Skip to main content
Kekuatan ibu beri semangat buat Lai Chor Kiew

Kekuatan ibu beri semangat buat Lai Chor Kiew

Kuantan, 16 November – Kecekalan semangat ibunya, Loh Kwai Fong, 48 dalam membesarkan anak-anaknya setelah kehilangan suami 10 tahun yang lalu menjadi penguat semangat buat Lai Chor Kiew,24, untuk menamatkan pengajian dan dinobatkan penerima Anugerah Naib Canselor pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-14 yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti, UMP Gambang baru-baru ini.

Anak sulung daripada empat adik-beradik ini berkata, dorongan dan sokongan daripada keluarga menjadi penguat semangat apatah apabila beliau gagal dalam sesuatu perkara.

“Terdapat  ibubapa yang akan memarahi anak apabila gagal terutamanya ketika di peringkat sekolah menengah namun bagi Chor Kiew, ibu bapanya tidak pernah memarahinya malah sentiasa memberikan semangat untuk terus melakukan yang lebih baik dan ianya memberi kesan yang mendalam terhadap diri saya," katanya. 

Graduan dari Fakulti Komputeran ini akan memastikan segala matlamat yang telah ditetapkan akan dicapai. Bagi beliau, setiap orang mempunyai matlamat yang telah ditetapkan dalam hidup, jika kita mampu mencapai matlamat itu maka kitalah pemenang. Berpegang kepada prinsip tidak mudah berputus asa dan sentiasa bertanya serta belajar merupakan kunci kejayaan buat mahasiswa ini.

Anak kelahiran Kampar, Perak ini merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Komputer & Rangkaian) dengan kepujian dengan PNGK 3.82. Beliau juga berjaya memperoleh Anugerah Dekan bagi setiap semester sepanjang pengajian di UMP.

“UMP adalah sebuah universiti yang hebat yang dapat membantu anak-anak muda untuk berkembang selain dapat menyediakan kursus-kursus yang bersesuaian untuk pelajar,” ujarnya.

Lai Chor Kiew juga bergiat aktif dalam pelbagai program dan persatuan antaranya Jelajah Milenia, Program Malam Kebudayaan Tahun Baru Cina 2017, Motorola Embedded Wireless Communication (M-Wicom Module  A) dan Motorola Embedded Wireless Communication (M-Wicom Module  B).

Ujarnya, pengalaman sewaktu belajar di UMP pastinya ada manis dan pahit namun di kelilingi dengan kawan-kawan dan pensyarah pastinya menjadikannya seorang yang menghargai satu sama lain. Beliau kini telah berkhidmat sebagai ‘Automation Engineer’ di industri bersyukur atas apa yang telah dianugerahkan hari ini.

Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim daripada Bahagian Komunikasi Korporat. 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri