Skip to main content
Kegembiraan Berganda

Kegembiraan Berganda

Kuantan, 17 November- Kesibukan kerja sebagai Pegawai Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang yang berkhidmat di Pejabat KDYMM Sultan Pahang di Pekan tidak menghalang Ahmad Norbadelin Abdul Murad, 50 menamatkan pengajian peringkat Master Eksekutif Pengurusan Projek bersama isterinya, Zuriati Hassan,50, yang menamatkan pengajian Master Eksekutif Pengurusan Perniagaan di UMP Advanced Education.

“Telah lama saya simpan impian agar suatu masa nanti berjaya berdiri di atas pentas sebagai graduan. Alhamdulillah doa kami dimakbulkan berkongsi pentas dengan isteri,” katanya yang tidak menyangka pada kali ini hadir bergraduasi memandangkan sebelum ini hanya hadir bertugas mengiringi Tuanku.

Beliau bertuah apabila hasratnya untuk menyambung pengajian mendapat sokongan keluarga dan kenalan. Walaupun kekangan mereka bukanlah disebabkan anak-anak yang masih kecil namun cabaran terhadap waktu bekerja dan sesi pengkuliahan memandangkan waktu bekerja yang tidak mengira masa.

Masih lagi beliau teringat suatu ketika dahulu, beliau menghadiri kelas dengan lengkap berpakaian baju melayu, disebabkan terpaksa segera bergegas ke kelas yang diadakan di UMP Gambang sebaik sahaja selesai tugasan. 

Manakala menurut isterinya, Zuriati Hassan yang juga berkhidmat di Pejabat KDYMM Sultan Pahang berkata, usia bukan penghalang untuk terus menuntut ilmu.  Kadang kala persekitaran di bilik kuliah itu yang membuatkan semangatnya semakin berkobar-kobar untuk semangat dalam pengajian.

Ujarnya, walaupun rakan sekelas berusia sekitar usia anak-anaknya, namun mereka tidak lokek ilmu untuk berkongsi ilmu antara satu sama lain. Apa yang penting dalam pelajaran kita perlu menumpukan perhatian di dalam kelas dan menyiapkan tugasan yang diberikan dalam tempoh yang ditetapkan.

Menerima pengijazahan yang disempurnakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dalam Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-14 baru-baru ini merupakan kenangan terindah buat pasangan suami isteri ini.  

Disediakan oleh Nor Salwana Mohd Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri