Skip to main content
Laylatun Qadrina Olahragawati UMP dan Sukarelawan YSS Raih Anugerah

Laylatun Qadrina Olahragawati UMP dan Sukarelawan YSS Raih Anugerah

Kuantan, 16 November- Bijak mengatur masa, bekerja keras serta sentiasa fokus dalam setiap yang dilakukan adalah kunci kejayaan buat Olahragawati Universiti Malaysia Pahang (UMP) tahun 2018, Laylatun Qadrina Amrizal yang menerima Anugerah Kecemerlangan Malakoff Corporation Bhd yang pertama kali diperkenalkan sempena Majlis Konvokesyen UMP Kali ke-14  baru-baru ini.

Aktif dalam sukan dan aktiviti kesukarelawanan, Laylatun merupakan Atlet Petanque UMP pernah menerima Anugerah Sanjungan Pelajar (Kategori Sukan & Rekreasi) hasil pencapaian cemerlang dalam kejohanan antara universiti dan peringkat kebangsaan. Laylatun Qadrina pernah memenangi pingat gangsa kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi pada tahun 2016 dan 2018, naib johan Kejohanan Petanque Terbuka Remaja 2015 dan beberapa kejayaan yang lain. Beliau juga pernah mewakili Wilayah Persekutuan ke kejohanan Sukan Malaysia.

Beliau bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian dan terpilih menerima anugerah ini berdasarkan kepada keputusan cemerlang dan aktif dalam ko-kurikulum ketika menuntut dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa).

“Saya merupakan alumni Yayasan Sukarelawan Siswa(YSS) iaitu sebuah Yayasan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Aktiviti sukarelawan merupakan platform terbaik untuk membentuk keterampilan diri yang baik, meningkatkan mutu kepimpinan dan menguji kemampuan diri apabila terlibat dengan misi sukarelawan untuk membantu komuniti di dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau pernah menyumbang bakti dalam Misi Sukarelawan Siswa Antarabangsa di Sabah 2017 serta “SCI-Germany Workcamp 2019” di Cologne, Germany serta mewakili YSS sebagai delegasi dalam persidangan 15th IAVE Asia Pacific Regional Volunteer Conference 2017. Ketika berada di tahun akhir pengajian, Laylatun Qadrina telah dinobatkan sebagai penerima anugerah “Outstanding Final Year Project (Power and Energy)” tajaan IEEE-PES Malaysia Chapter 2019 dalam penganjuran  “Exhibition of Senior Projects on Electrical & Electronics Engineering (EXSELEN) 2019.

Laylatun Qadrina berjaya menamatkan pengajian dengan purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.84 sepanjang 3 tahun setengah pengajian di sini dan menerima biasiswa daripada Yayasan Gamuda Berhad. Beliau kini bertugas sebagai Jurutera untuk projek Mass Rapid Transit (MRT) bawah tanah aliran 2 di bawah Syarikat Gamuda Engineering.

Disediakan oleh Siti Nur Azwin Zulkapri daripada Bahagian Komunikasi Korporat 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri