Skip to main content
Mitchell rangkul Hadiah Kecemerlangan Yayasan Sabah

Mitchell rangkul Hadiah Kecemerlangan Yayasan Sabah

Kuantan, 16 November- Dibesarkan dalam keluarga yang serba sederhana, Mitchell Enrique Kuansin, 24 tahun, tidak pernah patah semangat beliau untuk berjaya dalam pelajaran sehinggakan beliau menerima dua anugerah iaitu Hadiah Kecemerlangan Yayasan Sabah dan Hadiah Kecemerlangan Dwi-Ijazah Verein Deutscher Ingenieure Award.

Mitchell menerima anugerah berkenaan daripada Canselor UMP, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersempena Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-14 baru-baru ini.

Graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif (Program Kerjasama Dengan Karlsruhe University of Applied Sciences, Jerman) yang berasal dari Kota Belud, Sabah itu menerima pencapaian Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) 3.59.

Anak sulung dari enam orang adik-beradik ini juga berjaya mendapat pencapaian keputusan dengan memperoleh Anugerah Dekan dalam lima semester.

“Rakan seperjuangan dan pensyarah banyak membantu saya tetapi penyumbang terbesar kejayaan pada hari ini ialah keluarga saya, khususnya ibu bapa saya yang telah berkorban banyak waktu, tenaga dan wang ringgit.

 “Semoga dengan kejayaan ini, saya dapat membalas jasa mereka terhadap saya,” ujar anak kepada pasangan Kuansin Matindal, 56 dan Mariah Rumantis, 54 tahun.

Semasa pengajian di UMP, beliau turut menyertai aktiviti kayak, program kesukarelawanan dan juga ahli UMP-HsKA Community Club (UHCC).

Katanya, satu nilai unik yang dimiliki oleh UMP ialah hubungan yang erat dengan rakan industri.

“Ini bukan sahaja boleh meningkatkan kebolehpasaran graduan UMP, malah dapat memastikan para graduan mempunyai pelbagai variasi prospek pekerjaan untuk dipilih. Saya berharap dapat mengaplikasi semua ilmu yang ditimba sepanjang berada di UMP dalam bidang pekerjaan dan dalam kehidupan saya,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai kejayaan terbesar dan pengalaman yang beliau tidak dapat lupakan ketika menuntut di UMP, beliau menjelaskan bahawa beliau telah menghabiskan satu semester di University of Applied Science Karlsruhe (HsKA), Jerman.

“Ini merupakan satu pengalaman yang tidak ramai para pelajar dapat miliki. Saya amat bertuah sekali. Satu pengalaman yang sangat menarik dan berimpak positif terhadap kehidupan peribadi saya kerana dapat mengenali budaya sosial dan profesional masyarakat Jerman, bekerjasama dan berinteraksi bersama pelajar dan pensyarah di universiti tersebut serta meluangkan masa untuk mengembara,” katanya.

Anak muda yang berpegang kepada prinsip selalu melakukan yang terbaik dalam setiap perkara ini turut berpendapat bahawa UMP mempunyai banyak kemudahan dan fasiliti yang baik serta berteknologi tinggi yang boleh membantu para pelajar dalam sesi pembelajaran. 

Disediakan oleh Hartini Hatta daripada Bahagian Komunikasi Korporat

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri