Skip to main content
Dua sahabat baik terima Hadiah Kecemerlangan Dwi Ijazah Jerman

Dua sahabat baik terima Hadiah Kecemerlangan Dwi Ijazah Jerman

Kuantan, 16 November – Dua sahabat yang juga merupakan rakan sebilik berkongsi kegembiraan apabila meraih Hadiah Kecemerlangan Program Dwi-Ijazah (Verein Deutscher Ingenieure Award) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang ke-14 baru-baru ini.

Mereka adalah Nabilah Rosli, 25 dan Ong Kai Li, 24 penuntut Dwi-Ijazah Mekatronik daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM).

Nabilah yang berasal dari Terengganu manakali Ong Kai Li yang berasal dari Pulau Pinang meluahkan rasa syukur dan teruja apabila dapat menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan. 

Perbezaan budaya bukanlah suatu halangan buat sahabat ini untuk sentiasa berkongsi pandangan serta idea dalam melaksanakan setiap tugasan yang diberikan oleh pensyarah mereka. Ujar Nabilah, beliau sentiasa berpegah teguh kepada prinsip Hablum Minallah Hablum Minannas yang membawa maksud menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia .

Anak kepada pasangan Rosli Ludin dan Rohani Mamat ini berpandangan bahawa UMP merupakan sebuah universiti yang terbaik dalam membina jati diri insan baik dari segi akademik, pebentukan jati dan sahsiah diri serta perkembangan teknologi. 

Bagi beliau, untuk terus maju dan berjaya, seorang mahasiswa itu hendaklah senantiasa mencari peluang untuk memajukan diri dan tidak mudah berputus asa kerana sebuah kejayaan tidak akan hadir tanpa usaha yang tidak pernah kenal erti putus asa. 

Sementara bagi Ong Kai Li, penerima anugerah dekan bagi 6 semester sepanjang pengajian berpegang kepada prinsip pemikiran yang positif merupakan kunci kepada kejayaan. Andai kita mampu mengimpikan sebuah kejayaan pastinya kita mampu mengapainya. Bak kata pepatah “Genggam bara api, biar sampai jadi abu’.

Baginya, pengalaman dan kepahitan yang ditempuh semasa pengajian akan menjadi momen-momen terindah dalam hidupnya terutama ketika menjalani program mobiliti di Jerman selama 6 bulan. 

“Pengalaman belajar di Jerman membolehkan saya belajar mengenai kebudayaan dan teknologi negara tersebut malahan beliau dapat mempelajari cara masyarakat Jerman dalam mendidik generasi muda," ujarnya yang kini berkhidmat di Vitrox Corporation Berhad sebagai Jurutera Pembangunan & Penyelidikan.

Sementara itu, turut menerima anugerah ini ialah Mitchell Enrique Kuansin, 24 yang juga bertuah apabila menerima Hadiah Kecemerlangan Yayasan Sabah.

Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri