Skip to main content
Khairun Nisa Dinobatkan Penerima Anugerah Canselor

Khairun Nisa Dinobatkan Penerima Anugerah Canselor

Kuantan, 16 Nov - Dinobatkan sebagai penerima Anugerah Canselor (ANC), itulah hadiah hari lahir yang amat bermakna kepada graduan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) kali ke-14, Khairun Nisa Mazlan, yang bakal menyambut hari lahirnya yang ke-23 pada 23 November ini.

Beliau yang juga merupakan penerima Anugerah Dekan selama tujuh semester berturut-turut itu, berjaya memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.70 sepanjang pengajiannya di sini. 

"Sejak sekolah menengah hingga ke Matrikulasi saya mengambil subjek Sains, justeru mata pelajaran seperti akaun dan lain-lain adalah agak asing bagi saya," katanya.

"Walapun sukar, namun saya tidak menganggap ia adalah penghalang namun merupakan cabaran besar untuk saya menerokai ilmu baharu," kata graduan Fakulti Pengurusan Industri (FIM) UMP itu.

Beliau yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, tidak mengamalkan sebarang petua untuk berjaya  namun sebaliknya setiap kali sebelum menduduki peperiksaan, beliau akan menetapkan apakah sasaran yang ingin dicapai dan seterusnya akan berusaha lebih untuk mencapai sasaran tersebut.

Beliau yang menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Projek dengan Kepujian itu berkata, meskipun pernah bekerja sambilan sebagai kru bankuet di salah sebuah hotel di sini dengan upah RM8 sejam berikutan kos sara hidup yang semakin  meningkat, ia tidak mematahkan semangat  gadis ini untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Saya menjadikan ibu, Noorasiah Bidin, 48, sebagai idola saya. Kecekalan ibu membesarkan kami adik beradik selepas kehilangan ayahanda tercinta, Mazlan Bidin, akibat penyakit Leukemia  ketika berusia  12 tahun, menjadi pendorong untuk saya berjaya.

"Ibu membanting tulang membesarkan kami dan sedikit sebanyak telah menjadi inspirasi kepada saya. Jika ibu boleh melakukan seorang diri, mengapa saya tidak mampu untuk menjadi cekal seperti ibu?, " kata anak sulung dari empat beradik itu. 

Katanya, beliau tidak mempunyai sebarang rahsia untuk kekal berjaya pada setiap semester. beliau hanya memastikan setiap kali sebelum menduduki peperiksaan, beliau akan menetapkan sasaran yang tinggi dan memastikan akan berusaha lebih untuk mencapai sasaran itu.

Meskipun cemerlang dalam bidang akademik, namun ia tidak menghalang gadis ini dari  turut bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum. Beliau pernah menyertai hampir 40 aktiviti yang dianjurkan di dalam mahupun luar UMP.

Antara yang pernah disertainya sepanjang empat tahun pengajian di sini adalah seperti Pengarah Program Kejohanan Bola Jaring Tertutup Piala Persatuan Matahari, Timbalan Pengarah Program Tahun Akhir Pameran dan Pertunjukan 2017, Program Koordinator Forum Industri 4.0 Teknologi Blok Chain, Setiausaha Program Berjalan Kaki 10,000 langkah untuk Sifar HIV anjuran GENESIS, Setiausaha Program Women's Grooming , Panel Jemputan Forum Circle Talk 3.0 anjuran kelab  PMSB dan juga Exco dalam pelbagai jawatan kuasa aktiviti anjuran kelab dan persatuan di UMP.

"Kini, segala susah payah yang dilalui ketika zaman belajar  akhirnya terbayar jua apabila saya kini  diterima bekerja sebagai Commodity Command Standard System (CCSS) Representative 1, Global Support Contact Centre di HSBC Data Processing (M) (HDPM) .

"Untuk berjaya, perancangan dan pengurusan masa yang teratur amat diperlukan bagi kelancaran proses sesuatu perkara. Selain itu, kita harus menjaga hubungan sesama manusia sepertimana kita menjaga hubungan dengan Pencipta," katanya.

Disediakan oleh Shalfarina  Shahriman daripada Penerbit UMP

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri