nak capai impian itu pasti ada rintangan dan halangan tapi jadikan ia sebagai pendorong untuk berjaya,” ujar Chew Wi Kang yang menjadi prinsip hidup buatnya sehingga berjaya meraih Anugerah  Kecemerlangan Perodua  pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kali ke-14.

Kang yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik juga membuktikan aktif dalam aktiviti penyelidikan dan program universiti  bukan penghalang baginya cemerlang akademik dengan meraih  anugerah Dekan sebanyak 6 kali.

Anak ketiga dari empat beradik ini berkata, pengalaman sepanjang di kampus banyak mendewasakannya. Antara kenangan manis sepanjang di UMP adalah berpeluang menyertai program mobiliti pelajar di Ningxia Universiti, China  selama 5 bulan. Selain itu,  memegang jawatan penting dalam penganjuran program seperti AIESEC Global Run UMP, persembahan dalam Chinese Orchestra dan  24 Festive Drum.

“Lebih menarik, di tahun akhir saya di UMP, saya turut memenangi pingat emas dalam Pameran Penciptaan, Inovasi, Teknologi & Penyelidikan (CITREX) menerusi penyelidikan yang bertajuk "Automated FRID parking System for Disabled Driver,” katanya.

Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti beliau akan bahagikan masa antara belajar dengan aktiviti luar dengan baik serta memberi tumpuan sepenuhnya ketika pembelajaran di dalam kelas bagi memastikan tidak tercicir.

Anak kelahiran Johor ini merasa amat gembira kerana berjaya menamatkan pengajian dengan memperolehi  Anugerah Kecemerlangan Perodua dengan purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sebanyak 3.77 dan kini bekerja sebagai Jurutera Mekatronik  di sebuah syarikat Al-sus Industri, Singapura sejak September lalu. Beliau amat berterima kasih kepada pensyarah yang banyak mengajar, bukan sahaja dalam bidang Mekatronik malah kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan dan softskill. 

Dengan kemahiran ini banyak membantu untuk mudah  mendapat pekerjaan, tambahnya. Kang merupakan di antara 3782 yang bergraduasi di Majlis Konvokesyen UMP ke-14 bertempat di Kompleks Sukan UMP Gambang.

Disediakan Nor Salwana Mohd Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri